Asas-asas dalam Perlembagaan seperti Perkara 3 (1) dalam Perlembagaan, Islam sebagai agama Persekutuan menuntut pelaksanaan, Per­kara 152 bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi perlu dimartabatkan, Perkara 153 hak istimewa orang Melayu dan bumiputera hendaklah dipenuhi. Ia adalah muafakat sosial yang amat bermakna supaya Tanah Melayu dan kini Malaysia dapat dibina dengan jiwa kenegaraan yang tinggi dalam kalangan warganya yang majmuk.

Agama Islam amat penting bagi membentuk watak penganutnya supaya prihatin menyantuni perbezaan seperti yang dipedoman oleh al-Quran Laqum deenukum walya deen – Kamu agama kamu dan kami agama kami. Agama-agama lain bebas diamalkan dalam kalangan pe­nganutnya.

Kalau orang Kristian mengamal­kan nilai-nilai interaktif dalam aga­manya ia menjadikan orang Kristian memahami ke­perluan manusiawi dalam kalangan masyarakat berbeza. Begitu juga penganut Hindu yang menghayati nilai interaktif aga­manya asas toleransi boleh menjadi pedoman.

Hal yang sama terhadap penganut agama Buddha asas falsafahnya banyak menampilkan nilai-nilai in­teraktif yang membantu hubungan sosial sesama manusia. Lebih-lebih lagi penganut falsafah Kung Fu Zi banyak sentuhan nilai-nilai bersama yang boleh dikongsi untuk mengukuhkan toleransi.

Islam juga amat terbuka untuk menerima perbezaan. Ratusan tahun orang golongan peranakan me­nyantuni orang Melayu di Melaka, Pulau Pinang dan Singapura suatu ketika dulu hidup dengan persefahaman yang tinggi dan aman damai sehingga berlaku pro­ses asimilasi yang menarik untuk dikaji.

Satu hal yang elok dikongsi adalah orang Melayu yang beragama Islam tidak memaksa orang Cina, In­dia dan Portugis peranakan me­meluk agama Islam kerana al-Qu­ran mendidik pemeluk Islam de­ngan pendirian La iqra hafidden – Tiada paksaan dalam beragama. Walaupun asimilasi ditolak oleh setengah pihak pada hari ini tetapi toleransi perlu ada bukannya provokasi secara tersurat dan tersirat yang boleh menimbulkan sensiti­viti dalam kalangan orang Melayu.

Begitu juga dalam isu bahasa Melayu adalah bahasa yang diucapkan oleh majoriti masyarakat di Malaysia. Menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi dalam hubungan antara bangsa-bangsa bakal membina jalan perpaduan.

Memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan pendidikan adalah sesuatu yang wajar supaya bahasa ibunda menjadi bahasa utama melonjakkan generasi Malaysia yang mempunyai ilmu dan kemahiran, jati diri dan sayangkan Malaysia supaya rasa kebersamaan, kekitaan, muafakat dan kesayangan kepada negara lahir.

Apa lagi memperuntukkan hak istimewa kepada orang Melayu dan bumiputera adalah suatu pendekatan bijak merapatkan jurang perbezaan yang terdapat supaya tidak timbul rasa iri hati dan cemburu yang tidak terkawal sehingga melahirkan konflik.

Dasar Ekonomi Baharu yang berjalan pada masa lalu umpama­nya tidak saja cuba melonjakkan pencapaian orang Melayu dalam bidang ekonomi, pendidikan dan taraf hidup, orang Cina terus me­nikmati faedah daripadanya dan mengekalkan ekuiti atau pegangan melebihi 60 peratus.

Orang Melayu setelah dijajah lebih 400 tahun sudah tentu tidak mudah untuk membangunkannya semula. Ia menuntut pengertian, per­sefahaman dan kebijaksanaan da­lam kalangan orang bukan Me­layu supaya orang Me­layu diperkasa.

Adalah menjadi pendirian penulis supaya orang Melayu mempu­nyai sifat mandiri yang kuat, daya saing yang tinggi, produktif dan krea­tif dalam keusahawanan supaya ekuiti ekonomi bertambah dan jurang per­bezaan dirapatkan.

Penulis menginsafi dengan terbinanya bandar-bandar baharu, sis­tem perumahan berharga mahal, universiti swasta yang tidak mampu disertai oleh pelajar-pelajar Melayu, ekuiti orang Melayu akan semakin menirus dan perkembangan demografik (taburan penduduk) dalam kalangan orang bukan Me­layu bakal memberikan kesan politik dan kuasa masa depan.

Bayangkan sekiranya kedudukan orang Melayu semakin terpinggir walaupun mereka ini majoriti di Malaysia di tengah-tengah sistem meritokrasi yang dicadangkan berjalan atas nama sama rata sama rasa tanpa melihat faktor sosio-ekonomi dan jurang ekuiti yang masih dalam persefahaman dalam kalangan war­ga Malaysia mungkin berdepan de­ngan masalah.

Ini ditambah dengan provokasi isu siapa pendatang awal, isu Islam yang disalah fahami, isu bahasa dan sistem pendidikan diungkit-ungkit, tuntutan ke arah kehidupan liberal dan sekular tumbuh macam cen­dawan, ada kemungkinan sesama orang Melayu tambah berpecah dan hubungan Melayu dan bukan Melayu berada dalam iklim tidak percaya antara satu sama lain dan ianya boleh menghasilkan konflik. Minta dijauhkan Tuhan.

Konflik ini yang harus dielakkan supaya wujud persefahaman de­ngan toleransi tinggi supaya setiap warga merasakan ada peranan untuk membangunkan Malaysia yang maju, kebebasan yang dikawal oleh disiplin diri.

Tanpa disiplin diri bakal wujud kecenderungan untuk melakukan penguasaan atau hegemoni terhadap orang lain kerana kekuatan kuasa beli boleh membeli apa saja hatta kuasa politik.