POLITIK BERDARAH DINGIN

KETIKA saya sampai ke restoran itu, Ustaz Nur sudah ada di situ. “ Molek enta sampai, ana sedang kesunyian,” katanya.

“ Kesunyian ?”

“ Ya, rasa-rasa semacam tak ada tempat mengadu. Berjumpa sesiapapun, ada sewarna dan senada saja. Semua tak kena. Sebelah sini kata sebelah sana tak kena, sebelah sana kata sebelah sini tak kena,” Keluh Ustaz Nur.

Saya faham akan kata-kata Ustaz Nur yang suka mengambil jalan tengah yang kini berasa dirinya payah untuk berada di tengah-tengah itu. Lagipun, menurut kefahaman Ustaz Nur, segalanya telah diselesaikan oleh PRU13.

“ Keadaan sekarang, macam dua tangan tak dimiliki oleh satu badan. Tangan kiri dan tangan kanan saling tikam-menikam. Padahal yang ditikam oleh kedua tangan itu adalah badan !”

Indah sekali perumpamaan ustaz Nur ini, hati saya bermonolog. “Demikianlah politik, memang begitu, “ ujar saya.

“ Kalau kita terima politik adalah begitu, maka apa maknanya politik itu. Bukankah lebih baik tak ada dari ada ?”

“ Ada perbezaan antara politik sesungguhnya dengan main politik, ustaz.”

“ Ana setuju, politik itu lain dan ‘main politik’ itu lain. Sama seperti istilah siasah itu bermaksud hikmah kebijaksanaan dan juga boleh memberi makna tipu muslihat,” kata Ustaz Nur.

Saya tersenyum dengan kata-kata Ustaz Nur itu. “ Politik itu ada ilmunya, dan ada seninya. Dengan kata lain, ada kedalaman akliahnya dan ada kehalusan budi-bicaranya. Dan kedua-dua itu adalah sifat manusia dalam agenda Allah hendak menjadi manusia sebagai khalifah di atas muka bumi ini. Apakah agak tepat saya kata begitu, ustaz ?”

Ustaz Nur mengangguk serius. “ Tapi, yang jadinya, ilmu politik seolah jadi ilmu memutar alam secara songsang dan seni politik memutar belit manusia secara sesat lagi menyesatkan. Dunia ini jadi kelabu-kelala oleh kerana karenah politik.”

Kami berdua sama-sama menghirup teh tarik. Barangkali kami kena mendinginkan sedikit fikiran kami yang mula meligat.

Kemudian Ustaz Nur berkata: “ Barangkali tokoh politik ini bagai ‘pembunuh berdarah dingin’. Mereka berkeahlian dalam ‘membunuh’, dan tidak rasa bersalah apa-apa atas perpecahan dan haru-biru rakyat ?”

Saya sesungguhnya agak terkejut dengan pandangan Ustaz Nur itu. Dia orang yang sentiasa berlembut hati, kini mengeluarkan perkataan agak kasar terhadap orang politik.

Lalu saya katakan: “ Agak menarik juga jikalau kita gelarkan makhluk politikus itu seumpama ‘pembunuh berdarah dingin’. Namun, barangkali tidak semua boleh dikatagorikan begitu, ustaz ?”

“ Barangkali.”

“ Nah, saya rasa yang ustaz sebutkan sebagai makhluk politikus ‘pembunuh berdarah dingin’ itu terdiri dari makhluk politik yang sudah lenyap suara hati nuraninya. Politikus yang berhati nurani sepatutnya ada di dalam lubuk hatinya keutamaan rakyat, negara, kedaulatan Perlembagaan dan masa depan tanahair yang lebih cemerlang. Yang utamanya ada keperkasaan suara batin rohaniyah dalam lubuk hati mereka.”

“ Benar begitu !”

“ Barangkali mereka yang dikatakan ‘politikus bagai pembunuh berdarah dingin’ itu makhluk manusia yang berada di salah tempat ?”

“ Bagaimana ?”

“ Mereka baranagkali sepatutnya menjadi makhluk yang berkerja di luar undang-undang dan berada di dunia gelap. Tapi mereka beroleh nasib baik diterima di dunia terang – politik !”

“Hehe ! Enta ‘ni ada-ada saja…”

“ Dan yang lebih ajaib lagi, ustaz. Ada juga di kalangan mereka ini, seperti ustaz. Mereka sampai mengaji ke Tanah Arab, namun apabila berada dalam politik, darah mereka juga begitu dingin dan hati nurani mereka juga bagai tak ada dua telinga !”

“ Hehehe ! Enta jangan cakap begini dengan ustaz lain, nanti enta dikatakan rakan kongsi Iblis. Tukang memfitnah orang yang seperti ana ini ! Hehehe !”

 

Oleh  Jusoh Taib

No Comments

    Leave a reply