PH GENTAR TOK MAT, MULAKAN KEMPEN ‘SERANG PERIBADI’

Tulisan Timbalan Pengerusi Amanah Melaka dan Ketua Amanah Bukit Katil, Mohd Sofi Abd Wahab yang disiarkan oleh Akbar Rakyat pada 4 April 2019 jelas mencerminkan ‘ketakutan luar biasa’ mengenai kekalahan yang terpaksa diterima oleh Pakatan Harapan secara hatrik. Kekalahan itu pastinya mengaibkan Kerajaan PH: kalah dalam keadaan PH yang begitu kuat. PH berkuasa di peringkat pusat dan mengawal pentadbiran Negeri Sembilan di mana DUN Rantau adalah satu daripada 36 kerusi DUN.

Benar kemenangan Tok Mat tidak akan mengurangkan jumlah kerusi yang dimenangi oleh PH. Tok Mat hanya mempertahankan kerusi yang dimenanginya sejak dibawa pulang oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam PRU ke-11 (2004). PRU ke-14, Tok menang percuma kerana calon PKR, tidak dibenarkan masuk ke tempat penamaan calon kerana tidak memiliki pas yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR).

Dr S Streram tidak berpuas hati, akhirnya beliau membawa kes tersebut ke mahkamah. Lebih sebulan lalu, mahkamah mengarahkan satu pilihan raya diadakan, dan Dr S Streram kembali dicalonkan untuk mewakili PH manakala Mohamad Hassan mewakili BN. PRK DUN Rantau menyaksikan pertandingan empat penjuru, tetapi fokus utama ialah penentuan dua calon utama ialah BN dan PH.

Dakwa Sofi, sekiranya BN menang, projek-projek pembangunan di Rantau akan terbantut dan kerana itulah beliau menyeru atau merayu pengundi agar memilih Dr S Streram atas kesinambungan pembangunan di situ. Itulah modal yang sama digunakan oleh BN ketika menjadi kerajaan dan pembangkang tetap tidak menjadikan projek-projek pembangunan sebagai modal kempen.

Ia adalah lojik biasa kerana parti pemerintah mempunyai sumber dan keupayaan untuk melaksanakan apa sahaja. Mereka boleh berjanji dan meluluskan projek segera. Bagi pengundi DUN Rantau mereka bukan tidak mahukan pembangunan, tetapi mereka lebih sayangkan Tok Mat yang sudah tiga penggal menaburkan baktinya di situ. Tok Mat tetap dengan pendiriannya, beliau akan terus bersama dengan pengundi DUN Rantau kerana ia adalah tanah kelahirannnya, membesar dan bersekolah.

Sentuhan peribadi Tok Mat memang kuat. Semua pengundi DUN Rantau bukan sahaja kenal Tok Mat bahkan sentiasa menilainya sebagai seorang pemimpin yang tidak wajar ditolak untuk memimpin. Biarpun kali ini Tok Mat tidak boleh memberikan apa-apa projek pembangunan untuk DUN Rantau tetapi Tok Mat boleh memperjuangkannya.

Percubaan untuk mendiskreditkan peranan pembangkang sebagai ‘check and balance’ adalah gambaran kegusaran Sofi Wahab terhadap kekalahan calon PH kerana secara sepintas lalu, Dr Streram sudah awal-awal lagi bakal ditolak oleh pengundi di situ. Sejak awal-awal lagi apa yang diucapkan oleh calon PH itu dianggap ‘tidak bersandarkan kepada reality’ dengan menuduh tiada Balai Bomba, kelewatan pembinan Hospital Rembau dan terbaharu ialah bercadang untuk membina kolej.

Balai Bomba sudah beroperasi November lalu manakala Hospital Rembau menurut kenyataan Menteri Kesihatan akan beroperasi Jun nanti. Sepatutnya sebagai calon parti yang mewakili kerajaan, Dr S Streram boleh bercakap dengan yakin, bukannya saperti ‘orang mabuk’ sebagaimana disifatkan oleh Tok Mat. Gambaran sedemikian seolah-olah mengulangi kesilapan besar calon yang mewakili PH di DUN Semenyih bila mana bercakap tanpa asas dasar yang kukuh. Cadangan untuk membina sebuah hospital di Semenyih akhirnya ‘membunuh’ kerana Menteri Kesihatan menjawab tegas, tidak ada keputusan dan tiada dalam RMK-11.

Walaupun Dr S Streram merupakan seorang pakar bius, setakat ini belum ternampak kejayaan besarnya untuk ‘membius’ pengundi agar menyokong PH. Menurut laporan media dan tinjauan di lapangan, aktiviti kempen yang dianjurkan oleh PH kurang mendapat sambutan walaupun Anwar Ibrahim berkampung di situ. Anwar dilihat begitu bersungguh-sungguh untuk mencari kemenangan kerana ini adalah percubaan pertamanya selepas bergelar Presiden PKR dan boleh dijadikan petunjuk kepada Perdana Menteri agar dapat menyegerakan peralihan kepimpinan, tidak semestinya perlu menunggu setahun lagi.

Walaupun Dr Mahathir terus menyakinkan bahawa Anwar adalah penggantinya, Tok Mat secara gentlemen memberikan kredit walaupun BN menang di Rantau, peluang Anwar tetap ada kerana beliau adalah Perdana Menteri menanti. Maknanya, jika pengundi DUN Rantau memilih BN, Anwar akan tetap dipilih sebagai Perdana Menteri sekiranya Dr Mahathir mahu lakukan.

Dalam keadaan sekarang, Dr Mahathirlah paling berkuasa, dan beliau jugalah yang boleh menentukan siapa sahaja yang akan menggantinya sebelum PRU ke-15. Anwar tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam kabinet Kerajaan PH. Ertinya, jika apa-apa yang berlaku ke atas Dr Mahathir sebelum peralihan kuasa, Anwar belum terjamin kedudukannya sebagai Perdana Menteri. Lojiknya, Dr Wan Azizah lebih berhak. Apakah Dr Wan Azizah akan ‘menyerahkan jawatan’ itu kepada suaminya sebagaimana dilakukan ketika mengosongkan kerusi Permatang Pauh pada tahun 2008?

Sekiranya ini berlaku, apakah Dr Wan Azizah mendapat persetujuan Majlis Pemuafakatan PH? Apakah kesemua pemimpin PKR yang membarisi kabinet Kerajaan PH boleh menerima Anwar sebagai Perdana Menteri? Apakah nanti bakal berlaku kepada barisan kabinet dari PKR yang dilihat pro-Azmi? Bolehkan Anwar menyelesaikan konflik dalam parti akibat ‘gelojoh strategi politik Rafizi’ yang tidak sealiran dengan Timbalan Presiden PKR dan Ketua Pergerakan Wanita?

Selepas PRU ke-15, jaminan Anwar sebagai Perdana Menteri belum tentu kerana ia bergantung kepada parti manakah yang menang dan menerajui kerajaan pusat. Kalau diikutkan sentiment semasa, PH boleh melupakan keinginannya untuk memerintah sepenggal lagi akibat gagal menunaikan janji-janjinya. PH diselubungi emosi marah rakyat kerana sehingga kini masih ‘cakap tak serupa bikin.’

Lebih sepuluh bulan Kerajaan PH mendendangkan ‘kisah hutang’ dan hari ini, Perdana Menteri mula bercakap bahawa kerajaan tidak lagi terbantut dan boleh meneruskan projek-projek pembangunan. Kenapa pengumuman itu dibuat? Orang ramai mula memberikan reaksi, Kerajaan PH benar-benar takut BN memperoleh hatriknya pada 13 April nanti. PH sudah dikecewakan sebanyak dua kali, iaitu di Cameron Highlands dan Semenyih. PH tidak mahu kecundang lagi dan kerana itulah kempen PH banyak mempersoalkan kredibiliti Tok Mat dan keupayaannya untuk meneruskan pembangunan di Rantau.

Tok Mat ditekan untuk mengisytiharkan harta namun dengan tegas dijawabnya tidak perlu kerana dirinya bukanlah Menteri Besar ataupun barisan ‘menteri pasola’ Kerajaan PH. Selepas tidak menjadi, penyokong PH mula membangkitkan kembali cerita yang pernah ditulis oleh Tamrin Ghafar berkenaan Tok Mat yang memindahkan sejumlah wang ke London. Penyokong-penyokong PH sebenarnya sedang berusaha untuk melakukan ‘pembunuhan karakter’ kerana itulah yang dianggap boleh mengalahkannya di situ.

Sepatutnya penyokong-penyokong PH tidak perlu melakukan kesilapan yang sama dengan menyerang peribadi seseorang. Mereka sepatutnya perlu belajar akibat menyerang peribadi calon Cameron Highlands telah menyebabkan M Manogaran tewas. Sindir menyindir peribadilah menyebabkan Dr Mahathir terpaksa menelan pahitnya kekalahan Bersatu di Semenyih, walaupun yang disindir adalah Najib. Pengundi sebenarnya telah bosan dan meluat dengan perspektif kempen yang berteraskan ‘serangan peribadi’ kerana penyerangnya bukanlah dalam kalangan yang tidak pernah membuat silap dan melakukan sunglap.

Dr Mahathir masih belum bersih dengan tindakannya selama 22 tahun. Anak-anaknya begitu kaya dan memiliki ratus syarikat. Rakyat mula memuat naik kembali kutukan dan maki-makian yang pernah dibuat oleh Anwar Ibrahim, Azmin Ali, Mohamad Sabu, Lim Guan Eng dan penentang-penentang Dr Mahathir ketika beliau adalah Perdana Menteri ke-4. Cerita-cerita itu tetap menjadi sebahagian daripada sejarah politik Malaysia yang boleh menjerat Dr Mahathir sendiri. Walaupun ketika ini musuh-musuh Dr Mahathir telah bersama dalam PH, ia tetap dianggap sebagai ‘duri dalam daging’, ia tidak dapat dipadamkan dengan apa cara sekalipun.

Dakwaan Sofi bahawa Tok Mat telah gagal memainkan peranannya menghapuskan kemiskinan penduduk Rantau tidak bermakna Kerajaan PH boleh menghapuskan kemiskinan seratus peratus sekiranya Dr Streram menang. Sebagaimana diketahui, soal menghapuskan kemiskinan seratus peratus adalah sesuatu yang boleh dianggap utopia, kerana tidak ada sebuah negara pun dalam dunia tidak ada rakyatnya yang miskin. Bahkan Amerika Syarikat yang dianggap sebagai sebuah negara yang kaya, jumlah rakyat yang miskin adalah lebih ramai daripada jumlah penduduk Malaysia.

Mungkin Sofi seorang yang terlalu idealis dan kita memang sedar, seorang idealis sebenarnya tidak boleh hidup hanya bersandarkan idealisme semata-mata. Untuk berjaya, ia memerlukan langkah yang boleh memecahkan idealisme itu kepada suatu budaya hidup yang praktikal. Setakat menyenaraikan ‘kelemahan’ memanglah mudah, dan dalam penyenaraian tersebut Sofi telah gagal menunjukkan praktikaliti yang boleh memungkinkan PH melaksanakan program membasmi kemiskinan dalam tempoh singkat sehingga tidak ada lagi rakyat yang miskin di Malaysia secara amnya dan Rantau khususnya.

Beliau sebenarnya masih belum dapat melabuhkan retorik, sebagaimana PH sendiri yang belum menterjemahkan manifesto Buku Harapan menjadi kerangka dinamika politik, ekonomi dan sosial setelah berjaya membentuk kerajaan sejak 10 Mei 2018. Akibatnya imej Kerajaan PH disinonimkan dengan pelbagai panggilan menjengkelkan. Ada yang menterjemahkan PH sebagai ‘pakatan hancing’, ada pula menamakan ia sebagai ‘pakatan hantu’.

Tok Mat didakwa bukanlah seorang pemimpin yang baik kerana tidak menegur pucuk pimpinan parti saperti yang dilakukan oleh Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Shafie Afdal secara terbuka. Apakah itu adalah faktor tunggal yang boleh dikaitkan dengan ciri-ciri pemimpin yang baik? Kalau begitu, kenapakah Mohd Sofi sendiri tidak lakukan apabila barisan menteri yang mewakili Amanah dalam Kerajaan PH gagal berfungsi dengan baik? Apakah yang dilakukan oleh Salehudin Ayub untuk menurunkan kos sara hidup rakyat sehingga kini sedangkan untuk menurunkan harga telur pun beliau telah gagal?

Apakah Mohd Sofi berani menegur Dr Mujahid Rawa yang imejnya semakin tidak menampakkan ketegasan dalam mempertahankan Islam dan menguntungkan Islam? Sehingga kini, Mujahid sudah dilabelkan sebagai Menteri Agama yang begitu lambat memberikan reaksi apabila isu-isu penghinaan agama yang dilakukan oleh bukan Islam sebaliknya lebih tangkas menepis reaksi yang dibangkitkan oleh orang Islam dan pemimpin-pemimpin politik pembangkang.

Khalid Samad juga bermasalah, tidak konsisten dan ada ketikanya membuat tafsiran politik yang berbeza sehingga boleh menggambarkan kelemahan Kerajaan PH. Khalid juga dianggap mempersendakan idealismenya politiknya bila pendirian bercapah mengenai budaya arak, dan menyokong penganjuran Oktoberfest. Apakah Mohd Safi sudah sejiwa dengan tindakan Khalid untuk memindahkan pasar Ramadhan yang secara tradisinya di Jalan Tuanku Abdul Rahman ke Jalan Raja? Soalnya kenapa Khalid memilih Jalan Raja yang hanya boleh memuatkan separuh daripada penjaja  daripada Jalan TAR?

Apakah sikap dan pendirian Mohd Safi apabila Kerajaan PH dipenuhi dengan tindakan membuli rakyat dengan pelbagai keputusan yang membingungkan? Apakah respon Mohd Sofi apabila salah seorang EXCO Melaka bersedia untuk membuka ladang ternakan babi secara komersial di Melaka? Kenapa beliau tidak menyanggah dan membantah ‘lagak sombong’ seorang wakil rakyat yang menyebabkan orang Melayu di Melaka dibuli?  Apakah reaksi Mohd Sofi apabila Menteri Besar Johor lebih mengutamakan ‘cuti’ daripada menangani masalah yang dihadapi oleh penduduk Pasir Gudang ketika isu pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim?

Memang setiap pemimpin ada kelemahannya. Tetapi, apakah kelemahan itu sesuatu yang disengajakan atau hanya sesuatu yang perlukan masa untuk menyelesaikannya. Tidak semua perkara boleh diselesaikan dengan cepat, tetapi tidak bermakna sepanjang 15 tahun Tok Mat menerajui Negeri Sembilan beliau mengenepikan program membasmi kemiskinan. Tok Mat telah berusaha melakukan yang terbaik, ia adalah lebih bermakna daripada hanya bercakap tetapi tidak melakukannya walaupun tidak mencapai kejayaan yang optimum. Membasmi kemiskinan bukan perkara yang mudah, ia memerlukan kesungguhan dan pembabitan semua pihak termasuklah golongan yang dikategorikan sebagai miskin itu sendiri.

Ini bererti, semua pihak memerlukan perubahan budaya dan keinginan yang kuat untuk keluar daripada ‘kitaran kemiskinan’. Tidak mudah untuk mengajak manusia berubah kerana ada yang terlalu terikat dengan budaya dan sudut pandangan masing-masing, bahkan untuk mengajak setiap orang Muslim mengimarahkan masjid juga suatu persoalan yang sukar. Bolehkan Mohd Sofi mengatakan bahawa Amanah boleh menyelesaikan masalah kemiskinan sepenuhnya dalam tempoh sepuluh atau lima belas tahun? Tok Mat sudah berjaya mengurangkan jumlah golongan miskin, tetapi belum berjaya menghapuskan kemiskinan sepenuhnya.

Sepatutnya sebagai pemimpin Mohd Sofi bersedia melontarkan pandangan dan cadangan yang bernas untuk membantu menghapuskan kemiskinan, salah laku pemimpin, bercakap dengan fakta dan mengelakkan diri daripada bercakap tak serupa bikin. Inilah sebenarnya ciri-ciri pemimpin yang berjaya sebagaimana dikaji oleh James Kouzes dan Barry Posner dan rumusannya boleh dibaca dalam buku The Leadership Challenge: How to Make Extraordinary Things Happen in Organizations, yang diperbaharui setiap lima tahun.

Ciri-ciri pemimpin yang baik dan dihormati sejak memulakan kajian pada tahun 1987 menurut Kouze dan Posner ialah: (1) kejujuran; (2) berwawasan (forward-looking); (3) berketerampilan (competent); (4) inspiring; (5) intelligent; (6) broad-minded; (7) fair-minded; (8) dependalble; (9) supportive; (10) straightforward; (11) cooperative; (12) determined; (13) courageous; (14) ambitious; (15) caring; (16) loyal; (17) imaginative; (18) mature; (19) self-controlled; dan (20) independent.

Apakah pendirian Mohd Sofi apabila begitu ramai barisan kepimpinan Kerajaan PH dihadapkan dengan persoalan sijil atau ijazah palsu? Bukankah persoalan ini merupakan ciri teratas yang perlu ada dalam kalangan pemimpin, iaitu jujur. Kejujuran adalah salah satu perkara yang penting dalam menilai integriti seseorang pemimpin. Seseorang pemimpin yang cuba ‘menipu’ atau membiarkan sesuatu yang dianggap salah dan tidak bermoral terhadap maklumat diri adalah suatu tindakan yang tidak berintegriti.

Kenapakah Mohd Sabu membiarkan latar dirinya sebagai seorang yang berdiploma berlegar dalam media sosial sekian lama dan hanya mengakui tidak tamat belajar selepas ianya dipersoalkan? Begitu juga Mahfuz Omar, yang hanya mampu berkomentar ‘lulus tadika’ di bawah Pokok Sena? Bagaimana pula dengan kelulusan diploma Menteri Besar Johor? Setelah dipersoalkan, bukti dari UPM bahawa tidak ada diploma yang dianugerahkan, terbukalah kisah menipu dan ijazah palsu.

Tentunya jika menipu dari awal, ia akan menjadi budaya yang sukar untuk dihapuskan dalam tempoh selanjutnya. Siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri. Ia akan berlaku bila seseorang itu berkuasa dan berpeluang melakukannya. Rakyat akan memerhatikan dan akan menilai apakah dalam budaya politik Malaysia Baru tidak berlaku rasuah, menipu, salah guna kuasa mahupun mencuri. Kemungkinannya tetap ada, selagi manusia hilang nilai-nilai kejujuran dan sentiasa memikirkan kaedah untuk mengekalkan kuasa.

Monosin Sobri

 

 

No Comments

    Leave a reply