PERSIDANGAN ANTARABANGSA AL-AZHAR: MEMPERBAHARUI (TAJDID) PEMIKIRAN ISLAM (RENOVATION OF ISLAMIC THOUGHT) Cairo 27-28 Januari 2020

 

RESOLUSI-RESOLUSI PERSIDANGAN (Disampaikan oleh Syeikhul Azhar)

Al-Azhar mendukung keperluan memperbaharui urusan-urusan agama berasaskan Kaedah Syariat demi memenuhi kepentingan kehidupan manusia dalam pelbagai bidang. Demi melaksanakan peranan al-Azhar dan peranan ulama’ Islam terhadap negara dan ummah seluruhnya, maka al-Azhar al-Syarif telah menjemput tokoh-tokoh ulama’ Islam dari seluruh dunia untuk menghadiri satu persidangan yang bertemakan: Al-Tajdid dalam Pemikiran Islam (Renovation of Islamic Thought) pada 2-3 Jumadal Awwal 1441 bersamaan 27-28 Januari 2020 di Pusat Persidangan Antarabangsa al-Azhar, Nasr City, Cairo.
Persidangan dirasmikan oleh Presiden Abdul Fattah al-Sisi dan berlangsung selama dua hari berturut-turut. Terdapat tujuh sesi perbincangan yang berkisar mengenai isu-isu Tajdid (Pembaharuan) dan yang berkaitan dengannya. Al-Azhar terus menerus mendukung perlunya melaksanakan pembaharuan pemikiran dan membahaskan hukum fikah semasa berdasarkan pendekatan Wasatiyyah (Sederhana) yang didukungi al-Azhar sebagai satu komitmen yang jitu sepanjang zaman. Maka para ulama’ sedunia yang berkumpul di mimbar al-Azhar pada hari ini dengan ini menyeru kepada perkara-perkara berikut:
Tajdid atau Pembaharuan adalah satu tuntutan dalam Syariah Islamiyyah dan ianya tidak lekang daripada Syariah demi memenuhi kepentingan semasa kehidupan dan kemaslahatan manusia.

Nas-nas yang bersifat muktamad (qat’ie) yang thabit (tetap) dan jelas maksudnya tidak boleh sama sekali ditajdidkan. Ada pun nas-nas yang bersifat dhan (sangkaan) adalah tempat berijtihad di mana fatwa-fatwa boleh berubah mengikut masa dan tempat serta budaya manusia setempat dengan syarat ianya ditajdidkan bagi memenuhi Maqasid Syariah dan Kaedah-kaedah Amnya demi memenuhi kemaslahatan hidup manusia.

Tajdid adalah satu proses yang cukup teliti untuk mereka yang mantap ilmu sahaja yang mampu melaksanakannya. Mereka yang kurang kelayakan sila jauhi dari melakukannya demi mengelak dari melaksanakan tajdid yang boleh membawa kepada kerosakan (tabdib).

Aliran melampau dan jamaah yang mendukung keganasan bersatu menolak seruan Tajdid. Seruan mereka jika diteliti adalah percubaan memutarbelitkan kefahaman dan memalsukan konsep-konsep Syara’ seperti mengenai Sistem Pemerintahan, al-Hakimiyyah (tiada ada pemerintahan kecuali untuk Allah), al-Hijrah, al-Jihad, Peperangan, dan pendirian mereka terhadap pihak yang bercanggah dengan fikiran mereka. Juga pelanggaran mereka dengan ketetapan agama di mana mereka melakukan jenayah membunuh, merosakkan harta awam dan kehormatan diri. Ini sekaligus mencemarkan wajah Islam dan Syariahnya dalam persepsi masyarakat Barat dan masyarakat Timur jua. Ramai kalangan mereka yang cuba mengaitkan perlakuan mereka yang menyeleweng itu dengan Syariah Islam bahkan mereka lah yang mencetuskan Islamphobia di Barat. Justeru menjadi kewajipan semua pihak dalam pertubuhan dan masyarakat membantu dan menolong usaha-usaha beberapa negara dunia untuk mengelak dari kejahatan kumpulan-kumpulan ini.

Asas kepincangan jamaah-jamaah berkenaan ialah menyamakan hukum akidah dengan hukum amalan seperti menganggap melakukan maksiat adalah kafir, menjadikan sesetengah amalan sunat sebagai wajib. Ini mencelarukan ramai orang dan sekaligus memburukkan Islam dan Syariatnya.

Maksud al-Hakimiyyah mengikut jamaah pelampau ini ialah tiada ada pemerintahan kecuali bagi Allah. Sesiapa manusia yang menghukum maka dia telah menentang Allah kerana menghukum itu adalah khusus bagi sifat ketuhanan Allah. Maka sesiapa yang merampas hak Allah ini dia jatuh kafir dan halal darah kerana merampas sifat ketuhanan dari Allah itu. Kefahaman ini jelas satu penyelewengan yang ketara terhadap nas-nas Syariah di dalam al-Quran dan as-Sunnah an-Nabawiyyah yang menyandarkan pemerintahan kepada manusia, melunaskan apa yang diputuskan oleh ahlu al-hilli wal ‘aqdi sebagai perkara ijtihad yang titik tolaknya dari Allah jua. Kita menyebut kata-kata Ibn Hazm: (Bahawa dari hukum Allah juga menjadikan hukum untuk bukan Allah). Demikian juga seperti firman Allah yang bermaksud: “Maka dapatkanlah hukum dari ahlinya dan hukum dari ahlinya yang lain.” Firman Allah dalam surah al-Maidah yang bermaksud: “Menghukumkannya oleh orang yang adil dari kalangan kamu.” Justeru wajiblah diperbetulkan maklumat orang ramai mengenai kefahaman Hakimiyyah ini melalui penyebaran akidah Ahli Sunnah wal Jamaah dan sekaligus menerangkan bahawa pemerintahan manusia yang menepati Kaedah-kaedah Syara’ tidak bercanggah dengan Hakimiyyah bahkan itu juga tergolong dalam tuntutan Syara’.

Takfir (mengkafirkan seseorang) adalah satu fitnah diuji kepada masyarakat dulu dan sekarang. Ianya terbit sama ada daripada kalangan penentang Syariat Allah atau daripada mereka yang jahil tentang ajaran Islam. Nas-nas Syara’ dengan jelas memperakukan bahawa sesiapa yang menuduh orang lain sebagai kafir, tuduhan itu kembali kepada dirinya dan dia menanggung dosa. Takfir adalah hukum ke atas perkara dalaman hati (ad-dhamair) dan Allah sahaja berhak menentukannya. Pihak hamba (manusia) tidak boleh berbuat demikian. Jika seseorang berkata dengan sesuatu yang mungkin membawa kepada kekufuran daripada 99 aspek tetapi aspek-aspek itu tidak membawa kepada kufur, maka tidak boleh dihukum kafir kerana terdapat sedikit keraguan walaupun hanya daripada satu aspek sahaja. Ini berdasarkan satu Kaedah bahawa: (Sesuatu yang thabit dengan yakin tidak boleh terhapus kecuali dengan keyakinan juga).

Seruan mereka perlu meninggalkan kampung halaman adalah tidak bersandarkan kepada Syara’ bahkan sebaliknya dilunaskan Rasul SAW dengan bersabda: (Tiada ada hijrah selepas Pembukaan ini) yakni selepas pembukaan Makkah. Justeru seruan jamaah pelampau ini kepada para para belia supaya meninggalkan kampung halaman mereka untuk berhijrah ke padang pasir dan kawasan pendalaman bagi menyertai kumpulan-kumpulan bersenjata mereka adalah sesuatu yang ditolak. Ini supaya membolehkan mereka keluar meninggalkan masyarakat yang dianggap kafir oleh mereka. Seruan ini adalah berpunca dari kesesatan dan kejahilan maqasid Syariah umat Islam. Hukum Syara’ yang telah dikeluarkan oleh ulama’ Islam dari al-Azhar al-Syarif ialah: Setiap umat Islam berhak tinggal di mana-mana bumi Allah asalkan terjamin keselamatan, harta dan maruah diri, boleh menunaikan ibadat dan Syariat agama. Adapun panduan Syara’ yang sahih tentang seruan berhijrah pada masa sekarang ialah: Tinggalkan maksiat, berhijrahlah untuk mencari rezki dan ilmu, berusahalah memakmurkan bumi dan memajukan negara.

Atheis (tidak percayakan tuhan) adalah satu ancaman membahayakan kestabilan masyarakat yang percayakan agama-agama dan menghormati ajaran-ajaran suci agama. Ianya satu senjata serangan pemikiran yang kononnya mendakwa ini sebagai di bawah “kebebasan beragama” tetapi ianya bertujuan meruntuhkan agama dan memecahbelah masyarakat. Inilah salah satu sebab yang mengundang faktor-faktor berlakunya pelampauan dan keganasan. Masyarakat sekalian perlu sedar akan bahayanya seruan menolak kepercayaan kepada tuhan, menafikan kewujudan Allah dan mencabar fikiran kaum mukminin. Justeru wajib ke atas ulama’ al-ummah mempersiapkan diri dengan pendekatan tajdid supaya mampu menangani bahaya-bahaya menolak wujudnya tuhan dengan menampilkan dalil-dalil akal dan alam semesta serta penemuan-penemuan ilmu sains dan teknologi moden bagi membantu mendedahkan hakikat perlunya manusia beriman. Beberapa pendekatan disarankan ialah mendekati para belia dengan berdialog dengan mereka dan menggunakan alat-alat yang canggih kini.

Jihad dalam Islam bukanlah sinonim dengan peperangan. Rasul SAW dan para Sahabat baginda yang berperang adalah sebahagian daripada jihad demi mempertahankan umat Islam dari serangan musuh dan ianya bukan sekali-kali menyerang mereka yang berlainan agama seperti yang didakwa oleh golongan pelampau. Hukum Islam yang thabit ialah haram menyerang mereka yang berlainan agama dan haram membunuh mereka jika mereka tidak membunuh kaum Muslimin.

Pihak yang harus memberi perintah untuk berjihad ialah pihak berkuasa dalam negara menurut Perlembagaan dan Undang-Undang. Bukan sama sekali jamaah dan individu. Sedang didapati setiap jamaah mendakwa mereka berhak dalam perkara ini lalu melatih belia menjadi tentera mengarahkan mereka membunuh, berperang dan memotong kepala musuh. Inilah satu penyelewengan yang dibawa oleh jamaah perosak muka bumi yang menentang Allah dan RasulNya. Pihak berkuasa harus tangkas dan tegas menghadapi kumpulan ini.

Kerajaan dalam Islam ialah kerajaan demokratik dan moden berperlembagaan. Al-Azhar yang mewakili ulama’ Islam hari ini mengisytiharkan tiada ada di sana apa yang dikenali sebagai Kerajaan Agama justeru tiada ada dalil dalam warisan turath kita yang memperakukan demikian. Ini apa yang difahami secara jelas dari perenggan-perenggan Sahifah al-Madinah al-Munawwarah, juga yang dinaqalkan dari amalan politik Rasul SAW dan dari apa yang dilakukan kemudiannya oleh para Khulafa’ al-Rashidin. Sebagaimana ulama’ menolak kerajaan agama maka sekaligus mereka juga menolak negara yang sistemnya menolak agama dan memenjarakannya dari berperanan memandu arah tuju masyarakat.

Al-Khilafah ialah satu sistem pemerintahan yang diredai para Sahabat Rasul SAW yang sesuai di zaman mereka dan menepati arahan agama dan dunia.Tiada ada nas-nas al-Quran dan Sunnah yang memperakukan satu corak sistem pemerintahan tertentu. Setiap sistem pemerintahan semasa diterima Syara’ asalkan menawarkan keadilan, persamaan, kebebasan, memelihara negara dan hak-hak rakyat tanpa mengira kepercayaan dan agama mereka selagi tidak melanggar nas-nas agama yang thabit.

Pemerintah dalam Islam ialah sesiapa yang dipilih oleh rakyat sebagai pemerintah dengan cara-cara yang sah mengikut Perlembagaan atau yang diputuskan oleh sistem-sistem yang diterima pakai. Tanggungjawab pemerintah ialah berusaha memenuhi maslahah rakyat, memberi keadilan kepada semua, memelihara sempadan negara dan menjamin keamanan dalam negeri, mempergunakan hasil mahsul negara dengan cara terbaik demi memenuhi keperluan rakyat seperti yang sewajarnya.

Kewarganegaraan Penuh adalah hak asasi kepada semua warga negara dalam sesebuah negara, tidak ada perbezaan di antara mereka berasaskan kepada agama atau mazhab atau warna kulit atau keturunan. Inilah asas tertegaknya negara Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan al-Madinah al-Munawwarah dan semua umat Islam diseru melaksanakan prinsip ini dengan sebaiknya.

Di antara kebaikan yang diseru oleh Islam ialah menyampaikan tahniah kepada orang bukan Islam pada hari-hari raya mereka. Seruan para pelampau yang mengharamkan perkara ini adalah satu kejumudan dan kolot bahkan ianya satu pembohongan terhadap Maqasid Syariah Islam. Ianya juga satu fitnah yang lebih merbahaya dari membunuh dan sekaligus menyakiti mereka yang bukan Islam. Memberi ucapan tahniah tidak mencanggahi akidah seperti apa yang didakwa oleh puak pelampau.

Pihak yang bertanggugjawab dalam media tidak seharusnya membenarkan tersiarnya pemikiran mengharamkan tahniah kepada orang bukan Islam ini terutamanya pada musim perayaan hari raya mereka. Perkara ini boleh menimbulkan ketegangan dan kebencian yang terpendam dalam kalangan rakyat dalam sesebuah negara terutamanya di negara yang berbilang kaum.

Jenayah-jenayah yang dilakukan para jamaah pelampau dan kumpulan bersenjata – terutamanya yang melibatkan tindakan membunuh orang awam, tentera dan polis serta mereka yang memelihara keselamatan rakyat dan menjaga sempadan negara. Juga merosakkan harta-harta awam dan persendiraan. Kesemua perbuatan tersebut adalah jenayah yang merosakkan persada bumi dan ini memerlukan satu tindakan yang tegas mengikut undang-undang Syara’ dan undang-undang negara yang melibatkan sektor-sektor pengurusan hal ehwal keselamatan, keamanan, ketenteraan dan penguatkuasaan. Sewajibnya pihak berkuasa mengambil tindakan yang tegas terhadap jamaah yang mengganas ini dan terhadap negara-negara yang membantu dan memberi perlindungan kepada ahli-ahli kumpulan atau jamaah tersebut. Pihak berkenaan perlulah tidak menyelamatkan mereka dari dikenakan tindakan oleh negara mereka sendiri mengikut perundangan sedia ada.

Dadah dan apa sahaja bahan yang seumpamanya samada banyak atau sedikit yang boleh merosakkan akal dan akhlak adalah haram sama sekali. Pihak berkuasa perlulah mengambil segala tindakan pentadbiran, pendidikan, kebudayaan, dakwah dan keamanan supaya dapat mencegah penyebaran dan penggunaannya dalam kalangan rakyat. Tindakan tegas perlu dikenakan ke atas pemilik dan pengedarnya disamping membantu Pusat-Pusat Pemulihan Dadah supaya pusat-pusat ini mampu berperanan merawati para penagih supaya dapat mengembalikan mereka semula hidup dalam masyarakat. Pihak berkuasa perlulah menghalang pedagang dadah dan para pelakon dalam drama-drama yang menampakkan mereka semacam mengajak para belia meniru gaya hidup mereka.

Menghapuskan kerosakan, penipuan, kronisme dan pilih kasih terhadap peluang-peluang tertentu adalah tanggungjawab agama, perundangan, sosial dan moral. Semua pihak yang berkedudukan akan dipersoalkan dalam hal ini.

Membunuh diri adalah satu jenayah yang berat yang kini berlaku dalam masyarakat kita melebihi jenayah membunuh manusia lain. Pembunuh orang lain adalah pembunuh manusia seluruhnya tetapi mungkin boleh mendapat keampunan keluarga mangsa atau dihukum oleh mahkamah di dunia ini tetapi pembunuh dirinya mati dengan jenayahnya sendiri. Maka adalah satu kewajipan para ulama’ ahli fikir dan mereka yang berkenaan dalam arena Pendidikan, Kebudayaan dan Belia supaya tampil mengkaji sebab-sebab belia melakukan jenayah keji ini dan menyelesaikannya. Seterusnya membuat perancangan jangka pendek dan jangka panjang bagi menghentikan perbuatan yang nampaknya mula mengambil tempat dalam kalangan masyarakat timur yang menganut agama dalam kehidupan.

Jenayah membalas dendam adalah satu warisan jahiliyyah, jahat dan buruk. Ianya tidak sesuai langsong dengan masyarakat yang bertamadun yang beriman dengan agama-agama langit. Jika berlakunya pembunuhan maka wajiblah dibawa pembunuh itu ke muka pengadilan. Bukan kepada para wali-wali darah (ahli keluarga) yang memberi kemaafan dan menuntut diyat dari pelaku jenayah durjana itu. Apa yang dilakukan oleh ahli keluarga membunuh balik pembunuh itu dan sebagainya atau menghalau keluarga pembunuh dari rumah-rumah mereka atau merosakkan harta-harta mereka dalam apa jua bentuk tindakan sendirian yang dilakukan, maka perbuatan seumpama itu adalah buruk dan menyaingi perbuatan jenayah si pembunuh itu. Pihak berkuasa perlulah mengambil langkah-langkah tegas mengelak perkara ini dari berlaku.

Khabar-khabar angin merupakan satu ancaman kepada keamanan dan pembangunan masyarakat. Ianya adalah satu jenayah besar dan dihukum haram dari segi Syara’. Pihak berwajib perlulah mencari sumbernya bagi mendedahkan kepalsuannya, menerangkan bahaya serta mengenakan hukuman berat kepada pencetus dan mereka yang menyebarkannya.

Pelancongan adalah industri yang diperakukan oleh Syariat langit. Kita perlulah memperbetulkan persepsi awam terhadap perkara ini. Kerajaan adalah bertanggungjawab memelihara keselamatan para pelancong. Mereka tidak boleh diganggu dan diserang dalam apa bentuk sekalipun. Para penyerang mereka perlu dihukum mengikut peraturan yang disediakan. Pemberian Visa kepada pelancong adalah satu perjanjian negara kepada keselamatan diri dan hartanya ketika melancong berdasarkan Syara’ jua.

Kaum Wanita di zaman sekarang boleh bermusafir tanpa Muhrim bila mana perjalanannya dijamin selamat dari sebarang gangguan dan fitnah.

Tempat-tempat bersejarah adalah warisan kebudayaan yang menunjukkan sejarah bangsa dan tamadun yang dicapai. Ianya bukanlah objek sembahan atau berhala seperti yang didakwa oleh puak pelampau yang sesat ini. Tidak harus ianya diserang atau cuba diubah dari keasliannya. Ianya adalah milik jenerasi dan pemerintah mentadbirkannya untuk kebaikannya. Jika sekalipun warisan sejarah ini berada di lokasi hak milik individu atau pertubuhan tertentu, namun undang-undang yang tegas perlu dikenakan juga supaya harta benda warisan itu tetap terpelihara yakni tidak dijual dan dibawa lari ke luar negara.

Wanita juga boleh memegang apa-apa jawatan-jawatan tinggi yang sesuai dengan mereka termasuk dalam jawatan-jawatan tinggi dalam Kerajaan.

Talak (penceraian suami isteri) tanpa sebab yang cukup munasabah adalah diharamkan Syara’. Syara’ sentiasa mengambilkira samaada talak itu dicetuskan oleh si suami atau tuntutan dari isteri. Ianya akan membawa mudharat kepada keluarga terutamanya anak-anak kecil dan sekaligus bercanggah dengan akhlak Syariah yang melunaskan perkahwinan untuk kestabilan dan kebahagian. Perlulah dijauhi kesan-kesan dari kecelaruan talak ini dan menyelesaikan pertelingkahan pasangan suami isteri sebelum berlakunya perbuatan talak itu. Ianya adalah merupakan tuntutan Syara’ jua. Ulama’ yang takasus dalam fatwa-fatwa perlu tampil melunakkan kata-kata dan berhikmah ketika memberi pencerahan mengenai hukum-hukum Syara’ yang berkaitan dengan hal ehwal talak itu.

Wajib mengambil kira pencarian bersama dalam memajukan kekayaan keluarga seperti si isteri yang mencampuradukkan hartanya dengan harta suaminya dan juga anak-anak yang berkongsi bersama bapanya dalam menjalankan perniagaan, maka hendaklah diambil habuannya sebelum dibahagikan sebagai harta pusaka mengikut haknya jika diketahui kadarnya atau perlu bertolak-ansur atau jika tidak dapat dikenalpasti kadarnya, maka terserahlah kepada ahli kepakaran menentukannya.

Penutup

Al-Azhar al-Syarif bersama para ulama’ dan ahli fikir merakamkan ucapan terima kasih kepada Presiden Abdul Fattah al-Sisi yang telah meraikan persidangan ini dan memberi ucapan dalam majlis perasmiannya (diwakili oleh PM Mesir). Al-Azhar juga menyampaikan setinggi ucapan penghargaan kepada semua para ulama’, tuan-tuan yang terutama, rakan-rakan media dan sekalian hadirin yang bersama menjayakan persidangan ini.

Akhirnya dimaklumkan bahawa Markaz Tajdid al-Azhar akan terus beroperasi bagi menangani isu-isu semasa dan terkini. Terima kasih diucapkan kepada kerajaan Gambia dan Menteri Keadilannya yang telah mengemukakan satu nota lengkap kepada Mahkamah Antarabangsa mengecam pembunuhan, penghapusan etnik dan paksaan berhijrah terhadap kaum Muslim Rohingya. Kami yang berkumpul dalam persidangan ini menegaskan bahawa peristiwa zalim yang berlaku itu tidak harus terlepas dari sebarang tindakan undang-undang yang selayaknya. Ketidakpedulian ini sangat memalukan masyarakat antarabangsa yang berdiam diri terhadap kezaliman dan jenayah kemanusian terburuk ini.

AL-IMAM AL-AKBAR PROF DR AHMAD AL-TAYYEB
SYEIKH AL-AZHAR AL-SYARIF
Kaherah, Mesir.
3hb. Jumadal Awwal 1441/27hb. Januari 2020

Alih bahasa:
DATO’ DR MOHD FAKHRUDIN BIN ABDUL MUKTI
Presiden
Rabitah Antarabangsa Alumni al-Azhar Malaysia (WOAG Malaysia)

Tags: ,

No Comments

    Leave a reply