Peringatan agar insaf

KEHIDUPAN di dunia ini hanyalah sementara. Tidak ada yang kekal melainkan Allah. Allah menjadikan dunia ini sebagai tempat untuk diuji dan bukan sebagai tempat untuk beristirehat hatta jika seseorang itu dikurniakan Allah dengan banyaknya ilmu, harta dan kebahagiaan namun ia tetap merupakan satu ujian.

Firman Allah di dalam Surah An-Naml ayat 40 bermaksud: “Ini ialah limpah kurnia Tuhanku untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberian-Nya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah.”

Pada hari ini, Allah SWT menguji manusia dengan mendatangkan penyakit yang masih tidak ada penawar. Ini menunjukkan bahawa manusia itu lemah dan serba kekurangan.

Apa terjadi hari ini, merupakan kesan dosa yang banyak dilakukan oleh tangan manusia itu sendiri. Mereka meninggalkan seruan Allah, banyak melakukan maksiat serta tidak pernah rasa kesal atas dosa dilakukan.

Antara hikmah mahu Allah khabarkan ketika mana manusia itu diuji khususnya disebabkan Covid-19 ialah menguji keimanan seseorang dan tahap pergantungannya kepada Allah.

Selain itu, Allah tidak akan mendatangkan bala kecuali untuk menghapuskan dosa hamba-Nya dan supaya manusia sedar akan kesilapan yang dilakukannya.

Hikmah lain yang boleh dilihat adalah bagi membezakan mereka yang benar-benar beriman dan mereka yang menipu dalam agama-Nya serta mengajar manusia untuk merasai nikmat kebebasan yang mana sebelum daripada ini kita bebas untuk keluar ke mana sahaja akan tetapi apabila terjadinya wabak ini maka kita dihadkan pergerakan dan terpaksa berkurung di rumah.

Merasai nikmat berkeluarga. Berapa ramai kalangan kita yang mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga sehingga tidak menghiraukan mereka di rumah. Oleh kerana itu, waktu yang masih berbaki di rumah ini gunakanlah sebaik-baiknya untuk bermesra dengan anak isteri agar hubungan yang hambar dapat dipupuk semula kemanisannya.

Lebih menghargai makanan dan hidangan yang ada. Mungkin sebelum ini kita sangat memilih untuk makan dan minum bahkan ada yang membazir dengan membuang makanan yang dimasak terlebih kuantitinya.

Akan tetapi pada masa sekarang makanan tidak lagi dapat kita pilih seperti biasa. Penjimatan haruslah dilakukan dengan sehabis baik.

Meningkatkan keimanan dengan melakukan ibadah. Sering kali kita beri alasan tidak sempat untuk melakukannya disebabkan bekerja dan tidak ada masa.

Oleh itu, apabila dikeluarkan perintah duduk di rumah maka masa yang ada sangat banyak untuk kita mempertingkatkan segala amalan.

Bukankah ini semua merupakan hikmah di sebalik ujian Allah agar kita sedar segala kekurangan dan kelompangan yang kita sudah lakukan?

Covid-19 merupakan satu ujian dan tamparan hebat bukan sahaja di negara kita bahkan di seluruh dunia. Ini merupakan peringatan Allah kepada manusia agar kembali kepada-Nya tetapi ada kalangan masyarakat yang tidak merasakan ia sebagai satu bencana daripada-Nya.

Ada yang masih bergurau senda dengan jenaka tidak masuk akal, mempersenda bencana ini serta terus menerus bermusuhan antara satu puak dengan puak yang lain hanya disebabkan oleh berbeza pandangan.

Mereka tidak insaf dengan bencana yang Allah turunkan dan tidak ada sedikit pun perasaan takut kepada-Nya. Kerana itu untuk Allah mengangkat bencana yang berat ini, mestilah setiap daripada kita melakukan beberapa perkara antaranya:

1. Meningkatkan ketakwaan kepada Allah

Firman Allah dalam surah At-Talaq ayat 2 dan 3: “Sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya) serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).

2. Perbanyakkan Istighfar Firman Allah dalam surah Al-Anfal ayat 33: “Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka, sedang engkau (Wahai Muhammad) ada di antara mereka dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar (meminta ampun).”

3. Melakukan solat dan tidak meremeh-remehkannya

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 45: “Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.”

4. Perbanyakkan sedekah Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya sedekah itu menghindarkan dari murka Allah dan menghindarkan seseorang dari meninggal dalam keadaan yang buruk.” [Hadis Riwayat Tarmizi: No. 600]

Oleh yang demikian, marilah rakyat Malaysia khususnya mereka beriman kepada Allah dan rasul agar kembali mentaati-Nya dengan sebenar-benar ketaatan. Tidak ada yang berkuasa melainkan Dia. Tidak ada yang hebat melainkan Allah.

Maka sama-sama kita mendekatkan diri kepada-Nya serta menginsafi segala dosa yang kita lakukan agar Allah membantu kita menyelesaikan Covid-19 di Malaysia.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidaklah seorang Muslim tertimpa suatu penyakit dan keletihan, kekhuatiran dan kesedihan dan tidak juga gangguan dan kesusahan bahkan duri yang melukainya melainkan Allah akan menghapus kesalahan-kesalahannya. (Hadis Riwayat Bukhari, No. 5210)

Oleh Dr Nur Mohammad Hadi Bin Zahalan (Ahli Panel Nadwah Ulama dan Ilmuan Malaysia Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Pensyarah Kanan Universiti Sains Islam Malaysia
Sumber : Harian Metro
No Comments

    Leave a reply