PERKARA 3(1): MEMAHAMI PRINSIP ‘AMAN DAN HARMONI’

Kedudukan Agama Islam di Malaysia sudah jelas dalam sejarah, budaya dan sosial. Lebih utama kedudukan agama Islam juga telah diterima, diperjelas dan dikukuhkan lagi dalam landskap perundangan negara. Dalam konteks undang-undang dan pentadbiran negara, sebelum pengiktirafan dibuat dalam Perlembagaan Persekutuan, kedudukan agama Islam telah lama diperundangkan dengan Perlembagaan Negeri-negeri. Undang-undang tersebut telah dibentuk lama sebelum merdeka lagi. Secara spesifiknya saya merujuk kepada peruntukan yang jelas dalam Perlembagaan Negeri Johor (1895) dan Perlembagaan Negeri Terengganu (1911).

Kedua-dua Perlembagaan Negeri ini, yang juga dikenali sebagai Undang-undang Tubuh Bagi Diri Kerajaan Negeri telah menyatakan sifat negeri-negeri itu sebagai negeri “Islamiyyah Malayuwiyyah”. Frasa Islamiyyah Malayuwiyyah secara nyata, tanpa kiasan lagi, meletakkan agama yang sempurna sebagai jalan hidup dan satu-satunya agama yang diredai Allah ini pada kedudukan terpenting dalam sistem perundangan dan pentadbiran negeri-negeri tersebut.

Dengan yang demikian itu adalah difahami bahawa agama Islam itu telah begitu sebati dalam adunan budaya dan amalan Tanah Melayu. Andainya tidak, sudah pasti Islam tidak boleh diperundangkan dalam Perlembagaa dan negeri Melayu itu tidak boleh disifatkan sebagai Islamiyyah Malayuwiyyah. Walaupun ada pengkaji yang menyuarakan tentang terdapatnya keadaan-keadaan atau peristiwa-peristiwa yang bercanggah dengan kehendak atau ajaran Islam berlaku dalam pentadbiran dan amalan para pimpinan, termasuk raja-raja Melayu, tetapi, sesungguhnya agama Islam sudah bersemi, membumi dan terpasak pada tanah dan air Tanah Melayu. Keadaan dan peristiwa itu tidak boleh menyangkal kedudukan agama Islam dalam sistem pentadbiran negeri-negeri Melayu sebagaimana telah diisytihar dalam Perlembagaan negeri-negeri itu.

Sementara itu, walau apa pun hujah tentang kewujudan dan berkembangnya agama lain di rantau ini, sebelum atau selepas kedatangan Islam, agama Islam mempunyai pengaruh dan pengikut yang tidak boleh dipertikaikan lagi. Tiada sumber sejarah atau keadaan fizikal dan sosio-budaya di tanah air ini yang boleh menolak kedudukan Islam dan seterusnya boleh dihujahkan bahawa negara ini adalah sebuah negara sekular.

Ketika pemerintahan British, kita maklum tentang cara sistematik yang digunakan British dalam usaha meminggirkan Islam dan Syariah daripada aliran sistem utama. Sebagai contoh, British memperkenalkan undang-undang mereka melalui pengenalan Piagam Keadilan dan membawa masuk ke Tanah Melayu Akta-Akta dari India yang sebenarnya merupakan kodifikasi undang-undang mereka. Sementara British juga memperkenalkan Enakmen Mahkamah yang meminggirkan Mahkamah Kadhi  daripada sistem mahkamah perdana. Walaupun begitu sistematik peminggiran undang-undang Islam oleh British, tetapi mereka tidak Berjaya melunturkan keimanan orang-orang Melayu terhadap agama mereka, iaitu agama Islam. Dengan kata lain, agama Islam –  termasuklah syariah, syiar dan muamalatnya tidak pernah luntur dalam sosio-budaya orang-orang Melayu di Tanah Melayu. Kesannya, sehingga negara mencapai kemerdekaan, kedudukan Islam tidak dapat dipadam daripada masyarakat dan perundangan Tanah Melayu. Islam tetap bersemarak, tetap dipandang penting dan dirai dalam semua perkara. Keadaan Ini dapat disaksikan dalam proses perbincangan kemerdekaan dan juga penggubalan Perlembagaan Persekutuan.

Semasa proses kemerdekaan dan penggubalan Perlembagaan Persekutuan 1957, kedudukan Islam diperkata dan diperbahaskan dengan tertib. Pelbagai pihak, yang sudah pastinya termasuklah raja-raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam, para perwakilan Melayu dan juga parti-parti politik Melayu tidak lekang daripada cadangan-cadangan untuk mengetengah dan mengiktiraf kedudukan Islam serta menjaga keistimewaan orang-orang Melayu.

Memorandum raja-raja Melayu kepada Suruhanjaya Perlembagaan (Suruhanjaya Reid) dengan jelas sekali mahukan kedudukan istimewa diberikan kepada orang-orang Melayu yang semuanya menganut agama Islam. Namun, pada mulanya baginda raja-raja Melayu merasa berat hati untuk bersetuju dengan cadangan meletakkan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan. Dalam Memorandum tersebut juga raja-raja Melayu menyatakan pendirian ini. Oleh kerana itu, draf pertama Perlembagaan Persekutuan yang disediakan Suruhanjaya Reid tidak mempunyai peruntukan mengenai kedudukan agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan Tanah Melayu. Suruhanjaya Perlembagaan menganggap pandangan raja-raja Melayu mengenai tidak perlunya dimasukkan peruntukan khusus meletakkan Islam sebagai agama negara dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai specific instruction. Suruhanjaya Reid merasakan mereka terikat dengan pendirian raja-raja tersebut.

Setelah itu, berlangsungnya perbincangan dan rundingan antara raja-raja Melayu dan pimpinan Parti Perikatan tentang justifikasi dan kesan kepada peruntukan mengenai Islam sebagai agama negara. Dalam perkara berkaitan, Hakim Abdul Hamid, seorang daripada lima orang Ahli Suruhanjaya Reid memberikan pandangan peribadi beliau mengenai perlunya dimasukkan peruntukan mengenai agama Islam dalam Perlembagaan Persekutuan. Menurut Hakim Abdul Hamid, cadangan mengenai kedudukan Islam itu dipersetujui semua pihak.Tidak ada pertikaian tentang pendirian meletakkan Islam segabai agama bagi negara; Peruntukan sebegitu juga bukan sesuatu yang pelik kerana banyak lagi negara di dunia yang mengiktiraf kedudukan agama dalam Perlembagaan masing-masing; dan peruntukan tersebut merupakan sesuatu yang innocuous atau tidak berbahaya.

Setelah itu, ketika mengumumkan draf akhir Perlembagaan Persekutuan, Suruhanjaya Reid telah memasukkan peruntukan khusus mengenai Islam sebagai agama bagi Persekutuan Tanah Melayu dalam Bab Pertama. Suruhanjaya Reid walau bagaimanapun tidak menyatakan sebarang sebab atau alasan kepada perubahan kepada draf Perlembagaan itu. Suruhanjaya Reid juga tidak menghuraikan maksud peruntukan baharu itu. Setakat ini tidak dijumpai apa-apa dokumen sejarah bagi memberi pencerahan tentang maksud Perkara 3 sebagaimana diniatkan oleh Suruhanjaya Reid.

Walaupun kita tidak mempunyai dokumen berkaitan keputusan Suruhanjaya itu, namun, setelah diperhatikan proses penggubalan Perlembagaan tersebut, dua rumusan utama yang dapat dibuat. Pertama, tiada laporan yang menyatakan tentangan atau perbezaan pendapat mengenai keputusan meletakkan agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan Tanah Melayu. Maksudnya di sini, tidak ada pihak yang menentang cadangan menegenai Perkara 3. Malah peruntukan itu dialu-alukan oleh semua pihak. Selain daripada itu, jika dilihat kepada pandangan Hakim Abdul Hamid, Hakim yang Arif telah menyatakan dengan jelas bahawa cadangan untuk menjadikan Islam sebagaimana agama bagi Persekutuan Tanah Melayu ialah pendirian bersama (unanimous). Kedua, keputusan untuk meletakkan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan bukan perkara yang telah diambil mudah. Ia bukan tidak dibincang. Ia tidak dimasukkan dalam Perlembagaan secara semberono atau sembarangan sahaja. Ia telah melalui perbincangan teliti yang disertai banyak pihak; raja-raja Melayu dan juga para pimpinan politik daripada Parti Perikatan dan juga bukan daripada Parti Perikatan. Sebagai contoh, Parti Islam SaMalaya juga menyuarakan pendirian yang sama dalam Memorandum mereka yang diserahkan kepada Suruhanjaya Reid.

Dalam membincangkan kedudukan agama Islam sebagai Agama bagi Persekutuan Tanah Melayu, perkara berkaitan diberikan perhatian utama ialah kebebasan beragama. Telah dipersetujui secara bersama bahawa kedudukan agama Islam sebagai Agama Negara tidak akan mengancam atau membahayakan kebebasan beragama penganut agama lain. Persetujuan ini adalah bertepatan dengan prinsip agama Islam itu sendiri yang menjamin kebebasan beragama.

Dengan itu, Perkara 3(1) menjelaskan bahawa agama lain boleh diamalkan dalam Persekutuan Tanah Melayu dengan aman dan harmoni. Pada pengamatan saya, prinsip ‘aman dan harmoni’ ini mempunyai dua lipatan tujuan; pertama, ia tidak membenarkan Islam menyekat kebebasan orang lain untuk mengamalkan agama mereka. Pada lipatan tujuan kedua, orang bukan Islam hanya boleh mengamalkan agama mereka dalam keadaan aman dan harmoni sahaja. Maksudnya di sini, sekiranya amalan agama tersebut menggugat keamanan dan keharmonian, maka (walaupun Islam tidak boleh menyekat kebebasan mereka) amalan sedemikian itu tidak boleh dibenarkan kerana Islam hendaklah dihormati sebagai agama bagi negara. Ini dapat difahami daripada peruntukan Perkara 3(1) itu sendiri yang menjadikan kebebasan mengamal agama bukan Islam sebagai satu bentuk pengecualian kepada kedudukan agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan.

Dalam hal berkaitan kebebasan beragama, perkara lain yang menarik perhatian ketika penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 ialah kebebasan mengembangkan agama bukan Islam di kalangan orang Islam. Perlu saya sebut dengan jelas sekali lagi bahawa para Ahli Suruhanjaya sangat menghormati raja-raja Melayu. Ketika Suruhanjaya Reid menjalankan tugas menyediakan draf bagi Perlembagaan kemerdekaan, mereka banyak mendengar hasrat raja-raja Melayu. Mereka amat menghormati raja-raja Melayu dalam membuat keputusan tentang sesuatu peruntukan yang akan dimasukkan dalam Perlembagaan kemerdekaan Tanah Melayu. Seperti saya sebut di atas tadi, Suruhanjaya Reid menganggap pendirian raja-raja Malayu mengenai kedudukan agama Islam sebabai specific instruction.

Raja-Raja Melayu menerusi Memorandum kepada Suruhanjaya Reid menyatakan pendirian bahawa agama atau doktrin bukan Islam tidak boleh dikembangkan di kalangan orang-orang Islam. Baginda memberikan justifikasi untuk tidak membenarkan pengembangan agama atau doktrin bukan Islam di kalangan orang-orang Islam. Perkara yang disebut dalam Memorandum tersebut ialah berkaitan pengaruh komunisme. Pada seksyen 19 Memorandum, ada dinyatakan bahawa walaupun Raja-raja Melayu pada dasarnya tidak menentang toleransi beragama, tetapi toleransi tersebut adalah tertakluk kepada pertimbangan keselamatan awam. Raja-raja menegaskan pandangan mereka bahawa apa juga bentuk gangguan kepada kepercayaan atau agama orang-orang Islam pada ketika itu akan juga membahayakan keselamatan Persekutuan. Selain itu ia juga akan menggagalkan kempen menentang elemen subversif. Kempen menentang subversif pada ketika itu ialah kempen menentang fahaman komunis yang menolak ketuhanan dan bercanggah dengan kepercayaan agama Islam.

Semasa Perbicaraan kepada Memorandum, itu juga peguam kepada Raja-raja Melayu dengan tegas menyatakan pendirian raja-raja Melayu bahawa “Their Highnesses would not be prepared, and I have to state this emphatically, to concede the right to propagate religions other than the Muslim Religion within their states”. Seterusnya dinyatakan (dengan maksud) bahawa itulah keadaan dalam amalan di Tanah Melayu. Dalam melaksana kebebasan beragama, mereka yang bukan beragama Islam boleh menubuhkan institusi pengajian mereka; malah mereka juga boleh mendapatkan geran-geran bantuan. Namun begitu, kebebasan mengamal itu hendaklah dilakukan dengan kesedaran bahawa orang bukan Islam tidak boleh mencuba untuk menukar agama orang-orang Islam. Dengan kata lain, mereka boleh menjalankan apa yang mereka suka dalam hal kebebasan beragama, tetapi Baginda raja-Raja Melayu tidak boleh membenarkan pengembangan agama atau doktrin bukan Islam di kalangan orang Islam. Raja-raja Melayu juga menegaskan bahawa, baginda tidak akan dapat menerima cadangan bahawa agama-agama lain juga diberikan kebebasan untuk mengembangkan agama mereka dalam kalangan orang Islam.

Sebagai rumusannya, pendirian raja-raja Melayu berkenaan kebebasan beragama dan sekatan kepada pengembangan agama bukan Islam dalam kalangan orang Islam tidak boleh dikompromi. Dengan itu, Perlembagaan Persekutuan mempunyai Perkara 11(4) yang menjadi punca kuasa kepada kerajaan negeri untuk membuat undang-undang khusus bagi menyekat pengembangan agama atau doktrin bukan Islam dalam kalangan orang Islam.

Setelah 56 tahun merdeka kita telah mencapai keharmonian antara kelompok berbeza agama. Negara kita telah mencapai tahap pembangunan yang begitu tinggi. Kita dapat menumpukan perhatian kepada pembangunan negara kerana keadaan sosial yang damai dan sejahtera. Kita hidup makmur tenteram dan menikmati lazat kemerdekaan. Negara tidak mempunyai masalah ketara dalam mengendalikan perbezaan fabrik kaum dan agama. Kita semua maklum bahwa Malaysia sering mendapat pengiktirafan dunia mengenai keupayaan menangani masalah sosial yang melibatkan perbezaan dan kelainan kepercayaan agama. Mafhumnya ialah, walaupun kerangka perundangan negara meletakkan Islam pada tempat istimewa, Islam tidak digunakan sebagai senjata untuk menindas mana-masa kelompok lain yang tidak menganut agama Islam. Kebenaran yang diberikan oleh undang-undang negara untuk Islam disebar dan dikembangkan di negara ini tidak pernah mendatangkan kesulitan kepada penganut agama lain untuk menganut, bahkan mengamal agama mereka.

Hakikatnya, Islam, sebagai agama bagi negara tidak menyekat kebebasan beragama di negara ini. Walaupun begitu, kebebasan tersebut hendaklah menghormati Islam sebagai agama negara dan juga menggunakan prinsip aman dan harmoni serta menghindari penyebaran dan pengembangan agama yang boleh memurtadkan orang-orang Islam.

prof madya dr.sham rahayu aziz

Oleh Profesor Madya Dr. Shamrahayu Aziz

Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim,

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

No Comments

    Leave a reply