PEREKA DONGENG DAN KEBOHONGAN

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami, mereka berkata, “Sesungguhnya kami telah mendengar (ayat-ayat seperti ini). Jika kami  menghendaki nescaya kami dapat membacakan yang seperti ini. (Al-Quran) ini tidak lain hanyalah dongengan masa lalu. Dan (ingatlah) ketika mereka (orang musyrik) berkata, “Ya Allah, jika betul (Al-Quran) ini, (dan) ia berasal dari sisi-Mu maka hujanilah kami dengan batu dari langit, atau datangkanlah kepada kami azab yang pedih.”  (al-Anfal: 31-32)

Ia termasuk salah satu bangsawan dan orang kaya di Mekah. Ia telah kenyang makan asam garam kehidupan. Segala kesulitan dan kesenangan pernah dialaminya. Ia sering berkelana dan berdagang ke pelbagai daerah, termasuk Parsi, Syria, Mesir, Yaman, dan kota-kota Arab lainnya sebagai pedagang. Keamanan di dalam perjalanan membuatnya berani menempuh jauhnya jarak sesuatu kota itu. Semuanya berkat keutamaan dan kemuliaan Kaabah, Baitullah yang suci.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Maka sembahlah Tuhan pemelihara rumah ini, yang memberi mereka makan ketika lapar, dan memberi mereka rasa aman dari ketakutan.” (Quraisy: 3-4)

Berbagai-bagai daerah yang pernah ia kunjungi selama ini dalam aktiviti dagangnya semakin memperkaya pengalaman dan pengetahuannya mengenai perwatakan manusia serta adat istiadat setiap daerah. Ia memahami lingkungan budaya, sejarah dan perilaku para penduduk di setiap wilayah.

Ia pernah tinggal lama di Hirah, salah satu wilayah Iraq. Di sana, ia tidak hanya berdagang, tetapi juga berkenalan dengan tradisi falsafah Parsi, kehidupan beragama dan tuhan mereka, mengenal kisah-kisah mereka, dan dongeng kepahlawanan bangsa Irak ketika mereka mengalahkan pasukan Rom di masa lalu. Ia juga  belajar astronomi sehingga ia sering memerhatikan bulan dan bintang ketika melaksanakan sesuatu urusan.

Dengan pengetahuan dan pengalaman seperti itu, ia dapat hidup dengan tenang dan bahagia. Ia juga ikut berbahagia ketika mendengar khabar kemenangan bangsa Parsi penyembah berhala mengalahkan bangsa Rom. Ia sama sekali tidak tahu bahawa kelak bangsa Rom akan mengalahkan Parsi.

Ia adalah al-Nadhr ibn al-Harits.

Ia dikenal sebagai tokoh penting di Mekah dan orang terkenal yang pada dirinya terhimpun semua kebaikan hidup: kekayaan berlimpah, pengalaman dan pengetahuan luas, serta kekuatan dan kekuasaan politik. Ia benar-benar berada di puncak kehidupan. Ia dapat memenuhi segala hasrat batinnya dan keinginan hawa nafsunya. Kerana itu, banyak orang yang mendekati dan berhimpun di sekelilingnya. Orang-orang yang menyukai kekayaan, kedudukan sosial, dan pengetahuannya yang luas.

***

Ketika lelaki itu merasakan puncak kenikmatan hidup, cahaya Islam terbit dan memancar di Makkah al-Mukarramah. Islam memancarkan cahayanya menerangi Mekah sehingga semua makhluk tersentuh cahayanya. Semua itu terjadi ketika Muhammad, putera Abdullah menyatakan dakwahnya secara terang-terangan. Baginda mengajak manusia kepada ajaran tauhid, iaitu menyembah Tuhan Yang Maha Esa, tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu atau siapa pun, serta menjauhi penyembahan berhala-berhala.

Al-Nadhr ibn al-Harits merasa terancam dengan kemunculan Muhammad dan ajaran tauhidnya itu. Kedudukan dan status sosialnya di tengah-tengah masyarakat terancam kerana banyak orang yang mengikuti Muhammad. Kerana itu, ia bersiap sedia memusuhi Muhammad dan para pengikut baginda. Ia merasakan perlu menghalang gerakan dakwah Muhammad yang menyeru manusia ke dalam agama baru. Ia bersumpah kepada dirinya sendiri untuk menghadapi Islam, Rasulullah, dan seluruh kaum Muslim. Ia berusaha untuk menyimpangkan manusia daripada ajaran Muhammad dengan segala kekuatan dan tipu daya. Dan kekayaannya yang melimpah-ruah.

Tetapi keadaan berlangsung tidak selari dengan keinginannya. Seruan kepada Islam telah menyentuh dan menarik hati banyak orang Mekah. Sedikit demi sedikit seruan itu menyentuh orang-orang yang di sekitarnya.

Meskipun demikian, al-Nadhr tidak pernah berhenti mencarin jalan untuk menjauhkan Muhammad daripada orang ramai. Al-Nadhr sentiasa mencari jalan keluar dan cara yang paling berkesan untuk merendah-rendahkan Muhammad pada pandangan manusia. Ia mencela Abu Talib yang menjadi ‘orang kuat’ Muhammad dan melindungi baginda dengan sepenuh hati. Jadi, apa yang dapat dilakukan oleh al-Nadhr untuk menghentikan gerakan dakwah Muhammad?

***

Al-Nadhr bersepakat dengan beberapa pembesar Quraisy lain untuk mengutus Utbah ibn Rabiah menemui Muhammad. Utbah dikenal sebagai orang yang sopan, tenang, ahli diplomasi, dan cerdik. Ia diutus untuk memujuk Muhammad agar menghentikan dakwah baginda itu.

Setelah berhadapan dengan Muhammad, Utbah berkata, “Wahai putera saudaraku, kami mengetahui kedudukanmu di tengah-tengah masyarakat, dan engkau pun mengetahui kedudukan kami. Aku diutus oleh kaumku, yang juga kaummu, untuk menyampaikan suatu perkara yang sangat penting. Mereka menyatakan bahawa kau telah memecah-belahkan kesatuan mereka, kau telah mengganggu urusan mereka, menghina agama mereka, dan merendahkan kami di antara bangsa Arab yang lain. Kini, telah terdengar khabar di kalangan masyarakat Arab bahawa di tengah-tengah kami telah muncul seorang tukang sihir. Kerana itu, dengarkanlah kata-kataku. Hentikanlah dakwahmu, dan aku akan menawarkan beberapa keuntungan untuk dirimu:

“Jika kau menghendaki kekayaan, kami akan kumpulkan harta sehingga kau menjadi orang terkaya di antara kami.

“Jika kau menghendaki wanita, pilihlah wanita Quraisy mana yang kau sukai dan kami akan menikahkanmu. Bahkan jika kau ingin sepuluh wanita, kami akan memberikannya.

“Dan jika kau merasa bahawa semua kelakuanmu ini disebabkan oleh jin yang tidak dapat kau usir, kami akan mencarikan tabib yang terbaik untukmu, kami serahkan semua harta yang kami miliki untuk menyembuhkanmu.”

Sesiapa sahaja pasti akan tertarik mendengar semua tawaran itu. Namun, Muhammad sama sekali tidak menghendaki semua itu. Tidak terlintas sedikit pun dalam fikiran Muhammad akan hasrat kepada kepada dunia dan segala kenikmatannya. Satu-satunya tujuan dalam hidupnya adalah keredaan Allah dan tersebarnya dakwah Islam, seruan menuju kebenaran dan jalan yang lurus, jalan yang diredai oleh Allah. Baginda sama sekali tidak memerlukan apa-apa yang ditawarkan oleh para pembesar Quraisy, bukan harta, bukan wanita, bukan juga kekuasaan. Cukuplah Khadijah sebagai isteri baginda, yang setia, taat dan membela suaminya.

Selesai Utbah mengajukan semua tawaran itu, Muhammad memandang kepadanya dan berkata, “Apakah kau sudah selesai berkata-kata. Jika sudah, dengarkanlah kataku pula.”

Kemudian Nabi s.a.w membacakan sepotong ayat al-Quran kepada Utbah:

“Ha mim. Diturunkan daripada Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Kitab yang ayat-ayatnya dijelaskan, yakni bacaan (Quran) dalam bahasa Arab, untuk kaum yang mengetahui. (Al-Quran itu) Membawa berita gembira dan membawa peringatan, tetapi kebanyakan mereka berpaling, tidak mahu mendengarkannya. Mereka berkata, “Hati kami dalam tutupan (yang menutupi) apa yang kauserukan kepada kami dan telinga kami tersumbat dan antara kami dan kamu ada dinding. Maka, bekerjalah kamu; sesungguhnya kami bekerja (pula).” Katakanlah, “Aku hanyalah manusia sepertimu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhanmu adalah Tuhan yang Maha Esa. Maka tetaplah pada jalan yang lurus kepada-Nya. Dan kecelakaan besarlah bagi orang yang menyekutukan-Nya.” (al-Fushshilat:1-6)

Ketika Utbah mendengar Rasulullah membacakan ayat-ayat itu, ia merasa tidak berdaya menghadapi ayat-ayat itu dan makna yang terkandung di dalamnya. Hatinya seperti diselimuti suatu kekuatan ghaib. Oleh sebab itu, ia segera pergi menemui kaumnya, dan ayat-ayat itu masih terngiang-ngiang di telinga dan fikirannya:

Jika mereka berpaling, katakanlah, “Aku telah memperingatkanmu dengan petir, seperti petir yang menimpa kaum Ad dan Tsamud.” (al-Fushshilat: 13)

Utbah gagal menjalankan misinya untuk memujuk Muhammad s.a.w. Bahkan ia bercerita kepada kaumnya bahawa seakan-akan ia telah keluar daripada agamanya dan masuk ke dalam agama yang dibawa oleh Muhammad.

(2)

Kaum kafir Quraisy berputus asa dan kehabisan ikhtiar untuk memujuk Muhammad agar menghentikan dakwahnya dan membiarkan manusia mengikuti agama nenek moyang mereka. Akhirnya, mereka kembali berkumpul membincangkankan langkah dan strategi lain untuk menghentikan gerakan dakwah Muhammad.

Mereka bersepakat menghantar utusan kepada kaum Yahudi Yatsrib untuk bertanya kepada mereka mengenai hakikat Muhammad dan ajaran yang didakwahkannya. Mereka ingin mengetahui sejauh mana kebenaran seruan Muhammad. Mereka berharap kaum Yahudi itu akan menyokong pandangan mereka bahawa Muhammad adalah pendusta yang  mengaku sebagai nabi. Jika benar begitu, tentu ia akan menjadi senjata baru untuk memiminggirkan Muhammad dan mencela agama Islam.

Kaum kafir memilih dua orang di antara mereka, iaitu al-Nadhr ibn al-Harits dan Uqbah ibn Abi Mu’ith. Kedua-duanya pergi ke Yatsrib berbekalkan kebencian dan kedengkian kepada Muhammad.

Kedua-dua orang itu bergegas pergi menuju Yatsrib. Ketika kedua-duanya tiba di daerah yang dihuni oleh kaum Yahudi, mereka terus menanyakan rumah agamawan Yahudi.

Al-Nadhr dan Uqbah segera menemui ‘para ulama’ Yahudi itu, kemudian mengkabarkan kepada mereka bahawa salah seorang penduduk Mekah telah mengaku sebagai nabi. Ia bernama Muhammad, putera Abdullah. Ia muncul di tengah-tengah masyarakat Mekah dan mendakwahkan agama baru, yang mengajak manusia untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa, serta meninggalkan penyembahan berhala, tuhan-tuhan leluhur atau nenek moyang mereka.

Kedua-dua utusan itu bertanya kepada ‘ulama’ Yahudi, bagaimana keadaan orang yang mengaku sebagai nabi itu? Bagaimana cara mengetahui kebenaran dan kedustaannya? Apakah mereka harus mengikuti ajarannya itu, membenarkannya, ataukah harus menjauhinya dan menentang ajarannya itu?

Tentu saja, ketika mendengar pertanyaan itu, kaum Yahudi merujuk kepada kitab suci mereka, terutama pada ayat dan bahagian yang mengisahkan tentang akan datangnya nabi baru, iaitu fasal pertama Kitab Kejadian ayat 33, Perjalanan Kedua, halaman 334 daripada kitab Perjanjian Lama atau Taurat. Mereka mendapati dalam ayat itu bahawa Muhammad adalah Nabi yang ditunggu-tunggu oleh manusia.

Kaum Yahudi dikenali sebagai kaum yang bongkak. Seperti biasa, mereka tidak memberikan jawapan yang jujur kepada kedua-dua utusan Quraisy itu. Mereka tidak menyebutkan hakikat apa yang mereka ketahui tentang telah dekatnya saat munculnya nabi baru itu di bumi Mekah. Mereka mengingkari hakikat ini. Kerana itu, mereka berkata kepada kedua-dua utusan Quraisy itu, “Tanyakanlah kepada Muhammad mengenai tiga perkara. Jika ia dapat menjawabnya, maka kamu semua harus membenarkan dan mengikutinya. Bererti ia rasul yang diutus Tuhan. Jika tidak dapat menjawabnya, bererti ia hanya seorang pendusta. Jangan kamu semua mengikutinya.”

Kedua-dua utusan itu bertanya kepada ‘ulama’ Yahudi itu, “Apa yang harus kami tanyakan kepadanya?”

Pemimpin agama Yahudi itu berkata, “Tanyakanlah kepadanya tentang para pemuda di masa lalu, bagaimana kisah mereka, kerana mereka memiliki kisah hidup yang aneh. Tanyakan kepadanya tentang lelaki hebat yang mengelilingi bumi dari sebelah barat hingga tiba di sebelah timur, bagaimanakah kisahnya. Dan yang terakhir, tanyakan kepadanya tentang roh, apakah yang dimaksudkan dengan roh?”

***

Misi kedua-dua utusan Quraisy itu berakhir. Kedua-duanya kembali menempuh perjalanan pulang ke Mekah. Kedua-duanya berharap Muhammad akan gagal menjawab ketiga-tidga pertanyaan itu sehingga mereka akan mempunyai alasan untuk menghalang manusia daripada memasuki agamanya.

Ketika kedua-duanya tiba di Mekah, mereka segera memberitahu tentang hasil perjalanan mereka dan apa yang disampaikan oleh rahib Yahudi itu.

Kemudian para pembesar Mekah, diikuti oleh banyak penduduk Mekah, pergi menghadap Muhammad untuk menyaksikan apa yang akan dikatakan Muhammad ketika mereka menanyakan ketiga-tiga pertanyaan itu nanti. Mereka yakin bahawa ketika ini orang ramai akan dapat mengetahui bahawa Muhammad hanyalah pendusta.

Dengan gaya bicara yang angkuh dan sombong, yang mengingatkan kita pada perilaku Firaun dan para tukang sihirnya ketika menantang Musa a.s, kedua-dua utusan Quraisy itu berkata kepada Rasulullah s.a.w, “Wahai Muhammad, jika kau ingin kami membenarkan dakwahmu dan mengikutimu, jawablah pertanyaan yang akan kami ajukan kepadamu. Pertama, khabarkanlah kepada kami tentang para pemuda di masa lalu yang memiliki kisah yang aneh, bagaimana keadaan mereka? Kedua, khabarkanlah kepada kami tentang lelaki hebat yang mengelilingi bumi dari sebelah barat hingga tiba di sebelah timurnya, siapakah dia? Ketiga, khabarkanlah kepada kami mengenai roh, apakah roh itu?”

Ketika itu Rasulullah sama sekali tidak mengtahui jawapan terhadap ketiga-tiga pertanyaan itu. Dan Rasulullah tidak ingin berkata-kata kerana dorongan hawa nafsu. Semua yang diucapkannya adalah wahyu yang diwayhukan kepada baginda. Rasulullah meminta sedikit waktu kepada mereka untuk memberikan jawapan dan kemudian baginda berdoa kepada Allah.

Lima belas hari berlalu sejak kaum Quraisy itu menanyakan ketiga-tiga pertanyaan tersebut kepada Rasulullah. Namun wahyu yang dinantikan tidak juga turun. Rasulullah tetap menantikan datangnya jawapan bagi kaum Quraisy itu. Permasalahan itu benar-benar membuat Rasulullah dalam keadaan sukar. Kaum kafir menunggu jawapan baginda. Mereka hampir hilang kesabaran. Mereka berharap Muhammad tidak akan boleh menjawab pertanyaan itu. Dengan demikian, akan jelaslah bahawa Muhammad hanyalah seorang pendusta. Bahkan seorang kafir berkata, “Muhammad telah berjanji akan menjawab ketiga-tiga pertanyaan kami. Kini ia memungkiri janjinya. Ia tidak mampu menjawabnya, dan jelaslah bahawa ia hanyalah pendusta. Semua orang perlus menjauhi dan meminggirkannya.”

Akhirnya, apa yang dinantikan oleh Rasulullah pun tiba. Allah menurunkan wahyu-Nya kepada Rasul-Nya, iaitu surah al-Kahfi, bahagian yang meliputi ketiga-tiga pertanyaan kaum kafir Quraisy itu.

Sebagai jawapan untuk pertanyaan yang pertama, Allah menurunkan ayat 9-26 surah al-Kahfi yang berbicara tentang Ashabul Kahfi – para penghuni gua. Untuk menjawab pertanyaan kedua, Allah menurunkan ayat 83-89, yang mengisahkan tentang Zulkarnain, dan kisah tentang bagaimana ia membina benteng besar yang di antara dua kaum yang bermusuh. Salah satu kaum itu adalah kaum yang sangat kejam dan bengis, iaitu kaum Yakjuj Makjuj, sedangkan kaum lainnya adalah kaum yang lemah, yang berjiran dengan kaum Yakjuj Makjuj itu.

Manakala mengenai pertanyaan ketiga, Allah menurunkan ayat al-Quran yang berbunyi:

“Dan mereka bertanya tentang ruh, katakanlah bahawa ruh adalah termasuk urusan Tuhanku. Dan tidaklah kalian diberi pengetahuan mengenainya kecuali sedikit.” (al-Isra’: 85)

Meskipun jawapan Rasulullah begitu jelas dan terang, kaum Quraisy tetap enggan mengakui dan beriman kepada agama Muhammad s.a.w. Sebaliknya, mereka tetap dalam kedunguan dan kesombongan. Mereka mengingkari janji bahawa mereka akan beriman jika Rasulullah dapat menjawap pertanyaan mereka. Mereka mencabar Muhammad sebagaimana yang terkandung dalam ayat Quran yang bermaksud:

Dan (ingatlah), ketika mereka (orang musyrik) berkata, “Ya Allah, jika betul (Al-Quran) ini, (dan) ia benar dari sisi-Mu maka hujanilah kami dengan batu dari langit atau datangkanlah kepada kami azab yang pedih.” (al-Anfal: 32)

Ucapan mereka itu menegaskan kedunguan, keingkaran dan kekafiran mereka. Bagaimanapun, peristiwa ini disaksikan oleh banyak penduduk Mekah sehingga mereka mengetahui kebenaran Muhammad dan agama yang diserukannya. Peristiwa ini mendorong sebahagian mereka untuk beriman dan menyatakan bahawa mereka memeluk Islam.

(3)

Kaum kafir Quraisy, diprovokasi oleh al-Nadhr ibn al-Harits, menyeksa orang-orang yang mengikuti Mhammad. Kumpulan Muslim yang aling menderita adalah para hamba dan masyarakat kelas bawahan. Kaum kafir menyeksa dan menyakiti mereka agar kembali ke dalam kekafiran dan keyakinan nenek moyang mereka. Kaum kafir tidak pernah sekalipun merasa puas melakukan berbagai-bagai tindakan keji dan kejam. Mereka terus menerus memusuhi Rasulullah dan kaum Muslim.

Segala tindakan keji kaum kafir itu tidak sedikit pun menakutkan Rasulullah. Baginda terus menyeru kaumnya untuk melakukan amal baik dan meninggalkan keburukan dan kejahatan. Sesungguhnya, setelah mati, manusia akan dibangkitkan oleh Allah pada hari kiamat. Mereka akan dihidupkan kembali dan ditanya mengenai apa yang telah dilakukannya di dunia. Jika amal kebaikan lebih banyak dan lebih berat berbanding amal keburukan, ia akan dimasukkan ke syurga, tempat segala kenikmatan. Sebaliknya, jika amal buruknya lebih berat, ia akan diseksa di dalam neraka yang menyala-nyala apinya. Itulah balasan yang adil dan selayaknya bagi setiap manusia.

Rasulullah s.a.w sering menceritakan kisah-kisah tentang kaum-kaum terdahulu yang menentang nabi mereka, seperti kaum Tsamud yang menderhakai nabi mereka, Saleh a.s dan membunuh unta milik Allah, atau kaum Ad yang menentang bani mereka, Hud a.s, juga kaum Nabi Syuaib yang menipu dari segi timbangan serta ukuran, atau kaum Nabi Luth a.s yang melakukan perilaku keji yang dilarang Allah. Balasan bagi semua orang yang menentang dan bermaksiat adalah laknat daripada Allah dan malapetaka serta bencana.

Kisah-kisah seperti itu tidak disebutkan dalam kitab-kitab suci terdahulu, tidak dalam Taurat mahupun Injil atau Zabur. Menjadi mukjizat daripada Allah bahawa kisah-kisah seperti itu dimasukkan di dalam Al-Quran, dan diwahyukan kepada Rasul-Nya yang mulia, Muhammad ibn Abdullah.

Ketika Rasulullah sempurna menjelaskan dan menuturkan kisah-kisah serta pelajaran tentang Islam, dan beranjak pergi menuju majlis lain, al-Nadhr ibn al-Harits mendatangi majlis yang baru saja ditinggalkan oleh Rasulullah dan berkata, “Apa yang telah disampaikan oleh Muhammad bahawa semua itu terdapat dalam Al-Quran-nya sesungguhnya hanyalah dongengannya semata-matya. Atau boleh jadi semua itu hanyalah cerita yang disampaikan oleh Jabar, sahabatnya berbangsa Nasrani itu, yang kemudian diceritakan kepada kamu semua. Muhammad hanya mengaku bahawa semua itu berasal daripada Tuhannya. Pengakuan Muhammad itu pembohongan semata-mata, kerana aku juga boleh menceritakan kisah-kisah yang lebih menakjubkan dibandingkan kisah-kisah yang diceritakannya itu.”

Allah mengkhabarkan kepada Rasul-Nya yang mulia mengenai kelakuan al-Nadhr. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Ketika dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami, mereka berkata bahawa kami telah mendengar, dan jika kami mahu kami akan menyampaikan (cerita) seperti itu. Sesungguhnya semua itu hanyalah dongengan yang dibuat-buat.” (al-Anfal: 31)

Al-Nadhr berusaha mempengaruhi orang ramai agar tidak mempercayai Muhammad. Ia menceritakan sebahagian kisah dan dongeng yang ia ketahui dan didengar sepanjang pengembaraannya ke Parsi dan tempat-tempat lain.

Ia menceritakan kisah-kisah waira tentang raja-raja Parsi, seperti Yazdigard dan para panglima perang mereka seperti Rustam. Semua itu diceritakannya dengan maksud agar orang ramai tidak  lagi menghiraukan ucapan Muhammad dan enggan mendengarkan nasihat-nasihat baginda.

Namun, al-Nadhr tidak pernah berhasil mencapai hasratnya itu. Jumlah kaum Muslim semakin bertambah.

(4)

Semua usaha kaum kafir Quraisy untuk menghalang lajunya dakwah Islam telah gagal. Mereka tidak dapat mengubah pendirian dan keyakinan Muhammad. Mereka tidak mampu mencegah dan menghalang perkembangan dakwah Islam. Setiap saat cahaya Islam memancar semakin terang dan menjangkau ke daerah yang lebih luas.

Akhirnya, kaum kafir Quraisy melakukan usaha lain, iaitu memenclikan Bani Hasyim dan keluarga Abu Talib. Mereka ditahan di rumah-rumah dan sekitar mereka, serta tidak dibenarkan berhubung dan bergaul dengan penduduk Mekah yang lain. Keluarga Hasyim dan keluarga Abu Talib menderita kelaparan dan tidak dapat memenuhi keperluan hidup sehari-hari. Suku-suku dan kabilah lain memencilkan mereka. Akibatnya, banyak anggota Bani Hasyim yang kelaparan dan jatuh sakit. Bahkan, pelindung Muhammad s.a.w, iaitu Abu Talib meninggal dunia, disusuli kemudian oleh Khadijah, isteri Nabi s.a.w yang selama ini menyokong dan membantu dakwah baginda. Sejak kedua-duanya meninggal dunia, kaum Quraisy semakin hebat menindas dan menyeksa Rasulullah serta para pengikut baginda.

Namun, semua itu sama sekali tidak berupaya mempengaruhi Muhammad s.a.w, apalagi menggoyahkan keimanannya kepada Allah. Rasulullah dan kaum Muslim mendapat sokongan baru dengan masuknya beberapa orang musyrik ke dalam Islam.

Kaum kafir Quraisy mengetahui bahawa sebahagian penduduk Yatsrib berbaiat dengan Nabi Muhammad s.a.w di Aqabah. Kaum kafir itu menganggap bahawa penduduk Yatsrib akan membantu dan melindungi Muhammad. Mereka juga akan menjadi penyebar ajaran Islam di bumi Yatsrib. Mereka juga mengetahui bahawa Nabi mempunyai kaum kerabat di sana, kerana neneknya (di sebelah ayahnya), iaitu Salma, berasal daripada suku Najjar. Tidak dapat disangkal lagi, penduduk Yatsrib akan menjadi penolong dan pelindung Muhammad.

Jadi, apa yang akan dilakukan kaum kafir Quraisy?

Para pemimpin Quraisy yang jahat dan keji itu berkumpul di Dar al-Nadwah. Beberapa pemimpin Quraisy, seperti Uqbah ibn Abi Mu’ith, al-Nadhr ibn al-Harits, Umayyah ibn Khalaf dan Abu Jahal, berkumpul di sana.

Uqbah berkata, “Aku fikir kita perlu membelenggu Muhammad dengan rantai besi atau kita penjarakan ia di sebuah tempat yang tidak diketahui para penolongnya. Kita tidak akan memberinya makanan dan minuman sehingga ia mati kerana kelaparan dan ketakutan.”

Namun, pendapat ini tidak diterima oleh para pembesar Quraisy yang lain kerana menganggapa tindak sebegitu tidak akan memberi kesan kepada dakwah Islam. Salah seorang daripada mereka berkata, “Jika itu dilakukan, kita bimbang bahawa para sahabatnya akan mengetahui tempat ia dipenjarakan, lalu mereka akan melepaskannya dan membebaskannya daripada penjara kita.”

Kafir lainnya, Umayyah, berkata, “Kita usir saja dia dari Mekah sehingga ia tidak mempunyai ruang bergerak untuk menyebarkan dakwahnya itu. Dengan demikian, akhirnya ia akan putus asa.”

Pendapat itu pun tidak dipersetujui kerana bagi mereka cara itu akan memberi kesempatan kepada Muhammad untuk menyebarkan ajarannya di tempat lain. Muhammad dapat mengumpulkan orang ramai di sekitarnya dan mengumpul kekuatan untuk menyerang Mekah.

Dan, pendapat terakhir dikemukakan oleh Abu Jahal. Ia mengajukan usul agar setiap kabilah di Mekah menghantar seorang pemuda yang gagah. Kemudian para pemuda itu akan mengepung dan mengintip rumah Muhammad. Kemudian nanti, ketika Muhammad keluar untuk menunaikan solat Subuh, para pemuda itu akan menyerang dan membunuhnya. Darah Muhammad akan disebarkan di antara semua kabilah. Dengan begitu, Bani Hasyim tidak akan membalas dendam terhadap mereka kerana beranggapan bahawa semua kabilah terlibat membunuh Muhammad.

Usul itulah yang diterima oleh semua pembesar Quraisy tersebut.

Allah mengkhabarkan kepada Rasul-Nya mengenai usaha yang dirancang oleh kaum kafir Quraisy dan kemudian memerintahkan baginda agar berhijrah.

Hijrah Rasulullah dan sahabatnya Abu Bakar, yang kemudian diikuti oleh banyak kaum Muslim lain, menandai tahap baru dalam sejarah umat Islam. Lembaran baru untuk menghimpun kekuatan besar, yang kelak akan berhadapan dengan kaum kafir Quraisy dalam beberapa siri peperangan. Perang yang pertama adalah Perang Badar.

(5)

Perang Badar merupakan perang pertama yang mempertemukan pasukan Muslim dan pasukan kafir Mekah. Kedua-dua pihak yang bermusuh itu bertempur dalam perang yang dahsyat. Perang itu dicetuskan menerusi kemarahan kaum kafir Quraisy kerana kafilah dagang mereka dihalang dan dirampas oleh kaum Muslim, dan kerana pasukan rahsia umat Islam menyerang salah satu kafilah dagang Quraisy pada bulan haram. Semua itu dilakukan oleh Rasulullah untuk mengumumkan serta membuktikan kekuatan umat Islam.

Medan perang Badar menjadi saksi bagaimana kedua-dua pihak berperang dengan hebat. Setiap pihak menghendaki kemenangan. Pasukan Muslim bertempur dengan harapan akan mendapatkan kesyahidan atau kemenangan, sedangkan kaum kafir berperang demi mempertahankan kebodohan dan keangkuhan mereka sendiri.

Dalam perang ini, kaum kafir Quraisy mengerahkan seluruh kekuatan dan kemampuan mereka. Bahkan, jumlah pasukan kafir Quraisy lebih banyak (tiga kali ganda) berbanding pasukan Muslim.

Kaum Muslim menyaksikan kebengisan pasukan kafir dan semangat perang mereka. Kaum Muslim tidak melupakan penindasan dan seksaan yang ditimpakan kaum kafir kepada mereka. Kerana itu, kamun Muslim berperang dengan gagah berani untuk membunuh pasukan kafir atau menawan mereka.

Bilal ibn Rabah berjaya membunuh bekas majikannya yang sedemikian lama menyeksa dirinya. Abu Jahal juga mati dalam perjalanan pulang ke Mekah. Sementara itu, al-Nadhr ibn al-Harits terus berperang dengan gagah. Ia menghayunkan pedangnya ke sana ke mari sehingga banyak kaum Muslim yang terluka dan terbunuh. Pasukan Muslim mengepungnya sehingga ia tidak dapat melarikan diri. Lama kelamaan, kekuatannya semakin berkurang dan ia tidak mampu meneruskan peperangan. Akhirnya, al-Miqdad ibn al-Aswad berjaya menangkapnya al-Nadhr, Uqbah ibn Abi Mu’ith dan beberapa kafir Quraisy lainnya.

***

Perang Badar berakhir dan kaum Muslim mencapai kejayaan. Banyak kaum kafir yang ditawan, dan banyak pula yang terbunuh di medan perang tersebut.

Sejumlah tawanan berjalan di belakang pasukan Muslim. Kaki dan tangan mereka diikat dengan tali. Para tawanan itu kelihatan pucat ketakutan. Wajah-wajah mereka menampakkan penyesalan, rasa malu, dan khuatir.

Al-Nadhr termasuk di antara tawanan kaum Muslim. Lihatlah, dalam keadaan terhina seperti itu, dapatkah ia menceritakan kisah-kisah dan dongeng-dongengnya yang dahulu kerap diceritakan kepada orang ramai untuk menyimpangkan mereka daripada Muhammad?

Pasukan Muslim berjalan dengan langkah yang tegap dan gagah. Di belakang mereka berjalan pasukan kafir yang ditawan kaum Muslim. Al-Nadhr memandang orang-orang di sekelilingnya, berharap ada orang yang dikenalnya. Tiba-tiba ia melihat Mush’ab ibn Umair, salah seorang anggota keluarga terdekatnya. Al-Nadhr memanggil Mush’ab dan kemudian berkata, “Wahai Mush’ab, tolonglah pujuk pemimpinmu agar memaafkanku dan melepaskan aku daripada ikatan tali ini.”

Mush’ab menjawab, “Hai Nadhr, tidakkah kau ingat apa yang telah kaulakukan kepada Islam dan Rasulullah? Tidakkah kau menyedari bahawa selama ini kau memusuhi Islam dan kaum Muslim? Kau katakana bahawa al-Quran yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad hanyalah dongeng masa lalu yang dibuat-buat oleh Muhammad?”

Sebenarnya di dalam Al-Quran tidak terdapat ayat yang mengisahkan tentang kedudukan para tawanan perang itu. Namun, Rasulullah benar-benar mengetahui kejahatan yang dilakukan al-Nadhr ibn al-Harits dan Uqbah ibn Abi Mu’ith kepada dirinya dan kaum Muslim.

Kerana itu, Rasulullah s.a.w memerintahkan Ali ibn Abu Talib untuk membunuh kedua-duanya sebagai balasan setimpal di atas kejahatan mereka pada masa lalu.

Al-Nadhr tidak dapat melakukan apa-apa ketika pedang Ali ibn Abu Talib terasa sejuk di lehernya. Ia hanya dapat menyesal di atas sikap dan peri lakuknya pada masa lalu yang telah mengabaikan hak dirinya, hak Allah dan hak Rasulullah serta menyesal akan semua kejahatannya. Tetakan pedang Ali ibn Abu Talib mengakhiri hidupnya.

Begitulah kisah hidup al-Nadhr ibn al-Harits yang diabadikan sebagai contoh buruk tentang kekafiran dan kesesatan.

No Comments

    Leave a reply