Pikat non-Muslim dengan amalkan sunnah Nabi

TIDAK kenal maka tidak cinta, menjadi pepatah paling sesuai menggambarkan usaha jahat individu yang melontarkan penghinaan dan tuduhan memburukkan institusi kenabian. Walaupun ketokohan dan kewibawaannya diakui kawan dan lawan, masih ramai yang dengki dan celupar menghina Baginda.

Orang yang menghina Nabi SAW tetapi belum mengenali ketokohan Baginda, wajar membaca karya pengarang Barat seperti Micheal H Hart dalam bukunya The 100 A Ranking Of Most Influential Person In History.

Perhatikan bagaimana Hart tanpa berselindung, mengagumi insan mulia itu hingga menyenaraikan Baginda sebagai individu paling berpengaruh di dunia, sekali gus mengatasi Isaac Newton pada tempat kedua; Nabi Isa AS (ke-3); Buddha (ke-4) dan Confucius (ke-5).

Sungguhpun begitu, terdapat kenyataan Hart yang bercanggah dengan kebenaran seperti al-Quran dianggap garapan pemikiran Nabi Muhammad, sekali gus perlu diperbetulkan.

Dalam siri syarahan Annie Besant, The Life and Teachings of Muhammad dan diterbitkan di Madras pada 1932, beliau menyebutkan sangat mustahil kepada pengkaji kehidupan dan watak Nabi Muhammad SAW hingga mengetahui bagaimana Baginda mengajar dan hidup, untuk merasakan apa-apa selain penghormatan terhadap insan agung itu.

“Walaupun apa saya sampaikan kepada anda mungkin anda pernah tahu mengenainya, saya sendiri apabila membaca kembali mengenai Muhammad, pasti akan wujud rasa kagum yang baharu dan penghormatan terhadap manusia hebat ini,” katanya.

Montgomery Watt dalam Mohammad at Mecca menyatakan: “Kesediaan Nabi Muhammad SAW untuk menghadapi penganiayaan semata-mata kerana kepercayaannya; karakter bermoral tinggi membuatkan Baginda dijadikan pemimpin; kehebatan pencapaiannya sehingga semua orang berhujah mengenai keikhlasan dan integriti. Namun, untuk mengatakan Muhammad sebagai penipu menimbulkan lebih banyak masalah daripada menyelesaikannya.”

Jelas tuduhan dilontarkan kepada Nabi SAW, tidak berasas. Malah dikhuatiri akan menimbulkan ketegangan agama akibat kejahilan sendiri. Justeru, masyarakat majmuk yang berbilang agama dan budaya perlu tidak mencampuri urusan agama lain. Malah, kita perlu menghayati hak kebebasan beragama dijamin Perlembagaan Persekutuan tanpa cuba menyalakan isu agama dan perkauman yang merugikan semua.

Pada masa sama, masyarakat Islam perlu diajak supaya kembali mengamalkan ajaran Islam dan sunnah Nabi SAW dalam semua lapangan kehidupan yang merangkumi hubungan dengan Allah mahupun sesama manusia serta alam.

Jika tidak, sunnah Nabi SAW hanya indah seperti dikata tetapi malangnya jauh daripada kehidupan umat Baginda. Kegagalan berbuat demikian dibimbangi mengundang persepsi negatif kepada Nabi SAW akibat pengabaian ajaran Baginda oleh umatnya sendiri.

Masyarakat Islam juga perlu berhenti bertelagah sesama sendiri hingga membuka ruang untuk orang lain menghina Islam dan Nabinya. Ingatlah pesan Nabi: “Hampir tiba masa seluruh bangsa akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang kelaparan mengerumuni hidangan.” Seorang sahabat RA bertanya: “Apakah kerana kami sedikit hari itu?” Baginda menjawab: “Bahkan kamu hari itu ramai tetapi umpama buih di lautan dan Allah akan mencabut rasa gentar terhadap kamu daripada hati musuh kamu, lalu Allah akan melemparkan penyakit ‘al-wahn’ ke dalam hati kamu.” Seorang sahabat bertanya: “Apakah al-wahn itu, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Cinta dunia dan takut mati.” (HR Abu Daud)

Kebimbangan itu mungkin disebabkan oleh kesibukan kerjaya dan tugasan seharian sehingga terdapat yang tidak mempedulikan masalah umat di sekeliling. Lebih mengelirukan lagi apabila ada yang langsung tidak sensitif terhadap tohmahan dan penghinaan yang ditujukan kepada institusi kenabian.

Malah ada lebih suka mengejek dan mencaci maki sesama sendiri berbanding berusaha melontarkan idea dan buah fikiran kepada kesatuan ummah untuk keharmonian hidup bersama.

Justeru, umat Islam perlu diajak mempraktikkan sunnah Nabi SAW dalam kehidupan seharian seperti solat berjemaah. Selain berpeluang meraih ganjaran berlipat kali ganda, nilai kesatuan ummah patut dihayati. Ini dapat diperhatikan saf jemaah tersusun rapi dan kesediaan semua untuk berhimpun di rumah Allah SWT tanpa mengira kedudukan dan pangkat. Malah sifat mazmumah seperti sombong diri dan merasa lebih daripada orang lain dapat dihilangkan melalui terapi solat berjemaah.

Sunnah dan ajaran Nabi SAW hendaklah direalisasikan dalam kehidupan seharian agar menjadi teladan dan contoh baik kepada seluruh anggota masyarakat. Boleh jadi dengan cara itu, golongan non-Muslim tertarik mengenali keperibadian Nabi SAW berbanding terus melontarkan penghinaan. Ini bertepatan dengan tujuan perutusan Nabi daripada kalangan manusia agar boleh dilihat dan dicontohi setiap gerak geri dan tingkah lakunya.

Oleh Dr Mohd Ali Muhamad Don

No Comments

    Leave a reply