PETAKA  PENASIHAT

Sejarah membuktikan bahawa kebanyakan pemimpin jatuh bukan berpunca daripada kebodohan, tetapi disebabkan peranan para penasihatnya, iaitu orang-orang yang rapat dengan pemimpin. Tugasan utama penasihat ialah memberikan nasihat atau pihak yang dimintai pandangan. Pada umumnya, mereka adalah orang-orang kepercayaan, sehingga  pemimpin mempercayai pandangan apa sahaja yang mereka katakan, tanpa berusaha menyelidiki dan mengenalpasti terlebih dahulu perkara-perkara yang hendak disampaikan oleh mereka itu.

Disebabkan peranan  penasihat yang mustahak, tidak berlebihan untuk dikatakan bahawa tegak dan hancurnya suatu negara amat ditentukan oleh kearifan dan kesungguhan pemimpin mendengarkan kata hatinya dalam memilih dan menerima pendapat daripada penasihat. Atas sifat percaya, maka setiap kali berhadapan dengan isu atau perkara, orang-orang inilah yang akan memberikan pandangan sehinggalah diterima sebagai satu keputusan tindakan. Atas kepakaran yang diperoleh itulah kadangkala pemimpin akan menerimanya sebagai keperluan mendesak dan wajib disegerakan bagi mengatasi sesuatu masalah.

Tidak kurang juga terjadi, nasihat yang diberikan apabila dilaksanakan tidak menghasilkan kesan yang positif dan semakin merumitkan keadaan. Hakikatnya, seseorang pemimpin yang berwibawa sentiasa berfikir semula dan berkali-kali sebelum melaksanakan sesuatu tindakan walaupun nasihat itu kelihatan menarik dan bernas. Atas dasar itulah Al-Qur’an memberikan ingatan agar seorang pemimpin sentiasa berwaspada dan berhati-hati mengenai  sesuatu nasihat kerana ia dikhuatiri boleh mendatangkan kesan buruk umpama sokong membawa rebah.

Konon, kejatuhan rejim Firaun adalah disebabkan penasihat dan orang yang rapat dengan raja Mesir itu pada kurun 15 sebelum Masehi. Sebagaimana yang dirakam dalam al-Qur’an, Fir’aun mempunyai ramai penasihat iaitu ahli nujum. Salah satu tugasan mereka meramalkan kuasa Fir’aun di masa hadapan.

Menjelang kelahiran Musa, pada suatu malam Fir’aun bermimpi negeri yang dipimpinnya terbakar. Bagi mengekalkan kuasanya, para penasihatnya menasihati Firaun untuk membunuh semua bayi laki-laki yang baru lahir. Menurut penasihatnya, akan lahir seorang yang akan mengancam kekuasaannya. Namun Musa terselamat setelah diselamatkan oleh Aisyah yang merupakan salah satu istri Fir’aun.

Menurut catatan sejarah, salah satu Fir’aun (fir’aun adalah gelaran raja) ialah bernama Thutmose II.  Dia bukanlah sosok Fir’aun yang hebat kerana selalu berada di bawah bayang-bayang istrinya iaitu Ratu Hatshepsut, yang berperanan penting dalam mengatur kerajaan.

Selain dikawal dan diatur isterinya, Thutmose II mempunyai penasihat penting lain iaitu Qarun dan Haman. Qarun digambarkan sebagai sosok penasihat yang menasihati raja dalam konteks ekonomi negara. Dia adalah seorang tokoh korporat yang berjaya namun serakah dan angkuh. Bukannya memikirkan kesejahteraan rakyat, Qarun menasihati raja untuk memikirkan kepentingan diri sendiri dengan mengumpulkan kekayaan secara melampau.

Sedangkan Haman digambarkan sebagai individu yang cerdik dan licik. Dengan kecerdikan dan kelicikannya, Haman menjadi orang kepercayaan raja. raja sentiasa mendengarkan nasihat-nasihatnya. Dia juga dikenali sebagai seorang penjilat dan pembodek hebat. Haman sentiasa menyetujui idea dan perancangan raja meskipun ia tahu perkara itu tidak betul.

Thutmose II yang terlampau percaya dengan masukan para penasihatnya tenggelam dalam lautan bersama dengan penasihat kanannya iaitu Haman ketika mengejar Musa dan para pengikutnya untuk dibunuh. Raja itu termakan dengan strategi politik membinasakan lawan-lawan politiknya dengan cara apapun mengikuti telunjuk penasihatnya tanpa dapat berfikir waras. Akibat taksub dengan cadangan penasihatnya, Raja berkenaan tetap meredah lautan meskipun ia tahu bahawa cara itu hanya menempah maut untuk dirinya sendiri.

Sebab itulah pemimpin-pemimpin Islam dimestikan melantik penasihat dalam kalangan mereka yang jujur dan  tidak menyembunyikan kebenaran, iaitu memberikan berita-berita berasaskan denyut nadi umat. Penasihat yang jujur, sanggup menerima risiko untuk menyampaikan nasihat baik kerana “yang pahit itulah” nurani sebenar rakyat.

Suatu hari, terjadi dialog antara Syaiban al-Ra’i dengan Khalifah Harun al-Rasyid. Ketika itu, Khalifah bercadang untuk mencari dan melantik beberapa orang penasihat bagi membantunya menguruskan pentadbiran wilayah kekuasaan Islam.

Syaiban berkata:“Wahai Amir al-Mukminin, andainya engkau bersahabat dengan orang yang menjadikan engkau rasa takut sehingga engkau berasa aman lebih baik daripada engkau bersahabat dengan orang yang menjadi engkau rasa aman sehingga menyebabkan engkau mendapat ketakutan.”

Tanya Harun al-Rasyid: “Jelaskan maksudnya untukku.” Jawab Syaiban: “Sesiapa yang berkata kepada engkau: “Engkau bertanggungjawab terhadap rakyatmu, takutlah ALLAH” lebih baik daripada orang yang berkata, “Kamu kaum keluarga Nabi diampunkan dosa kamu, kamulah kerabat Nabi!” (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar’iyyah, 1/198).

Dalam konteks serantau, kes kejatuhan Soeharto sebagai Presiden Indonesia pada tahun 1998 merupakan salah contoh konkrit angkara penasihat dan pembodek kelas wahid. Sejak tahun 1992 lagi, Soeharto sebenarnya menyatakan keinginan untuk meletak jawatan sebagai presiden. Akan tetapi atas nasihat dan masukan yang menyesatkan daripada para penasihatnya yang memupunyai kepentingan terselubung, Soeharto tetap bersedia dilantik semula sebagai presiden bagi penggal ketujuh pada pemilihan presiden pada 1997.

Walhal, Soeharto menyedari bahawa dirinya terlalu lama memerintah dan ramai rakyat yang mula muak dengan pemerintahannya. Beliau pernah menyatakan secara terbuka dalam bahasa Jawa ‘masio ora dadi presiden, ora patheken‘ (meskipun saya tidak jadi presiden, saya tidak peduli). Namun, disebabkan masukan penasihatnya bahawa rakyat Indonesia tidak bersedia dan tiada yang mampu memimpin negara, Soeharto akhirnya bersedia dipilih semula. Akhirnya, beliau jatuh dengan keadaan yang tidak terhormat berikutan demonstrasi besar-besaran oleh mahasiswa dan seluruh komponen rakyat yang marah atas amalan rasuah dan nepotisme yang bermaharajalela di negara republik itu.

Dalam Islam, terdapat dua golongan orang yang rapat dengan pemimpin dalam sebuah pemerintahan. Kedudukan mereka ada yang berkapasiti sebagai penasihat dan ada yang memainkan peranan sebagai seorang sahabat karib yang turut memberi nasihat. Kedua-duanya sama ada disebabkan atas lantikan atau sebagai sahabat lama, mempunyai pengaruh yang cukup besar dalam peribadi dan keputusan-keputusan yang diambil oleh pemimpin.

Dalam bahasa Al-Qur’an, golongan penasihat ini disebut dengan bitonah. Bitonah yang pertama ialah orang-orang yang mempunyai tujuan dan nawaitu yang baik iaitu memberi masukan yang baik dan menjaga pemimpin daripada melakukan keputusan yang salah. Bitonah yang kedua ialah orang-orang yang hanya mengambil kesempatan kedudukannya sebagai orang yang rapat dengan pemimpin bagi tujuan memperkaya peribadi dan kumpulannya.

Bitonah yang kedua ini tidak peduli sama ada pemimpin itu membuat keputusan yang tepat atau malah menjerumuskan pemimpin. Perkara yang penting ialah ia mampu membolot duniawi meskipun negara sebagai taruhannya. Bahkan, ketika pemimpin atau negara dalam keadaan kritikal, bitonah ini berpaling tadah dan sanggup menjual rahsia negara kepada golongan yang berkepentingan.

Meskipun wujud bitonah yang ‘lurus’ dan ‘amanah’, akan tetapi al-Qur’an meminta kepada pemimpin  untuk berwaspada kepada semua penasihatnya terutama dari orang yang bukan kumpulannya. Boleh jadi, penasihat sejenis ini mempunyai agenda tertentu yang tujuannya ialah untuk menghancurkannya. Dan yang paling utama ialah kerana pemimpin tidak mengetahui apa yang terbuku dalam hati dan fikiran penasihatnya yang berkemungkinan mempunyai niat jahat (wama tukhfi suduruhum akbar).

Dalam kerajaan moden hari ini, penasihat terdiri daripada pelbagai latar belakang. Ada yang profesional, ahli politik, tokoh wartawan, kaum agamawan dan intelektual. Dalam konteks golongan agamawan misalnya, penasihat semacam ini dapat dikategorikan sebagai ulama su’ sekiranya mereka tidak dapat memainkan peranan sebagai penasihat agama dalam mempastikan pemimpin dan rakyatnya tidak bergelimang dengan kemungkaran dan kemaksiatan yang nyata.

Ulama su’ yang dipopularkan oleh al-Ghazali, merupakan orang pertama yang akan dihumban ke dalam neraka seandainya mereka terjerumus dengan godaan duniawi dan melalaikan peranan mereka sebagai penjaga dan pengawal prinsip-prinsip agama dalam kerajaan dan amalan hidup rakyat.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud “apabila Allah menghendaki kebaikan kepada seorang pemimpin, maka ia memberikan untuknya seorang menteri (wazir) yang jujur”. Maknanya, jika pemimpin itu lalai, maka penasihat itulah yang akan mengingatkannya. Namun apabila Allah SWT menghendaki sebaliknya, maka ia akan memberinya penasihat jahat yang menjerumuskan pemimpin itu melakukan kejahatan tanpa berusaha menasihatinya.

Kearifan seorang pemimpin dalam menentukan siapa yang akan dijadikan pembantu atau orang kepercayaannya, tidak saja akan menentukan kredibiliti dan nasib si pemimpin, tetapi bahkan akan menentukan nasib sesebuah negara.  Al Ghazali mengatakan punca kejatuhan pemimpin disebabkan kecuaiannya dalam mengelola kerajaan yang dipimpinnya.

Dalam salah satu karyanya, al-Ghazali pernah berdialog dengan bekas pemimpin yang jatuh dan bertanya, “Apa punca kekuasaanmu musnah dan beralih tangan kepada orang lain”? Bekas pemimpin itu menjawab, “aku tertipu oleh kekuasaan dan kekuatan yang aku miliki. Aku melupakan mesyuarat, mengalihkan tugasan kepada penasihat yang tiada pengalaman dan menafikan pegawai kanan. Aku mensia-siakan peluang dan kesempatan yang diberikan dan tidak pula melaksanakan pada masa yang diperlukan.

Al-Ghazali bertanya lagi, “apakah perkara yang paling menimbulkan keburukan?” bekas penguasa berkata “iaitu pegawai yang tidak jujur, berkhianat dalam menyampaikan risalah kerana kepentingan perut mereka sendiri, betapa banyak kerajaan hancur akibat ulah mereka”.

Pada zaman al-Ghazali, praktik-praktik politik yang menyimpang dari ketentuan syari’at bermaharajalela, seperti amalan rasuah, salah guna kuasa dan wujudnya ulama jahat (su’). Imam al-Ghazali menilai bahawa praktik politik yang menyimpang tersebut disebabkan terdapat ulama yang terjerumus dalam perkara duniawi. Mereka tidak lagi mengikuti perintah dan petunjuk al-Quran. Jawatan sebagai penasihat penguasa dimanfaatkan untuk kepentingan pribadinya, membolot wang sebanyak-banyaknya tanpa memikirkan nasib orang yang lemah. Ulama, yang sepatutnya berperanan menasihati penguasa agar sentiasa berada di jalan kebenaran, malah berperanan sebagai perosak tatanan kehidupan bernegara.

Akibat kerosakan moral itulah menyebabkan rosaknya iklim politik empayar Islam. Kemerosotan moral berpunca daripada kesilapan ulama yang terlalu mencintai kedudukan, pangkat dan kesenangan kebendaan sehingga melupakan peranan sebenarnya untuk menasihatkan pemimpin dan menyampaikan dakwah kepada masyarakat awam. Ulama tersebut diistilahkan oleh Al-Ghazali sebagai ulama suu’ (jahat).

Ulama suu’ sanggup menggunakan kedudukannya untuk meraih kesenangan dunia dan mempergunakan kedudukannya sebagai penasihat pemimpin mengumpul harta benda. Tanggungjawabnya untuk menasihatkan pemimpin tidak dilaksanakan dengan baik, bahkan turut menjauhkan dirinya daripada masyarakat awam.Mereka mendekati penguasa sekadar untuk menbuncitkan perut atau melayani akal dan hati yang penuh hasad dan dendam kesumat,jiwa yang rosak dan inginkan tersohor dan takabur,riya,sumaah dan ujub diri.Berapa kerat mereka yang mendekati pemerentah kerana lillah Taala.

Ulama tidak hanya menguasai khazanah pemikiran Islam, baik yang berkaitan dengan aqidah dan syariah, tetapi juga berupaya menerapkan, memperjuangkan dan menyebarkan nilai Islam. Dalam konteks ini, para ulama bukanlah sekadar memahami hujah-hujah daripada al-Quran dan al-Hadith melainkan harus terlibat dalam perjuangan mengubah realiti kehidupan yang bertentangan dengan warisan Nabi.

Mereka harus berani mengingatkan penguasa apabila ada perkara-perkara yang tidak benar atas keputusan dan tindakannya berkaitan dengan hal ehwal pemerintahan. Al-Ghazali mengkisahkan bahawa para ulama salaf sudah terbiasa menghadapi keadaan bahaya dan menyerukan amar makruf nahi munkar secara terang-terangan tanpa disertai rasa takut menerima ancaman jiwa dan seksaan.

Sikap diam para ulama terhadap kemunkaran hanya menatijahkan pemerintahan yang zalim. Oleh itu, ulama perlu berusaha sekuat tenaga membantu para penguasa untuk tetap berada di “jalan” yang benar, walaupun keselamatan nyawa menjadi taruhannya.

Mereka juga menjadi simbol pemilik keilmuan yang luas dan mampu menguasai senario politik sama ada politik serantau dan antarabangsa. Ulama dengan kemampuan seperti ini akan mudah mengawal penguasa dalam menjalankan pemerintahan. Benih-benih pemberontakan dan gejala perpecahan dapat dielakkan dengan kemampuan berpolitik yang dimiliki oleh ulama yang sedemikian.

Al-Ghazali juga mengambil berat terhadap isu punca penjanaan raja-raja, cara-cara membelanjakan harta benda mereka, serta status sah dan haram harta mereka. Al-Ghazali juga menganggap bahawa kehancuran rakyat disebabkan terhakisnya akhlak raja. Beliau mengatakan bahawa rosaknya akhlak raja akibat rosaknya para ulama, dan rosaknya ulama ialah akibat daripada cintanya terhadap kekayaan dan kedudukan. Sesiapa yang dikawal oleh dunia, ia tidak akan mampu melaksanakan kebajikan dan mencegah kemungkaran terhadap raja dan pembesar.

Di samping itu, ulama juga harus tetap mengingati tugas asasnya iaitu untuk melindungi umat daripada kehancuran intelektual, khasnya di bidang agama. Agama mengajarkan manusia menjadi personaliti yang berkualiti dan dapat melahirkan para intelektual yang bermoral. Kejayaan suatu negara menuntut kualiti sumber daya manusia yang hebat. Hal ini bermula daripada pendidikan yang terbaik. Membangun warga yang berpendidikan merupakan modal berharga menuju pemerintahan yang “bersih”.

Sebagai seorang yang diamanahkan untuk memimpin, berhati-hatilah ketika memilih penasihat kerana tidak semua penasihat merupakan orang jujur dan mencintai kebenaran, walaupun mempunyai kepakaran dalam beberapa perkara. Hanyalah pemimpin yang mempunyai penasihat yang mencintai kebenaran mampu menyelamatkan kepimpinannya daripada tersungkur di dunia dan dibebankan dengan azab di akhirat.

Oleh Tan Sri Dr Alies Anor AbduI

Pengerusi Yayasan Maklumat merangkap Pengerusi PWTC

No Comments

    Leave a reply