PH UMPAMA ‘SCAMMER’; DARI EUFORIA KE MIMPI NGERI

 

Ketika fikiran kita tertumpu kepada apa yang bakal berlaku di Semenyih: Esok BN dan PH bakal mengumumkan calon pilihan masing-masing, Azmin Ali dengan bangganya berkata: Bagi saya, dia bukan ‘bossku’ tetapi ‘pencuriku’. Trending ‘bossku’ yang merujuk bekas Perdana Menteri tidak disenangi oleh pemimpin PH. Pemimpin PH rasa terpukul kalau pun tidak terasa ‘dihina’ kerana kalimat “bossku’ telah membantu BN mempertahankan kerusi Cameron Highlands dari dikuasai oleh DAP yang mewakili PH.

‘Bossku’ memperlihat tindakan merendah diri Najib  turun berkempen dan merasai kesempitan hidup peneroka. Tindakan itu menyebabkan PH sedang memikirkan langkah ‘menghalang’ Najib untuk ‘turun ke Semenyih’. Najib mungkin akan turun, walaupun dirinya sedang ‘dihayun’ dengan pelbagai dakwaan, termasuklah sindiran tentang penangguhan perbicaraan penggubahan wang haram lebih RM 40 juta melalui SRC.

Kes itu menyebabkan Azmin menganggap Najib sebagai ‘pencuriku’ walaupun kesahihannya masih terlalu jauh untuk dibuktikan. Azmin seolah-olah tidak menghormati kedaulatan undang-undang; seseorang belum boleh dianggap ‘pencuriku’ selagi ianya tidak dibuktikan bersalah. Mungkin beliau terlupa, sepanjang sejarah perundangan negara, Anwar merupakan tokoh yang paling banyak melakukan penangguhan sehingga proses perbicaraan mengenai Liwat II mengambil masa yang teramat panjang.

Ada-ada sahaja perkara yang bersifat teknikal yang cuba dijadikan alasan untuk menangguh atau menepisnya. Sehingga pertengahan September 2011, berlaku sebanyak 55 kali penangguhan. Rakyat bukan sahaja muak dengan kisah penangguhan tersebut malah melihat Anwar sengaja mencari kesempatan untuk meraih kemenangan berdasarkan kesilapan teknikal. Dalam kes Liwat I pertama, Anwar terlepas daripada hukuman liwat kerana keputusan juri.

Bahkan mungkin Azmin melihat dirinya tidak cukup kuat mengembalikan kepercayaan dan kesetiaan setelah tidak berusaha ‘merobohkan tembok’ yang memenjarakan Anwar. Anwar meringkok dalam penjara beberapa jam sebelum MH 370 dilaporkan hilang dari radar selepas  berlepas dari KLIA menuju Beijing.

Juruterbangnya dikatakan seorang penyokong kuat Anwar. Sejak kehilangannya pada 8 Mac 2014, ia terus dilihat sebagai misteri besar. Bangkai pesawat dan semua penumpang tidak diketahui nasibnya. Ia hanya sekadar disahkan ‘hilang’ tanpa dapat dikesan.

Muncul pelbagai teori konspirasi yang mungkin lebih hebat daripada dakwaan Anwar bahawa pemecatannya pada tahun 1998 sebagai konspirasi membunuh kerjaya politiknya.  Liwat II turut disamakan dengan konspirasi politik pembunuhan karakter. Anwar ‘tidak mati’ kerana dirinya adalah ‘super hebat’ dan disambut oleh isterinya sebagai ‘anugerah Tuhan’.

Azmin menjadi begitu ‘malas’ untuk merobohkan tembok penjara setelah dilantik sebagai menteri besar Selangor. Azmin sebenarnya telah mengecewakan Dr Wan Azizah Ismail yang dicanangkan oleh Anwar, yang tidak dipersetujui oleh PAS. Langkah Kajang saperti membuahkan ‘pusara di lebuh raya’.

Sebagai arkitek penting, Rafizi sekarang sedang berusaha untuk ‘melumpuhkan’ Azmin. Azmin semakin  dilihat tidak lagi ‘sehaluan dengan Anwar’. Azmin adalah ‘peluru’ yang sedang digunakan oleh Dr Mahathir untuk ‘memusnahkan’ Anwar , ‘Perdana Menteri dalam penantian’.

Beberapa hari lalu bertiup khabar angin, Azmin bakal dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri menggantikan Dr Wan Azizah. Tindakan tersebut dilihat selaras dengan kedudukan Azmin sebagai Timbalan Presiden PKR. Dr Wan Azizah sudah tidak ada apa-apa lagi jawatan dalam parti.

Jawatan Presiden PKR telah diambil oleh Anwar Ibrahim tanpa saingan. Dr Wan Azizah sedar, suaminya adalah ‘anugerah Tuhan’ dan teramat layak untuk memimpin parti. Selama ini, Dr Wan Azizah memimpin PKR secara ‘remote control’, tidak akan membuat sebarang keputusan tanpa restu Anwar.

Secara segera, Dr Mahathir berusaha mengekalkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri sekurang-kurangnya untuk tempoh sepenggal. Anwar telah memberikan pengakuan bahawa dirinya tidak terburu-buru. Berikutan perkembangan terbaharu, Anwar dan Wan Azizah tidak termasuk dalam senarai mereka yang dipilih menganggotai Majlis Tindakan Ekonomi Negara.

Ia telah menyebabkan spekulasi kembali mengingatkan bahawa ‘Perdana Menteri dalam penantian’ akan ‘menelan cuka politik’ yang boleh membunuh PKR. PKR bakal berpecah dan kemungkinan penyokong-penyokong Azmin beralih menyertai PPBM. Apatah lagi apabila Kadir A Jasin mengatakan Perdana Menteri masih belum berpuas hati dengan prestasi menteri-menteri Malaysia Baharu. Ia menjadi punca terbentuknya Majlis Tindakan Ekonomi Negara.

PPBM berusaha mengukuhkan kedudukannya dengan menerima permohonan ‘enam jahanam’ dari UMNO sebagai ahli. Walaupun tidak akan melantik mereka  memegang apa-apa jawatan dalam parti dan kerajaan tempoh setahun, ia tetap menyakitkan DAP dan PKR.

Bagi ‘enam jahanam’ itu bukanlah sesuatu yang merisaukan, mereka diberikan peluang mengusung ‘tandu’ untuk mengusung Dr Mahathir. Apa pun, mereka mungkin berkata: Tun teruskan perjuangan yang belum selesai, kami berada di belakang.

Kedudukan kini, PPBM mempunyai 22 kerusi Dewan Rakyat dan Dr Mahathir perlu mencari seberapa ramai lagi wakil rakyat yang ‘ingin menyeberang’ sedangkan PKR melihat kemasukan wakil rakyat UMNO sebagai satu langkah ‘membunuh semangat reformasi’.

Penerimaan ‘enam jahanam’ dan dua orang wakil rakyat UMNO sebelumnya, Mustapha Mohamad dan Mas Ermeyanti disifatkan oleh Ronnie Liu, Setiausaha DAP Selangor amat mengecewakan: ‘Ia adalah satu pengkhianatan terhadap keputusan rakyat. Ini bukan apa yang rakyat mengundi dalam PRU 14.

Apa yang berlaku itu ialah ‘lebih banyak katak daripada UMNO meninggalkan kapal dan meminta menyertai Bersatu.’ Suatu pelanggaran yang mengecewakan kerana Dr Mahathir pernah berjanji tidak akan menerima anggota parlimen UMNO, ‘menerima sampah’. (Rujuk: Dr M terima ‘sampah UMNO’, kata Ronnie Liu, Malaysiakini, 13.2.2019).

Politik Scammer

Sebenarnya, PKR sudah mencapai sasarannya, iaitu membebaskan Anwar. Begitu juga dengan PPBM, penubuhannya adalah untuk menyingkirkan Najib dan menamatkan penguasaan UMNO serta BN sebagai parti yang berkuasa di Malaysia. Dua misi besar telah berjaya dicapai, tetapi misi kepada rakyat terus dilihat seumpama ‘scammer’.

Scammer yang berkembang pesat menerusi kemunculan internet dan seterusnya media sosial tidak pernah ‘hilang akal’ untuk menipu orang awam walaupun pihak berkuasa memberikan amaran, jangan mudah percaya dan membalas mesej yang diterima sama ada menerusi pesanan ringkas, panggilan terputus mahupun e-mail dan pancingan ‘ayat-ayat cinta’ dalam media sosial. Begitu juga amaran bahawa manifesto PH tidak realistik dan boleh menyebabkan negara bankrap tidak dipedulikan. Pengundi seronok dibuai ‘ayat-ayat cinta’.

Politik ‘scammer’ sedang melanda PH. Scammer akan menawarkan ‘ayat-ayat cinta’ yang begitu ‘berkuasa’ sehingga berjaya mempengaruhi mereka yang dalam ‘kesepian cinta’ akibat berpisah, sukar mendapat jodoh calon tempatan, dan mereka yang terpesona dengan keuntungan besar menerusi pelaburan kecil secara pasif.

Scammer berjaya mempengaruhi orang awam sehingga ada yang sanggup ‘menjual rumah’ untuk menambahkan ‘modal pelaburan’ dan tidak kurang juga yang memindahkan wang simpanan kepada akaun ‘tertentu’ hanya percayakan ‘janji manis’ akan berkahwin dan membayar cukai ‘hadiah istimewa’.

Bukan sedikit kerugian yang ditanggung, bahkan ada pesara guru hilang semua bayaran gratiuti yang diterima semata-mata percayakan ‘kekasih maya’ benar-benar hadir untuk mengisi ‘kekosongan jiwa’ sewaktu bersara yang tidak lagi begitu sibuk.

Situasi itulah yang berlaku ketika PH diisytiharkan menang dan berjaya memerintah Malaysia hasil ‘ayat-ayat cinta’ yang diciptakan untuk ‘memburuk-burukkan pemimpin dan BN’ sebagai kleptokrasi; cukup bukti untuk memenjarakan Najib dan menangkap Jho Lo dengan mudah.

Sebaik sahaja Najib menerima kekalahan parti yang dipimpinnya, rumah Najib terus digelidah untuk mencari bukti mengenai ‘kecurian wang 1MDB’. Dirampas apa sahaja yang disyaki boleh dijadikan bukti, bahkan akaun Najib dan parti dibekukan. Passport dirampas kerana Najib didakwa akan melarikan diri. Sebuah pesawat sedang menuju ke Malaysia untuk membawanya.

Setelah isu penggelidahan itu berlaku, Najib terus menjadi igauan PH kerana ‘kerendahan’ dirinya untuk bersama masyarakat dan mengupas ‘ayat-ayat cinta’ yang kalau ditelusuri lagunya, samalah dengan Janji Manismu, dendangan Aisyah dan lagu Kau Lupa Janji, nyanyian Jamal Abdillah.

Kedua-dua lirik lagu tersebut menggambarkan ‘kehampaan’ dan ‘rasa benci’ sebab tidak setia pada janji. Ketika bercinta, semuanya manis tetapi apabila diminta untuk menoktahkan cinta, pelbagai alasan diberikan.

PH menggunakan Buku Harapan:Membina Negara Memenuhi Harapan (Buku Harapan) sebagai ayat-ayat cinta untuk mempengaruhi pengundi. Buku Harapan pula mengandungi: 5 Teras Utama; 10 Janji 100 Hari; 60 Janji 5 Tahun; dan 5 Iltizam Khusus.

Teras 1: Meringankan Bebanan Kehidupan Rakyat (hapuskan GST, menurunkan tekanan kenaikan harga, berkongsi kekayaan secara bersasar, menambah program rumah mampu milik dan mampu sewa, mengurangkan beban hidup anak muda, hapuskan kutipan tol, subsidi minyak bersasar, mempertingkatkan kualiti dan liputan pengangkutan awam, mempertingkatkan akses dan kualiti kesihatan, dan menjamin keperluan makanan rakyat dan kebajikan petani).

Teras 2 ada 19 janji, Teras 3 terdapat 10 janji, Teras 4 dengan 8 Janji dan Teras 5 mengandungi 12 Janji. Lima Iltizam khusus ialah Warga Felda, Masyarakat India, Wanita, Anak Muda dan Warga Emas. Ketika berkempen di Cameron Highlands, warga peneroka mempersoalkan apakah ‘janji manis’ itu telah terlaksana?

Warga peneroka terasa beban sara hidup semakin teruk sehingga ‘harga belacan lebih mahal dari harga kelapa sawit’ dan keadaannya ‘saperti orang bercinta’. Bila ke pasar terpaksa bertanyakan harga barangan kerana mereka semakin tidak mampu untuk membeli.

Untuk Anak Muda, mereka mempersoalkan di manakah peluang pekerjaan yang dijanjikan sekiranya PH berjaya mengambil alih pemerintahan? Dalam tempoh beberapa bulan ini, rakyat Malaysia kehilangan pekerjaan akibat pembatalan dan rundingan semula kontrak terdahulu, penangguhan projek, penutupan kilang dan kelembapan iklim perniagaan, pemindahan operasi kilang akibat tidak yakin dengan keadaan politik negara.

Nilai Ringgit merosot, pasaran saham merudum dan eksport komoditi menurun. Akibat penangguhan kontrak infrastruktur mega, China membatalkan pembelian minyak sawit dari Malaysia.

PH dibelenggu manifesto

Bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia yang pernah terpalit dengan isu pemberian AP dan agihan saham pada era Perdana Menteri ke-4 (Dr Mahathir) menyarankan agar rakyat melupakan manifesto dan berikan masa kepada PH untuk melaksanakan tanggungjawabnya kepada rakyat.

PH yang dibelenggu oleh manifesto kerana gagal menunaikannnya dalam tempoh 100 hari pertama berkata: Jangan biarkan manifesto membelenggu pemimpin daripada mara dalam membangunkan negara kerana anda mungkin hanya akan memerintah untuk satu penggal saja. (Rujuk: Rafidah selar kerajaan PH dibelenggu manifesto, Berita Harian, 9 Oktober 2018).

Sebelum itu, Tan Sri Rafidah Aziz meminta rakyat untuk ‘mengabaikan’ janji 100 hari PH dan katanya, “Jika kita lupakan tentang (tempoh) 100 hari, kita boleh benarkan kerajaan berjalan dengan baik. Sangat penting untuk rakyat faham, semua (langkah) ini tidak boleh terjadi segera, tiada ‘tongkat sakti’ untuknya. Kita perlu bersikap wajar, sepuluh tahun diperlukan untuk semua (masalah negara) ini terjadi dan (sementara) kita tidak mahu ambil masa sepuluh tahun (untuk membaikinya), kita juga tidak mahu hanya 100 hari.” (Rujuk: ‘Abaikan janji 100 hari, beri ruang kepada kerajaan’, Malaysiakini, 1 Jun 2018).

Ketika diminta oleh Khairy Jamaludin mengenai sejauhmanakah 10 Janji 100 hari berjaya ditunaikan, Dr Mahathir menjelaskan: “Kalau kami berdosa, kami tanggung, tapi kami tak anggap manifesto kitab suci Al-Quran atau Bible, jadi bila sampai rintangan kita perlu cari jalan lain untuk tanganinya.”(Rujuk: PH akan tanggung dosa jika tak tunai, kata Dr M, Free Malaysia Today, 19 Julai 2018).

Jawapan itu dengan jelas membuktikan PH telah gagal untuk menunaikan apa yang dilafazkan kepada pengundi sebagai ‘ayat-ayat cinta’. Manakala Lim Guan Eng, Menteri Kewangan yang dipertikaikan mengenai kelulusan ikhtisas sebagai akauntan bertauliah pernah menjelaskan: Malaysia perlukan 3 tahun untuk pulihkan kesihatan kewangan kita dan mengambil tempat sebagai ekonomi baru muncul yang mempunyai harapan untuk mencapai status pendapatan tinggi. (Rujuk: ‘3 tahun diperlukan untuk pulihkan kewangan negara’, Malaysiakini, 1 Januari 2019.)

Sebelum ini ramai pengundi terpesona dengan janji PH untuk ‘menyelamat dan membina semula  Malaysia” dalam masa yang singkat disebabkan Dr Mahathir mempunyai pengalaman selama 22 tahun dan mampu melakukannya secara bijaksana. Dr Wan Azizah yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri yakin bahawa “Tun dengan kebijaksanaan dan pengalaman yang lama, teruja, dan terbukti dalam pemerintahan” mampu membawa Malaysia ke tahap lebih baik. (Rujuk: Kebijaksanaan, pengalaman Tun M mampu lonjak negara, TPM, Berita Harian, 22 Mei 2018).

Tapi, rakyat Malaysia masih melihat kepimpinan Tun Dr Mahathir untuk kali ini masih belum membuahkan apa-apa hasil yang memberansangkan sebaliknya mencari escapism dengan berkata: ‘Malaikat’ pun buat silap. ..Malaikat ada kalanya boleh melakukan kesilapan, jadi bukanlah sesuatu yang mustahil untuk mereka juga berbuat tindakan serupa.” (Rujuk: Malaikat pun buat silap, Utusan Malaysia, 9 Disember, 2018).

Walaupun ‘malaikat’ yang dimaksudkan itu sebagai imej orang yang alim atau suci, rakyat tetap melihatnya sebagai alasan yang sengaja diberikan oleh PH yang telah gagal melaksanakan tanggungjawabnya sebagai pemerintah.

Sebelumnya, rakyat diberikan gambaran bahawa Malaysia akan menjadi lebih baik sekiranya UMNO dan Najib diturunkan. Ia seolah-olah membuktikan bahawa Dr Mahathir mempunyai ‘tongkat sakti’ ataupun setiap sentuhannya boleh menghasilkan emas sebagaimana ‘sentuhan Midas’. Sentuhan Dr Mahathir kini dilihat seumpama ‘scammer’ yang berusaha memerangkap mangsa yang cergas dan ‘kehausan’ dalam media sosial.

9 menteri dalam tempoh 3 hari

Bagi bekas Menteri Kewangan, yang kemudiannya dilantik sebagai Penasihat Majlis Penasihat Kerajaan, rakyat sudah mula ‘bosan’ dengan apa yang berlaku. Menurut Daim: Enam bulan sudah cukup. Kini, kerajaan perlu memberi tumpuan kepada menunaikan janji. Rakyat tahu apa yang berlaku dan itulah sebabnya mereka mengundi untuk menyingkirkan kerajaan terdahulu. Oleh itu, adalah penting bagi mereka untuk tidak mengulangi kepimpinan (kesilapan) yang sama.” (Rujuk: Henti salahkan kerajaan lama – Tun Daim, BERNAMA, 9 November 2018).

Ramai juga rakyat Malaysia hairan, dalam tempoh tiga hari seramai sembilan orang menteri Malaysia Baharu turun ke Semenyih melancarkan apa sahaja yang bersangkutan dengan kementerian masing-masing. Ia menggambarkan, sebelum kekosongan kerusi DUN Semenyih berlaku, tidak pula ada menteri kabinet yang muncul di sana.

Dengan tiba-tiba boleh melancarkan projek dan mengumumkan sesuatu dengan alasan, program berkenaan sudah lama dirancang. Ia suatu lagi ‘penipuan’ seumpama ‘scammer’ sedang berlaku seolah-olah ada harta yang dibekukan oleh pemerintah apabila pemilik asalnya telah meninggal. Pemegang-pemegang amanah sedang membahagi-bahagikan harta tersebut, tetapi ‘kaveat’nya tetap ada, jangan undi parti lain selain PH.

Azmin terus membuat ‘lawak bodoh’ kononnya kerana mereka berkuasa sejak tahun 2008, Perdana Menteri terkejut dengan apa yang berlaku di Semenyih sekarang. Ramai orang tahu, Semenyih mula membangun bukan pada tahun 2008. Projek-projek perumahan sudah dirancang sebelum PH atau Pakatan Rakyat ditubuhkan.

Bahkan pada akhir 1990-an, Semenyih mula menjadi tumpuan pembangunan akibat limpahan daripada pembangunan di Putrajaya. Balakong dan Sri Kembangan sudah menjadi kawasan yang begitu sesak, Bangi dan Kajang juga terlalu padat, Semenyih menjadi tumpuan.

Begitu juga dengan Lebuh Raya Seremban-Kajang (KASEH) sudah diluluskan pembinaannya pada tahun 1997. Projek itu dimulakan pada tahun 2002 dan siap akhir 2009. Ini bermakna, Azmin memulakan naratif dongeng kepada orang awam mengenai Semenyih yang mula di’turun’kan pembangunannya pada tahun 2008.

Pembangunan di Semenyih, projek-projek perumahan sudah dimulakan sekitar penghujung 1990-an, bukan selepas PKR menguasai Selangor. (Rujuk: Amaludin Bakeri, Zuliskandar Ramli, Er Ah Choy dan Azhan Awang, Isu Kenaikan Harga Rumah di Kawasan  Pinggir Bandar: Satu Tinjauan di Mukim Semenyih, Daerah Hulu Langat, Selangor, Asian Journal of Environment, History and Heritage, December 2017: Volume 1, Issue 2, p. 39-59)

Bazar Ramadhan 

Sehingga kini, menteri-menteri kabinet Malaysia Baharu bukan sahaja tidak sehaluan dalam memperkatakan sesuatu, bahkan ada ketikanya bertindak saperti ‘scammer’ untuk mempengaruhi rakyat bagi kelangsungan politiknya. Khalid Samad yang pada suatu ketika begitu kuat menentang ‘kilang arak’ akhirnya menjadi seorang yang amat prihatin dengan penganjur OktoberFest.

Khalid kini sedang dipersoalkan dengan tindakan DBKL yang tidak lagi membenarkan ‘bazar Ramadhan’ dibuka di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman yang menjadi tumpuan ramai dan tempat peniaga Bumiputera mencari rezeki sebelum perayaan Aidil Fitri.

Langkah tersebut dilihat sebagai usaha ‘menyekat’ Bumiputera atau penjaja kecil sedangkan beliau tidak sedikit pun berdetik untuk menutup pusat penjaja yang dimonopoli oleh bukan Bumiputera di Jalan Petaling. Orang ramai mula mempersoalkan, apakah itu dinamakan iltizam untuk memperbaiki nasib dan masa depan penjaja kecil Bumiputera di bandar raya Kuala Lumpur?

Wajah dan perilaku ‘scammer’ tetap membelenggu PH selagi menteri-menteri kabinet Malaysia Baharu tidak menunjukkan keupayaannya menterjemahkan Buku Pakatan Harapan yang banyak terisi ‘ayat-ayat cinta’ yang mempesonakan pengundi dalam PRU ke-14 lalu.

 

Monosin Sobri

 

No Comments

    Leave a reply