POLITIK BERMORAL BENTENG KERAKUSAN KUASA

Dr Raghid as-Sirjani menegaskan tiga sebab mengapa runtuhnya kerajaan Islam di Andalusia yang mampu bertahan hampir 800 tahun di benua Eropah. Tiga faktor itu mempunyai kaitan dengan sikap dan gaya hidup pemimpin, iaitu mengamalkan gaya hidup mewah dan glamour; sibuk dengan urusan dunia; dan membiarkan maksiat dan kemungkaran berleluasa. Raghib as-Sirjani, Bangkit dan Runtuhnya Andalusia, Jakarta: Pustaka al-Kautsar, 2013).

Analisis As-Sirjani ini diperkukuh dengan pandangan esoteris sejarahwan Ibn al-Kardabus, yang menyatakan bahawa peradaban Andalusia musnah pada saat kasih sayang Islam telah lenyap dalam jiwa. Andalusia hilang kerana umat terperangkap dengan cinta dunia, takut kematian dan penguasa tidak lagi mahu mendengar nasihat ulama. Pada masa sama, pembesar Andalusia gila pangkat dan gelaran sehingga seorang penyair tergamam dan berkata: “ Di antara yang membuatku bingung di bumi Andalusia adalah gelaran yang dianugerahkan ke para pembesar yang dilekatkan bukan pada tempatnya bagaikan kucing yang ingin meniru kekuasaan singa”.

Penguasaan Islam selama hampir satu setengah alaf telah menyumbang kepada pembentukan teori politik bermoral, yang kemudiannya diambil oleh masyarakat barat untuk diterapkan dalam kehidupan mereka. Barat, yang semakin menjauhkan dirinya daripada “jalan hidup beragama” tidak pula mengetepikan bingkai moral dalam kehidupan mereka, bahkan nilai-nilai itu tetap dijadikan asas kehidupan individu, bermasyarakat, berorganisasi dan bernegara.

Sebelum kerajaan-kerajaan Islam ditumpaskan, masyarakat Barat mempelajari secara tekun mengenai faktor kekuatan masyarakat Islam. Sebahagiannya mereka adaptasikan dalam kehidupan dan menjadikan ia sebagai teladan yang mesti diikuti. Sebab itulah banyak buku-buku karangan cendekiawan Islam zaman pertengahan dikaji, diterjemah dan dibahas sehingga membangunkan ilmu-ilmu baharu yang sesuai dengan sudut pandangan mereka.

Dalam kajian yang lain, Dr Raghib as-Sirjani mendapati bahawa masyarakat Barat telah mengambil aspek ketamadunan Islam menjadi sebahagian daripada asas budaya mereka, iaitu falsafah akhlak dan etika. Amalan itu telah membawa kepada kejayaan besar masyarakat Barat sehingga kini telah mendominasi semua aspek kehidupan penduduk dunia, termasuk umat Islam. (Raghib as-Sirjani, Sumbangan Peradaban Islam Kepada Dunia, Jakarta: Pustaka al-Kautsar, 2012).

Berbanding dengan kehidupan masyarakat Islam, masyarakat Barat mengambil banyak nilai-nilai Islam untuk diterapkan dalam kehidupan mereka, baik dalam aspek ekonomi mahupun politik. Walaupun dalam diri mereka mengandungi sikap tamak, benci dan marahkan kepada Islam, mereka tetap menyanjung tinggi aspek moral sebagai kerangka ideologi dan kaedah berfikir sehingga sanggup mengakui kesilapan sendiri. Hal ini tidak berlaku dalam kalangan pemimpin-pemimpin Islam.

Akhir Oktober lalu misalnya, bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair ketika ditemubual oleh Fareed Zakaria dalam sebuah program televisyen milik British Broadcasting Corporation (BBC) mengakui kesilapannya menandatangani memorandum untuk menyerang Irak sebagaimana diminta oleh George Walker Bush, yang ketika itu ingin membalas dendam dan kemarahannya terhadap Islam.

Dalam pengakuan itu, Tony Blair menjelaskan sekiranya Iraq tidak diserang, Sadaam Hussein dan Muammar Gadafi tidak dibunuh, kumpulan militant Islamic State (IS) tidak akan muncul. IS merupakan serpihan kumpulan al-Qaeda yang memperjuangkan pemerintahan berbentuk khalifah setelah melihat sistem yang digembar-gemburkan oleh dunia barat tidak menguntungkan Islam, sebaliknya, semakin banyak negara-negara Islam menjadi boneka barat.

Khalifah ar-Rasyidin terakhir, Saiyidina Ali bin Abi Talib dalam sebuah pidatonya kepada pasukan tentera Islam menyeru: “Demi Tuhan, sesungguhnya musuh-musuh itu (tentera Muawiyah) akan menewaskan kami kerana mereka mempunyai moral yang baik, iaitu mereka bersatu padu dalam kesesatan, sedangkan kamu berpecah belah dalam kebenaran. Kamu menderhaka kepada pemimpin kerajaan yang berada dalam kebenaran, sedang mereka mentaati ketua mereka walaupun mereka berada dalam kesalahan.”

Ucapan Ali bin Abi Talib ini memberi isyarat jelas bahawa moral menjadi faktor penting terhadap ‘survival’ dalam sesebuah entiti kehidupan bernegara atau berorganisasi. Muhammad Ahmad Jad Maulana Bey yang menulis buku al-Khuluq al-Kamil mengulas ucapan tersebut.Menurutnya, sesebuah negara atau bangsa memerlukan moral yang kuat bagi menjamin perpaduan dan kesatuan dalam kalangan rakyatnya.Disebabkan berlakunya masalah moral, sesuatu yang bersifat salah dan silap akan menjadi suatu kebenaran sebagaimana diertikan sebagai propaganda. Kejahatan akan menjadi “maharaja” manakala kebenaran tersingkir.

Bibit-bibit inilah yang sedang membesar dan mengakar dalam kehidupan politik rakyat Malaysia apabila mudah percaya kepada bahan yang disiarkan berdasarkan spekulasi, fitnah dan tohmahan sehingga boleh menjejaskan kredibiliti kerajaan. Tindakan sedemikian digambarkan oleh Imam al-Ghazali sebagai kelakuan politik tidak bermoral, tindakan politik yang tidak membawa faedah kepada rakyat dan wajar dijauhi. Ini kerana, moral bukanlah seperti dua permukaan duit syiling, dua dimensi yang berbeza. Moral mempunyai asas yang satu, walaupun berhadapan dengan pelbagai situasi, iaitu membawa kebaikan.

Bagi al-Ghazali, moral muncul lebih awal daripada kewujudan negara. Berdasarkan susur galur sejarah, moral akan membolehkan manusia bergerak dalam kapasitinya sebagai peribadi yang luhur, yang kemudiannya mampu memimpin komuniti dan masyarakat meraih kebaikan dan keredhaan Allah SWT. Moral membentuk ikatan yang kuat dan menjadi faktor penyatuan yang sukar digugat.

Menurut al-Ghazali, politik moral atau siyasat al-akhlaq merupakan garis sempadan kepada pemimpin untuk menjadikan nilai-nilai moral dalam setiap perilaku dan dasar pemerintahnya.Moral yang tinggi itulah yang mampu menjadi faktor penolakan yang terbesar terhadap penyelewengan dan salah guna kuasa, rasuah, khianat dan sikap bermusuhan.

Moral politik turut menjadi panduan dalam melaksanakan setiap peraturan yang baik atas nama membangunkan kemaslahatan rakyat dan negara. Setiap peraturan dipatuhi dengan jelas kerana peraturan itu membawa kepada kedaulatan peribadi, komuniti, masyarakat dan negara.Moral menjadi institusi yang dapat mengawal setiap tingkah laku individu atau pemimpin dari dalam manakala undang-undang menjadi kawalan dari luar.

Berbeza dengan konsep moral dalam fahaman Barat yang menekankan konsep kebebasan individu dan mengabaikan prinsip agama, al Ghazali mensyaratkan moral politik berdasarkan kepada prinsip agama. Sungguhpun al Ghazali bersetuju dengan pendapat ahli falsafah Greek, Aristotales bahawa moral bertujuan untuk mencapai kebahagiaan, akan tetapi moral yang terbaik ialah yang berdasarkan kepada agama (Islam). Dalam hal ini, Al Ghazali menyarankan kepada para pemimpin untuk menjiwai tasawuf sebagai tunjang utama moral politik bagi mengelakkan sebarang tindakan negatif.

Meletakkan moral dalam kerangka agama yang sudah pasti dan tetap inilah yang menjadi titik perbezaan di antara Al Ghazali dengan konsepsi moral yang dianut masyarakat Barat. Doktrin moral yang diyakini Barat bersifat nisbi dan relatif. Ini bermakna sesuatu perkara baik dan buruk itu dinilai daripada kehendak majoriti dan bersifat evolusi meskipun ia bertentangan dengan prinsip agama.

Pentingnya nilai moral dalam pengurusan negara dan pentadbiran turut menjadi elemen pembeza kepada pemimpin yang baik atau pemimpin jahat. Hal ini disentuh dalam hadis Nabi yang bermaksud:

Ketua negara yang baik ialah seorang yang dicintai oleh rakyatnya dan dia (ketua) mencintai rakyatnya, dan antara keduanya saling menjalin hubungan yang baik. Ketua negara yang jahat ialah yang dibenci oleh rakyatnya dan dia membenci pula rakyatnya, rakyat mengutuk dia dan dia (ketua) pun mengutuk rakyatnya” (Riwayat Awf Malik).

Catatan: Ibnu Nafis

No Comments

    Leave a reply