Anwar berkata, beliau me­nyampaikan perkara itu kepada Dr. Mahathir semasa Perdana Menteri melawatnya di wad Hospital Rehabilitasi Cheras petang semalam.

“Pandangan tersebut disambut baik oleh Dr. Mahathir namun harus diputuskan bersama oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan,” katanya dalam ke­nyataan yang dimuat naik di laman Facebook PKR hari ini.

Anwar berkata, beliau juga menyampaikan pandangannya kepada kepemimpinan PKR untuk memastikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Dr. Mahathir yang juga Pengerusi PH, dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selaku Timbalan Perdana Menteri, adalah mantap dan kukuh serta dapat menyempurnakan tanggungjawab dengan cemerlang.

“Saya menggesa rakan-rakan seperjuangan yang telah mene­rima mandat rakyat untuk segera menjalankan tugas-tugas menyelamatkan dan membina semula negara kita,” kata Anwar.

Semalam, Dr. Mahathir menamakan tiga anggota Kabinet beliau iaitu Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri, Presiden PAN, Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan dan Setia­usaha Agung DAP Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan.

Ia susulan kemenangan PH dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei lepas yang memboleh­kannya membentuk kerajaan Persekutuan – BERNAMA