PERINTAH MENYAMPAIKAN DAKWAH DAN INTIPATI DAKWAH

Rasulullah saw menerima perintah daripada Allah melalui firman-firman seperti yang tercatat dalam al-Quran, antaranya:

Maksudnya: “Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). Dan kepada Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaran-Nya. Dan (pada) pakaianmu, maka hendaklah kamu bersihkan. Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi. Dan janganlah engkau memberi (sesuatu dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya. Dan bagi (menjalankan perintah) Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar (terhadap tentangan musuh).”

(Al-Muddaththir: 1-7)

Perintah-perintah yang terkandung dalam ayat ini pada zahirnya kelihatan ringkas dan bersahaja tetapi sebenarnya membawa maksud dan matlamat yang mendalam serta kesan dan tindakan yang bersungguh-sungguh:

  1. Matlamat perintah memberikan peringatan, iaitu supaya Rasulullah SAW tidak membiarkan sesiapa pun di alam ini menyanggahi keredaan Allah, sebaliknya memberi peringatan mengenai akibat yang buruk sehingga menimbulkan rasa gerun dalam hati dan fikiran.
  1. Matlamat membesarkan Tuhan, iaitu supaya Rasulullah SAW tidak membiarkan seorang pun membesar diri di muka bumi, sebaliknya hendaklah dimusnahkan kekuatannya, dipusingkan belakangnya ke bawah supaya tidak ada di muka bumi ini melainkan kebesaran Allah semata-mata.
  1. Matlamat membersihkan pakaian dan menjauhi segala kejahatan supaya mencapai pembersihan zahir dan batin, dan juga bermaksud membersihkan jiwa dari sebarang keburukan dan cemar sehingga sampai ke tahap sempurna. Maka, barulah jiwa manusia layak berada dalam naungan rahmat Allah yang berterusan – dalam pemeliharaan-Nya, hidayah-Nya dan cahaya-Nya. Akhirnya, jadilah dia seorang yang paling baik untuk dicontohi dalam masyarakat manusia; setiap hati yang sihat akan tertarik kepadanya, dan hati-hati yang menyeleweng akan terasa betapa hebatnya dia, sehingga semua isi dunia menumpukan perhatian kepadanya sama ada mereka setuju atau membantah.
  1. Matlamat tidak mengharapkan balasan yang banyak dengan pemberiannya, iaitu supaya Rasulullah SAW tidak menganggap tindakan dan usaha Baginda itu hebat dan besar. Sebaliknya, Rasulullah SAW hendaklah terus berusaha beramal dengan bersungguh-sungguh. Rasulullah SAW perlu banyak berkorban dan melupakan pengorbanan tersebut, melainkan menganggap semua yang dilakukan adalah dengan bantuan Allah sehingga Rasulullah SAW tidak merasa dan menyedari akan usaha dan jerih perih Baginda SAW.
  1. Ayat ketujuh menceritakan mengenai apa yang bakal Rasulullah SAW hadapi, iaitu gangguan orang yang menentang Baginda SAW. Gangguan itu datang dalam bentuk bantahan dan ejekan sehingga sampai ke tahap tindakan nekad mahu membunuh Rasulullah SAW dan para sahabat, serta menghapuskan orang mukmin yang mengikut Rasulullah SAW. Justeru, Allah memerintahkan Rasulullah SAW agar bersabar menghadapi semua kemungkinan tersebut dengan kekuatan dan kejituan; bukan sebab mahu mendapatkan habuan untuk kepentingan diri sendiri, sebaliknya untuk mendapatkan keredaan Allah semata-mata.

Allahu akhbar! Alangkah ringkasnya perintah-perintah ini jika dilihat pada zahirnya; alangkah hebatnya sentuhan firman yang tenang dan damai itu. Namun, adalah lebih besar dan sukar untuk dilaksanakan, dan alangkah hebatnya tamparan badai yang bakal hadir ke segenap pelosok alam yang akan berasak-asakan antara satu sama lain.

Ayat-ayat al-Quran merangkumi beberapa topik dalam misi dakwah dan tabligh. Peringatan itu sendiri membawa maksud bahawa terdapat akibat buruk yang akan dihadapi oleh mereka yang melanggar peringatan itu. Semua orang tahu bahawa manusia tidak menerima pembalasan atas setiap yang mereka lakukan di dunia; tidak semua amalan mereka akan dibalas sementara di dunia ini. Ini bermakna, peringatan itu menunjukkan bahawa adanya suatu hari yang dikhususkan untuk memberi pembalasan, tetapi bukan hari-hari di dunia ini. Hari yang khusus itu dinamakan sebagai Hari Kiamat atau Hari Pembalasan, atau hari al-Din. Justeru, ini memerlukan adanya satu kehidupan yang lain, bukan kehidupan yang kita lalui di dunia sekarang.

Secara ringkasnya, topik-topik dakwah itu adalah:

  1. Mentauhidkan Allah
  2. Beriman dengan Hari Akhirat
  3. Berusaha membersihkan jiwa dengan cara meninggalkan segala kemungkaran dan kekejian, seterusnya membawa kelebihan dan kesempurnaan serta amalan-amalan kebaikan.
  4. Menyerahkan semua urusan kepada Allah
  5. Semua yang disebutkan di atas hendaklah didahului dengan mempercayai kerasulan Muhammad SAW, dan kesediaan berada di bawah pimpinan dan bimbingan Rasulullah SAW.

Permulaan surah ini mengandungi ayat yang merangkumi seruan daripada Yang Maha Tinggi supaya Nabi Muhammad SAW menjalankan tugasnya yang berat itu dengan meninggalkan tempat tidur dan bergegas mara ke medan jihad menghadapi penentangan dan kepayahan. Firman-Nya yang bermaksud, “Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia)” seolah-olah menyatakan kepada Rasulullah SAW bahawa ‘sesungguhnya orang yang hidup hanya untuk dirinya, ada kalanya dia dapat hidup dengan kerehatan. Tetapi kamu yang membawa beban yang berat ini, apa faedahnya kamu dengan tidur? Apa faedahnya kamu dengan kerehatan? Apa faedahnya kamu dengan selimut yang menghangatkan tubuh? Bangunlah untuk menunaikan tugas besar yang sedang menanti kamu, dan bebanan berat yang dipikulkan kepadamu. Bangunlah untuk menunaikan tugas yang sukar dan memenatkan, bangunlah menghadapi jerih payah dan keletihan. Bangunlah! Masa untuk tidur dan berehat telah berlalu. Sejak dari hari ini, masa itu tidak akan kembali lagi melainkan bersengkang mata terus-menerus, serta jihad yang panjang dan sukar. Bangunlah, dan bersedialah menerima perintah ini.’

Sesungguhnya ini adalah kalimah yang agung dan menggerunkan. Ia menyentak Rasulullah SAW dari kehangatan selimutnya di rumah yang damai untuk membawa Baginda SAW menghadapi manusia yang ramai. Sama sahaja beratnya dengan usaha untuk menyentak rasa kesedaran manusia dan menjelmakannya dalam realiti kehidupan.

Maka, bangunlah Rasulullah SAW menunaikan perintah itu. Rasulullah SAW menjalankan tugas itu selama lebih 20 tahun tanpa rehat dan tanpa henti. Rasulullah SAW tidak menjalani kehidupan ini untuk kepentingan diri dan keluarga Baginda. Rasulullah SAW terus-menerus berdakwah di jalan Allah, memikul beban yang berat di bahunya, tidak digugurkannya; beban yang Rasulullah SAW galas berupa amanah yang amat besar di muka bumi ini, beban kemanusiaan, akidah, penentangan dan jihad dalam segenap lapangan.

Rasulullah SAW hidup dalam perjuangan yang berterusan lebih 20 tahun; tidak ada urusan yang boleh melalaikan Rasulullah SAW sepanjang tempoh tersebut – semenjak Rasulullah SAW mendengar seruan Yang Maha Tinggi dan Maha Agung sehinggalah menerima daripada-Nya tanggungjawab yang sukar. Moga-moga Allah membalas segala jasa bakti Rasulullah SAW terhadap sekalian manusia dan makhluk dengan sebaik-baik balasan.

No Comments

    Leave a reply