PN BUKA TABIR ‘ZAMAN GELAP’ PH

MUJAHID YUSUF RAWA, bukan lagi seorang menteri tetapi masih lagi seorang politikus yang belum sedar kesilapan tingkahnya sendiri ketika berada dalam kabinet Malaysia Baharu. Sepatutnya Mujahid bersedia membaiki kelemahan pendirian politiknya untuk memperoleh semula kepercayaan pengundi-pengundinya di Parit Buntar.

Dua kali Mujahid tewas (1999 di Jasin, Melaka dan 2004, di Tasek Gelugor, Pulau Pinang) atas tiket PAS. Dua kali juga beliau menang atas tiket PAS (2008 dan 2013 di Parit Buntar, Perak). Kali ketiga, Mujahid menang dan mengekalkan kerusi Parit Buntar (2018) tetapi atas tiket PKR. Ertinya, di Parit Buntar, Mujahid sudah bertapak selama tiga penggal.

mujahit

Bagi PRU ke-15, Mujahid mungkin akan tewas atas faktor pengaruh PAS dan UMNO yang disatukan dalam Muafakat Nasional. Ia menjadi satu tekanan bagi Mujahid, kerana pendiriannya selama lebih 20 bulan sebagai menteri dalam kabinet Malaysia Baharu telah menukarkan idealisme perjuangannnya sehingga dianggap telah melemahkan posisi dan nilai Islam.

Kebangkitan idealisme politik yang tercantum dalam Perikatan Nasional (PN) selepas Pakatan Rakyat (PH) yang bertunjangkan ‘kebersamaan’ tumbang akibat akarnya lemah dimakan anai-anai. Mujahid meracau dan melepaskan rasa kecewanya itu dengan bercakap seumpama ‘Tok Awang Merdeka’.

Tok Awang Merdeka bukan tokoh ciptaan atau mitos. Tok Awang Merdeka adalah satu watak yang pernah hidup dalam masyarkat Kelantan, khususnya di Stesen Bas Kota Bahru dalam tahun-tahun 1980-an. Generasi baharu, terutama ‘digital natives’ tidak kenal dengan Tok Awang Merdeka. Tokoh itu sentiasa bertutur “Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka Kepala Otak Kau! Nak Makan Nasi Belauk Pun Kena Beli’.

Satu lagi hobi Tok Awang Merdeka ialah bila melihat anak gadis duduk di kerusi menunggu bas, akan dicuba untuk menyelit di antaranya. Matanya liar memerhatikan gadis-gadis, dan bila melabuhkan punggungnya, gadis-gadis itu bangun, kerana takut berlaku sesuatu yang kurang elok.

Mujahid walaupun tidak bertempik ‘Kena Beli Nasi Belauk’ tetapi tingkahnya boleh disamakan dengan Tok Awang Merdeka, berusaha mencelah di antara gadis-gadis yang duduk di kerusi sementara menanti bas tiba. Kita boleh perhatikan gerak-gerinya selepas hilang kerusi empuk sebagai menteri Malaysia Baharu.

PAN Gila

Cuma, Mujahid tidak menetapkan wilayah operasinya di Stesen Bas, Kota Bahru. Mujahid mula menggunakan media secara maksimum untuk mengasak PN yang boleh diumpamakan gadis-gadis cantik, bukan sahaja muda dan cantik, bahkan semakin boleh diterima oleh rakyat kerana lebih santun dan berbudi berbanding pemimpin-pemimpin yang terlucut kuasa.

Sejak mengambil alih kuasa daripada PH yang ‘tercirit dan termuntah’ akibat ‘gelora dari dalam’, Mujahid tidak bersedia melihat ‘kecantikan PN’. Setiap hari, sebaik sahaja terbangun daripada tidur yang kurang nyenyak, Mujahid meracau tanpa ada rasional dan hujah yang bernas. Hanya bercakap apa yang terkeluar daripada pemikirannya yang sudah ‘kotor dan terbelenggu’ oleh prejudis.

Dalam tulisan terbaharu, Perikatan Nasional pertahan apa?, Sinar Harian 11 Jun 2020, Mujahid membuat penilaian bahawa PN bukanlah sebuah pemerintahan yang diperoleh secara demokratik di mana prinsip undang-undang dan perpaduan nasional. Keadaan itu telah menjadikan ‘politik untuk berjual beli demi sebuah kuasa.’

Dakwaan Mujahid ialah PN ditegakkan bukan atas ‘pilihan rakyat’ kerana demokrasi itu bertunjangkan ‘dari rakyat, untuk rakyat dan kepada rakyat’. PN yang dilihat sebagai gabungan yang  cuba mengembalikan ‘ketuanan Melayu-Islam’ bukan sahaja melanggar prinsip undang-undang tetapi juga bakal menggugat ‘perpaduan nasional’. Itu adalah rumusan saya terhadap rencana Mujahid, biarpun Mujahid cuba menterjemahkan  Malaysia “semakin menjadi neo-konservatif dalam tindak tanduknya.”

PAN mabuk 1

Mujahid mungkin memahami bahawa demokrasi bukanlah sistem yang sempurna dan penuh ilusi. Biarpun sistem itu dikatakan pilihan terawal dan meluas dalam kehidupan berpolitik, demokrasi berkembang dengan acuan-acuan tertentu masih belum melepaskan sepenuhnya ‘kearifan lokal’ dan ‘nilai-nilai tradisi yang diyakini oleh masyarakat setempat’,  termasuklah nilai-nilai agama, budaya dan moral. Ia bukan sebuah sistem yang bebas nilai sepenuhnya sehingga tiada lagi asas-asas primordial dan diuruskan seratus peratus sebagai ‘bebas’ dan menepati makna ‘kebersamaan’.

Sebelum PH berjaya ‘memerangkap minda pengundi’, kehidupan rakyat di bawah pentadbiran BN selama enam dekad (Perikatan 1957-1974 dan BN 1974 hingga 2018), bertambah baik dari ‘tidak tahu membuat sebentuk jarum’ kepada ekonomi berpendapatan sederhana dan menuju ‘berpendapatan tinggi’ dengan pertumbuhan 5.0 hingga 7.00 peratus setahun. Bahkan pertumbuhan suku pertama 2017 melepasi anggaran yang dibuat sebelumnya, iaitu 5.6 peratus. Masa pentadbiran PH, pertumbuhan ekonomi menguncup di bawah 5 peratus.

Ketika sebelum BN ‘berundur’ catatan dagangan Malaysia meningkat 11.7 peratus kepada RM 155.42 bilion (April 2018) dan bagi empat bulan pertama ia berjumlah RM 597.3 bilion atau meningkat sebanyak 4.9 peratus (Berita Harian, 5 Jun 2018).

Pada tahun 2019, jumlah dagangan telah “menguncup sebanyak 2.5 peratus kepada RM1.835 trilion pada 2019 sejajar dengan permintaan global yang lemah di tengah-tengah ketegangan perdagangan dan keadaan ekonomi luaran yang kurang memberangsangkan.” Itu adalah pengakuan dari Timbalan Menteri Perdagangan Antabangsa dan Perindustrian, Dr Ong Kian Meng pada 4 Februari 2020 (Rujuk: https://selangorkini.my/2020/02/jumlah-perdagangan-malaysia-dijangka-cecah-rm2-trilion/).

PH mabuk

Sebaik sahaja PH memerintah, nilai pasaran saham telah merosot. Menurut laporan Bloomberg, pasaran saham di Malaysia digelar “sore loser’ kerana KLCI adalah satu-satunya pasaran saham di Asia yang mencatatkan penurunan sejak tahun 2019.  Pasaran saham “telah jatuh sebanyak 3.5% sejak PRU14 dan merupakan ‘worst major market in the world so far this year’, terburuk sejak tahun 2016. (Rujuk: “The World’s Worst Major Stock Market Is Really, Really Boring, 16 April 2019,  https://www.bloomberg.com/news/articles/2019-04-15/malaysia-s-stock-market-keeps-missing-out-on-the-global-rally). Apakah Mujahid ‘tidak mengetahuinya”?

Pada 29 Nov 2019, pasaran saham Malaysia adalah yang berprestasi buruk di seluruh Asia sejak PH berkuasa (Rujuk:” M’sia has biggest fund outflow among emerging Asian equity markets”, Malaysiakini, 29 November 2019) di mana “On a year-to-date basis, global funds have yanked more than RM8 billion from local equities, representing the biggest outflow among emerging Asian equity markets.”

Nilai ringgit juga terus merosot. Di akhir pentadbiran BN, nilai tukaran bagi setiap dolar ialah RM 3.80. Pada bulan 12 November 2019, ia ditutup pada paras RM 4.1440 (Berita Harian, 12 November 2019) dan berada pada tahap RM 4.2407 pada 28 Februari 2020 (rujuk: https://my.exchange-rates.org/Rate/USD/MYR/2020-02-28). Ini bermakna harga barangan import akan menjadi lebih mahal disebabkan kadar pertukaran yang tinggi dan hampir kesemua dagangan antarabangsa menggunakan dolar.  Hari ini, ringgit berada pada tukaran RM 4.2660 bagi setiap dolar.

Ia merupakan kesan daripada dasar fiskal yang direncanakan oleh PH di samping faktor pandemik COVID-19. PN terpaksa mengharungi ‘kesukaran’ bagi membebaskan sikap ‘take things for granted’ kerajaan PH tatkala wabak pembunuh itu mula dikesan pada bulan Januari 2020.

PH Mabuk 1

Dalam kepayahan tersebut, PN berjaya mengharunginya dengan berkesan. Kaedah dan tindakan Malaysia bukan sahaja dapat mengawal penularannya, bahkan dipuji sebagai tindakan yang paling berkesan daripada mana-mana negara. Lengkungan mereka yang positif dapat dilandaikan manakala kadar kesembuhan adalah tinggi (84.4 peratus) dan kematian begitu rendah (1.41 peratus). (Rujuk: http://covid-19.moh.gov.my/ 12 Jun 2020).

Dakwaan Mujahid bahawa perbelanjaan membendung COVID-19 menerusi pakej ransangan ekonomi  (RM 250 bilion pertama dan RM 35 bilion kedua) sebagai sesuatu yang ‘tidak sah’ . Alasannya,  tidak dibincang dan mendapat kelulusan dan ia adalah satu bentuk penafian peruntukan undang-undang.

Berdasarkan amalan pengurusan kewangan negara, kerajaan yang memerintah dibolehkan untuk melakukan perbelanjaan lebih awal daripada kelulusan Dewan Rakyat. Semasa kerajaan PH, Lim Guan Eng turut melakukan perkara yang sama dimana Bajet 2018 yang diluluskan sebelum akhir 2017 tidak memasukkan bayaran khas kepada penjawat awam untuk menyambut Aidilfitri (2018)

Awal April 2019, Lim Guan Eng memohon perbelanjaan tambahan sebanyak RM 19.6 bilion bagi menampung kekurangan Bajet 2018. Ia termasuk komitmen kepada Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur (EDL) sebanyak RM 1.4 bilion ,  landasan berkembar KTM sebanyak RM 1 bilion,  RM 4 bilion diperlukan untuk membayar ‘khidmat hutang off balanced sheet’ dan RM 6 bilion lain-lain komitmen sebelumnya. RM 9 bilion untuk ‘penstrukturan semula perbelanjaan operasi’. (Rujuk: https://www.malaysiakini.com/news/470559).

anwar mahathir

Kenapa ketika itu, Mujahid tidak menyatakan pendirian bahawa “berbilion kantong negara dibelanjakan tanpa kelulusan parlimen”? Ia bukan soal jumlah, tetapi piawaian yang diguna pakai oleh Mujahid ketika membuat tuduhan dan tidak merujuk kepada amalan yang juga berlaku ketika PH memerintah.

Pendirian ‘double standard’ itu jelas boleh dilabelkan sebagai hipokrasi atau munafiknya Mujahid (jangan silap faham, munafik itu tidak merujuk kepada keyakinan agama , ia adalah keyakinan terhadap prinsip dan urusan pentadbiran kerajaan).

PH sebenarnya gagal menguasai ‘aparatus kerajaan’ sepanjang pentadbirannya selama 22 tahun. Sejak PH memulakan ‘naratif berkuasa atas pilihan rakyat’, hubungan dengan penjawat awam tidak mesra; ada pemimpin PH mendakwa berlaku sabotaj, sukar memberikan kerjasama sehingga mempopularkan ‘government of the day’. Kenapa persekitaran itu muncul dan berlaku?

Separuh daripada masalah itu berpunca daripada sikap dan budaya elit politik PH yang ‘bijak bercakap, lemah tindakan’ dan ‘lambat belajar budaya organisasi’. Sebagai penasihat Majlis Perundingan Kerajaan (MPK) telah memberikan amaran, enam bulan pertama boleh diterima. Selebihnya, ia sesuatu yang tidak boleh diterima.

azmin vs anwar (2)

Dalam mana-mana organisasi, ia ada peraturan dan obligasinya. Elit politik, walaupun berkuasa dan mempunyai ‘kuasa pemutus’, ia tidak boleh mengarahkan penjawat awam sekehendak hatinya. Kita boleh sahaja melihat bagaimana dalam beberapa insiden, penjawat awam cuba dikambinghitamkan oleh elit politik PH. Ia bukan sahaja melihatkan pertukaran penjawat awam dalam tempoh 24 jam, bahkan, ada penjawat awam terpaksa menghabiskan kerjayanya dalam keadaan ‘demoralise’.

Kini, PH semakin menuju ‘jalan kematian’ dan terpaksa berjuang secara ‘underground’ setelah terlucut kuasa. Ketika inilah PH masih belum sedar, termasuk Mujahid sendiri. Kalau benar beliau cintakan penyatuan Melayu-Islam, beliau tidak akan berjuang dalam PH. Terdapat sebuah parti yang benar-benar menjadi punca perpecahan politik Melayu-Islam kecuali PAN, mungkin akan berlaku jika kepimpinan parti itu ‘sedar daripada lamunan’nya.

DAP bukan sahaja menghancurkan Pakatan Rakyat. DAP telah memecahbelahkan PAS kepada dua, PAS dan PAN. DAP juga memecahbelahkan Pakatan Harapan, tapi belum berkubur. PKR berpecah dua, kem Azmin membawa diri bekerjasama dengan serpihan PPBM, UMNO dan PAS untuk menubuhkan Perikatan Nasional. Dikatakan sekurang-kurangnya ada sebelas wakil rakyat bersama Azmin Ali. PPBM juga berpecah dua, perpecahan yang juga dapat dikaitkan dengan DAP.

Muhyiddin telah membawa 21 orang wakil rakyat keluar PH kerana tidak  sanggup bekerjasama dengan DAP. Usaha menjauhkan diri daripada DAP sebenarnya ada kaitan dengan hasrat Tun Dr Mahathir bagi membolehkan PPPBM benar-benar mengisi erti politik ‘ke-Melayu-an’, untuk mengambil peranan UMNO.

In this May 9, 2018, photo, Mahathir Mohamad, right, speaks to media during a press conference to announce victory on election as Muhyiddin Yassin, president of Malaysian United Indigenous Party stands next to him at a hotel in Kuala Lumpur, Malaysia. Bersatu party said in a statement Friday, Feb. 28, 2020 that 36 lawmakers, including nearly a dozen who defected from Anwar Ibrahim's party, have decided to support party President Muhyiddin Yassin instead of Mahathir as prime minister. (AP Photo/Vincent Thian)

Langkah Sheraton  menjadi isyarat kepada penyatuan semula parti-parti politik Melayu agar boleh disifatkan sebagai perjuangan menolak DAP, bukan menolak parti-parti bukan Melayu. DAP ditolak kerana 22 bulan dalam PH, ia telah berjaya membawa agenda bukan Melayu walaupun ada yang terpaksa ditangguhkan. Misalnya, ratifikasi i-CERD, Statut Rom dan pengiktirafan UEC.

Sekarang, PH semakin kalut dengan pertarungan siapakah Perdana Menteri ke-9. Anwar sudah terkeluar sebanyak tiga kali daripada menduduki kerusi Perdana Menteri ke-5 (1998), PM ke-7 (2008) dan PM ke-8 (2020).

Minggu lalu, keluar kenyataan bahawa PH telah bersetuju melantik ‘seseorang’ sebagai calon PM sekiranya gabungan itu berjaya merampas semula kuasa. Dikatakan sudah mempunyai bilangan yang cukup, namun akhirnya Anwar mengakui bahawa PH cuma ada 107 wakil rakyat yang menyokong. Azmin membuat formula matematik yang ‘menyakitkan Anwar’ , iaitu 129-1 =107. (Rujuk: https://www.projekmm.com/news/berita/2020/06/11/mana-129-kerusi-azmin-tampil-formula-matematik-ringkas-sindir-ph/1874419).

Dr Mahathir cuba memindahkan isu siapakah sebenarnya bakal Perdana Menteri selepas Muhyiddin dengan troll cadangan untuk menubuhkan sebuah parti baharu, dinamakan parti AAD, Apa Aku Dapat. Ringkasan nama parti itu dibelasah oleh warga maya dengan membacanya sebagap parti Apa Anakku Dapat. Ia merujuk kepada perjuangan tanpa henti Dr Mahathir untuk menjamin kedudukan anaknya, Mukhriz Mahathir agar boleh diterima sebagai Perdana Menteri pada suatu ketika.

BUBAR PARLIMEN

Apa tujuan dan alasannya, sudah banyak diperkatakan. Antaranya bagi menjamin legasi Dr Mahathir, termasuk kekayaan keluarganya tidak dipersoalkan. Dr Mahathir ingin mengabui rakyat bahawa kekayaan anak-anaknya adalah dengan ‘usaha keras’ bukan nepotisme atau kroni.

Anwar dikatakan tidak mempunyai kekuatan memadai untuk ‘merampas’ jawatan Perdana Menteri secara bersendirian. Anwar memerlukan sokongan Dr Mahathir, dan ia terpaksa berpura-pura menyatakan antara mereka tidak ada masalah. Namun, rakyat sudah dapat membaca, Anwar masih mengharapkan Dr Mahathir akan dilantik sebagai Perdana Menteri sementara sekali lagi, jika PH menang.

Mahathir kemudiannya akan menyerahkan jawatan itu  dan akan meletakkan Mukhriz sebagai menteri paling kanan. Sekurang-kurangnya itulah persepsi awam yang muncul ketika PH bertangguh untuk mengumumkan siapakah calon Perdana Menteri dalam episod ‘rampasan kuasa’ yang dikatakan akan berlaku pada 13 Julai 2020.

Muhyiddin menanti keputusan itu dengan tenang. Muhyiddin mempunyai perkiraan yang cukup rapi untuk berhadapan dengan kerakusan PH. PH merasakan kedudukan mereka semakin ditolak oleh rakyat, maka secara agresif perlu diambil bagi menjatuhkan Muhyiddin.

Dalam tempoh menyediakan ‘execution plan’ itu, PH akan membuat pelbagai serangan termasuklah serangan yang dilakukan oleh Mujahid melabelkan kerajaan PN bukan berasaskan mandat rakyat, perbelanjaan yang dibuat oleh PN bukan berdasarkan undang-undang dan peraturan manakala ‘membeli wakil rakyat’ dengan pelbagai jawatan dalam kerajaan (lantikan dalam GLC dan GLiC).

JAHIT 1

Turut dikecam ialah ‘pembebasan’ mereka yang didakwa ada kaitan dengan 1MDB, termasuk anak tiri Najib. Namun, isu itu menerima reaksi yang sukar juga untuk PH menjawabnya apabila tersebar surat Lim Guan Eng kepada Peguam Negara (Tommy Tomas) untuk melepaskan pembekuan akaun seorang taikun hartanah berketurunan Cina. Bekas Peguam Negara turut didedahkan, pembebasan Riza Aziz ‘dipersetujui’ dan Peguam Negara yang baharu meletakkan Tommy Tomas dalam situasai ‘serba salah’.

Bekas Peguam Negara (Tan Sri Apandi) membuat kenyataan keputusan Mahathir menghantar Gopal Sri Ram untuk berunding bagi ‘menangkap Najib’: persiapan untuk merasional penangkapan tersebut sudah disediakan. Namun Tan Sri Apandi tidak bersetuju, maka disitu jelaslah Dr Mahathir begitu terdesak untuk ‘berkonspirasi membunuh politik Najib’ .

Dilaporkan pula, hasil pemeriksaan terhadap ‘rampasan’ sudah dirosakkan oleh mereka yang mengendalikannya. Kesemuanya ini memberi harapan kepada Najib untuk ‘membersihkan diri’ dan Mahathir akan terus dianggap sebagai ‘orang gila kuasa’, sanggup melakukan apa sahaja demi ‘legasinya’. Dinsman, seorang penyair pernah menyifatkan Dr Mahathir ‘semacam orang gila’ dan akhirnya ‘benar-benar gila’ ekoran pemecatan Anwar (1998). Nampaknya, kegilaan Dr Mahathir terlalu sukar untuk disembuhkan ketika ini.

Di sinilah sepatutnya Mujahid, sebagai seorang yang berpendidikan dalam bidang siyasah syari’ah  mencari jalan  kembali kepada ‘politik mulia’, bukan mempertahankan kebobrokan politik Dr Mahathir. Apakah pelantikan Muhyiddin menerusi ‘kuasa budi bicara’ SPBYDA itu sesuatu yang salah?

Keinginan Mujahid melihat dalam perspektif ‘rasa geram dan marah’ itulah memperlihatkan kebobrokan falsafah dan tindakan. Mujahid sepatutnya menyokong PN, bukan ‘meracau’ seperti rakan-rakannya, Khalid Samad, Liew Chin Tong, Nga Kor Ming dan juga Dr Mahathir.

bencikan PAS

Politik Malaysia, jika ditinjau daripada sejarahnya jelas membuktikan bahawa kemunculan gandingan Mahathir-Anwar-DAP telah memalapkan idealisme kebijaksanan tempatan. Gandingan itu –MAD- telah mencampakkan Malaysia dalam kancah politik agitasi dan matlamat menghalalkan cara. Bahkan, pada suatu penilaian, bekas Menteri Penerangan dan Menteri Belia dan Sukan (Ahmad Sabry Cheek) melabelkan Dr Mahathir “lebih Machiavelli daripada Machiavelli)”.

Kenapa Mujahid ‘bencikan neo-korservatisme’ sedangkan nilai-nilai sebegitu telah mempengaruhi keputusan politik di Amerika Syarikat, India, Britain, negara-negara Eropah, Jepun dan juga Indonesia?. Apakah ‘neo-konservatisme’ itu sesuatu yang buruk atau merbahaya? Kalau demikian sifatnya, PAN juga harus melepaskan idealisme perjuangannya daripada Islam, dan tidak berusaha menggantikan peranan PAS yang dilihat konservatif apabila meletakkan idealisme ulamak sebagai tunjang kekuatannya?

Biarpun PAN berusaha menjadi ‘Islam yang progresif’ dan ‘Anwar sebagai pejuang Islam Demokrat’,  asas konservatisme tetap ada. Sekurang-kurangnya konservatisme itu pada perihal yang berkaitan ‘fardhu ‘ain’ manakala fardhu kifayah atau bermualamat ia berdasarkan kebijaksanaan menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat, dengan tekadnya ‘kemaslahatan ummah’.

22 bulan tempoh pentadbiran yang dilalui oleh PH tidak mencapai ‘kemaslahatan ummah’ sebaliknya bertekak untuk menunjukkan siapakah (parti) lebih dominan, proses peralihan kuasa, melingkupkan ekonomi Melayu-Islam dan menjuarai ‘kebersamaan’ yang dibungkus semula daripada Malaysian Malaysia, dan terus menghina Orang Melayu.

Kenapakah Anwar perlu mengakui ‘sikap dan sindiran Dr Mahathir’?  Bukankah itu sudah membuktikan bahawa Dr Mahathir dan Anwar akan saling ‘menjatuhkan’ dan kini tiba giliran untuk Anwar mengetepikan secara perlahan-lahan pengaruh Mahathir?

Inilah ‘dunia politik PH’ yang gelap, bukan Malaysia bakal kembali ke ‘zaman gelap’ sebagaimana dilabelkan oleh Mujahid. PH berhadapan dengan ‘zaman gelap’ apatah lagi bila mendengar, Muhyiddin bakal mengadakan PRU mengejut. PH belum berupaya memperkemaskan kedudukannya, kesakitan akibat perpecahan belum reda dan boleh diserang dengan penyakit lain. Imunisasinya sudah berkurangan selagi belum terlepas dari MAD.

Seorang perwakilan berjalan melintasi logo parti pada Perhimpunan Agung Khas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ketika tinjauan lenas Malaysia Gazette di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 20 JULAI 2019.

Jangan-jangan Mujahid ingin mengambil peranan Tok Awang Merdeka yang sudah lama hilang daripada keriuhan stesen bas Kota Bahru.  PAN sebenarnya tidak dapat bertapak dan membina kekuatannya di Kelantan apabila PAS dan UMNO bermuafakat.

Dalam keadaan PAS dan UMNO bermusuhan, PAN tidak bernafas dan tidak dapat mengepakkan sayapnya. Apakah dengan ‘label melabel’, ‘dakwa-dakwi’ itu akan menyegarkan PAN? Sama sekali tidak kerana PAN adalah parti serpihan yang tidak mampu berdiri sendiri, dan  sentiasa berusaha menyokong atau menjadi juak DAP. Itu adalah ‘nyawa’ sebenar PAN.

MONOSIN SOBRI

 

Editor's choice

No Comments

    Leave a reply