PERSIMPANGAN DILEMA DAN LANSKAP POLITIK MALAYSIA

Kelunakan suara mendayu-dayu Nora mengalunkan lagi Di Persimpangan Dilema, tidak dapat melenyapkan persoalan semasa yang sedang diperkatakan dan diukir dalam lanskap politik Malaysia setelah kerajaan Malaysia Baru tidak lagi mesra meskipun ‘aura bulan madu’ masih terasa.

Pada mulanya bulan madu selama enam bulan dilihat sudah cukup dan selepas tempoh itu pada hulubalang yang bertanjak dan berkeris mahupun yang mahir kung fu atau gelek padang pasir irama Arab Lebanon, Maghribi dan Mesir perlu bekerja keras bagi menentukan hala tuju membaiki “Malaysia yang rosak’ berjalan sempurna. Ia tidak berlaku, hulubalang-hulubalang masih ‘terpinga-pinga’ dan ‘sukar belajar’ sehingga ada yang memberikan markah sebagai kabinet 5.5.

Kurang lebih tiga bulan lagi, kerajaan Malaysia Baharu akan mencapai usia tiga tahun. Kalau seorang anak yang dilahirkan pada 9 Mei 2018, ketika memasuki usia tiga tahun sudah petah bercakap dan boleh berlari. Ini tidak berlaku dalam Malaysia Baharu, apa yang ingin dibaiki ‘akibat kerosakan kerajaan sebelum’ belum menampakkan proses berlari, masih mengengsot-engsot seperti kanak-kanak yang dilahirkan kurang upaya.

Apa tidaknya, kalau 10 janji untuk tempoh 100 hari tidak dapat dilaksanakan, tidak mengapa. Tetapi, tidak bermakna lupakan sahaja janji-janji itu. Ia perlu diteruskan walaupun mengambil masa yang lebih panjang. Orang sekeliling memahaminya, ia memerlukan masa dan yang penting, hulubalang-hulubalang siap siaga untuk mengatur langkah dan bukannya bersandiwara, menuduh itu dan mengacah yang lain pula.

Seperti lirik lagu dendangan Nora,  Janganlah engkau menghancurkan segala, Setelah lama kita mengharungi bersama, Usah biarkan cinta kita yang suci, Dilambung ombak, karam di lautan berduri. Ya! Boleh karam. Bukan sahaja di ‘lautan berduri’ bahkan ‘mati kehausan di perigi buta’ kata bidalan Melayu.

Perigi buta diertikan ‘perigi yang telah kering dan tidak lagi digunakan’. Tentunya ada sebab kenapa perigi itu menjadi ‘kering’ dan ‘ditinggalkan’ walaupun sebelumnya ia mengeluarkan air yang banyak, banyak khasiat mineral dan menjadi tempat mandian, bahkan pada suatu ketika, menjadi medan percintaan teruna dan dara dalam masyarakat tidak sibuk dengan post-truh atau kecanduan media sosial.

Persoalan sedemikianlah sedang memangku wasangka dan membangunkan persepsi selepas terdengar ada suara-suara dari dalam yang begitu melemaskan. Suara-suara dari dalam membisikkan bahawa satu percaturan baharu sedang dibina bagi membolehkan lanskap politik Malaysia Baharu berubah, berubah menjadi ‘neo-Malaysia’ dengan gabungan parti-parti lain yang lebih segar dan menarik.

Pakatan Harapan, sebagai gabungan yang bersifat buih di gigi pantai seperti ‘kemabukan’ apabila setiap parti yang membentuknya tidak lagi ‘beritma senada dan seirama’. Gerak-geri seharian semakin berusaha meruntuhkan tebing kemuafakatan. Di kiri ombak-ombak kecil membadai manakala di kanan, riak gelombang semakin ‘ganas’ dan tidak dapat dikawal, manakala ‘arus bawah’ bergolak untuk mempastikan ‘peralihan kuasa’ cepat berlaku.

Sebut Nora lagi, Telah banyak yang kuberi, Sejak dulu lagi, Pengorbanan tiada pernah jemu. Ya! Akibat banyak ‘memberi dan berlembut’ itulah ‘pengorbanan’ tidak dihargai lagi. Jenuh untuk kita memberikan makna ‘pengorbanan’ itu, tetapi tetap disanggah atas alasan, Malaysia Baharu mesti melaksanakan reformasi dan transformasi. Reformasi, untuk menjadikan setiap orang mempunyai peluang yang sama dalam ukuran ‘kebersamaan’ tanpa mempedulikan realiti sejarah dan ‘apa yang telah diberikan’.

Pada mereka, hidup bersama bererti semuanya perlu berkongsi dan boleh memilik berdasarkan kekuatan sendiri, bukan ditopang oleh apa yang termeterai sebelumnya. Ia sudah menjadi sejarah, kerana sejarah itu kadangkala dirindu sebagai pautan nostalgia. Sedangkan sejarah adalah untuk dijadikan panduan, bagi menyusuri ‘denai dan jalan’ yang lebih baik.

Transformasi pula digambarkan sebagai peluasan kesempatan untuk semua orang. Semua orang ada hak dan setiap hak itu perlu disamaratakan sehingga melupakan adanya perbezaan yang nyata. Tembok perbezaan diruntuhkan, masing-masing perlu berjalan di tanah datar yang rata. Cukup menarik, tetapi hakikatnya, tidak ada halaman yang datar tercipta daripada ‘denai dan jalan’ yang ada dalam di sebalik tembok yang dipertahankan sebagai ‘warisan bangsa dan budaya’. Ada sesuatu yang ‘tidak rata’ apabila tidak sanggup berkongsi apa yang ada di sebalik tembok itu, tetapi dalam masa yang sama berhasrat ‘meruntuhkan’ tembok yang dianggap sebagai penghalang ‘kebersamaan’.

Keluh Nora, Hanya satu pintaku, Moga kau menginsafi, Semua ini . Ia tidak terjadi. Ego semakin besar. Ego membangunkan pula hegemoni berkelompok. Hegemoni membawa makna dominasi. Dominasi bermakna, kuasa. Itulah istilah yang tepat dan sedang dibuktikan dalam pentas politik Pakatan Harapan.

Tulis bekas menteri besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo, (rujuk: https://www.malaysiakini.com/letters/509688): “Paling mengecewakan Dr Mahathir, tindakan Lim Guan Eng, menteri kewangan yang selalu menggunakan kuasa veto sebagai menteri kewangan yang membuat keputusan sendiri tanpa peduli perasaan Mahathir sebagai Perdana Menteri.” Benarlah telahan beliau?

Kebenaran tetap ada. Kalau tidak, Khir Toyo tidak berani menulis sedemikian. Kesannya amat besar. Tetapi, persepsi umum semakin membuak-buak ‘benci’ sebabnya sebagai awak-awak, Lim Guan Eng tidak boleh melawan juragan. Bak kata Allahyarham Datuk Nik Aziz, dalam satu kapal tidak boleh ada dua nakhoda. Lim Guan Eng sepatutnya menjadi pembantu nakhoda, memberi nasihat dan berbincang dengan Perdana Menteri sebelum menjelirkan lidah dan membuka mulut mengeluarkan ‘kuasa veto’.

Tulis Khir Toyo lagi, bukan sahaja Dr Mahathir kecewa. Bahkan “ramai menteri sudah tidak dapat mengawal rasa kecewa terhadap Lim yang mengawal perbendaharaan sesuka hatinya. Kenyataan itu boleh menyebabkan ramai daripada kita merasa rimas kalaupun belum sampai tahap cemas. Sebelum ini pun sudah ramai yang rimas apabila peruntukan-peruntukan disalurkan kepada institusi pendidikan swasta misalnya Kolej New Era, di mana salah seorang pentadbirnya adalah bekas wakil rakyat DAP, yang pernah ditahan di bawah Operasi Lalang selama 445 hari dan kini, pengarah Kolej New Era kepunyaan Dong Jiao Zong. Dong Jiao Zong sampai bila pun akan mempertahankan pendidikan Cina, kerana dua pertubuhan itu (Dong Zong dan Jiao Zong) sentiasa menolak apa-apa dasar pendidikan yang dilihat boleh ‘mengancam sastera dan budaya Cina’ sejak penubuhannya lagi.

Rakyat Malaysia masih belum lupa tentang penolakan Dong Zong terhadap pengajaran dan pembelajaran tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu SJKC dan SJKT Tahun 4. Tulisan Jawi dikaitkan dengan “Islamisasi’ dan seorang wakil rakyat DAP menuduh tulisan itu digunakan untuk menulis buku-buku lucah. Akhirnya, keputusan dibuat bahawa tulisan Jawi di SJKC dan SJKT boleh diajar sekiranya mendapat persetujuan ibu bapa. Untuk menutupi ‘kerosakan’ yang sudah ditimbulkan Menteri Agama (JPM) menyebut, Dong Jiao Zong “tidak rasid dan tolak tulisan Jawi”, dan bersepakat bahawa “pelajaran Jawi bukan bertujuan untuk ‘mengIslamkan’ murid bukan Islam tetapi ia warisan kebudayaan Malaysia yang perlu dihormati.” (Rujuk: https://www.malaysiakini.com/news/507279)

Meskipun isu itu telah selesai, persepsi sebahagian besar orang Melayu terhadap ‘kerosakan’ yang berlaku akibat mengaitkan tulisan Jawi untuk “mengIslamkan bukan Islam’ tetap menjadi luka sejarah. Ia seperti luka yang pernah Dong Zong lakukan bila menolak impian Laporan Razak dan Laporan Rahman Talib untuk membolehkan sekolah-sekolah vernakular bertukar bahasa pengantarnya kepada bahasa Melayu (kemudiannya, Dr Mahathir menamakan Bahasa Malaysia untuk mewujudkan rasa kebersamaan).

Sampai kini kita merasai bahawa sistem pendidikan pelbagai bahasa itu tidak menyuburkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat kerana sejak awal-awal lagi para pelajar terpisah dan dipisahkan. Konsep Sekolah Wawasan juga terpaksa ditolak, hanya kerana takut orang Cina akan kehilangan ‘bahasa, budaya dan identiti’ nya sedangkan sebahagian orang Cina sudah lari daripada pendidikan Cina, mereka memasuki sekolah beraliran Inggeris.

Mereka takut jika murid-murid Cina memasuki sekolah kebangsaan, mereka tidak lagi boleh berbahasa Mandarin sedangkan ada pilihan lain, Mandarin ditawarkan sebagai salah satu mata pelajaran. Mereka akhirnya membina rasional baharu, sekolah-sekolah kebangsaan cenderung kepada Islam dan ada pemimpin DAP mendakwa, sekolah-sekolah agama dan kebangsaan menjadi tempat ‘menyemai eksterisme’.

Segalanya dianggap negatif sedangkan budaya dan bahasa yang tidak dikategorikan sebagai bahasa kebangsaan dilihat semakin menyumbang kepada perkembangan ekonomi. Ia adalah ekoran kejayaan China keluar daripada kepompong ‘tembok besar’, perubahan dasar kepimpinan baharu selepas tamatnya era Mao Tze Tung. China menjadi kuasa ekonomi kedua terbesar, dan dalam keghairahan itu, China terpalit pula isu pembantaian etnik Uighur yang beragama Islam. Mungkin dengan merebaknya virus corona yang menyebabkan bandar Wuhan sepi seperti ‘bandar hantu’ akan mengubah lanskap politik China apabila dilaporkan pemimpin utama turut meminta umat Islam seluruh dunia berdoa agar wabak itu segera berakhir.

Apakah tragedi itu akan memberikan pengajaran berguna kepada setiap manusia? Sekurang-kurangnya persoalan ethnocentrisme tidak lagi menjolok lanskap kehidupan dalam makna ‘kebersamaan’? Bolehkah menteri-menteri dalam Malaysia Baru menumpukan setiap masa dan tenaga untuk benar-benar memulihkan kerosakan yang dikatakan berlaku semasa kerajaan terdahulu dengan mengetepikan pengejaran kuasa untuk membentuk hegemoni dan dominasi politik?

Kalaulah Lukman Adam boleh mendedahkan bahawa ada cadangan untuk UMNO dan PAS bersama Dr Mahatahir membentuk Pakatan Nasional, ia bukanlah sesuatu boleh merosakkan hubungan politik antara kaum di Malaysia. Jika benar Dr Mahathir ‘enggan menyerahkan kuasa’ kepada Anwar Ibrahim, keengganan itu ada sebabnya. Dr Mahathir atau telahan umum sudah dibuat, bahawa sikap dan pendirian hulubalang DAP sebenarnya sudah melukakan hati Dr Mahathir. Dr Mahathir sudah terluka apabila ‘pendekar’ parti itu mengeluarkan kenyataan yang tidak mencerminkan semangat ‘perkongsian kuasa’ secara ikhlas dan jujur.

Apabila ‘perkongsian kuasa’ bertukar menjadi ‘peluasan kuasa’ maka kegembiraan rakyat terhadap kemenangan PH dua tahun lalu bertukar menjadi ‘harapan kecewa’. Sebelum ‘harapan kecewa’ bertukar menjadi ‘penolakan dan kebencian’ maka Dr Mahathir wajar membina alternative setelah berjaya mendiagnoskan puncanya. Itulah agaknya yang disimpulkan oleh Khir Toyo “Mahathir tidak ada pilihan selain dari membentuk kerajaan baru dengan menyepak keluar DAP dan Anwar dari kerajaan.”

Bagaimana Anwar perlu disepak daripada ‘peralihan kuasa’? Ramai juga yang bijak dan boleh memberikan jalannya. Dan, tentunya setiap kaedahnya ada risiko yang terpaksa dihadapi. Jika Dr Mahathir tidak melunaskan janji ‘peralihan kuasa’, beliau mempunyai caranya untuk berhadapan dengan reaksi balas Anwar. Dr Mahathir mempunyai ‘buah sulit’ untuk berhadapan dengan Anwar sekiranya ada reaksi balas yang besar sebagaimana pernah berlaku ketika Anwar turut dikesan untuk menjatuhkan Dr Mahathir pada tahun 1998. Apakah episod ini akan berulang kembali?

Kaedah lain yang boleh dilakukan selain membentuk kerjasama baharu yang mungkin dipanggil Pakatan Nasional ialah membubarkan Dewan Negara untuk diadakan pilihan raya yang baharu. Sekiranya Dewan Negara dibubarkan lebih awal daripada edahnya, rakyat melihat peluang Muafakat Nasional berkuasa tetap ada, tetapi, apakah Sarawak bersedia memberi kerjasama dalam hal itu. Di Sarawak sudah ada Gabungan Parti Sarawak (GPS) manakala di Sabah, bolehlah Parti Warisan kembali menjalin hubungan dengan UMNO?

Mungkin Shafie boleh mempertimbangkan setelah melalui ‘aib’ akibat kekalahan Parti Warisan di Kimanis dengan majoriti besar. Mungkin Dr Mahathir perlu memikirkan ‘membawa masuk UMNO dan PAS’ kerana gabungan dan kerjasama tersebut telah menyebabkan dua calon PPBM tersungkur (Tg Piai dan  Semenyih).   PKR juga berhadapan dengan masalah dalam akibat berlakunya pergeseran antara Anwar dan Azmin Ali. Kini, penyokong kuat Azmin, Zuraida Kamarudin sedang berhadapan dengan tindakan disiplin walaupun ramai penyokong Anwar mahukan beliau dipecat.

Fenomema Bosskur juga tidak boleh diketepikan walaupun Najib berhadapan dengan puluhan kes salah guna kuasa dan penggubahan wang haram. Walaupun kes tersebut belum selesai, imej Najib semakin dipersepsikan sebagai mangsa konspirasi politik yang dipentaskan oleh Dr Mahathir. Biarpun ada desas-desus bahawa Dr Mahathir tidak boleh ‘menerima Najib’, tidak bermakna seluruh kekuatan UMNO akan menyokong cadangan kerjasama dalam Pakatan Nasional, akan tetap ada penentangannya.

Itu dalam percaturan pemikiran politik ‘orang biasa’ tetapi dalam politik ia boleh berlaku di sebaliknya. Bahkan, kalau Jokowi boleh menerima pencabarnya, Prabowo, maka tidak sebab perkara yang sama boleh berlaku. Bak kata hukum politik, tidak ada musuh kekal dan kawan sejati dalam politik, melainkan kuasa. Kalau sebelumnya, Anwar dan Dr Mahathir saling bermusuh, maka ketika berusaha menjatuhkan Najib, kededuanya boleh bersama dan membina harapan dalam politik Malaysia Baharu, maka kali ini, walauupun UMNO dikatakan telah busuk sampai ke usus, Dr Mahathir sahaja melupakannya sebab Melayu Mudah Lupa, kecuali ‘kuasa’.

Sebab itulah persoalan ‘kuasa Melayu’ dan ‘penyatuan Islam’ sentiasa bergema kerana dua faktor itu sentiasa menjadi kuasa penarik ataupun penolak dalam lanskap politik Malaysia. Itulah juga menjadi ‘keperluan besar’ DAP untuk menarik seramai mungkin Melayu-Islam menyertainya. Tanpa sokongan orang Melayu, DAP tidak akan mampu menjadi kerajaan kecuali di negeri-negeri yang menjadi majoriti bukan Melayu, seperti Pulau Pinang.

Apakah situasi ‘di persimpangan dilema’ politik Malaysia Baharu akan berubah sama ada menjadi lebih ‘kebersamaan’ atau terbubarnya Pakatan Harapan, ramai yang mengharapkan “hanya Tuhan saja, Bisa menentukan semua’ lantum Nora dengan suara yang mendayu-dayu.

 

MONOSIN SOBRI

 

Editor's choice

No Comments

    Leave a reply