‘PH TAK TIPU, TAPI TAK LAKSANA’: PERANGKAP MANIFESTO

Ketika Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berbahas usul menjunjung kasih titah ucapan di raja, seorang wakil rakyat dari PH, M Karupaiya (Padang Serai) bangun mencelah, kerajaan PH “tidak  laksana, bukan tipu rakyat”.

Ismail menjelaskan bahawa kerajaan PH gagal menunaikan manifesto, dan kegagalan itu adalah satu bentuk penipuan.

Bagi memahami konteksnya, istilah menipu boleh diertikan sebagai ‘janji yang tidak ditunai atau dilaksanakan’ dan kerana itu, Kerajaan PH boleh dilabelkan sebagai menipu, walaupun wakil rakyat PH itu menjerit, “(BN) 60 tahun kamu orang tipu tak rasa, ini 100 hari sudah rasa. “

Apa yang cuba dijelaskan oleh Ketua Pembangkang itu ialah kegagalan Kerajaan PH mengenai 10 Janji bagi 100 hari pertama, yang memangnya tidak dilaksanakan, ia berbeza dengan apa yang berlaku dalam tempoh 60 tahun pemerintahan BN.

Jika ada pun janji yang tidak dapat ditunaikan dalam tempoh tertentu, ia dilaksanakan dalam tempoh selanjutnya. Kerajaan terdahulu pernah mengeluarkan laporan indek prestasi manifesto mereka, termasuklah janji yang diubahsuai.

Ia berbeza dengan Kerajaan PH. Manifesto yang dibuat sebelum PRU ke-14 tidak dikaji dengan teliti, termasuk keupayaan kewangan dan dasar yang jelas. Sebab itulah selepas mengambil alih pemerintahan, Kerajaan PH memainkan sentimen ‘negara dibebani hutang lebih RM 1 trilion’ .

Hutang sebenar ialah sekitar RM 686 juta. Selebihnya adalah komitmen kerajaan terhadap pinjaman pihak swasta, jaminan ke atas pinjaman swasta sekiranya masalah berlaku.

Hakiyat ‘hutang lebih RM 1 trilion’ menghantui persepsi orang awam untuk beberapa bulan. Akhirnya, rakyat mula sangsi, apakah hutang itu benar-benar menyebabkan ‘negara bankrap’ dan tidak boleh melakukan apa-apa perbelanjaan lagi? Rakyat mula curiga, beban hutang dijadikan alasan untuk tidak lakukan apa yang dijanjikan.

Jika benar negara telah berhutang sehingga lebih 80 peratus daripada KDNK, bagaimana Kerajaan PH berusaha untuk mendapatkan bon samurai dari kerajaan Jepun? Khabarnya, langganan bon samurai sudah mendapat sambutan baik, bahkan melebihi sasaran.

Apakah bon samurai itu bukan hutang? Kerajaan PH memberikan alasan bahawa pinjaman mudah itu perlu diselesaikan dalam tempoh 10 tahun dengan kadar faedah 0.63 peratus.

Sama ada kadar faedah rendah atau tinggi, ia tetap menunjukkan Kerajaan PH bukannya berusaha mengurangkan jumlah hutang, tetapi menambahkan hutang . Kini, orang awam memahami kenapa angka RM 1 trilion itu muncul?

Ia bukan hutang sebenar kerajaan terdahulu, tetapi ia adalah nilai ambang yang disasarkan oleh Kerajaan PH. Ia juga mungkin suatu nilai yang kemudiannya diisytiharkan lebih rendah pada tahun-tahun berikutnya. Dari situ, Kerajaan PH akan mengisytiharkan kecekapannya mengurus hutang saperti dilakukan oleh Lim Guan Eng di Pulau Pinang.

Apabila hutang dipindahkan kepada kerajaan persekutuan menerusi aset air, Lim Guan Eng mengisytiharkan dalam tempoh singkat, kerajaan negeri berjaya membayar hutang. Kini, strategi hampir sama digunakan. Menangguhkan lebih banyak projek pembinaan infrastruktur yang dibuat oleh kerajaan terdahulu.

Langkah pertama ialah mengecilkan spesifikasi dan mengurangkan bilangan pembinaan stesen serta pembelian gerabak. Pengurangan tersebut kemudian dijelaskan Kerajaan PH telah berjaya membinanya dengan perbelanjaan yang lebih rendah, penjimatan lebih besar. Sampai bila boleh menipu?

Beberapa hari lalu, Perdana Menteri menjelaskan, Kerajaan PH telah membayar faedah pinjaman sebanyak RM 200 juta kepada China untuk tempoh enam bulan. Ertinya, jika menggunakan wang dikumpulkan Tabung Harapan, ia hanya mampu untuk membayar faedah untuk enam bulan.

Apa yang dikhabarkan kepada umum, Tabung Harapan bukan untuk membayar hutang. Mungkinkah ada muslihat lain yang  tidak akan diumumkan oleh Kerajaan PH?.

Banyak pihak mula ‘memahami’, Kerajaan PH memangnya ‘menipu’. Paling mereka fahami ialah bagaimana pemansuhan tol di empat lebuh raya digantikan dengan caj kesesakan pada waktu puncak. Ia adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku,  Kerajaan PH saperti kata Khalid Samad, kerajaan boleh menanggung kos pemindahan tersebut, kerana ia bukan ‘kerja gila’.

Hari ini, Khalid Samad tidak bersuara lagi mengenai tol. Khalid sudah beberapa kali terperangkap dengan kenyataan sendiri, termasuklah ketika bersama PAS, akan menutup kilang arak, selepas subuh. Khalid, terpaksa mencari alasan lain untuk menyokong penganjuran Oktoberfest tahun lalu, rakyat mula rasa tertipu.

Khalid disifatkan berbohong apabila mengatakan ada pelabur dari Timur Tengah bersedia untuk melabur RM 400 bilion dalam projek kereta nasional ketiga. Khalid membisu apabila seorang lagi menteri menafikannya.

Seorang lagi menteri yang rancak berkempen kepada penduduk Simpang Renggam tidak  perlu lagi membayar tol ulangalik ke Johor Bahru. Kerajaan PH akan ‘membayar balik, termasuklah ketika menyambut Aidilfitri tahun lalu.’

Akibat rasa malu dengan kempen yang dikategorikan sebagai ‘menipu’ itu, Mazlee sudah memadamkan apa yang pernah diposkan dalam facebooknya. Walaupun  dipadamkan, ia tidak sepenuhnya terhapus dalam media sosial.

Selain isu tol, kisah Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ikut menjadi bukti ‘penipuan Kerajaan PH’. Ramai golongan muda yakin Kerajaan PH akan melupuskan bayaran balik itu.

Setelah diberikan kepercayaan, Kerajaan PH mengubah syarat bayaran balik, iaitu ditangguhkan selagi pendapatan bulanan tidak mencecah RM 4,000. Walaupun Kerajaan PH tidak menjanjikan pemansuhan bayaran balik, orang awam masih ingat kempen-kempen sebelumnya yang dibuat oleh Pakatan Rakyat perihal pendidikan percuma.

Syarat itu berubah lagi. Kerajaan PH menjelaskan, tidak membayar hutang adalah satu perbuatan yang tidak beretika. Kerajaan mengeluarkan arahan agar para majikan memotong gaji dan setiap wajib membayar walaupun gaji bulanan tidak mencecah RM 4,000. Golongan muda sudah merasakan diri mereka ditipu, dan Kerajaan PH cuba menyalahkan UMNO/BN kerana memainkan isu tersebut.

Kerajaan PH juga terperangkap  dengan isu sistem percukaian. GST dikatakan faktor kenaikan kos sara hidup, maka ia akan digantikan dengan SST. Bila SST dilaksanakan, kos sara hidup tidak turun malah makin meningkat.

Disebabkan Kerajaan PH berhadapan dengan kekurangan pendapatan, diarahkan PETRONAS menyumbang dividen khas sebanyak RM 30 bilion. Sebelumnya, tidak ada dividen khas dipaksakan kepada PETRONAS. PETRONAS dinasihatkan supaya menjual sebahagian kepentingannya kepada pelabur asing.

Tidak cukup dengan itu, beberapa aset dan pegangan badan pelaburan kerajaan, Khazanah Holding dijual. Makin galak Kerajaan PH ‘memfaraidkan’ aset awam. Khazanah Holding dilaporkan rugi RM 6.3 bilion bagi tahun kewangan 2018, kerugian pertama sejak 10 tahun.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, kerugian terbesar disumbangkan oleh Malaysia Airlines Berhad. Polemik terus berlaku, proses pemulihan MAB tidak menunjukkan kejayaan. MAB sebenarnya telah lama rugi, sejak zaman Perdana Menteri ke-4 lagi.

Kini, Kerajaan PH sedang berusaha menukarkan indeks harga pengguna (IHP), kerana IHP tidak tepat. Rakyat sudah rasa tertekan, kerana kaedah baharu itu bakal menyembunyikan banyak perkara, ia seumpama Kerajaan PH memanipulasi angka hutang negara.

Secara terang-terangan berlaku penipuan dalam Kerajaan PH mengenai pemilikan ijazah palsu (beli), sijil yang tidak sah (tidak tamat atau gagal dalam pengajian), dakwaan mempunyai sijil professional, dan nama universiti yang mengeluarkan ijazah. Ia bukan sahaja melibatkan timbalan menteri, turut terperangkap ialah menteri, menteri kanan dan menteri besar yang bernaung di bawah Kerajaan PH.

Bermula dengan Timbalan Menteri Luar Negeri, dari University Cambridge ke Cambridge International University, akhirnya terserlah, ijazah yang dimiliki adalah palsu. Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pula menyalahkan Bernama kerana tidak membuat pengesahan maklumat,  memperoleh ijazah dari Universiti Singapura. Hingga kini, orang awam belum diberitahu universiti manakah yang  menganugerahkan ijazah itu.

Menteri BesarJohor dan Perak ikut termasuk dalam skandal penipuan ijazah atau diploma. Universiti Putra Malaysia mengesahkan tidak ada diploma yang dikeluarkan dan sah Menteri Besar Johor menipu. Menteri Besar Perak juga tidak terkecuali, tetapi, akhirnya beliau mengakui tidak tamat belajar dari Edith Cowan University.

Seorang menteri kanan Kerajaan PH, mempunyai ijazah tetapi tidak ada sijil kelayakan professional dalam bidang akauntan. Ini bermakna, integriti menteri berkenaan sudah tercabar. Setiausaha Politiknya mengesahkan, mereka yang mempersoalkan kelayakan tersebut bakal di saman oleh Lim Guan Eng.

Mohamad Sabu mengakui beliau tidak tamat pengajian manakala Mahfuz Omar hanya ada sijil tadika. Semua orang ketawa dengan penjelasan Mahfuz, sebab pada masa kecilnya, sekolah-sekolah tadika atau prasekolah belum ada. Jika pendedahan itu tidak dibuat oleh warganet, status kelulusan menteri-menteri, timbalan menteri dan menteri besar dalam kabinet Kerajaan PH  jelas‘menipu’ atau ‘cuba menipu’.

Bila terperangkap dengan isu-isu itu, Kerajaan PH seorang demi seorang membuat kenyataan, kelulusan akademik bukanlah faktor penentu untuk dilantik sebagai menteri, timbalan menteri ataupun menteri besar. Di negara-negara barat, menteri yang menipu kelulusan akademik sanggup meletakkan jawatan kerana malu, tetapi di Malaysia, ia terus dipertahankan walaupun asas integriti tercabar.

Kini rakyat membuat tafsiran, patutlah manifesto PH tidak dapat dilaksanakan kerana kecenderungan menipu telah pun timbul sejak awal lagi. Manifesto dirangka dengan tujuan menipu rakyat, meraih  sokongan untuk menjatuhkan BN. Sebab itulah manifesto tidak dapat dilaksanakan. Bahkan, Dr Mahathir akan menanggung dosa akibat mungkir janji.

Kerajaan PH sekarang diselubungi fobia. Fobia terbesarnya ialah tidak mampu bertahan lebih lama, hanya  sepenggal. Janji Kerajaan PH ialah mencipta 1 juta peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun. Secara puratanya ialah 200,000 peluang pekerjaan setahun.

Apa yang kita dengar ialah bukan peluang pekerjaan tercipta, ia adalah pemberhentian kerja, penamatan perkhidmatan dan mengecilkan saiz perkhidmatan awam. Sebaik sahaja mengambil alih pentadbiran, ribuan penjawat awam ditamatkan perkhidmatan atas alasan jawatan itu dilantik atas kapasiti politik.

Kemudian terdengar pula keluhan Perdana Menteri bahawa saiz perkhidmatan awam sudah terlalu besar, dan perlu dikurangkan sebanyak 400,000 jawatan. Proses pengurangannya akan dilaksanakan menerusi  penswastaan agensi, pemansuhkan jawatan kosong yang tidak diisi dalam tempoh dua tahun dan redeployment.

Ini bermakna, jawatan-jawatan penting saperti guru, tentera dan pegawai perubatan turut terlibat. Guru merupakan hampir sepertiga jumlah kakitangan awam. Berdasarkan rekod semasa dan nisbah guru-murid, masih berlaku kekurangan. Maka, pengurangan itu akan menyebabkan nisbah guru-murid akan menjadi lebih besar. Nisbah yang lebih besar akan menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah tidak dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan.

Kalaupun mungkin teknologi boleh membantu, ia tidak bermakna kehadiran guru dalam kelas tidak perlu. Mungkin masalah beban tugas guru tidak dapat diselesaikan kerana perlu mengajar lebih masa. Mungkin guru-guru bukan lagi dibahagikan berdasarkan opsyen mata pelajaran, mereka mungkin akan dilatih untuk mengajar lebih daripada dua mata pelajaran.

Kini, memang guru mengajar lebih dua matapelajaran, tetapi kebanyakan di sekolah-sekolah kurang murid. Di sekolah harian lainnya, mungkin berlaku bila berhadapan masalah kurang guru sama ada ‘cuti bersalin’ ataupun memang tidak cukup guru berdasarkan opsyen.

Dianggarkan pada tahun 2019, sebanyak 1 peratus jawatan dalam perkhidmatan awam dikurangkan. Bagi tahun 2020 dan 2021, masing-masing 2 peratus. Ini bermakna, tahun 2019 sejumlah 16,200 jawatan dimansuhkan dan dalam tempoh tiga tahun membabitkan sejumlah 81,000 jawatan.

Dalam sektor swasta, sepuluh bulan pertama pentadbiran Kerajaan PH, belum menampakkan lebih banyak peluang pekerjaan berjaya dicipta. Apa yang berlaku ialah pengurangan bilangan pekerja dan penutupan beberapa buah syarikat akibat tidak lagi mampu survive dalam persekitaran nilai mata wang merosot, kejatuhan pasaran saham, aliran keluar dana asing dan kejatuhan harga komoditi utama (kelapa sawit dan getah).

Buku Harapan yang mengandungi manifesto Kerajaan PH akan sentiasa diteliti, kerana apa yang terkandung di dalamnya adalah apa yang wajib Kerajaan PH laksanakan, walaupun ia bukan “kitab suci’. Biarpun Kerajaan PH mengatakan sudah berjaya memansuhkan GST dalam tempoh 100 hari, mengeluarkan senarai senarai hitam peminjam PTPTN, ia belum dianggap kejayaan besar. Rakyat  terus terbeban dengan  kos sara hidup, integriti menteri dan timbalan menteri dan penjenamaan semula dasar kerajaan terdahulu.

Selagi Kerajaan PH tidak mengeluarkan perancangan yang lebih jelas dan komprehensif, ia akan tetap dipanggil sebagai ‘penipu’.

Sekiranya perubahan dibuat secara eceran, rakyat belum nampak apakah Kerajaan PH benar-benar jelas mahu memperterjemahkan Malaysia Baru dalam frameworks yang boleh diteliti dan dibahas dengan lebih demokratik oleh orang awam.

Kini mereka terasa ‘hancing’ akibat ‘dikencing’ oleh oportunis politik dalam Kerajaan PH.

 

Monosin Sobri.

 

 

No Comments

    Leave a reply