PH BAKAL ‘KALAH’, DAP ‘KECEWAKAN’ DR MAHATHIR

Sekurang-kurangnya ada dua kesombongan terbesar DAP yang menyertai kempen PRK Tanjung Piai bagi menarik sokongan pengundi Cina untuk kekal mengundi PH. Walaupun DAP tidak meletakkan calon, pemimpin-pemimpinnya sibuk berkempen untuk membantu kemenangan calon Bersatu yang mewakili PH.

Kesombongan pertama harus dipersalahkan kepada Setiausaha Agong DAP, Lim Guan Eng apabila menaburkan fitnah apa yang bakal berlaku sekiranya BN menang semasa berucap merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Peringkat Negeri Johor pada 3 November lalu. Kesombongan kedua ialah perumpamaan yang dibuat oleh Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming sebagaimana dilaporkan oleh Malaysiakini, pada hari terakhir kempen PRK Tg. Piai di Pekan Nanas.

PRK Piai 1

Nga yang juga Timbalan Yang di Pertua Dewan Rakyat menyifatkan UMNO dan PAS seperti ‘mangkuk tandas’ yang hanya menerima “tahi’. Perumpamaan itu secara tidak langsungnya menempelak Nga, apakah beliau tidak mahu menggunakan mangkuk tandas kerana apa yang dibuangnya itu ‘bukan tahi’, mungkin najis yang bernilai emas atau jade berwarna kuning keperangan berkilau seperti ‘tahi musang’ yang menghasilkan ‘kopi luwak’?

Sebagai seorang yang mempunyai kaitan dengan perniagaan kopitiam, Nga lebih arif mengenai keenakan kopi luwak, yang terhasil daripada bahan buangan musang selepas biji kopi yang dimakan diproses. Musang King dan kopi luwak yang terhasil dari ‘tahi musang’ adalah dua perkara yang berbeza. Musang King mendapat sambutan dan harganya dikatakan lebih mahal daripada lain-lain jenis durian. Pastinya, durian Musang King tidak terhasil dari ‘tahi musang’.

Kopi luwak dikatakan kopi yang termahal dan menjadi rebutan kerana zat ‘tahi musang’ menyerap masuk ke dalam biji kopi yang kemudiannya dipanggil ‘tahi musang’. Ertinya, bukan semua tahi tidak bernilai, bahkan pada suatu ketika, kita pernah dengar kisah ‘apek kandar tahi’. Tidak siapa menghinanya, kerana itu adalah profesion yang mendatangkan sumber pendapatan.

Begitu juga sudah muncul industri ‘memproses tahi’ untuk dijadikan pelbagai keperluan, yang awalnya dijadikan baja pokok. Harga baja ‘tahi ayam’ yang diproses semakin meningkat. Begitu juga dengan ‘baja tahi kambing’ kerana manusia semakin sedar tentang bahaya kimia. Baja kimia bukan sahaja boleh mengakibatkan kesan sampingan seperti penyakit kanser, bahkan boleh mencemar alam sekitar.

prk piai 2

Ramai juga melihat telatah DAP dan pemimpin-pemimpinnya seumpama ‘racun kimia’. Racun itu masuk ke dalam pembuluh darah dan seterusnya menyimpan ‘memori’. Apabila sesuatu peristiwa atau keadaan tersentuh, maka ‘racun kimia’ yang tersimpan dalam memori itu membuka pelbagai bentuk luka sejarah. Luka sejarah itulah yang menjadikan orang Melayu tetap tidak boleh menerima DAP. Walaupun MCA pernah melukakan orang Melayu-Islam, luka sejarah mereka dianggap masih terkawal, dan tepatlah seperti yang pernah dikatakan oleh Presiden PAS, MCA menentang hudud bukan menentang Islam.

Ia berbeza dengan DAP. DAP sudah bertekad dan menunjukkan ‘emosi marah’ apabila apa sahaja yang berkaitan dengan Islam hendak diperkemas atau dilaksanakan secara meluas. DAP membantah penggunaan pembesar suara untuk mengalunkan azan atas alasan mengganggu ‘lena tidur’ waktu Subuh. DAP marahkan kerajaan BN kerana mengharamkan Universiti Merdeka. DAP maki hamun ‘kerajaan BN’ apabila Dr Mahathir mengisytiharkan Malaysia sebagai negara Islam (2001). Sebab itulah Dr Mahathir melabelkan DAP sebagai parti rasis dan melampau.

Itu adalah sejarah, tetapi sejak Dr Mahathir boleh menerima DAP hanya kerana ingin menumbangkan BN dan singkirkan Najib, beliau sanggup buat-buat lupa pendiriannya. Kalau PAS dan UMNO boleh bersatu, Dr Mahathir boleh menyindir maka tidak ada sebab gandingannya dengan DAP mencetuskan kesan yang sama. Sudahkah Dr Mahathir ‘meMelayukan DAP’ atau DAP sudah ‘merasiskan’ Dr Mahathir? Ertinya, selagi parti yang diasaskan oleh Dr Mahathir tidak berbeza dengan ‘perjuangan UMNO untuk orang Melayu dan Islam’, selagi itulah DAP menyucuk-nyucuk kalaupun tidak merancang menyingkirkan Dr Mahathir.

Nga juga tidak terkecuali. Sesekali dilihat cuba menjadi lebih mesra dengan orang Melayu-Islam, ia adalah sesuatu yang mudah dibaca. Ia hanya sekadar mengaburi kesendengan orang Melayu bagi menghapuskan rasa benci. Mungkin segelintirnya percaya, Nga ikhlas membantu tetapi masih terlalu ramai orang Melayu melihat Nga tetap mengutamakan orang Cina. Sebab itulah beliau lantang berjuang agar masyarakat atau pertubuhan Cina diberikan tanah pajakan 999 tahun di Perak.

Sebagai seorang yang berpendidikan dan berlatar belakangkan bidang perundangan, Nga tidak sepatutnya menggelar atau mengibaratkan calon MCA yang disokong UMNO dan PAS itu sebagai ‘mangkuk tandas’, kalaupun benar Wee Jeck Seng telah memasang tandas berteknologi tinggai di sebuah pejabat di Kuala Lumpur yang tidak digunakan oleh Lembaga Pelabuhan Labuan (LPA).

Sepatutnya, Nga yang percaya kepada pendedahan seorang ahli DAP yang beberapa hari lalu dilantik sebagai Pengerusi LPA setelah dikosongkan oleh Wee Jeck Seng mengambil pendekatan perundangan, membuat laporan polis dan mendakwanya salah guna kuasa. Nga tidak sepatutnya merendahkan martabat seorang manusia seumpama ‘mangkuk tandas’ walhal rakyat Malaysia tahu, personaliti beliau juga tidak memenuhi ciri-ciri seorang yang budiman.

Nga banyak kali cakap dengan begitu celupar dan dipengaruhi oleh prasangka. Ketika mendapat tahu bahawa PAS dan UMNO bakal memuktamadkan muafakat Melayu-Islam, Nga menuduh PAS dan UMNO bakal melaksanakan hukum Taliban. Ia adalah sesuatu yang melampau dan menyebabkan orang Melayu ‘termakan hati’.

Ketika politik Perak sedang kecoh dengan kontroversi ‘pertukaran Menteri Besar;, Nga turut terpalit dengan kesukaran yang dihadapi oleh Ahmad Faizal Azumu. Faisal merasakan sukar untuknya melakukan sesuatu kepada orang Melayu, kerana sikap DAP. Nga turut memperjuangkan kelulusan kerajaan negeri agar memberi tanah milik kerajaan kepada komuniti Cina atau pertubuhan Cina dengan pajakan 999 tahun, yang amat dekat dengan taraf milik kekal (freehold).

Kenapa individu atau entiti Cina perlu diberikan pajakan selama 999 tahun? Mungkin secara simboliknya DAP mahukan bahawa orang Melayu yang diberi kuasa atas ihsan DAP itu mesti akur, walaupun ia sesuatu yang mustahil. Kontroversi sedemikian sudah pun berlaku selepas PRU ke-12 (2008) apabila DAP mempunyai jumlah kerusi yang lebih besar di Perak.

DAP bersedia menyerahkan tampuk pentadbiran negeri kepada orang Melayu-Islam tetapi mesti ada syarat tertentu. Ketika itu, PAS hanya memiliki enam kerusi (Titi Serong, Gunong Semanggul, Selinsing, Lubok Merbau, Pasir Panjang dan Changkat Jong), DAP 18 kerusi dan PKR tujuh kerusi, ADUN Pasir Panjang dipilih sebagai Menteri Besar. Kenapa?

Secara zahirnya, Nizar Jamaludin mempunyai ikatan persaudaraan dengan Nga Kor Ming dan Nga Kor Ming ada pertalian keluarga dengan Ngeh Koo Ham. Kenapa DAP tidak bersetuju memberikan jawatan Menteri Besar Perak kepada wakil rakyat PKR, sedangkan parti itu mempunyai kerusi lebih banyak daripada PAS?

Ertinya, kerajaan Pakatan Rakyat yang menguasai Perak selama 11 bulan itu dibelakangnya adalah DAP. Sebab itulah kisah pemberian tanah kepada sekolah-sekolah Cina berlaku. Tanah yang diberikan bagi membolehkan pentadbir sekolah menjana pendapatan sendiri hasil tuaian pertanian. Tanah itu diberikan secara pajak selama 999 tahun.

Nasib tidak menyebelahi Pakatan Rakyat ketika itu. Tiga orang wakil rakyat –dua dari PKR dan seorang dari DAP- membuat pengisytiharan terbuka tidak lagi menyokong parti masing-masing menyebabkan kedudukan BN berubah. Tiga wakil rakyat tersebut menyokong BN, maka pada bulan Februari 2009, berlakulah pertukaran Menteri Besar. Selepas itu berlaku pula Sidang DUN di bawah pokok ketapang, di sebuah hotel dan kisah keenggan mengembalikan pakaian rasmi Speaker.

Krisis tersebut mungkin menyebabkan Lim Guan Eng mula ‘meracau’ seperti seorang dilanda ‘jiwa kacau’ dengan melontarkan pendirian, PAS dan UMNO tidak akan membenarkan bukan Melayu-Islam ‘menganggotai kabinet’. PAS dan UMNO akan melabelkan bukan Islam sebagai ‘babi, komunis dan pengganas’ dan akan memboikot produk dan perniagaan bukan Melayu. Ia sebenarnya satu tuduhan melulu kerana apa yang dilakukan oleh pertubuhan bukan kerajaan ialah ‘Utamakan Produk Muslim’.

Tidak pernah disebut ‘memboikot’ produk bukan Muslim. Apa yang sebenarnya berlaku ialah pengeluar produk bukan Islam ‘menipu’ pengguna dengan menggunakan jenama Melayu-Islam dan sijil halal yang tidak sah.Islam mementingkan ‘kebersihan’ dan konsep ‘kerbersihan’ itu adalah lebih luas daripada apa yang difahami oleh bukan Islam. Kebersihan itu turut meliputi penggunaan bahan, kaedah memproses produk dan pembungkusan menggunakan bahan yang halal.

Halal bukan hanya bermaksud, tidak ada bahan yang haram daripada perspektif Islam, cara pembuatan juga mesti mengikuti piawaian halal dengan tidak meletakkan bahan halal dan haram di rak yang sama. Begitu juga ketika memproses, peralatan yang digunakan tidak boleh digunakan untuk memproses produk tidak halal selepas atau sebelumnya.

LGE Piai

Selepas PAS berpatah arang dengan DAP, apa sahaja tindakan PAS dikritik hebat oleh DAP. Sebagai abang besar dalam Pakatan Rakyat, PAS tidak bebas menterjemahkan ideologi politiknya. Pernah di suatu ketika, Lim Guan Eng seperti mengarahkan PAS untuk tidak bercakap mengenai Negara Islam. PAS akur dengan ‘kehendak’ itu, maka keluarkan istilah “Negara Berkebajikan’. Akhirnya, PAS ‘sedar diri’, setiap apa yang dilakukan mesti dapat restu DAP, walaupun tindakan itu tidak melibatkan bukan Islam. Semuanya mahu dikawal.

Kali ini, DAP secara halusnya cuba mengawal Bersatu. PAN tidak akan bersuara apa pun, kerana PAN adalah parti yang dinaungi oleh DAP. Banyak perkara kontroversi tidak diperkatakan oleh pemimpin PAS secara tegas, walaupun, ia adalah suatu penghinaan terhadap Islam. Berbeza sikap dan tindakan pemimpin PAS terhadap UMNO dan PAS. Secepat kilat cuba dikritik. PAN memang menikus bila tikus-tikus politik DAP cuba mengerumuni beras. PAN sedar, tanpa DAP hayat politiknya tidak ke mana.

Senario sedemikian bakal mempengaruhi proses pengundian di Tg Piai. Tinjauan terakhir membuktikan bahawa pengundi Cina semakin berubah sokongan, mereka melahirkan rasa kecewa kepada PH. Kecewa kerana ekonomi yang lembab, perniagaan mereka juga turut terjejas. Orang Melayu mula menunjukkan tanda-tanda reaktif, menzahirkan rasa terkilan kepada PH, termasuk Dr Mahathir sendiri yang terus mengejek dan mempersendakan orang Melayu.

Piai Polls

Pengundi pada hari ini, bukan untuk mengubah kerajaan. Tetapi pengundi mahukan suara mereka didengar secara lantang. Ia mungkin akan memberikan ingatan bahawa, kuasa bukanlah segala-galanya. Kuasa hanya alat untuk memudahkan sesuatu tindakan, tetapi, PH lebih mengutamakan kuasa untuk memperlekehkan sumbangan kerajaan terdahulu dan berterusan mempersoalkan siapakah Perdana Menteri selanjutnya. Mereka kecewa, jawatan Perdana Menteri terus menjadi rebutan walaupun tempoh sepenggal belum tamat. Mereka nampak, itulah sebenarnya permainan politik PH. Politik Brengsek.

Apakah ‘politik brengsek’ itu akan membrengsekkan Bersatu di Tg Piai? Jika ia berlaku seperti diramalkan oleh banyak pihak, maka PH terpaksa akui bahawa prestasi selama 18 bulan memang mengecewakan. Kemenangan BN akan membuktikan bahawa Pemuafakatan Nasional memang bakal mengubah lanskap politik. Tidak terkecuali, momentum yang kuat untuk menukarkan kerajaan pada PRU ke-15.

SELAMAT MENGUNDI.

 

Monosin Sobri

No Comments

    Leave a reply