PERPECAHAN ATAS KEJAHILAN UMAT

Permusuhan selalunya dimulai dengan keinginan manusia atau sekumpulan manusia untuk memenuhi tuntutan nafsu. Dalam kes ini, jika ada halangan untuk memuaskan tuntutan nafsu, sesetengah manusia mengambil jalan mudah dan mengetepikan sifat kemanusiaannya.

Bermula dengan sikap benci, berkembang menjadi perseteruan sementara dan seterusnya tanpa kawalan diri akan memuncak menjadi lebih buruk termasuk melibatkan pembunuhan dan pelbagai bentuk kezaliman.

Rasa benci yang mula berakar menyebabkan manusia sanggup memutuskan perhubungan sebagai rakan atau saudara. Memutuskan ikatan persaudaraan seagama menjadi petanda bahawa berlakunya kekeruhan iman.

Mengabaikan masalah-masalah hukum dan hubungan kemasyarakatan bukan sahaja menimbulkan kerosakan di dalam masyarakat itu sendiri, malah akan mengakibatkan tergugatnya sebuah kehidupan yang damai.

Islam yang ditegakkan melalui hubungan damai dan mementingkan perdamaian akan terjejas dengan sendirinya oleh sikap lemah dan jahil penganutnya yang sanggup mengetepikan rasa cinta sesama manusia dan membiarkan tuntutan nafsu menggantikan keimanan.

Perselisihan seperti ini harus diatasi dengan dakwah dan amar makruf nahi mungkar.

Apabila berlakunya sesuatu perselisihan, orang Islam diwajibkan untuk melupakan perbezaan dan kembali kepada dasar keimanan dengan jelas. Sebarang perbezaan pendapat perlu diselesaikan secara berhemah dan beretika. Tuduh-menuduh antara pihak yang berselisih pendapat perlu dielakkan.

Sehubungan ini Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat mengenai sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya. Jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama dan lebih baik akibatnya. (Surah An-Nisa ayat 59).

Perpecahan sesama umat Islam berlaku di mana-mana sahaja sehingga mereka sanggup berbunuhan sesama sendiri hanya kerana perbezaan pendapat atau aliran. Kononnya perpecahan tidak dapat dielakkan kerana sepanjang sejarah kita selalu berpecah. Di samping mengunakan hujah dan menunjukkan dalil-dalil al-Quran dan hadis untuk mempertahankan perpecahan yang terjadi, apakah boleh kita katakan bahawa perpecahan yang berlaku sesama umat Islam itu sebagai satu takdir?

Perpecahan bukan harus diterima begitu sahaja tetapi harus diselesaikan dengan melakukan muhasabah perilaku kita sendiri. Ketika Nabi menyebut bahawa di antara umatnya ada yang taat dan ada yang melakukan maksiat.

Ini bererti Nabi sedang menunjukkan masih ada jalan penyelesaian terbaik bagi dua kumpulan yang bersengketa.

Terpulanglah kepada sikap kita sendiri sama ada ingin meneruskan sengketa ataupun mencari jalan damai. Jika jalan damai yang kita pilih, hubungan persaudaraan akan bertaut kembali dengan lebih kukuh.

Pilihan itu selalu ada dan kita selalu diberikan peluang untuk membuat pilihan.

Kita jangan jadi seperti golongan Khawarij yang sangat patuh menjalankan ibadah ritual tetapi sangat kaku dalam hubungan sosial, terutama sesama kaum Muslim. Sejarah Islam telah mengajar kita bahawa di kalangan mereka ada yang sanggup membunuh saudara seislam kerana berbeza pendapat dalam masalah agama. Terutama ketika masalah kepimpinan Ali bin Abi Talib.

Malah lebih malang lagi apabila mereka lebih menghormati Nasrani (kerana kaum dzimmi menurut al-Quran harus dilindungi) daripada orang Islam sendiri. Mereka menghukum kafir terhadap sesiapa sahaja yang memutuskan perkara tidak berdasarkan al-Quran.

Mereka membunuh Abdullah bin Habab dan isterinya kerana memuji Ali selepas peristiwa Tahkim. Golongan Khawarij dikatakan sangat taat mengerjakan sembahyang dan tidak menyentuh makanan haram, ternyata sanggup membunuh saudara sesama Islam hanya kerana perbezaan pendapat.

Adakah di antara kita begitu kaku berpegang kepada al-Quran dan hadis hanya dalam kerangka pemikiran kelompok kita dan tidak menghormati pemahaman kelompok yang lain?

Apakah kita lebih menghargai umat lain daripada sesama Islam? Atau kita halalkan segala perkara seperti fitnah, penyalahgunaan kuasa untuk menjatuhkan orang yang tidak sehaluan dengan kita? Khawarij masih berada di sekitar kita. Mereka menjual dan menjaja kewarakan diri demi kepentingan politik. Kuasa apabila jatuh ke tangan golongan seperti ini akan menghancurkan masyarakat seluruhnya.

Mungkin kita boleh mengambil sikap membetulkan kesilapan yang pernah kita lakukan.

Kita mungkin boleh merenung teguran yang pernah dilakukan oleh Dr. Jan Oberg pada 1998. Beliau ialah Pengarah Yayasan Transnasional Untuk Keamanan dan Penyelidikan Masa Depan. Katanya: “Adalah lebih mudah untuk membaiki rumah dan infrastruktur. Lebih mudah untuk membuang wang ringgit dan bercakap mengenai hak asasi manusia.

“Tetapi apalah maknanya jika jauh di dalam diri manusia itu terpendam perasaan benci terhadap satu sama lain? Apakah mereka akan hidup bahagia dan aman dengan diri mereka sendiri? Mungkinkah dengan anak-anak mereka juga begitu? Apakah jenis masyarakat, jika kita tidak dapat membaiki jiwa dan membantu mencipta toleransi, kewujudan bersama, malah bekerjasama dan kasih sayang?

“Kita perlu menjadikan kemaafan dan perdamaian itu sebagai objektif utama.” (Dipetik daripada Daisaku Ikeda: Pertemuan Yang Indah terjemahan Nazel Hashim Mohamad, Kuala Lumpur: GAPENA, 2007).

No Comments

    Leave a reply