Yang Dipertua Dewan Negara, Yang Dipertua Dewan Rakyat, ahli-ahli Dewan Negara dan ahli-ahli Dewan Rakyat sekalian.

Alhamdulillah, beta memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah subhanahu wata’ala, kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya jua dapat kita bersama-sama pada hari ini dalam istiadat pembukaan penggal kedua, Parlimen Ke-14.

Terlebih dahulu, beta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V sepanjang pemerintahan baginda sebagai yang di-Pertuan Agong XV.

Beta bersyukur kerana dengan kehendak dan izin Allah subhanahu wata’ala jua, beta telah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong XVI. Beta berikrar akan meneruskan kesinambungan pemerintahan yang adil dan saksama berlandaskan prinsip raja berperlembagaan. Semoga ahli-ahli yang berhormat dan rakyat jelata bersama-sama beta untuk memelihara kesejahteraan dan kemakmuran negara.

Beta amat bersyukur dengan keamanan, kesejahteraan serta pencapaian negara secara keseluruhannya, hasil daripada tadbir urus negara yang baik. Kedudukan ekonomi dan kewangan Malaysia kekal kukuh dan berdaya saing meskipun berhadapan dengan cabaran ketidaktentuan ekonomi termasuk kesan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan republik rakyat China serta kejatuhan harga komoditi utama.

Pada tahun lalu, ekonomi negara telah berkembang sebanyak 4.7% dengan dipacu oleh perbelanjaan sektor swasta manakala jumlah perdagangan pula mencatatkan nilai sebanyak RM1.9 trilion dan hutang luar negara juga kekal terurus. Dalam hal ini, beta menyambut baik kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Kesebelas dan Belanjawan 2019 yang telah mengambil kira aspirasi rakyat dan cabaran semasa supaya manfaat pertumbuhan ekonomi dirasai oleh segenap lapisan masyarakat.

KOS SARA HIDUP

Beta menyeru semua pihak, khususnya sektor swasta agar berganding bahu dengan kerajaan untuk membangunkan ekonomi negara dan seterusnya membawa Malaysia menjadi sebuah negara yang lebih disegani di persada antarabangsa.

Kerajaan beta sedar peningkatan kos sara hidup merupakan antara cabaran dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat. Mengambil kira hal ini, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan di seluruh negara untuk membantu rakyat termasuk menubuhkan majlis tindakan sara hidup negara. Di samping itu, kerajaan juga akan memperkukuhkan kerjasama strategik dengan sektor swasta dan badan bukan kerajaan dalam isu-isu kepenggunaan serta meningkatkan penguatkuasaan ke atas pihak-pihak yang mengeksploitasi harga dan mengambil keuntungan berlebihan. Pelbagai inisiatif turut dilaksanakan, antaranya penyelarasan gaji minimum, pemberian bantuan sara hidup, subsidi bersasar, program food bank serta peningkatan kualiti sistem penyampaian kerajaan. Rakyat harus yakin dengan pelbagai langkah yang diambil oleh kerajaan biarpun kesannya mungkin tidak segera dirasai.

Rakyat juga perlu realistik dalam meletakkan harapan kepada kerajaan beta dan terus berusaha untuk memajukan diri ke arah meningkatkan kesejahteraan hidup. Semestinya kerajaan beta akan sentiasa bersama-sama rakyat dalam mengharungi cabaran ini.

Dalam era dunia tanpa sempadan dan kepesatan kemajuan teknologi, kegiatan jenayah cenderung untuk meningkat. Hal ini bukan sahaja boleh menggugat keselamatan negara malah boleh mencetuskan konflik serantau dan global. Beta berharap tahap keselamatan dan kesiapsiagaan dalam menghadapi apa-apa jua ancaman hendaklah terus diperkukuhkan dengan lebih berkesan.

Perkembangan geopolitik antarabangsa juga semakin kompleks. Beta menyambut baik usaha kerajaan memperkenalkan kerangka dasar luar Malaysia baharu dan inisiatif-inisiatif untuk terus memelihara dan mempertingkat hubungan baik dengan negara-negara di seluruh dunia tanpa kompromi terhadap isu-isu kedaulatan negara. Beta juga menyokong dasar luar negara yang terus memperjuangkan nasib golongan yang ditindas di seluruh dunia.

KEJATUHAN HARGA KOMODITI

Kejatuhan harga komoditi kebelakangan ini memberikan kesan kepada pekebun-pekebun kecil di seluruh negara. Sebagai usaha menangani cabaran ini, kerajaan beta akan terus melaksanakan langkah-langkah bagi meringankan beban mereka yang terlibat termasuk mempergiatkan lagi penyelidikan dan pemasaran industri hiliran agrikomoditi, penggunaan bio bahan api, penerokaan pasaran-pasaran baharu dan bekerjasama dengan negara-negara pengeluar lain bagi menstabilkan harga komoditi berkenaan di pasaran antarabangsa.

Di samping itu, pekebun-pekebun kecil di seluruh negara disaran mempelbagaikan tanaman mereka serta meneroka peluang tanaman-tanaman baharu yang dapat memberikan pulangan yang lebih baik agar kesan kejatuhan harga komoditi ini dapat dikurangkan. Beta juga ingin menyeru kerajaan untuk mengambil langkah-langkah strategik bagi menangani halangan perdagangan ke atas minyak sawit dan produk-produk berasaskan sawit khususnya oleh negara-negara Eropah.

Kerajaan beta akan terus membangunkan sektor agromakanan bukan setakat untuk menjamin bekalan makanan malah untuk meningkatkan eksport negara. Beta juga sukacita negara kini dilihat sebagai model dalam pembangunan industri halal, yang mana ia merupakan antara komponen penyumbang kepada ekonomi dengan nilai eksport berjumlah RM43.4 bilion. Dalam hal ini, beta percaya pelan induk industri halal 2.0 akan terus memperkukuhkan industri halal negara di peringkat nasional dan antarabangsa.

Kerajaan beta akan terus berusaha untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat luar bandar, orang asal Sabah dan Sarawak serta masyarakat orang asli dengan mengambil pendekatan yang menyeluruh meliputi pembangunan ekonomi, modal insan dan infrastruktur. Di samping itu, pembangunan wilayah yang lebih seimbang dan inklusif juga akan diberi tumpuan agar dapat mengurangkan jurang pembangunan antara negeri-negeri serta kawasan bandar dan luar bandar. Kesejahteraan rakyat di bandar turut dititikberatkan melalui pembinaan lebih banyak rumah mampu milik, peningkatan jalinan dan kualiti sistem pengangkutan awam serta kemudahan jalur lebar di bawah pelan gentian optik dan kesalinghubungan negara.

RUMAH MAMPU MILIK

Bagi memacu sektor perumahan negara secara menyeluruh, sistematik dan cekap, kerajaan beta sedang melaksanakan dasar perumahan negara 2018-2025. Dasar ini antara lain mensasarkan penyediaan tempat tinggal yang mampan, berdaya huni, berkualiti dan inklusif serta mampu dimiliki oleh rakyat. Dasar perumahan mampu milik negara pula menjadi garis panduan bagi pembangunan rumah mampu milik di bawah kategori perumahan awam yang dibangunkan oleh Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri termasuk pihak swasta. Tumpuan akan juga diberikan dalam usaha untuk mendaya komuniti melalui dasar komuniti negara bagi mewujudkan rasa kepunyaan serta prihatin terhadap harta benda dan fasiliti awam yang dikongsi bersama.

Sistem pengangkutan yang efisien merupakan tulang belakang kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosial negara. Justeru, kerajaan akan terus menggandakan usaha dalam menyediakan rangkaian pengangkutan yang mampan, inklusif, cekap dan selamat. Sebagai langkah proaktif, kerajaan telah menubuhkan Majlis Pengangkutan Kebangsaan, Majlis Perkapalan dan Pelabuhan Kebangsaan dan Majlis Konsultasi Penerbangan Negara untuk membolehkan negara terus berdaya saing di peringkat global.

Kerajaan beta memberi jaminan bahawa kesejahteraan sosial rakyat terutama golongan kanak-kanak, wanita, warga emas dan orang kurang upaya akan terus diberi pembelaan. Pada masa yang sama, semua pihak terutamanya sektor swasta dan badan bukan kerajaan hendaklah bersama-sama memperkukuh jaringan keselamatan sosial dan melindungi golongan mudah terjejas. Beta juga mengalu-alukan usaha kerajaan untuk memperkasakan golongan orang kurang upaya melalui pelan induk aksesibiliti dan polisi inklusif seperti dasar sifar penolakan.

Beta berharap semua pihak mengambil berat terhadap kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar bagi mengelakkan bencana serta kehilangan nyawa dan harta benda. Selain itu, kesedaran terhadap kebersihan persekitaran amat penting bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat serta menjamin daya saing dan kemampanan sektor pelancongan negara bagi menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2020.

Kemajuan dan kesejahteraan negara berkait rapat dengan tahap kesihatan rakyat. Bagi mencapai maksud tersebut, kerajaan beta akan mengukuhkan lagi penyampaian perkhidmatan kesihatan sedia ada dengan mempertingkat fasiliti kesihatan serta memperkenalkan skim saringan dan perlindungan kepada golongan B40. Oleh itu, beta berharap agar rakyat berpendapatan rendah mampu mengakses perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lebih baik, selaras dengan tuntutan maqasid syariah yang menekankan penjagaan nyawa, akal dan keturunan. Dalam pada itu, beta berharap gaya hidup bersukan dan berekreasi terus digalakkan di semua peringkat untuk membina Malaysia yang sihat dan cergas.

DASAR INDUSTRI4WRD

Rakyat hari ini bukan sahaja mahukan pembangunan bahkan sebuah kerajaan yang bersih, telus, bertanggungjawab serta mendaulatkan undang-undang untuk membawa negara ke tahap yang lebih baik. Rakyat juga mahu kerajaan yang mendengar pandangan dan aspirasi mereka. Maka, adalah wajar pemimpin-pemimpin mengambil kira tuntutan tersebut semasa merangka sebarang dasar dan program.

Pendidikan yang berkualiti adalah penting sebagai ejen perubahan bagi merapatkan jurang sosioekonomi dalam masyarakat. Beta menyeru semua pihak mencetuskan idea dan menggembleng tenaga bagi memperkasakan sistem pendidikan negara untuk melahirkan modal insan yang berilmu, berkemahiran dan bersahsiah tinggi seiring dengan dasar industry4wrd (industry forward) bagi memacu industri negara agar lebih berdaya saing dalam era revolusi perindustrian keempat. Kerajaan berhasrat menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global dengan terus memperkasakan program sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik atau STEM, serta pendidikan teknikal dan latihan vokasional atau TVET.

Kerajaan beta juga akan membangunkan bidang-bidang strategik termasuk robotik dan kecerdasan buatan yang mampu menjana kekayaan baharu untuk negara. Kerjasama dengan pihak industri akan digembleng bagi melahirkan modal insan berkualiti, berdaya saing dan mampu memenuhi keperluan industri masa hadapan.

Beta berharap kerajaan akan meneruskan program-program untuk menambah bilangan usahawan, perekacipta serta pencetus inovasi yang mampu mencipta kekayaan baharu. Dalam pada itu, perusahaan kecil dan sederhana perlu meningkatkan produktiviti serta menggunakan teknologi terkini dan automasi untuk berganjak kepada rantaian nilai yang lebih tinggi supaya mampu bersaing di peringkat global. Pada masa yang sama, kerajaan beta akan mereformasi undang-undang buruh bagi memastikan ia mematuhi standard antarabangsa di samping menambah baik aspek perlindungan ke atas pekerja. Liputan jaringan keselamatan sosial akan diperluas kepada golongan yang bekerja sendiri dan suri rumah bagi memastikan kebajikan mereka terpelihara.

Sesungguhnya pembangunan belia penting untuk melahirkan pemimpin masa hadapan yang dapat membina negara yang gemilang dan berwibawa. Ke arah itu, beta mengalu-alukan pelaksanaan program sekolah pemimpin masa hadapan bagi meningkatkan jati diri dan daya kepimpinan anak muda yang berpotensi.

Dalam kita mengejar kemajuan, integriti dan nilai-nilai murni hendaklah terus dititikberatkan. Beta mahu gejala rasuah terus diperangi kerana rasuah membebankan rakyat dan meruntuhkan asas sesebuah negara. Beta suka menzahirkan penghargaan atas usaha kerajaan memperkenalkan Pelan Anti Rasuah nasional dan menggubal undang-undang berkaitan untuk memperkukuhkan tadbir urus dan diharap dapat memperbaiki kedudukan negara dalam indeks persepsi rasuah.

SERUAN PERPADUAN

Pelbagai usaha telah dilakukan untuk memperkukuh perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini. Dalam hal ini, seruan-seruan perpaduan hendaklah tidak tinggal sebagai slogan semata-mata. Sebaliknya, semangat perpaduan dan usaha perlu benar-benar disuburkan dengan ikhlas dan dihargai. Beta menyeru semua pihak untuk menjunjung keluhuran Perlembagaan, terutamanya yang menyentuh sistem demokrasi berparlimen, Raja Berperlembagaan, kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai serta bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Tindakan tegas hendaklah diambil terhadap perbuatan yang boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara. Beta percaya kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan perlu difahami dengan sedalam-dalamnya oleh setiap warganegara tanpa mengira bangsa dan agama. Islam bukan sekadar sebuah agama yang eksklusif untuk kumpulan tertentu, malah ia merupakan cara hidup yang universal dan membawa rahmat buat sekalian alam. Beta amat menyokong usaha kerajaan untuk mempromosikan nilai dan budaya Islam melalui pendekatan rahmatan-lil-alamin dan maqasid syariah berdasarkan ajaran Islam yang sebenar yang diterjemahkan melalui tingkah laku dan keperibadian unggul rakyat Malaysia dan seterusnya menjadi model Malaysia iaitu model negara Islam berbilang kaum yang boleh dicontohi dunia luar. Dalam memperkukuh ajaran Islam di negara ini, agama-agama lain perlu dihormati demi keharmonian dan kesejahteraan hidup kita semua.

Menyentuh berkenaan pengaruh media, terutama penggunaan media sosial secara tidak bertanggungjawab boleh mengancam nilai-nilai murni yang berlandaskan agama dan prinsip moral masyarakat. Sungguhpun kerajaan beta meraikan keterbukaan dan kebebasan bersuara, adalah penting kebebasan ini dipraktikkan dalam lingkungan undang-undang dan norma kehidupan bermasyarakat. Pada masa yang sama, agensi-agensi penguat kuasa hendaklah bertindak tegas ke atas sebarang sebaran media sosial yang melanggar undang-undang.

Ahli-ahli Yang Berhormat,

Pada tahun ini Parlimen Malaysia akan menyambut ulang tahun ke-60. Beta berharap semua pihak menjunjung prinsip demokrasi berparlimen agar ia terus subur dan utuh. Beta menyeru Ahli-ahli Yang Berhormat agar terus memelihara, melindungi dan mempertahankan ketinggian Perlembagaan Persekutuan tanpa kompromi. Sematkanlah kepentingan rakyat di hati serta berbahaslah secara tertib dan berhemah di dewan yang mulia ini.

Beta menghargai sumbangan, jasa dan pengorbanan semua anggota perkhidmatan awam, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, agensi-agensi penyelamat dan pertahanan awam serta rakyat jelata yang telah menyumbang kepada kemakmuran, keselamatan dan kedaulatan negara. Teruskan usaha dan komitmen tersebut bagi memastikan pembangunan dan kemajuan negara dikecapi oleh semua rakyat.

Akhir titah, beta dan Permaisuri Agong berdoa semoga Malaysia serta rakyatnya akan terus diberkati dan dianugerahi Allah subhanahu wata’ala dengan taufik dan hidayah, aman sentosa serta hidup bersatu padu di bawah lindungan-Nya.