Ketika ditemu bual oleh wartawan Mingguan MalaysiaSAHIDAN  JAAFAR , beliau meminta kerajaan memperkasakan semula Rukun Negara yang menjadi pengikat perpaduan kaum.
Katanya, prinsip Rukun Negara itu wajib diamalkan bagi membina sebuah negara bangsa yang berdaulat dan disegani.
Sebagai seorang pakar sejarah, Kay Kim melihat lima prinsip Rukun Negara itu perlu diajar bagi menyemai semangat patriotik dalam kalangan rakyat seawal usia di bangku sekolah lagi.
“Sekarang, guru pun tak tahu apa itu Rukun Negara,” kata Kay Kim ketawa. Bukan itu saja, rakyat juga tidak diberi kefahaman mendalam mengenai perjalanan institusi Raja Berperlembagaan yang menjadi prinsip kedua Rukun Negara.
“Misalnya, mereka tidak tahu apa yang berlaku pada tahun 1957 (merdeka). “Dalam masyarakat Melayu ‘Raja Berdaulat’ menjadi ‘Raja Berperlembagaan’,” katanya.

 MINGGUAN: Boleh Tan Sri huraikan mengapa lima prinsip Rukun Negara yang dirangka selepas peristiwa 13 Mei 1969 masih penting dan relevan sebagai alat perpaduan kaum di negara ini?

KAY KIM: Terciptanya lima prinsip Rukun Negara itu disebabkan oleh peranan penting dimainkan obekas Menteri Dalam Negeri, ketika itu Tun Ghazali Shafie (digelar King Ghaz) selepas peristiwa 13 Mei 1969.

Lima prinsip Rukun Negara itu yang kita rangka bersama kaum-kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain wajib difahami, diterima dan diamalkan oleh semua lapisan masyarakat kita.

Semasa kita merangka lima prinsip Rukun Negara ini pada tahun 1969, kita meletakkan prinsip pertama, ‘Kepercayaan Kepada Tuhan’ setelah kita melihat terlebih dahulu macam mana suasana masyarakat era itu.

Sebahagian besar masyarakat ketika itu, kita dapati sudah ada agama. Tidak kira apa agama mereka anuti, mereka sudah percaya adanya Tuhan. Kita sebagai ahli-ahli panel Rukun Negara percaya semua bangsa di negara ini memiliki agama masing-masing dan tidak ada yang tidak beragama (ateis).

Tapi, sekarang ada orang berkata, oh, Malaysia sudah jadi negara sekular. Bukan, banyak agama di Malaysia. Orang sekular tak percayakan Tuhan. Prinsip pertama tidak perlu bimbang. Sesetengah orang bimbang, kata dia ateis dan tidak percaya Tuhan. Sebab majoriti di negara ini ada agama, jadi seorang dua nak jadi ateis, okeylah (ketawa).

Kita yakin seseorang yang mempercayai kewujudan Tuhan pastinya mereka lebih berdisiplin, memiliki tingkah laku yang baik dan bersikap terpuji sepanjang masa. Melalui sifat terpuji seperti disiplin diri dengan baik, itulah yang menyebabkan rakyat sentiasa memikirkan kebajikan orang lain dan memiliki sifat-sifat penyayang.

Misalnya, mereka tidak tahu apa yang berlaku pada tahun 1957. Dalam masyarakat Melayu ‘Raja Berdaulat’ menjadi ‘Raja Berperlembagaan’. Dahulu Raja Berdaulat tetapi selepas 31 Ogos 1957, mereka jadi ‘Raja Berperlembagaan’. Jadi Perlembagaan sekarang adalah undang-undang tertinggi negara.

Prinsip kedua, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, itu memang amat penting dihayati semua rakyat. Sebagai rakyat,kita wajib menghormati Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara Malaysia, setia kepada Raja-Raja Melayu di negeri-negeri dan memberikan taat setia demi kepentingan negara.

Prinsip Rukun Negara ini dirangka sebegitu rupa supaya mudah tersemat di sanubari setiap rakyat kita bagi membentuk sebuah masyarakat yang harmoni dan saling memahami antara satu kaum dengan kaum yang lain. Kalau tidak setuju, berbincang, jangan bergaduh.

Pada pendapat Tan Sri, perlukah semangat patriotik itu disemai di sekolah supaya rakyat ada rasa cinta kepada negara sendiri?

KAY KIM: Perkara ini ada disebut oleh sasterawan terkenal India, Rabindranath Tagore, (penerima Anugerah Nobel bagi Kesusasteraan). Beliau berkata: “Untuk membina negara bangsa terlebih dahulu bina sekolah!”

Tagore berkata perkara itu pada tahun 1927. Orang sekarang pun tak tahu siapa Tagore. Beliau pernah diundang ke Malaysia memberikan ceramah. Sebelum ada semangat patriotik, mereka (rakyat) mesti faham apa itu ‘negara’.

Misalnya bangsa selalu diterjemahkan sebagai kerajaan. Itu Salah. Bangsa dalam bangsa Inggeris government adalah salah. Bangsa berertination bila diterjemahkan dalam bahasa Inggeris. Sebab bila United Nations (UN) ditubuhkan, kita sebut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Mereka tidak tahu kerajaan bukan goverment. Kerajaan itu Kingdom. Maksudnya bila ada raja, ada kerajaan. Di negara ini kerajaan bukan perkara biasa saja. Lama ceritanya.

Kalau ikut tradisi, ia bermula semasa Kerajaan Srivijaya ditubuhkan oleh keturunan Raja Iskandar Zulkarnain. Apa yang sangat penting ialah Iskandar Zulkarnain ada daulat. Hanya kerajaan di Perlis dan Johor moden tidak dikaitkan dengan Iskandar Zulkarnain. Sebab, Perlis ditubuhkan oleh Siam.

Kerajaan Siam pernah menakluki Kedah suatu masa dulu. Bila Siam berundur, Siam asingkan Perlis. Johor pula ditubuhkan oleh Queen Victoria. Sebab itu bila kita jumpa Sultan Johor, kita tak sembah sebab daulatnya daripada Queen Victoria.

Tengok, Selangor yang telah dikuasai orang Bugis pada 1745. Tapi pada masa itu Raja Bugis tak gunakan gelaran Sultan sebab belum ada daulat. Pada 1766, Raja Lumu, Raja Orang Bugis belayar ke Kota Lumut di Perak dan di situ Sultan Mahmud tabalkan Raja Lumu sebagai Sultan dan memakai gelaran Sultan Salehuddin. Tengok bagaimana ada-adat istiadat tradisi dipatuhi.

Dahulu, kalau rakyat tidak tunduk kepada Raja, mereka akan ditimpa daulat. Kepercayaan dahulu, macam-macam boleh berlaku bila ditimpa daulat. Sebab, sekolah tidak titik beratkan sejarah, maka semangat patriotik tidak ada dalam kalangan orang muda. Mereka tidak tahu bagaimana sesebuah kerajaan itu diasaskan. Macam mana kita mahu semai semangat patriotik.

Adakah hak-hak keistimewan orang Melayu masih relevan di negara ini?

KAY KIM: Sistem (pemerintahan) kita, mengamalkan negara demokrasi. Jadi rakyat yang menentukan. Kita ada sistem Parlimen dan Raja Berperlembagaan.

Adalah menjadi kewajipan setiap rakyat yang taat setia menjunjung keutuhan Perlembagaan tanpa soal, sebagai cara hidup bersama.

Pada zaman moden semua bergantung kepada undang-undang. Perlembagaan adalah udang-undang tertinggi negara. Semua undang-undang lain yang bertentangan dengan Perlembagaan tidak sah.

Misalnya undang-undang yang menyekat kebebasan bersuara tidak sah. Rakyat berhak bersuara. Kalau kita hendak pinda Perlembagaan mesti ada dua pertiga majoriti di Parlimen. Tapi, sekiranya ada apa-apa perkara yang memberi kesan kepada orang Melayu, pindaan itu mestilah diperkenan dan disahkan oleh Persidangan Majlis Raja-Raja.

Sebab, kita ada Fasal 153, melibatkan kepentingan hak dan keistimewaan orang Melayu.

Fasal 153 (1) menyebut: “Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan keistimewaan orang Melayu dan anak-anak negeri mana-mana antara negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini”.

Fasal 153 (2) pula menyebut: “Walau apa-apa pun dalam Perlembagaan ini tetapi tertakluk kepada peruntukan Perkara 40 dan peruntukan perkara ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini dan undang-undang Persekutuan mengikut apa-apa cara yang perlu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak…”

Kalau ada apa-apa yang memberi kesan kepada kedududukan orang Melayu, Persidangan Majlis Raja-Raja mestilah bersetuju. Kalau tidak, apa-apa pindaan pun, majoriti dua pertiga di Parlimen sudah cukup.

Menghormati Perlembagaan, adalah salah satu prinsip Rukun Negara selain rules of law atau kedaulatan undang-undang, serta kesopanan dan kesusilaan.

Bagaimana Tan Sri lihat parti-parti berlainan ideologi dalam Pakatan Harapan (PH) boleh bersatu membentuk kerajaan yang baru?

KHOO KAY KIM: Nampak sekarang ahli politik sudah sedar, rakyat sangat-sangat berkuasa. Kalau PH masih mahu teruskan pemerintahan, mereka perlu mendapat persetujuan rakyat dalam apa-apa perkara melibatkan kepentingan masyarakat dan negara.

Sebab, dalam sistem demokrasi rakyat yang memerintah negara. Mereka yang berada di Parlimen itu dipilih berkhidmat untuk rakyat.

Mereka hanya wakil kepada rakyat. Kerajaan mesti sentiasa memahami apa yang sedang berlaku dan apa saja masalah yang dihadapi rakyat perlu diselesaikan. Kerajaan mesti sentiasa patuh kepada rakyat. Sebab, rakyat sekarang bukan jahil macam dahulu. Golongan muda terutama sekali mereka faham banyak perkara.

Saya sendiri sudah lama mahu negara ini menitik beratkan kemajuan dan kecemerlangan dalam segala aspek. Misalnya, kita nak melatih pemuda Melayu, kita mesti mencari guru yang paling baik, baru mereka dapat faedah. Kalau kita pilih berasaskan kaum, tetapi tidak berkebolehan dan cemerlang, mereka tidak dapat apa-apa faedah.

Saya rasa keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) menunjukkan mereka (parti-parti dalam PH) boleh bekerjasama tetapi bukan ‘bersatu’. Jangan gunakan istilah bersatu (penyatuan). Mereka bukan tidak mahu bekerjasama tapi jangan paksa mereka bersatu.

Dahulu, ada cogan kata dalam bahasa Inggeris: United we stand, divided we fall (Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh). Sebab, orang yang mungkin budayanya Cina, dia mahu budaya mereka itu dikekalkan untuk diamalkan sampai bila-bila.

Tapi, kalau kita minta mereka bekerjasama, setiap kaum mesti faham tentang (identiti) kaum yang lain. Tapi, selama ini kita tidak memberikan keutamaan kepada soal (kefahaman) itu.

Jadi di sini setiap kaum jahil tentang kaum lain. Misalnya, bahasa Tamil, bahasa ibunda orang India. Salah! Bagaimana dengan bahasa Malayalam, Urdu dan Punjabi. Dan orang Cina beragama Buddha. Orang Cina apa agama pun ada (Islam, Kristian, Hindu). Yang paling ramai Kristian itu orang Cina kan?

Tapi, orang kita tak faham. Apa orang bukan Islam tahu tentang Islam? Langsung tak tahu walaupun Islam itu agama rasmi di Malaysia. Sebab kefahaman itu tidak diterangkan kepada mereka.Padahal kita dahulu dalam akhbar Inggeris banyak perbincangan tentang agama Islam.

Laporan perbincangan itu boleh dikutip dan diterbitkan semula, supaya orang bukan Islam boleh baca dan memahaminya. Kita tak mahu paksa mereka berasimilasi. Biarkan mereka bekerjasama seperti sahabat yang akrab. Apa yang mereka paling takut ialah kalau mereka dipaksa ‘bersatu’ jadi setiap kaum akan hilang kebudayaan (identiti) bangsa dan sebagainya. Ini soal bekerjasama sahaja.

Sebenarnya, saya juga terperanjat, sebab kita tengok Barisan Nasional (BN) sudah berapa lama tidak pernah dicabar, tiba-tiba hilang (kuasa) selepas 60 tahun memerintah. Apa yang kita nampak, BN tidak lagi disenangi oleh orang muda.

Apakah punca perubahan-perubahan yang berlaku dalam kalangan golongan muda hari ini?

KHOO KAY KIM: Sistem pendidikan selepas tahun 1957 (merdeka) tidak lagi memberi tumpuan pendidikan kepada golongan muda. Dahulu, masa saya di sekolah lain. Sekolah ketika itu banyak mengajar golongan muda berfikir. Sekarang saya terperanjat, bila saya tawarkan kursus di pusat sukan, saya dapati penuntut zaman sekarang mempunyai sikap yang lain. Tapi kali ini, mereka (pelajar) tidak berminat.

Saya dapati penuntut zaman sekarang sudah biasa menghafal buku, bukan memahami dan kemudian memberi jawapan sendiri. Bila saya tidak memberikan jawapan, mereka tidak berminat. Mereka tidak suka. Dahulu, kami begitu tertarik pada mata pelajaran yang kita pilih bukan dipaksa. Kali ini tidak.

Pernah semasa saya jadi Pengarah Sukan, saya tawarkan kursus sijil sukan untuk guru. Jadi mereka perlu datang pada hari Jumaat dan Sabtu untuk kursus. Saya dapat lebih 100 peserta. Mereka datang secara sukarela. Mereka (guru) ini dilatih sebelum tahun 1957.

Zaman dahulu, kami memang begitu. Sekarang, mereka mahu guru sebut dulu apakah jawapan untuk soalan ini kemudian baru mereka menghafal. Kita tidak memberi mereka kesempatan untuk memberikan jawapan berasaskan kepercayaan diri sendiri, bukan jawapan guru semestinya betul.

Zaman saya, kalau nak dapat 70 markah cukup susah. Sebab, kami selalu diberi soalan, contohnya: “Bolehkah kita anggap Tun Perak sebagai Bendahara Melaka yang paling istimewa?”

Dahulu, kita boleh jawab setuju atau tidak setuju. Berikan sebab-sebabnya. Sekarang tidak. Cuma ada satu jawapan saja. Setuju. Murid dapat markah yang tinggi. Kalau tak setuju, murid gagal. Dahulu, semasa di sekolah ada perbahasan, sekarang tidak ada lagi. Mereka akhirnya benci kepada sistem itu.

Kenapa perlu ubah sistem yang berkesan? Semasa saya mula-mula jadi pensyarah kami digalakkan mencabar penulis buku Barat misalnya, baca secara kritis, bukan untuk meniru sahaja.

Sekarang tak perlu berfikir. Ini biru atau merah? Satu jawapan sahaja. Sekarang anak muda tidak digalakkan berfikir, jadi mereka terima bulat-bulat apa saja yang disogokkan media sosial.

Menteri Pendidikan yang baharu (Dr. Maszlee Malek) berkata beliau hendak membuat pindaan dalam sistem pendidikan kita, saya rasa itu bagus. Beliau berkata rakyat mesti boleh berfikir, jangan jadi patung saja. Kalau sains sahaja diajar kepada mereka, maka mereka akan jadi patung. Menghafal saja, buat apa.

Macam mana di sekolah sekarang, geografi dan sejarah diabaikan. Golongan muda sekarang tak tahu tentang negara. Kalau kita kata, kereta api itu bermula di Gemas dan berhenti di Tumpat, mereka tidak tahu Gemas dan Tumpat di mana.

Mereka tidak tahu mengapa jalan kereta api dahulu, British sengaja mengelakkan (laluan) di negeri Terengganu. Sebab apa? Banjir dan angin (Monsun Timur Laut). Jadi sebab geografi diabaikan, mereka tidak tahu mengapa Terengganu langsung tak masuk laluan kereta api ketika di zaman British kerana ada masalah banjir.

Jalan raya tenggelam. Sekarang kita kata nak buat kereta api ke Pantai Timur, tak boleh. Sebab, tiap-tiap tahun ada masalah banjir.

Bagaimana Tan Sri melihat masa depan UMNO? Apakah UMNO masih relevan dan boleh diterima oleh orang Melayu khususnya golongan muda?

KHOO KAY KIM: Saya rasa ada masalah. Orang UMNO sudah lupa apa tugas mereka. Mereka menjaga diri sendiri, bukan menjaga masyarakat. Mereka tak faham apa tugas wakil rakyat. Mereka mesti berkhidmat kepada rakyat. Mereka mesti menganggap, diri mereka pemimpin kepada masyarakat.Mereka (UMNO) mahu rakyat tunduk kepada mereka, tak boleh.

Mereka dipilih oleh rakyat, jadi mereka mesti tunduk kepada rakyat. Mereka tidak faham apa itu demokrasi. Sekarang ahli politik bukan berkhidmat kepada rakyat tapi mereka cuba hendak menguasai rakyat. Ramai rakyat tidak faham ini. Ini politik eksploitasi namanya.

Ramai rakyat ingat, ahli politik itu adalah macam orang besar seperti zaman dahulu dan rakyat perlu tunduk kepada mereka. Sepatutnya mereka mesti menjaga rakyat. Sebab, sistem pendidikan tidak memberi penjelasan, jadi mereka tidak tahu.

Saya rasa soal penerimaan orang Melayu, itu terpulang kepada ahli-ahli UMNO itu sendiri. Mereka perlu sedar apa yang sudah terjadi kepada masyarakat Melayu sekarang. Mereka juga perlu menyesuaikan diri dengan keadaan baharu. Dan kalau mereka (pemimpin UMNO) masih ikut cara lama, susahlah (sambil mengerutkan dahi).

Pendapat saya, muka-muka lama tidak apa jadi pemimpin, asalkan mereka boleh menyesuaikan diri dengan keadaan baharu. Dan keadaan baru itu bererti mereka perlu sedar, sekarang mereka tidak boleh lagi sekat berita sebenar untuk disebarkan kepada umum.

Masalahnya, mereka (pemimpin UMNO) masih ikut cara lama. Mereka ingat masyarakat masih mundur. Golongan muda Melayu sudah terdedah kepada pelbagai jenis aneka pengetahuan yang beragam. Apa yang berlaku di Barat pun mereka tahu.

Media sekarang, kalau nak sampaikan berita ke seluruh negara cuma dalam beberapa minit sahaja. Dahulu tak boleh. Macam mana mereka boleh sekat (aliran maklumat) dengan akta-akta yang menyekat kebebasan orang muda berfikir?

Apa yang dipercayai golongan tua (pemimpin veteran) itu tidak relevan lagi dengan suasana sekarang kerana masyarakat di seluruh dunia sudah jauh berubah.

Cuma, satu aspek yang tidak baik, banyak maklumat yang disampaikan di media sosial bukan berasaskan kebenaran. Siapa pandai temberang dialah yang paling popular.