PILIH PRODUK HALAL DAN BERSIH SYARAK

Setiap produk makanan, minuman dan produk gunaan umat Islam sepatutnya bukan sahaja memiliki ciri-ciri seperti baik, bersih, selamat dan berkualiti, tetapi turut diberi keutamaan kepada status kehalalannya. Islam dengan jelas telah menggariskan ciri-ciri perkara yang halal dan haram sebagai panduan kepada umat Islam. Oleh yang demikian adalah menjadi kewajipan kepada umat Islam untuk memilih produk yang halal bagi mengelak daripada perkara yang diharamkan serta tidak memenuhi kehendak syarak.

Dalam al-Qur’an, terdapat banyak ayat yang menjelaskan tentang perkara ini. Antaranya ialah firman Allah SWT yang bermaksud, “Wahai para Rasul, makanlah daripada benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal soleh; sesungguhnya Aku Maha Mengetahui akan perkara yang kamu kerjakan.” (Surah al-Mu’minun ayat 51).

Firman-Nya lagi yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, makanlah daripada benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadah kepada-Nya.” (Surah al-Baqarah ayat 172).

Kedua-dua ayat ini kemudiannya dihuraikan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud, “Wahai manusia! Sesungguhnya Allah itu baik. Dia tidak menerima sesuatu amalan kecuali yang baik juga. Sesungguhnya Allah memerintahkan kepada orang-orang Mukmin seperti yang Dia perintahkan kepada para Rasul-Nya. Maka Allah berfirman yang bermaksud, Wahai para Rasul, makanlah daripada benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal soleh; sesungguhnya Aku Maha Mengetahui akan perkara yang kamu kerjakan (Surah al-Mu’minun ayat 51).

Firman-Nya lagi yang bermaksud, Wahai orang-orang yang beriman, makanlah daripada benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadah kepada-Nya (Surah al-Baqarah ayat 172). Seterusnya, Rasulullah SAW menyebutkan tentang lelaki yang jauh perjalanannya, rambutnya kusut masai lagi berdebu, dua tangannya menadah ke langit memohon doa: Wahai Tuhan! Wahai Tuhan! Sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, dibekalkan dengan bahan-bahan haram, maka bagaimana doanya diperkenannkan” (Riwayat Muslim dan al-Tirmizi).

Berdasarkan hadis ini jelas bahawa para Rasul dan orang Mukmin diperintahkan supaya makan makanan yang berkhasiat, suci daripada najis dan diperoleh menerusi sumber-sumber yang halal dan diharuskan syarak. Memakan makanan yang halal dan suci mempunyai hubungan yang erat dengan amalan kebaikan, sebaliknya memakan makanan yang haram dan kotor tidak mendatangkan keberkatan sekali gus menjauhkan seseorang itu daripada Allah SWT.

Berhubung hal ini, Sahl bin ‘Abdullah berkata, “Keselamatan itu terletak pada tiga perkara iaitu makan makanan yang halal, melaksanakan perkara fardu atau wajib dan mencontohi Nabi saw.

Selain itu, Abu ‘Abdullah al-Sajiy atau nama sebenarnya Sa‘id bin Yazid r.a. pula berkata, “Kesempurnaan ilmu itu terletak pada lima perkara iaitu mengenali Allah, mengetahui kebenaran, melakukan sesuatu amalan dengan ikhlas kerana Allah, beramal mengikut al-Sunnah dan makan makanan yang halal. Sekiranya salah satu dari lima perkara ini gugur, maka sesuatu amalan yang dilakukan itu tidak diangkat atau tidak diterima”.

Justeru, penggunaan sumber alam hanya terhad kepada yang baik-baik dan halal sahaja. Hal ini disebabkan oleh matlamat akhir kehidupan manusia itu adalah untuk mencapai keredaan Allah swt. Tidak mungkin matlamat ini tercapai jika aspek penggunaan sumber alam ini tidak diambil berat.

Selain ayat 51 Surah al-Mu’minun dan ayat 172 Surah al-Baqarah itu, terdapat dua ayat lain yang memperincikan lagi tentang perkara ini. Allah SWT berfirman yang bermaksud “Wahai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik daripada apa-apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu.” (Surah al-Baqarah ayat 168).

Firman-Nya lagi yang bermaksud, “Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu iaitu yang halal lagi baik, dan bertakwalah kepada Allah yang kepada-Nya sahaja kamu beriman.” (Surah al-Ma’idah ayat 88).

Menurut al-Qurtubiy dalam al-Jami‘ li Ahkam al-Qur’an, perkataan al-akl (makan) dalam ayat-ayat tersebut bermaksud memanfaatkan sesuatu dari segala aspek. Dalam perkataan lain, ia merangkumi makan, minum dan memanfaatkan segala sumber alam yang diciptakan oleh Allah swt untuk kemudahan dan kegunaan manusia.

Oleh itu, maksud kedua-dua ayat ini ialah Allah SWT memerintahkan umat manusia supaya memilih makanan dan menggunakan segala kemudahan sumber alam yang halal (halalan) dan baik (tayyiban) daripada rezeki kurnian-Nya. Al-Tabariy dalam Jami‘ al-Bayan fi Takwil al-Qur’an menjelaskan bahawa halal di sini merujuk kepada sesuatu yang tidak diharamkan oleh syariat, manakala baik pula merujuk kepada sesuatu yang bukan najis serta tidak memudaratkan badan dan akal manusia.

Meskipun manusia diberi kemudahan menggunakan segala sumber alam yang halal dan baik itu, mereka tetap dikehendaki sentiasa mengabdikan diri kepada Allah SWT. Misalnya, umat manusia ditegah daripada mengikuti segala jejak langkah syaitan (Surah al-Baqarah ayat 168). Khutuwat di sini bermaksud amalan-amalan dan langkah-langkah syaitan yang penuh dengan kesesatan dan dosa seperti pemborosan dan pembaziran. Ia patut dihindari kerana dapat menjauhkan umat manusia daripada mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Oleh itu, untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT manusia diperintahkan supaya sentiasa bersyukur (Surah al-Baqarah ayat 172) dan bertakwa (Surah al-Ma’idah ayat 88) kepada Allah SWT di atas segala kurniaan rezeki yang tidak terhad itu.

Di Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) merupakan pihak yang bertanggungjawab memastikan aspek halalan tayyiban ini benar-benar dipatuhi dan direalisasikan dengan mengeluarkan Sijil Pengesahan Halal kepada setiap pihak pengeluar produk yang membuat permohonan Sijil Halal dan lulus dalam proses tapisan halal yang dilakukan.

Selain JAKIM, pihak pengusaha dan pengguna juga perlu memainkan peranan penting dalam memartabatkan aspek halalan tayyiban ini. Bagi pihak pengusaha, mereka perlu memastikan produk yang dikeluarkan oleh perusahaan mereka mendapat Sijil Pengesahan Halal dari JAKIM. Mereka perlu terus menerus memastikan produk yang dihasilkan itu benar-benar menepati piawaian halalan tayyiban. Adalah tidak beretika sekiranya para pengusaha hanya menjaga aspek halalan tayyiban ketika pemeriksaan dilakukan oleh pihak JAKIM. Selepas itu, ia diabaikan tanpa pengawasan yang ketat. Bagi pihak pengguna pula, mereka perlu bijak dengan membeli produk yang mempunyai logo halal Malaysia atau logo halal luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM sahaja. Hal ini bagi memastikan kehidupan kita sentiasa berada dalam pengabdian diri kepada Allah SWT dan jauh daripada mengikut jejak langkah syaitan.

Oleh:

Dr. Mohd Shukri Hanapi,

Pensyarah Kanan,

Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV),

Universiti Sains Malaysia, 11800 Pulau Pinang.

 

No Comments

    Leave a reply