PERJALANAN DAKWAH PENUH LIKU

Hidup ini tidak pernah lepas daripada ujian dan cabaran. Bermula dari mula memeluk Islam sehinggalah ke hari ini. Bukan bermakna tidak ada ujian dan cabaran sebelum Islam, ada. Tetapi tidak sehebat setelah memeluk Islam.

Jika dahulu, sekadar untuk struggle for survival sebagai memenuhi keperluan hidup. Kini tidak lagi,  survival itu satu hal, tetapi menjaga kesucian dan maruah agama Allah SWT dan mempertahankan kebenaran menjadi tunggak asas mendapat Jannah Allah Yang Maha Esa.

Pendek kata, selagi mana Islam yang menjadi pegangan, selagi itulah hidup ini tidak sunyi daripada semua itu. Inilah fitrah dan lumrah kehidupan sejak zaman para Anbiya hingga kini.

Namun, sudah tentu ujian dan cabaran hari ini tidak sehebat apa yang telah dilalui oleh pata Anbiya, yang mempunyai tugas dan tanggungjawab lebih besar memastikan Islam serus subur dan mengakar di bumi bertuah ini. Ada yang digergaji kepalanya, darah mengalir menyembah bumi, dan ramai yang shahid menjadi kekasih Allah. Firman Allah;

Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman, sedang mereka belum diuji? (Al-Ankabut:2-3).

Ingatan Allah ini sentiasa menjadi semangat kepada saya. Lagipun apa erti saya menganut Islam, jika takut kepada manusia. Kita hanya perlu takut kepada Allah, bukan yang lain.

Memeluk Islam pada tahun 1985, lima tahun selepas itu, pada tahun 1990, saya sudah mula berjinak-jinak dengan media. Mula diundang dalam beberapa rancangan televisyen, sehingga menjadi moderator dalam Rancangan Forum Perdana Ehwal Islam, yang begitu meletop pada ketika itu.

Masa berlalu, saya terus dikenali, setiap penampilan dan bait kata menjadi perhatian. Sehinggalah saya aktif menulis. Menulis atas prinsip berkata benar dan menentang musuh-musuh Islam. Rupanya pengaruh pena ini amat tajam. Apatah bila ianya tersebar di alam maya.

Istilah ultra kiasu yang dirujuk kepada musuh-musuh Islam iaitu  label kepada kumpulan tertentu menjadi bahan bualan dan mengenai sasaran. Ada rakan-rakan mempersoalkan wajarkah label tersebut kerana merugikan dakwah Islam. Saya berpendirian, wajar. Hari ini istilah ultra kiasu sudah terpahat merujuk kepada musuh-musuh ini.

Kiasu berasal daripada dialek Bahasa asal pertuturan saya, Hokkien bermaksud takut kalah atau mahu menang. Ultra kiasu sudah sampai kepada peringkat ekstrem, tidak mahu kalah sedikitpun. Asyik mahu menang, tanpa mahu mengalah sedikitpun.

Saya rujuk kepada mereka yang menentang agenda Islam dan agenda nasional, terutama bukan Islam, tidak terkecuali orang Islam juga, sama ada sudah dilaksana atau akan dilaksanakan. Itulah ultra kiasu.

Setiap kali saya mendedahkan kebobrokan ultra kiasu, saya terus diserang daripada pelbagai sudut sehingga ugutan bunuh turut diterima.

Saya dikecam sebagai pengkhianat bangsa. Dilabelkan sebagai lebih Melayu daripada Melayu. Makian dan kejian tidak terkata. Bahasa-bahasa keji seperti babi, anjing, anak haram dan lain perkataan kesat sudah tidak menjadi sensitif lagi kepada saya. Itulah harga yang perlu dibayar kerana berkata benar.

“Ya Allah! Berikanlah aku kekuatan, insan kerdil ini untuk terus berkata benar demi agamaMu. Rakan dan taulan selalu mengingatkan supaya jangan terlalu berani menentang ultra kiasu, kerana mereka akan melakukan apa sahaja.

Wahai saudaraku, jika ditakdirkan dalam perjuangan itu nanti, mungkin hilang kelibat di muka bumi ini. Aku mohon kepadaMu, masukkanlah aku dalam kalangan mereka yang syahid, mestipun terlalu kerdil untuk dibandingkan syuhada-syuhada telah pergi terlebih dahulu kerana mempertahankan agama dan umatMu”.

Prinsip saya mudah, berkata benar, tidak kira sama ada datang daripada siapa sekalipun. Tetapi ada segelintir tidak menerima. Pada mereka, menyokong pembangkang itu semuanya benar, jika ada kata-kata dan tindakan berpihak kepada kerajaan yang pemerintah, itu  semua salah. Sehingga, jika bekalan air atau letrik terputus, semuanya salah Umno, Perdana Menteri, dan sebagainya.

Dilema ini bukan sahaja dihadapi oleh saya seorang tetapi sesiapa juga yang mempunyai pendirian seperti ini. Tidak terkecuali mereka yang berada di pentas politik. Misalnya, Presiden Pas. Bila mana Hadi Awang berkata ketua ultra kiasu Pulau Pinang tidak patut dihukum selagi didapati tidak bersalah oleh SPRM berhubung isu pembelian banglo RM2.8 juta. Itu betul

Namun, apabila ada kenyataan Hadi berpihak kepada PM, maka Hadi dan Pas dihentam sehingga tidak ada lagi perkataan lebih baik yang boleh dilemparkan. Misalnya, pendirian Pas terhadap Deklarasi Rakyat, tidak menyokong undi tidak percaya di parlimen terhadap PM  kerana Pas mahukan proses demokrasi itu berjalan dengan baik.

Begitu juga undi tidak percaya kepada kerajaan Terengganu dan banyak lagi kes tindakan Pas yang agak lunak terhadap Umno BN. Pas dan Hadi diserang habis-habisan. Bukan sahaja oleh ultra kiasu tetapi ultra kiasu sebangsa seagama. Menyokong pembangkang, bagus, dipuji melambung. Menyokong kerajaan, jahanamlah kamu. Politik kebinatangan apakah ini? Masih tidak kenalkah antara saudara seagama dengan musuh yang nyata?

Wahai saudaraku, berpolitiklah selagi mana ia tidak meruntuhkan agama, bangsa dan negara. Tetapi, jika sudah nampak tanda-tanda kehancuran itu melalui perancangan licik ultra kiasu, kembalilah ke jalan yang benar sebelum terlambat. Jangan biarkan negara ini, yang berasaskan sistem kenegaraan Melayu ini hancur disebabkan terlalu mempercayai ultra kiasu dan memusuhi PM.

PM sudah memberi jaminan, semua masalah yang berlaku akan dapat diselesaikan sebelum penggal berakhir. Berikanlah peluang kepada beliau. Jika tidak berjaya, lakukan perubahan itu pada PRU14 nanti. Tidak lama lagipun. Jatuhkanlah PM. Masih belum terlambat lagi. Negara tidak akan menjadi bankrap hanya kerana beberapa ‘skandal’. Tetapi negara akan lenyap jika jatuh ke tangan ultra kiasu.

Bandingkanlah psywar dan psyop ultra kiasu. Bagi mengaburi mata rakyat, perbandingan dibuat dengan pembelian rumah Khir Toyo. Sedangkan Khir Toyo berada di penjara atas ‘kesalahan’ yang tidak pernah diakuinya. Tetapi telah dibuktikan bersalah oleh mahkamah. Tuhan sahaja yang tahu sama ada Khir Toyo bersalah atau tidak.

Begitu juga alasan tiada kolam renang dan perbandingan lain. Hina sungguh perbandingan ini. Selama ini ultra kiasu menganggap dia insan mulia, tidak ada dosa, jauh daripada salah silap, bersih dan berintegriti. Hari ini, sedikit demi sedikit Allah telah tunjukkan. Apakah ini masih lagi suatu perangkap

Saya amat bimbang jika ultra kiasu ini terus menerus bertapak di pulau. Apakah nasib Melayu di pulau Melayu ini. Pahatkan dalam memori apa yang pernah berlaku di pulau Singapura.

Wahai saudara saudaraku, sekarang bukan lagi masa untuk menuding jari siapa yang benar, siapa salah. Tetapi membuktikan apa yang benar, apa yang salah. Setelah terbukti, carilah jalan untuk bersatu. Kebobrokan ultra kiasu mesti dihentikan sebelum terlambat dengan bersatu. Kerana hanya dengan bersatu sahaja yang boleh menakut dan menundukkan mereka. Jika kita terus bersengketa, yakinlah negara ini akan jadi purak-peranda.

Wahai Melayu! Saudara semua sudah tidak ada banyak waktu. Ultra kiasu semakin kuat menghimpit. Mereka mahu kerajaan buka segala ruang dan peluang untuk mereka. Tetapi adakah mereka melaku perkara yang sama? Memberi ruang dan peluang untuk anak bangsa.

Kajian demi kajian telah dibuat bahawa syarikat-syarikat mereka lebih selesa mengambil pekerja-pekerja dalam kalangan mereka sahaja. Bahasa Mandarin dijadikan syarat untuk mengenepikan orang Melayu. Pekerja Melayu dikatakan tidak competen, walaupun ada kelayakan. Jika adapun kalangan kita yang diambil bekerja, sekadar untuk melariskan jualan dan produk.

Kita belum tahu lagi apa yang berlaku di negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat (Harapan). Politik tetap politik, tidak dapat lari daripada korupsi dan kroni, kecuali mereka yang ada jiwa takutkah Allah. Mungkin tidak lama akan terbongkar satu-persatu. Bersedialah. Setakat ini, semua memandang kepada kebobrokan dan negeri yang diperintah BN.

Saya bukan mahu menjadi Melayu atau lebih Melayu daripada Melayu. Tidak pernah terlintas sedikitpun untuk menjadi orang Melayu. Saya tetap orang Cina sampai bila-bila kerana itulah ketentuan Allah. Tidak hina menjadi orang Cina. Tidak ada kemuliaan Melayu, Cina, India atau apa jua bangsa melainkan bekalan iman dan takwa. Manusia tidak akan ditanya di akhirat nanti apakah bangsa, warna kulit dan latar belakang?

Tetapi yang akan ditanya, apakah yang kita lakukan ketika menghirup udara di bumi bertuah ini? Pertanyaan ini pasti akan datang. Siapa Tuhan kamu? Siapa Nabi kamu? Apa agama kamu? Siapa saudara kamu? Di mana kiblat kamu? dan soalan lain yang ada kaitan dengan kehidupan beragama. Bolehkah kita menjawab soalan yang sudah bocor ini jika hanya hidup relaks sahaja di dunia ini dan hidup sekadar happy go lucky? Lu fikirlah sendiri kata orang muda hari ini.

Pak Hamba pernah berpesan, jika sekadar hidup untuk hidup babi pun hidup. Jika sekadar belajar untuk belajar, kera monyet pun belajar. Jadi, apa bezanya manusia yang Allah jadikan ‘kesempurnaannya’ dengan binatang yang disebut itu?

Bangkitlah wahai saudara saudariku, bangun membela agama dan umat yang satu. Tentang habis-habisan ultra kiasu yang mahu menodai bumi bertuah ini. Tidak terungkap rasanya untuk menjadi seberani ini. Tetapi demi umatku, segala terpaksa diharungi. Ya Allah! Berikanlah kekuatan selagi hayat dikandung badan.

Sesungguhnya memperkatakan kebenaran ini adalah suatu yang amat pahit.

Saya tidak gentar jika orang lain menentang, tetapi apabila adik beradik dan saudara mara terdekat tidak memahami, ia suatu yang amat pahit. Mula tidak bertegur sapa. Ke sana ke mari dikeji dan dicela. Hidup berada dalam bahaya.

Namun, akau berpegang kepada kata-kata, Allah Maha Mengetahui segala apa yang diberikan diuji. Ketika Allah mengambil sesuatu yang baik daripada dirimu, bersyukurlah, kerana Allah mungkin telah mempersiapkan sesuatu yang jauh lebih baik buat dirimu.

Kita bangun setiap pagi, dengan harapan hari itu akan menjadi lebih baik dari semalam, tetapi kemudian Allah menguji lagi. Kitapun kecewa dan harapan kita seolah-olah hilang. Jangan bersedih….. Selagi kita masih bernafas, selagi itulah masih ada harapan, untuk membetulkan keadaan. Yang penting jangan sesekali berputus asas, dengan kasih sayang dan rahmat Allah.

Ingatlah, tidak ada beban yang berat, jika Allah mengkehendaki beban berat akan menjadi ringan. Tidak ada penderitaan, jika Allah mengkehendakinya pasti ia akan menjadi ringan.

Hari ini, saya hanya boleh bertawakkal, serahkan semua kepada Allah, segala ketentuan yang akan berlaku. Kini, saya tidak dapat menulis dan begerak aktif secara aktif lagi. Ada tangan-tangan jahat di atas yang melarang saya untuk terus memuntahkan pena dan pergerakan ini. Mungkin ada hikmah di sebalik yang tidak saya ketahui. Apakah perjuangan saya akan terhenti setakat ini? Kepadamu Ya Allah aku berserah.

Oleh: Prof Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah

Felo Utama, Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE) dan Penyarah, Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan, UniSZA

No Comments

    Leave a reply