PERIHAL PARTI PRIBUMI BERSATU MALAYSIA (BERSATU)

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berazam mengambil alih peranan UMNO yang dilihat semakin menyimpang dari perjuangan asal dirumuskan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam tidak akan berhasil mungkin boleh dilihat daripada beberapa faktor sejarah, termasuklah sejarah perpecahan politik Melayu-Islam sejak penubuhan UMNO pada tahun 1946.

UMNO dengan tujuan memperjuangkan orang Melayu setelah orang Melayu melihat bahawa penjajahan semakin berhasrat untuk mengekalkan kolonialisme, dengan memaksa Raja-Raja Melayu menerima sistem pemerintahan kolonial menerusi cadangan penubuhan Kesatuan Melayu, atau dikenali dengan Malayan Union. Beberapa pertubuhan Melayu yang berselerak di seluruh negara bangkit melahirkan penentangan dan dalam semangat yang lebih berani, berjuang untuk membebaskan Tanah Melayu daripada penjajahan.

Pertubuhan-pertubuhan Melayu akhirnya bersatu dalam satu entiti politik yang lebih besar dengan menamakannya sebagai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) dan kemudiannya ditukar kepada UMNO (United Malay National Organization).

Atas perbezaan prinsip, Datuk Onn Jaafar yang membentuk UMNO meletakkan jawatan dan tanggungjawab memimpin UMNO diserahkan kepada Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj. Datuk Onn Jaafar kemudiannya menubuhkan Parti Kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1951 dan kemudiannya Parti Negara (1954).

Perbezaan prinsip antara Datuk Onn dan pemimpin UMNO ialah mengenai kerakyatan terhadap semua penduduk Tanah Melayu. Datuk Onn mahukan kesemua penduduk Tanah Melayu diberikan kerakyatan secara automatik manakala pemimpin-pemimpin UMNO, mahu memperketatkan syarat kerakyatan.

Perbezaan tersebut menyebabkan Datuk Onn meletakkan jawatan sebagai pemimpin Presiden UMNO dalam Mesyuarat Agung Ke-6 yang diadakan pada 25 hingga 26 Ogos 1951.

Pada tahun 1959, Parti Negara menang dalam pilihan raya umum di kerusi Kuala Terengganu yang diwakili oleh Datuk Onn Jaafar. Tiga tahun kemudian, setelah Datuk Onn Jaafar meninggal dunia, riwayat Parti Negara semakin malap dan pilihan raya kecil yang diadakan bagi mengisi kekosongan itu dimenangi oleh Perikatan.

Pada tahun 1951, sayap ulama dalam UMNO untuk menubuhkan Parti Islam Se Tanah Melayu, dan kemudiannya selepas pembentukan Malaysia ditukarkan kepada Parti Islam se Malaysia (PAS).  Riwayat perjuangan PAS untuk menubuhkan sebuah negara Islam di Malaysia dan mensyariahkan sistem pentadbiran dan perundangan menarik minat orang Melayu terutamanya di negeri-negeri Pantai Timur.

PAS pernah menang dan memerintah di Terengganu. Bagaimanapun, kubu kuat PAS hanyalah tertumpu di Kelantan. Walaupun berlaku beberapa kali perpecahan dalam PAS, PAS terus menjadi sebuah parti politik yang kuat di Kelantan.

Atas beberapa masalah yang melanda PAS, parti itu berpecah pada tahun 1975 apabila “rampasan kuasa dalaman” berlaku yang menyebabkan tersingkirnya Datuk Asri Haji Muda dalam muktamar yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1982.

Ketika PAS bersama dalam Barisan Nasional, Datuk Asri Haji Muda dilantik sebagai Menteri Pembangunan  Tanah dan Kemajuan Wilayah manakala jawatan Menteri Besar Kelantan diberikan kepada Datuk Haji Mohamad Nasir. Kemasukan PAS dalam BN pada tahun 1973 menyebabkan sebahagian pemimpin PAS melahirkan rasa tidak puas hati dan seterusnya mengemukakan usul tidak percaya kepada Datuk Haji Mohamad Nasir, atas alasan pemilihan beliau adalah atas kemahuan BN dan bukannya pilihan PAS.

Pada tahun 1977, krisis politik telah berlaku di Kelantan atas beberapa dakwaan kepimpinan Dato Asri yang nepotisme dan gerakan menyingkirkan Datuk Haji Mohamad Nasir menyebabkan Dewan Undangan Negeri Kelantan digantung. Kelantan ditadbirkan menerusi Undang-Undang Darurat oleh seorang penjawat awam. Sebaik sahaja dipecat dari PAS, Datuk Haji Mohamad Nasir menubuhkan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA).

Pada tahun 1978, satu pilihan raya negeri diadakan. Keputusan pilihan raya itu menyebabkan PAS tersingkir dan Kelantan diperintah oleh Barisan Nasional.  Pemecatan Datuk Asri kemudiannya tertubuhnya Parti Hizbul Muslimin Malaysia (HAMIM) pada 24 Mac 1983.  Pada 17 November 1988, Datuk Asri meletakkan jawatan sebagai Presiden HAMIM dan empat hari kemudianya menyertai UMNO.

Dua buah parti serpihan PAS, iaitu HAMIM dan BERJASA tidak mampu menyaingi kekuatan PAS di mana parti-parti itu kemudiannya hampir lumpuh walaupun dalam Pilihan Raya Umum, BERJASA kembali mengambil bahagian, semuanya tewas.

Perpecahan dalam UMNO boleh disoroti daripada penubuhan Parti Kemerdekaan Tanah Melayu dan seterusnya Parti Negara. Selepas itu, UMNO mengalami perpecahan yang lebih besar pada tahun 1987 ekoran perebutan jawatan dalam kepimpinan parti sehingga menyebabkan saman mahkamah. Kumpulan yang menyokong Tengku Razaleigh membawa kes keabsahan perwakilan yang mewakili beberapa cawangan yang belum disahkan menyebabkan UMNO diharamkan pada bulan April 1988.

Berlaku perebutan untuk menghidupkan semula UMNO. Kumpulan yang menyokong Dr Mahathir Muhamad yang menang dalam pemilihan 1987 mendaftarkan semula UMNO dengan nama UMNO (Baru) manakala kumpulan Tengku Razaleigh yang gagal dalam usaha tersebut, mendaftarkan sebuah parti yang ingin mengembalikan semangat UMNO asal. UMNO (asal) kemudiannya diluluskan pendaftarannya (3 Jun 1989) dengan nama Parti Melayu Semangat 46 (Semangat 46).

Tahun 1990, parti Semangat 46 yang bergabung dengan beberapa buah parti pembangkang menjadi cabaran hebat kepada BN dan dalam pilihan raya umum pada tahun tersebut berjaya menumbangkan penguasaan BN di Kelantan. Bagaimanapun, pentadbiran Kelantan ditunjangi oleh PAS dan penguasaan itu menyebabkan wakil rakyat Semangat 46 mula menuntut jawatan sebagai Timbalan Menteri Besar. Akhirnya, PAS bersetuju melantik Dato’ Razali Isohak sebagai Timbalan Kepada Menteri Besar Kelantan.

Pada tahun 1996, parti Semangat 46 dibubarkan manakala sebahagian besar ahlinya kembali menyertai UMNO. Pemimpin Semangat 46 yang menyertai semula UMNO antaranya ialah Tengku Razaleigh Hamzah dan Tan Sri Dr Rais Yatim. Dalam Pilihan Raya Umum 1995, kedudukan Semangat 46 semakin lemah dan Tan Sri Dr Rais Yatim tewas di Jelebu, Negeri Sembilan.

Perpecahan dalam UMNO seterusnya berlaku pada tahun 1998 akibat pemecatan Anwar Ibrahim ekoran dakwaan salah laku oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Pemecatan itu membawa kepada ‘demonstrasi jalanan” dan bermula nilai-nilai anarkisme yang berlanjutan hingga sekarang. Kumpulan yang melihat Anwar Ibrahim merupakan konspirasi politik menubuhkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada tahun 1999.

Oleh kerana “deman kemarahan” terhadap kediktatoran Dr Mahathir, imejnya sebagai Perdana Menteri ketika ini mengalami pelbagai label dan seterusnya didesak agar meletakkan jawatan. Perjuangan PKR yang bertujuan “menyelematkan Anwar” akhirnya membawa kepada penyertaan parti dalam Pilihan Raya Umum 1999, yang menyaksikan kedudukan BN sedikit tergugat.

PKR memenangi lima kerusi parlimen dan meraih sokongan 11.67 peratus pengundi. Buat pertama kalinya, parti-parti pembangkang bersatu di bawah Barisan Alternatif menentang BN dan hasilnya, PAS berjaya meraih 27 dan DAP 10 kerusi Parlimen. Barisan Alternatif mendapat sokongan 40.21 undi popular.

Selepas Pilihan Raya Umum 1999,  PKR berunding dengan Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) untuk bergabung. Ketika itu, PSRM dikenali sebagai Parti Rakyat Malaysia (PRM), dan pada 5 Julai 2002, kedua-duanya menandatangani persefahaman ke atas 13 perkara . Pada 3 Ogos 2003 penggabungan kedua parti itu dimuktamadkan.

Bagi menghadapi pilihan raya seterusnya, parti-parti pembangkang mula memikirkan usaha untuk menentang BN melalui strategi satu lawan satu. Parti-parti pembangkang membentuk entiti tersebut menjadi Pakatan Rakyat. Bagaimanapun, dalam Pilihan Raya Umum 2004, pencapaian Pakatan Rakyat –PAS, PKR, DAP dan PRM—tidak mampu untuk menepis kekuatan BN yang ketika itu diterajui oleh Tun Abdullah Badawi yang dilihat sebagai “Mr Clean” dan tokoh agama yang berwibawa.

Bagaimanapun, selepas Pilihan Raya Umum 2008, Anwar dilepaskan daripada larangan berpolitik meraikan pembebasan tersebut dalam satu rapat umum di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baharu, Kuala Lumpur pada malam 14 April, yang mula memasang keinginan untuk “merampas kepimpinan negara dari BN”. Pembebasan itu telah membawa kepada perhimpunan dan desakan yang lebih besar sehinggalah memaksa lebih banyak pilihan raya kecil diadakan. Pembebasan itu menyebabkan isterinya, yang juga Presiden PKR terpaksa mengosongkan kerusi Permatang Pauh untuk membolehkan Anwar mengetuai kepimpinan pembangkang dan mencaturkan lebih banyak “konflik dan persepsi negatif terhadap BN.”

Hasil gerakan yang berterusan, pencapaian BN telah merosot sehingga tidak mampu mengekalkan kemenangan sebelumnya. Kedudukan BN di Dewan Rakyat telah berkurangan hanya mampu menang 140 kerusi daripada 222. BN meraih dokongan undi popular 50.6 peratus manakala Pakatan Rakyat ialah 49.4 peratus. Momentum itu menyebabkan Anwar terus menggerakkan Road to Putrajaya dan mendesak lebih banyak pilihan raya kecil diadakan selepas beliau menang di Permatang Pauh pada bulan Ogos 2008.

Usaha menggugat BN terus diperhebatkan dan dalam Pilihan Raya Umum 2013, kedudukan BN semakin mengecil, hanya mampu menang sebanyak 133 kerusi manakala Pakatan Rakyat menokok 8 kerusi kepada 89. Buat pertama kali dalam sejarah politik Malaysia, pembangkang yang bergabung semangat berjaya meruntuhkan penguasaan BN dalam undi popular di mana BN hanya mampu meraih 47.38 peratus.

Bagaimanapun, disebabkan Malaysia mengamalkan konsep perwakilan –post-the-past—undi popular bukanlah penentu dan BN masih mempunyai kekuatan majoriti. Pilihan Raya 2013 menyaksikan bahawa keyakinan rakyat kepada BN mula meningkat, terutamanya dalam UMNO di mana UMNO masih lagi sebuah parti politik yang dominan, menang 88 kerusi dan menyamai apa yang diperoleh oleh Pakatan Rakyat. UMNO bertandin di 121 kerusi parlimen.

Pilihanraya Umum 2013 turut menyaksikan gerakan untuk menyingkirkan kepimpinan Najib Tun Razak semakin besar setelah dimulakan dengan dakwaan “membunuh” dan seterusnya kini terpalit dengan tuduhan salah guna kuasa mengenai 1MDB. Dakwaan ini seterusnya membawa kepada pemecatan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, perlucutan jawatan Menteri Besar Kedah, Mukriz Mahathir dan penggantungan keahlian Mohamad Shafie Afdal, Naib Presiden UMNO.

Tan Sri Muhyiddin dilantik sebagai Presiden manakala Tun Dr Mahathir adalah Pengerusi sebuah parti yang sedang didaftarkan, BERSATU. Berdasarkan matlamatnya, BERSATU berhasrat untuk mengambil alih peranan UMNO, yang dilihat semakin bermasalah dan tidak boleh diselamatkan lagi. UMNO didakwa tidak mampu menyelamatkan orang Melayu. Ertinya, BERSATU masih menggunakan semangat UMNO, sebagai sebuah parti yang berjiwa kebangsaan.

Atas dasar itu, PAS yang sudah “berputus asa” dalam perkahwinannya dengan Pakatan Rakyat atas sikap DAP, tidak menunjukkan keinginan untuk bekerjasama, disebabkan parti serpihan yang didirikan oleh ahli PAS yang kecewa cenderung bekerjasama dengan DAP. Aliran politik itu menyebabkan PAS bersedia memasuki Pilihan Raya Umum akan datang secara bersendirian walaupun belum memutuskan kerjasama dengan PKR. PAS amat kecewa dengan PKR, kerana meletakkan calonnya di dua pilihan raya kecil, Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Akibatnya, kedudukan PAS di dua kawasan tersebut dilihat semakin merosot dan UMNO kembali menguasai pengundi. UMNO memperoleh kemenangan besar.

Berdasarkan sorotan sejarah, BERSATU tidak mungkin dapat mengambil alih peranan UMNO disebabkan ramai ahli UMNO mula melahirkan rasa kecewa kepada Dr Mahathir dan pembawaan Tan Sri Muhyiddin yang sukar senyum. BERSATU akan tetap dianggap sebagai sebuah parti yang memperjuangkan “politik balas dendam” dan berusaha memancing sokongan ahli UMNO.

Seharusnya, BERSATU lebih menumpukan sokongan dalam kalangan orang Melayu bukan ahli UMNO, golongan muda yang membentuk hampir 40 peratus pengundi di Malaysia dalam Pilihan Raya Umum ke-14.Inilah kegagalan besar yang boleh menyebabkan 4 M –Mahathir, Muhyiddin, Mukriz dan Mohd Shafei Afdal—tidak mampu menandingi UMNO. 4M hanya mampu berjanji, tetapi dalam tempoh sebelum pilihan raya, parti yang menguasai UMNO dijangka akan melakukan lebih banyak kemudahan dan memenuhi keperluan rakyat.

Kemunculan BERSATU memberikan sedikit “proses pembersihan” dalam parti UMNO, sebagaimana Allahyarham Nik Aziz mahukan PAS dibuang ‘buah busuk” ketika hayatnya. PAS sudah “membuang buah busuk” di mana kelompok yang dianggap menyokong Anwar sudah berakhir, bila mana kelompok tersebut tewas dalam pemilihan parti dan membentuk sebuah parti baharu yang dipimpin oleh Mohamad @ Mat Sabu.

Tentunya, UMNO akan mengalami sedikit rencatan pada peringkat awal kerana mereka yang “taksub” 4M memberikan sokongan kepada BERSATU. Sejauhmanakah ahli UMNO menyokong 4M, pada peringkat awal dilihat tidak mampu menggugat dan meresahkan. Itulah mungkin yang menjadi pertimbangan Tun Musa Hitam bahawa BERSATU tidak mampu mengambilalih peranan UMNO.

PAS pernah melancarkan kempen kepada orang Melayu sebagai parti pilihan utama orang Melayu, tetapi hingga sekarang masih membuktikan kejayaan mengambil alih peranan UMNO. PAS hanya mampu mempertahankan Kelantan, kerana PAS hidup dalam semangat politik berdasarkan agama, tetapi banyak persekitarannya tidak menampakkan nilai Islamik.

Di Kelantan, PAS gagal walaupun mengisytiharkan konsep membangun bersama Islam, kerana semakin ramai remaja Kelantan terjebak dengan jenayah dan masalah sosial. Proses “tarbiyah” yang dijalankan sejak kembali berkuasa (1990) tidak berjaya, kerana atas desakan tertentu, masih ramai anak muda Kelantan terpaksa berhijrah mencari pekerjaan, peluang pekerjaan terlalu kecil manakala beberapa projek rakyat yang digembar-gemburkan semakin bermasalah, termasuk Ladang Rakyat, Pembangunan Bawah Lembah, pembinaan stadium moden di Pasir Puteh dan sebagainya.

Kelemahan kerajaan PAS dalam menguruskan masalah banjir pada tahun 2015 menjadi sejarah yang memungkinkan pengaruhnya akan terus merosot walaupun UMNO tidak berupaya menguasai Kelantan dalam Pilihan Raya Umum ke-14. Kelemahan ketara UMNO ialah perpaduan dalam kalangan pemimpinnya di Kelantan, masing-masing Ketua Bahagian hanya memberikan tumpuan “koloni”nya, tidak merentas kawasan. Uniknya lagi, sebahagiannya masih mengharapkan projek daripada kerajaan persekutuan dan sentiasa melobi.

Sebab itulah UMNO tidak akan mampu berkuasa di Kelantan kerana tiada pemimpin yang boleh dianggap sebagai “pemersatu”, dan budaya bertewah dalam kalangan mereka sentiasa terbuka dan berlaku. Ada sindiran tajam: orang Kelantan, bila lebih daripada tiga orang, ia akan berpecah menjadi dua kumpulan. Lebih ramai nak jadi pemimpin dan nak tunjukkan kehandalannya, kerana masing-masing mahu jadi “juara”.

Jika BERSATU benar-benar menjadi parti saingan, ia hanya dijangka mampu meraih sedikit pengaruh di Johor dan Kedah. Negeri-negeri lain, pengaruh Tan Sri Muhyiddin tidaklah besar manakala di Sabah, hanya kemungkinan besar Shafei Afdal boleh bernafas ialah di kawasannya, Semporna dan Sandakan ataupun sebahagian Tawau. Untuk menguasai Sabah, Shafei akan berhadapan dengan kekuatan pengaruh Musa Aman yang semakin diterima oleh rakyat menerusi pendekatan mesra dan pengaruh kepimpinannya.

UMNO tidak mengalami ancaman besar di Sabah disebabkan pengaruh Shafei. UMNO akan terus menerajui kepimpinan politik Sabah kerana pendekatan yang diambil oleh kepimpinan negeri dan Perdana Menteri begitu besar kesannya. Di Semenanjung, UMNO akan terus relevan dengan orang Melayu walaupun PAS sejak tahun 1960-an melemparkan pelbagai tuduhan dan dakwaan yang buruk, termasuk persoalan “buang Islam”, “kafir” dan “taghut”. UMNO telah berjaya meletakkan asas yang kuat dalam minda orang Melayu, dan sebahagian besar orang Melayu masih teguh kepada prinsip “mengenang budi” berbanding dengan segelintir lagi yang tidak mahu mempertahankan nilai tersebut.

Seperti pernah disindir oleh Allahyarham Nik Aziz, dalam sesebuah pertubuhan mesti ada mereka yang berusaha merosakkan jemaah, mereka inilah yang perlu “dibuang busuk” dan “digantikan”. Dalam berpersatuan, atau berjemaah, keputusan seseorang pemimpin menjadi prinsip perjuangan selagi pemimpin itu bertanggungjawab. Perdana Menteri, ketika diwawancara oleh wartawan Indonesia menjelaskan, dia lebih rela menjadi pemimpin yang bertanggungjawab kepada rakyat daripada menjadi seorang pemimpin yang popular.

Sejarah memang banyak pengajarannya, tetapi sejarah juga mencetuskan pemandulan makna sekiranya seseorang itu tidak melihatnya dalam konteks yang betul dan hanya menyemarakkan pendustaan. Benarkah BERSATU akan memperjuangkan semangat Melayu? Ramai daripada kita tidak sanggup menunggu, apakah perjuangan sebenar BERSATU kalau bukan “membalas dendam” dan membasuh “dosa politik sendiri” yang semakin dipersoalkan selepas tempoh berkuasa tamat? Jalan yang dipilih oleh 4M bukanlah jalan terbaik “membaiki imej diri”, ia sebenarnya lebih banyak membuka kepada pertarungan dan permusuhan, akhirnya menguntungkan bukan Melayu-Islam.

Catatan: Mahanor Saleha

No Comments

    Leave a reply