PERLEMBAGAAN DOKUMEN PERPADUAN

Perlembagaan adalah lambang kemerdekaan dan kedaulatan sesebuah negara. Kemerdekaan ertinya bebas dan kedaulatan memberikan hak untuk bebas mentadbir negara dengan sendiri; dengan kuasa dan kemerdekaan. Justeru, bagi sebuah negara, kemerdekaan dan kedaulatan adalah dua perkara penting yang menentukan maruah negara. Tanpa Perlembagaan yang menjadi lambang kemerdekaan dan kedaulatan itu,  nama sesebuah negara tidak akan tercatat dalam peta dunia sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat. Ini menjadikan Perlembagaan sebuah dokumen yang sangat penting bagi sesebuah negara.

Begitulah juga pentingnya Perlembagaan Persekutuan bagi negara kita. Perlembagaan Persekutuan adalah dokumen yang menandakan kemerdekaan dan kedaulatan negara. Perlembagaan juga merupakan dokumen penting yang menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang namanya megah termaktub dalam peta dunia.

 Sebagai dokumen yang begitu penting, seharusnya Perlembagaan mempunyai sifat tertentu untuk berfungsi dengan berkesan. Sifat utama Perlembagaan ialah, ia merupakan undang-undang tertinggi negara. Dalam disiplin undang-undang Perlembagaan, undang-undang tertinggi negara bermaksud, semua undang-undang yang diluluskan selepas wujudnya Perlembagaan itu hendaklah sentiasa selaras dengannya; sekiranya tidak, undang-undang tersebut adalah terbatal dan tidak sah.

 Dari satu sudut lain, sebagai undang-undang tertinggi negara, Perlembagaan juga merupakan dokumen rujukan utama. Walaupun Perlembagaan itu dirujuk sebagai undang-undang, ia sebenarnya merupakan dokumen yang menentukan cara hidup bernegara. Maksudnya Perlembagaan bukan sahaja, atau semata-mata undang-undang, tetapi dalamnya terkandung tatacara sistem pentadbiran dan susun atur sosial. Perlembagaan juga adalah dokumen perjanjian yang menggabungkan dimensi sosial, politik, budaya, ekonomi. Perlembagaan berkait rapat dengan sejarah dan identiti negara yang dipersetujui melalui rundingan. Sebagai rujukan tertinggi, tatacara hidup bernegara yang diutarakan dalam Perlembagaan Persekutuan itu yang hendaklah dijadikan rujukan dan panduan dalam segala hal berkaitan kenegaraan.

Sebelum mencapai kemerdekaan susun atur sistem bernegara adalah mengikut tatatcara yang ditentukan oleh pentadbiran British. Selepas kemerdekaan, dengan adanya Perlembagaan, tanah air kita ini diurus dalam hal pentadbiran, perundangan, ekonomi, politik dan sistem sosialnya bersandarkan kepada Perlembagaan.

Sesungguhnya Perlembagaan Persekutuan telah membina lanskap baharu Tanah Melayu sebagai tanah merdeka. Lanskap baharu itu melibatkan perkara-perkara penting dalam pembinaan sebuah negara bangsa. Antara perkara yang begitu jelas perubahannya ialah kewarganegaraan. Perubahan yang berlaku itu sangat besar dan ia menjadikan tanah air ini jauh berbeza berbanding sebelum kemerdekaan.

Penerimaan dan pengiktirafan warganegara bukan Melayu sebagai warganegara Tanah Melayu yang telah dibahaskan semenjak cadangan perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1946 dan seterusnya sehinggalah tandatangan perjanjian tersebut pada Februari 1948 telah diteruskan sehingga penggubalan Perlembagaan Persekutuan 1957.

Setelah lebih kurang enam tahun kemerdekaan Tanah Melayu yang dicatat pada 31 Ogos 1957, lanskap negara sekali lagi berubah dengan termeterainya perjanjian pembentukan Malaysia pada 16 September 1963. Pembentukan Malaysia yang menyaksikan kehadiran Sabah, Sarawak serta Singapura telah memberi kesan ke atas komponen warganegara. Kedudukan anak negeri Sarawak dan Sabah telah diraikan dengan sebaik mungkin oleh Perlembagaan bagi menghormati antara syarat-syarat pembentukan Malaysia.

Pembinaaan sebuah negara bangsa begitu terkesan dengan perubahan lanskap penghuni atau rakyat negaranya. Dalam lipatan sejarah tanah air, telah jelas bahawa penentuan tentang kerakyatan dan kewarganegaraan adalah perkara yang begitu besar. Kesan perubahan tersebut amat dirasai dalam semua aspek hidup bernegara, termasuklah aspek sosial, budaya, politik dan juga ekonomi.

 Justeru, dalam menghadapi perubahan landskap fabrik rakyat itu Pelembagaan Persekutuan yang mahu dibentuk sebagai dokumen yang menjadi tanda bernegara sendiri mempunyai peruntukan berkaitan hubungan dan perpaduan antara warganegara. Dalam esei ini saya cuma memfokuskan kepada dua peruntukan penting berkenaan hubungan antara warganegara Malaysia.

Perkara tentang kebebasan amalan beragama telah dimuatkan dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan dikukuhkan pula oleh Perkara 11. Perkara 3 yang mengiktiraf kedudukan agama Islam sebagai agama negara tidak menghalang amalan agama lain selagi mana amalan agama tersebut tidak menyebabkan berlakunya keadaan tidak tenteram. Perkara 3 ini menggunakan formula aman dan damai dalam membenarkan kebebasan beragama kepada semua orang dalam negara ini. Prinsip aman dan damai ini telah dapat menjaga perhubungan agama di negara kita.

Sesungguhnya kebebasan beragama merupakan antara peruntukan penting dalam menjaga perhubungan antara warganegara di negara ini. Prinsip aman dan damai tersebut telah digarap bagi mempastikan hak semua orang dalam negara ini untuk mengamalkan agama masing-masing. Walaupun Perlembagaan menerima Islam sebagai agama negara, Perlembagaan tidak memaksa penganut agama lain meninggalkan agama mereka, bahkan mereka dibenarkan untuk meneruskan amalan agama mereka selagi mana amalan agama itu tidak menggugat keaman aman dan tenteram dalam negara.

Namun begitu sejak akhir-akhir ini prinsip aman dan damai ini telah  beberapa kali menjadi tajuk hangat dalam hubungan agama di negara ini. Dalam kes kalimah Allah, Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur lwn Menteri Dalam Negeri Mahkamah Persekutuan pada awal tahun 2015 telah mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan bahawa, amalan agama di negara ini hendaklah menepati formula aman dan damai.

Bagi menjamin kestabilan antara penganut agama dalam negara ini Perlembagaan tidak membenarkan penyebaran agama-agama atau doktrin-doktrin lain dalam kalangan orang Islam. Hal ini disebut dalam Perkara 11(4) dan pada pengakhir Butiran 1, Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam keadaan ini walaupun kebebasan beragama dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, Perlembagaan tidak membenarkan penyebaran agama lain dalam kalangan majoriti penduduk Malaysia, iaitu masyarakat Islam. Ini kerana penyebaran agama lain bukan sahaja menggugat kedudukan agama Islam dan akidah orang-orang Islam, tetapi hasrat yang dinyatakan oleh Raja-Raja Melayu dalam mencadangkan kemasukan peruntukan ini dalam Perlembagaan ialah bagi menjamin keselamatan dan ketenteraman. Akibat daripada pengembangan agama bukan Islam dalam kalangan orang Islam boleh mendatangkan perasaan tidak senang antara agama. Perasaan tidak senang atau sensitiviti agama ini adalah berbahaya kepada ketenteraman negara. Dengan ini, hasrat sebenar Perkara 11(4) dan peruntukan serupa dalam Butiran 1, Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan ialah bukan sahaja bagi menjaga kepentingan agama Islam, tetapi ia juga adalah untuk menjaga perhubungan agama di negara ini.

Fabrik perkauman dalam negara ini juga telah disedari semasa awal penggubalan Perlembagaan, bukan hanya pada tahun 1957, tetapi ia telah mula dibincangkan lebih kurang sepuluh tahun sebelum 1957, iaitu semasa cadangan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948. Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu telah membuat persediaan yang agak lengkap untuk pembinaan sebuah negara merdeka. Hal ini seterusnya digarap dengan begitu baik dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 153 ini sering menjadi tajuk hangat apabila ia ditonjolkan sebagai satu peruntukan yang mendiskriminasi mereka bukan Melayu. Peruntukan ini menjamin kuota bagi orang-orang Melayu dalam pendidikan, perniagaan dan perjawatan dalam perkhidmatan awam. Begitu juga dengan kuota-kuota yang diberikan kepada Anak Negeri Sarawak dan Sabah.  Perkara 153 ini sebenarnya bukan sahaja menjaga kedudukan Melayu, tetapi ia ini juga menjamin “kepentingan sah” kaum-kaum lain. Seringkali dalam perbahasan umum, Perkara 153 ini hanya ditonjolkan sebagai peruntukan yang menjaga Melayu dan menyebabkan diskriminasi terhadap bukan Melayu. Namun, sekiranya dibaca Perkara 153 ini dengan hati-hati, adalah jelas disebut dalam Perkara tersebut bahawa hak bukan Melayu juga dijamin oleh Perkara 153, iaitu hak untuk dijamin “kepentingan sah” mereka.

Apakah yang dimaksudkan dengan “kepentingan sah” kaum bukan Melayu? Dalam dokumen sejarah penggubalan Perlembagaan Persekutuan, peguam Raja-Raja Melayu ketika membuat representasi kepada Suruhanjaya Reid menyatakan bahawa terdapat beberapa kepentingan sah kaum lain. Ini termasuklah kewarganegaraan, hak untuk diwakili dalam Dewan Negara dan seterusnya hak untuk diberikan tempat dalam Majlis Mesyuarta Negeri. Walaupun hanya tiga isu ini dibangkitkan dalam dokumen sejarah tersebut, saya percaya, tafsiran mengenai frasa “kepentingan sah” kaum lain itu boleh dilebarkan lagi.

Selain daripada menjamin kedudukan Melayu dan kaum-kaum lain, Perkara 153 ini juga meletakkan tanggungjawab Perlembagaan ke atas Yang di-Pertuan Agong untuk menjaga dan menjamin keadilan kepada semua kaum yang ada dalam negara ini. Perkara 153 ini secara tidak langsung telah menjadikan Yang di-Pertuan Agong sebagai simbol perpaduan bagi semua kaum dalam negara ini. Walaupun Perlembagaan tidak menyebut tentang fungsi institusi raja ini sebagai simbol perpaduan, tetapi hasrat yang mahu dicapai oleh Perkara 153 ini ialah untuk menjaga keseimbangan kedudukan, dari segi ekonomi, pelajaran dan perjawatan dalam perkhidmatan awam supaya tidak berlakunya monopoli. Walaupun adanya kelebihan yang diberikan kepada kaum Melayu, tetapi ia adalah bertujuan memberikan keadilan kepada kaum Melayu yang ketinggalan dalam bidang-bidang yang dijamin itu.

Walaupun saya hanya membincangkan dua isu besar dalam hubungan antara agama dan kaum di negara kita, kedua-duanya adalah intipati atau hasrat Perlembagaan untuk menjamin kestabilan negara. Perlembagaan seringkali dikatakan bias, atau berat sebelah, melebihkan kaum Melayu,  tetapi Perlembagaan sebenarnya cuba bersikap adil. Perlembagaan tidak sepenuhnya berhasrat untuk meletakkan prinsip kesamarataan, tetapi lebih berhasrat untuk membina kesaksamaan. Ini kerana kesamarataan tidak semestinya mendatangkan keadilan atau kesaksamaan, sedangkan yang lebih penting dalam kehidupan bernegara ialah kesaksamaan, bukan semata-mata kesamarataan.

Dengan meletakkan prinsip keadilan atau kesaksamaan pada tempat utama, Perlembagaan boleh menjadi dokumen yang sesuai bagi negara untuk menjaga keseluruhan rakyatnya dalam meniti cabaran-cabaran dalam pembinaan sebuah negara dan seterusnya mengukuhkan tamadun negara. Sesungguhnya pengukuhan hubungan kaum dan agama ini menjadi agenda setiap musim bagi negara kita kerana Perlembagaan tidak memaksa asimilasi tetapi meraikan perpaduan dalam kepelbagaian.

prof madya dr.sham rahayu aziz

Oleh Profesor Madya Dr. Shamrahayu Aziz

Felo Utama Pusat Kajian, Syariah, Undang – Undang Dan Politik

Institut Kefahaman Malaysia

No Comments

    Leave a reply