PERTAHAN KEINDAHAN DALAM MEMBERI NAMA

SESUNGGUHNYA Allah itu indah dan menyukai keindahan dan kebaikan Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: “Allah itu baik dan tidak akan menerima selain kebaikan sahaja.”

Di antara keindahan itu ialah memberi nama yang baik bagi anak dan tidak memberi nama yang mengandungi makna buruk. Islam adalah agama kemudahan seperti yang disebut dalam firman Nya yang bermaksud: “Allah menghendaki kemudahan bagi kamu.” (Al-Baqarah, ayat 185). Justeru, Islam selalu menginginkan kemudahan meskipun hal-hal yang berkaitan dengan pemberian nama, dan Islam tidak menyukai sebarang kesulitan dan kekerasan meskipun juga menyentuh soal pemberian nama.

Sebenarnya kita berasa pelik dan hairan dengan cadangan pihak-pihak tertentu supaya nama yang sudah baik ditukarkan kepada yang kurang baik. Di manakah logiknya dan apakah asasnya? Kemungkinan dalil yang mereka pegang adalah berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “Panggillah mereka (anak-anak angkat itu) dengan (memakai) nama bapa-bapa mereka; itulah yang lebih adil pada sisi Allah. “( Al-Ahzab, ayat 5)

Sebenarnya ayat ini diturunkan khusus mengenai anak-anak angkat yang dibinkan dengan nama bapa angkat mereka. Pada hakikatnya, ayat ini diturunkan untuk menolak adat jahiliah yang sengaja membahasakan anak angkat kepada bapa angkatnya. Setelah turun ayat ini, Nabi Muhammad s.a.w sendiri melarang supaya jangan memanggil Zaid (anak angkatnya) bin Muhammad, tetapi memanggilnya dengan nama bapa kandung, Harithah.

Dalam hal ini, terdapat hadis yang menyebut bahawa Baginda menukarkan nama sahabatnya yang kurang elok supaya lebih elok dan menarik. Rasulullah juga memerintahkan ibu bapa memberi nama anak-anak mereka dengan nama yang baik-baik. Baginda memberi nama anak Abu Thalhah dan Al-Abbas dengan nama Abdullah pada hari kelahirannya. Demikian juga anaknya sendiri, Baginda memberi nama Ibrahim seperti nama bapa para Nabi, iaitu Nabi Ibrahim a.s.

Dan tidak pernah kita dengar Baginda ada melakukan sebaliknya, iaitu menukar nama yang sudah baik dengan nama yang tidak baik.

Dari segi akidah, Islam melarang umatnya memberi nama anak-anak mereka dengan nama-nama yang boleh menyentuh kesucian akidah tersebut seperti nama ‘Allah’, ‘Malikul Muluk’, ‘Syahinsyah’ dan sebagainya. Diriwayatkan bahawa seorang ibu telah menamakan anaknya dengan nama ‘Allah’, kemudian akhirnya anak itu mati dipanah petir yang turun dari langit.

Sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w telah mengubah nama-nama yang membawa pengertian buruk dan juga nama-nama yang elok, tetapi tidak boleh digunakan menjadi nama. Nabi mengubah nama Ashiyah menjadi Jamilah (cantik atau indah), Hasran (rungsing dan kecewa) menjadi Zar‘ah (subur), uham menjadi Basyir (menyampai berita gembira).

Kita disunatkan memilih nama yang baik- baik, bukan menukarkan nama seperti nama Allah. Yang disarankan ialah Abdullah, bermakna hamba Allah. Dikatakan nama Allah sudah digunakan sebelum kedatangan Islam lagi. Ayahanda Nabi Muhammad s.a.w sendiri bernama Abdullah (hamba Allah). Bahkan seorang tokoh munafik di Madinah juga bernama Abdullah ibn Ubay. Dalam hal ini, Allah s.w.t mengajar kita supaya menyeru kepada-Nya (berdoa) dengan menggunakan nama-nama-Nya (Asma Husna) yang baik. “Katakanlah, serulah Allah atau al-Rahman. Dengan nama yang mana saja kamu menyeru-Nya, kepunyaan-Nya nama-nama yang baik itu. Dan jangan keraskan (nyaringkan) doamu pula , dan jangan engkau sembunyikan suara doamu. Carilah jalan antara kedua-duanya.” (Al-Isra, ayat 110)

Oleh Mohd Shauki Majid

No Comments

    Leave a reply