PKM mahu tulis semula sejarah negara

Beliau khuatir tindakan ini boleh mencetuskan huru-hara di negara ini, andainya dibiarkan berterusan.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, juga nampaknya memandang berat isu ini.

Katanya kepada media bahawa tindakan kumpulan ini tidak boleh dibiarkan berlaku, apatah lagi jika motif mereka adalah ‘menghidupkan semula semangat komunisme di negara ini’.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) khabarnya diarah menyiasat perhimpunan bekas ahli PKM di Kajang pada Isnin 2 Disember lalu. Kira-kira 300 orang hadir pada perhimpunan diadakan bagi memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai antara Kerajaan Malaysia dan PKM pada 2 Disember, 1989.

Seorang bekas anggota PKM, Tan Yi Yu, menjelaskan perhimpunan itu bukan hanya untuk mengingati sejarah parti komunis itu, tetapi juga membetulkan salah faham terhadap perjuangan mereka.

PDRM diarah menyiasat apakah pertemuan itu hanya untuk memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai, atau apakah ada niat untuk menghidupkan semula komunisme di negara ini?

Sahabat saya itu berpendapat tidak mustahil perhimpunan di Kajang ini ‘langkah fasa kedua’ selepas langkah fasa pertama mereka sebelum ini, iaitu membawa masuk abu mayat Chin Peng ke negara ini pada 16 September lalu berjaya.

Selain mencipta naratif baharu – bahawa Chin Peng adalah wira dan pejuang kemerdekaan sebenar di negara ini – matlamat kumpulan ini adalah menulis semula sejarah negara.

Perbualan saya dengan sahabat pagi itu mengingatkan kepada kata-kata seorang ahli politik (pada ceramahnya pada 21 Ogos 2011) bahawa dalam peristiwa berdarah di Balai Polis Bukit Kepong pada 1950 lalu, wira sebenarnya adalah pengganas komunis dan bukan pasukan polis kerana mereka ini orang suruhan penjajah Inggeris.

Beliau kemudian mengatakan dia tidak ingat apa yang diucap olehnya. Tidak lama selepas dia meninggal dunia, satu soalan luar biasa berlegar di media sosial, apakah Chin Peng wira atau penjenayah? (Lihat Chin Peng: Hero or Criminal? The Diplomat, 9 Oktober 2013).

Dilahirkan di Sitiawan, Perak pada 21 Oktober 1924, Chin Peng menyertai PKM seawal usia 13 tahun dan dilantik sebagai setiausaha agung pada usia 23 tahun. Ia kekal memegang jawatan itu sehingga meninggal dunia pada usia 89 tahun di Thailand. Mayatnya kemudian dibakar.

Chin Peng mendakwa berjuang untuk memerdekakan negara. Dalam bukunya “My Side of History” dia menyatakan: “I fought a liberation war”.

Bagi Asisten Komisioner Jeremy Ting (bekas pegawai polis di Sarawak), Chin Peng hendaklah diingat sebagai pengganas kerana ia mahu jadikan Malaysia satu negara komunis.

“Please do not revere Chin Peng as a hero. He was never one, ” tegasnya kepada wartawan sebuah akhbar di Sarawak pada September 2013.

Chin Peng dan pengganasnya membunuh tidak kurang 11,000 orang. Pada suatu ketika di Johor, pengganas komunis menembak mati seorang lelaki Cina, menetak isterinya dengan parang sehingga mati, membakar rumah mereka dan membaling anak perempuan mereka berusia 8 tahun ke dalam anggun api.

Di Perak, orang Chin Peng membunuh kejam seorang gadis Cina dengan menusuk paku di kepalanya. Dalam insiden paling tragis di Bukit Kepong, Muar pada 23 Februari 1950, pengganas membunuh 25 orang (pegawai polis, wanita serta kanak-kanak) dan kemudian membakar bangunan balai itu. Disebabkan serangan ini, Chin Peng dipanggil Butcher of Malaya.

Pada tahun berikutnya (1951), orang Chin Peng membunuh Henry Gurney, Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaya.

Saya ingat peristiwa itu kerana pada masa itu saya di bangku Darjah Satu Primary English School Muar dan guru besar (seorang wanita Inggeris) mengadakan perhimpunan khas untuk memaklumkan semua pelajar mengenai insiden itu.

Di bawah perjanjian damai ditandatangani di Hatyai Thailand pada 2 Disember 1989, PKM diberi tempoh setahun (sehingga 1 Disember 1990) untuk menyerahkan senarai nama ahlinya yang mahu pulang ke Malaysia.

Pada masa itu, PKM ada 1,181 ahli sahaja dan daripada jumlah itu, hanya 430 orang memohon untuk dibenarkan pulang. Nama Chin Peng tidak ada dalam senarai.

Namun, 10 tahun kemudian, pada awal 2000, Chin Peng memohon kali pertama untuk pulang ke negara ini, tetapi ditolak Mahkamah Tinggi pada 25 Julai 2005.

Pada Jun 2008, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan itu. Permohonannya kali kedua pada April 2009 untuk pulang ke negara ini juga telah ditolak.

Pada 26 September 2013 lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menggelar Chin Peng sebagai An enemy of the State (seorang musuh negara).

Bagi bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor, sebarang usaha menghidupkan kembali fahaman komunisme di negara ini adalah satu tindakan bodoh.

Sumber  : Berita Harian
No Comments

    Leave a reply