POLITIK COMOT DAN PUZZLED PROPAGANDA

Perangai Kadir Jasin hampir menyamai perangai Dr Mahathir. Selain semakin ‘meracau’, Kadir dan Mahathir sukar mengakui kesilapan sendiri. Apabila terkesan dengan sesuatu yang silap, kedua mereka berusaha ‘memindahkan isu’ atau ‘tidak menjawab’.

Sekiranya ditekan, didesak atau dikecam, kededuanya berusaha mencari apa dan siapa sahaja yang boleh dikambinghitamkan. (UMNO rancang jatuhkan Muhyiddin?- A Kadir Jasin, Sinar Harian, 3 Jun 2020; “Kita Kini Memasuki Era Perampas Kuasa Berciri Diktator”- A Kadir Jasin, Ameno World, 29.5.2020; “Bersatu Ada Pilihan, Cuma…”, Malaysiakini, 28.5.2020;  dan. “Kadir: PN tak ubah seperti BN, dengan PAS sebagai pembantu”, Malaysiakini, 15.5.2020)

Kadir adalah penasihat media dan komunikasi kepada Perdana Menteri ke-7. Beliau sangat berpengalaman dalam bidang kewartawanan dan begitu mahir dengan keterbalikan prinsip kewartawanan. Prinsip kewartawanan yang asas ialah ‘fair comment’ atau ‘telling the truth’. Kadir berusaha ‘meracau’ dan akhirnya membuat penulisan menerusi pendekatan ‘puzzle propaganda’, yang juga dipraktikkan oleh Dr Mahathir.

Kita boleh teliti apa yang Dr Mahathir perkatakan mengenai peletakan jawatannya, semuanya adalah salah Muhyiddin dan Azmin. Mereka adalah pengkhianat, sedangkan secara jujurnya, Mahathir turut mengkhianati Anwar, PH dan rakyat Malaysia.

puzzled

Kadir akan pertahankan apa sahaja tindakan Dr Mahathir  walaupun  bercanggah dengan prinsip moral atau norma (bukan normal) yang diterima umum. Kadir ‘sanggup mati mempertahankan Dr Mahathir’ dan kewarasannya seperti disihir oleh ‘kekuatan mentera’ Perdana Menteri ke-4 dan ke-7; yang masih bercita-cita jadi Perdana Menteri ke-9 (?).

Selepas meletakkan jawatan (2003), Dr Mahathir berniaga roti jenama The Loaf dengan modal RM 3 juta. Kedai pertama dibuka di Telaga Harbour, Langkawi (2006). Khabarnya, The Loaf ada 12 cawangan, termasuk di Sogo dan Pavilion, Kuala Lumpur.

9 April 2018  The Loaf ditutup akibat rugi . (Rujuk:ttps://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2018/04/13/the-loaf-tutup).  Pada  17 April 2018, Dr Mahathir berkata “kedainya tidak akan ditutup jika ekonomi negara baik dan tidak ditadbir Datuk Seri Najib (rujuk: https://www.malaysiakini.com/news/420238)

Kadir dapat banyak ‘harta’ ketika Anwar cuba menguasai politik tanah air. Bersara dari NSTP (1 Jun 2000) dan pada 28 Jun 2000 membeli Berita Publishing (BP) dari NSTP. Nilai yang dibeli ialah   RM 4 juta (RM 1 sesaham) menggunakan Alaf Positif Sdn. Bhd.

jelita

BP ditubuhkan 1973 dan  menerbitkan majalah Jelita, Anjung, Malaysian Business (setiap dua minggu) dan Madam Chair. BP ditutup (penerbitan majalah) pada 1 Julai 2015. Sehingga 31 Disember 2013, BP alami kerugian sebanyak RM 781,357 (Rujuk: http://www.kinibiz.com/story/corporate/176056/berita-publishing-opts-out-of-magazine-publishing.html).

puzzled 2

Hayat The Loaf ialah 12 tahun manakala hayat BP dibawah kawalan Kadir, 13 tahun. Ia terkubur sebab kedua-dua mereka adalah bukan seorang peniaga. Mereka hanya tahu bercakap mengenai perniagaan dan memang ‘tidak cukup kuat’ untuk berjaya,  kecuali ada sesuatu ‘yang ghaib’ menolong.

Kadir begitu hebat bila menyorot dunia ekonomi dan perniagaan dalam tulisan-tulisannya  di New Straits Times, Berita Harian dan Malaysian Business. Mahathir juga hebat kerana pernah menulis sebuah buku, Panduan Peniaga Kecil (DBP, 1982). Namun, kededuanya kecundang, kecuali berniaga ‘air liur’.

Persamaan kedua ialah memulakan perniagaan dengan modal permulaan yang hampir sama. The Loaf RM 3 manakala BP RM 4 juta. The Loaf ialah jenama roti dari Jepun dan Mahathir berkongsi dengan Motoko Resources Sdn Bhd.  April 2019, The Loaf dibuka semula oleh pemilik baharunya, Ekovest.  BP tidak diketahui perkembangan selanjutnya.

madam-chair

Menurut Dr Mahathir, punca orang Melayu gagal  ialah tidak cukup kuat berusaha. Kadir dan Mahathir memang tidak cukup kuat berusaha, sebab itu mereka gagal.  Kadir dan Mahathir gagal, walaupun mereka berniaga produk yang sudah berjenama (established). Ekonomi ‘tak baik’ sebab Najib. Tidak ada faktor dalaman dan kesalahan sendiri. Tidak bermuhasabah.

Sebai dilantik sebagai PM ke-7, Kadir dilantik Ketua Komunikasi dan Media Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) diketuai oleh Daim Zainudin. Daim adalah bekas Menteri Kewangan yang paling kaya. Sampai kini jumlah kekayaannya tetap tersimpan sebagai misteri. Suatu ketika, Daim mendapat faraid harta milik UMNO dan GLC,  melalui  pencairan dasar penswastaan dan persyarikatan Malaysia. UMNO adalah ‘lubuk kekayaan’ dan menjadi tumpuan golongan korporat setelah peluang itu terbuka. Golongan guru yang merupakan aktivis sebelumnya semakin terpinggir. Pada suatu ketika, ada reaksi benci ‘guru-guru’ kepada UMNO.

Malaysian Business

Ketika Anwar Ibrahim ‘mengganas’ dalam politik UMNO, Kadir memperoleh laba yang besar: dilantik menduduki Lembaga Pengarah Malakoff (IPP Lumut), Hypergantic (subsidiari IPP Malakoff, di Port Dickson), IPP Perak menerusi MRCB, Redicare Sdn Bhd., Lebuh Raya Ipoh-Lumut (rujuk: https://www.facebook.com/206069486413589/posts/tidak-terbayang-si-kadir-jasin-kaki-dedak-mengajar-kita-urus-ekonomi-tutup-kisah/403338326686703/)  dan saham Realmild (30 peratus), walaupun bukan Ahli Majlis Tertinggi UMNO (2000) (Rujuk: https://pakdin.my/a-kadir-jasin-tidak-boleh-jawab-soalan-mengenai-pegangan-saham-dalam-realmild-bagi-pihak-umno/).

puzzled 3

Kadir dikatakan sebagai proksi UMNO. Ia bercanggah dengan apa  yang dikritiknya terhadap Datuk Shahril Riza Ridhzuan dan Datuk Abdul Rahman Ahmad. (https://kadirjasin.blogspot.com/2020/02/isu-percanggahan-tadbir-urus-glicglc.html).

Shahril dan Abdul Rahman menyandang jawatan tinggi dalam GLC, dan ‘menjadi penama (proxy) UMNO dan Gabungan Kesturi (21 Jun 2004). Kadir menggelarkan mereka makhluk dua alam dunia korporat,  sebagai penama UMNO dan  pada masa yang sama,  juga menguruskan GLIC/GLC.”

Apakah Kadir tidak rasa bersalah atau ‘makhluk dua alam’ apabila  melakukan perkara yang sama, proksi (tidak sanggup dijawabnya bila dicabar) dan termasuk dalam kalangan “wunderkinder” (budak-budak cerdik).

Walaupun Kadir tidak memegang jawatan dalam GLC/GLIC, semua orang tahu kedudukannya di NST . Ia telah membuka ruang untuk ‘didedakkan’. Beliau mempunyai pengaruh  membentuk agenda dalam media, sama ada menerusi tulisan (kolum) atau menjadi ‘gatekeeper’ (Ketua Pengarang), dan diproksikan oleh ahli politik atau parti politik.

Kadir juga adalah ‘wunderkinder’. Kadir mengakui memilik 20 peratus saham Realmild (bukan 30 peratus). Dr Mahathir memiliki 70 peratus saham. (Rujuk: http://dialograkyat.blogspot.com/2018/02/saham-realmild-jawapan-kadir-timbulkan.html). Walaupun pernah dibantu oleh Anwar, Kadir Jasin tidak merasa terhutang budi dan setianya tetap kepada Mahathir dan Daim.

anjung seri

Fuad Jarkasi menulis, “semua orang tahu Kadir Jasin dan tiga lagi kawannya, Nazri Abdullah, Khalid Hj Ahmad dan Mohd Nor Mutalib … menguasai empayar media, TV3 dan NSTP (management buy out-MBO) menggunakan syarikat Realmild.”

Mereka berempat menguasai 48.01 % saham NSTP dan 43.22 % saham TV3. Realmild mempunyai modal berbayar RM 100 ribu tapi dapat menguasai empayar media yang bernilai RM 800 juta tunai menerusi MBO.

Kadir kekal menjadi proksi Mahathir-Daim dan kaya raya apabila menjual saham Realmild ketika Anwar-Mahathir berkrisis. Lantaran itu, formula Kadir Jasin amat menguntungkan. “Memang pandai Kadir Jasin. Kaya melalui proksi dan kroni lebih selamat,” tulis Fuad Jarkasi  (rujuk: https://www.editormalaysia.com/4404/)

puzzled 5

Daim pernah disimbahi kontroversi ketika menguasai UMBC. Sebelumnya, Daim pernah gagal dalam urus niaga saham (1969) dan bersumpah tidak bermain saham lagi. Daim juga gagal dalam perniagaan garam dan kilang plastik.

Bekerjasama dengan Low Kiak Bow dan Thamby Chik untuk membabitkan perniagaan hartanah. Setelah permohonan mendapat tanah diluluskan oleh Menteri Besar Selangor, Dato Harun Idris, beliau memulakan projek perumahan Taman Maluri.

Tahun 1974, menderma RM 10,000 kepada UMNO dan dalam masa yang sama,  menolak tawaran untuk bertanding oleh Tun Razak. Dilantik menjadi Senator (1980-1982) dan 17 Julai 1984,  dilantik sebagai Menteri Kewangan menggantikan Tengku Razaleigh.

Sebelumnya, beliau adalah Pengerusi Bank Rakyat dan kemudian berjaya memiliki Malaysia-French Bank. Beberapa bulan sebelum dilantik sebagai Menteri Kewangan, Daim sudah berjaya menguasai UMBC. (Rujuk: https://soscili.my/dilantik-jadi-menteri-kewangan-ketika-orang-tak-kenal-dia-ini-kisah-daim-zainuddin/).

Selepas menang dalam PRU 1982, Daim diminta oleh Dr Mahathir mengambil alih Bank Bumiputra atau Ko-Op Bersatu Berhad. Daim tidak bersetuju dan sebaliknya setuju  mengambilalih Kumpulan Fleet, dengan niat untuk mengawal orang-orang Musa daripada menguasai media.

Paling kontroversi ialah menguasai UMBC? UMBC ditubuhkan pada tahun 1960 oleh peniaga-peniaga Cina. Pernas menguasai 30 peratus saham (1970)  dan November 1980, salah seorang pengasasnya, Chang Ming Ten bercadang untuk menjual kepentingannya kepada Multi Purpose Berhad (MPHB, sayap pelaburan MCA) yang dipimpin oleh Tan Koon Swan.

Ia mendapat bantahan Ketua Pergerakan UMNO (Suhaimi Kamarudin). Daim diminta untuk menyelesaikan. Akhirnya dipersetujui, Pernas menambah pegangan kepada 40.68 peratus dan MPHB juga 40.68 peratus. Sebuah syarikat ditubuhkan untuk menguasai 11 peratus lagi saham agar dapat menjadi pemegang saham terbesar berganding dengan PERNAS.

Tahun 1984, Tan Koon Swan bercadang menukarkan 40.68 peratus saham UMBC dengan 51 peratus saham Malaysian-French Bank yang dikuasai Daim. Ketika itu, Perancis bercadang memiliknegarakan semua bank-bank yang ada, termasuk di luar negara. Bagaimanapun,  undang-undang Malaysia, tidak membenarkan  sepenuhnya pemilikan asing bank-bank yang beroperasi di Malaysia.  Daim berjaya membeli Malaysian-French Bank.

puzzled 6

Untuk menguasai 40.68 peratus (milik MPHB), ia memerlukan RM 240 juta. Daim membuat permohonan pinjaman, dan ia diluluskan secara lisan. Setelah dilantik sebagai Menteri Kewangan, Bank Negara meluluskan permohonan secara rasmi (Disember 1984). Tahun 1986, ia menjadi isu besar.

Dalam hal ini, Daim berkata, “Tak siapa pun nak menyemak faktanya atau cuba faham yang dalam dunia perniagaan, Sebelum sesuatu urusan diberi kelulusan, terpaksa dirundingkan dulu berbulan-bulan.” (Cheong Mei Sui dan Adibah Amin,  Daim: Insan Di sebalik Enigma, 1996:53).

Mohd Nor Azam dilantik menerajui UMBC, sebagai proksi. Nor Azam adalah bekas penjawat awam (DBP) dan cukup dikenali dengan tulisannya, kolum Perspektif (Dewan Masyarakat). Peribahasa ada mengatakan: tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa tahu. Itulah pandangan awal rakan-rakan beliau di DBP bila memberikan reaksi pelantikan Nor Azam sebagai peneraju UMBC.

Ada yang terfikir, apakah Nor Azam boleh menguruskan bank secara berkesan kerana beliau bukanlah seorang akauntan bertauliah dan berpengalaman dalam pengurusan korporat.

Kadir Jasin akan kritik apa sahaja yang dianggapnya tidak betul, tetapi beliau terlupa amalan sehariannya berbeza dengan pendirian lojiknya. Kadir pernah dapat ‘durian runtuh’ (bukan durian tidak masak) tetapi dapat saham atas hubungannya dengan elit politik UMNO. Keuntungan penjualan saham  membolehkan beliau menubuhkan Alaf Positif Sdn. Bhd, dan seterusnya menguasai Berita Publishing.

Kadir dikecam kerana mendedahkan butiran peruntukan pengurusan Istana Negara. Apakah tujuan Kadir menulisnya? Ia dengan sengaja mahu menimbulkan persespi buruk terhadap ‘budaya komuniti Istana’  dan agar rakyat percaya bahawa kerajaan PH perlu membuat semakan semula terhadap semua perbelajaan agar ia benar-benar ‘value for money’, tiada pembaziran dan dilakukan secara berhemat.

hutang

Tetapi, Kadir terlupa. Sepanjang pentadbiran PH, Perdana Menteri ke-7 kerap melakukan lawatan keluar negara, yang hasilnya tidak ada kecuali ‘ijazah kehormat’, dan membuat pinjaman bon samurai. Gagal membawa balik pelaburan.

Ironinya, rakyat diminta ‘ikat perut’. Kerajaan tidak lagi boleh diharapkan, menambah atau memberi subsidi. Projek-projek infrastruktur yang diluluskan pada zaman kerajaan BN perlu diteliti semula, diperkecilkan skop dan mengurangkan bilangan bagi menunjukkan PH berjaya kurangkan perbelanjaan.

Akhirnya, kerajaan PH terperangkap. Pengumuman penjimatan bukanlah benar-benar jimat, ia adalah ubah suai spesifkasi dan teknikal; tiada terowong, keemasan stesen diminimumkan, jajaran baharu yang lebih pendek, dan jumlah gerabak. Hebat! Terkesima!

Akhirnya rakyat terkejut. Hutang negara telah meningkat lebih RM 140 bilion dalam tempoh 22 bulan. Itulah penjimatan yang berlaku, dan rupa-rupanya hutang RM 1 trilion adalah ‘angka sasaran’ sebelum PH ‘bangkrapkan’ Malaysia Baharu.

Tidak benar, kerajaan BN ‘curi wang GST’, meninggalkan wang tunai RM 450 juta. Menteri Kewangan mahu tunjuk hebat, boleh menguruskan negara selama lima bulan dengan RM 450 juta. Dah ‘kantoi’ kerana mendesak PETRONAS memberikan sumbangan khas selain bayaran royalti minyak.

puzzled 4

PETRONAS menjadi ‘bank’ penyelamat oleh Dr Mahathir sejak zaman PM ke-4. PETRONAS diminta membangunkan Daya Bumi, KLCC, Litar F1 di Sepang, bail-out Bank Bumiputera (selepas skandal BMF).

Semasa PM ke-7, saham anak syarikat PETRONAS dijual. SIC hendak dimulakan kembali. Tetapi, harga minyak tidak menentu. PETRONAS semakin tidak mempunyai keupayaan.

Selepas beberapa bulan, Lim Guan Eng memberitahu Malaysia tidak akan bangkrap kerana asas ekonominya begitu kukuh walaupun berhadapan dengan kemerosotan nilai ringgit, kejatuhan eksport dan harga sawit, kejatuhan harga minyak di pasaran antarabangsa. Akhirnya terbongkar, bila PH terlucut kuasa, ada simpanan wang tunai RM 2 trilion.

Mahu tak mahu, Dr Mahathir mengakui bahawa ada simpanan yang besar dan momokan hutang menjadi bukti pembohongan besar. Ada yang berkata, RM 800 bilion adalah ketika PH manakala peninggalan Najib sejumlah RM 1.2 trilion. Naratif hutang, negara tiada wang dan bangkrap menjadi ‘boomerang’ kepada PH dan rakyat mendesak agar dilakukan siasatan ke atas ‘pembohongan’ itu.

Dalam hal ini, Kadir Jasin tidak banyak membuat ulasan. Sebaliknya, Kadir memindahkan isu dengan menghentam pembentukan gabungan baharu yang dianggap ‘kerajaan pintu belakang’ dan tidak sah dalam konteks mandat rakyat.

Malaysia tidak akan bankrap, tapi bagi Kadir,  dengan kelebihan yang ada, termasuk sebagai ‘punah sihat’ meneruskan penulisan untuk memburukkan dasar dan pentadbiran kerajaan sebelumnya. Ia bukan sesuatu yang pelik kerana peranan Kadir bertanggungjawab membentuk persepsi buruk terhadap BN dan akan terus menterjemahkan pendirian semasa kerajaan PH yang dipimpin oleh Dr Mahathir sebagai sesuatu yang benar dan absah.

flat earth news

Peranannya sebagai propagandis menjadi lebih terbuka dan kuat menyerang. Dalam masa yang sama mempertahankan tindakan PH, walaupun salah. Kadir belajar daripada kaedah propaganda yang dipelopori oleh Dr Joseph Goebels, iaitu sesuatu ‘kebohongan’ akan diterima sebagai benar bila ianya dilakukan berterusan.

Kadir menjadi lebih seronok dengan naratif penulisan dalam konteks churnalism. Harap-harap Kadir sudah hadam buku tulisan seorang wartawan veteran, Nick Davies yang membongkar perihal pembohongan dan kecenderungan media setelah berkembangnya budaya kerja baharu kesan pengaruh teknologi internet. Ia telah mengembangkan satu bentuk teknik manipulasi fakta yang dipanggil ‘puzzled propaganda’. (Nick Davies, Flat Earth News, 2008).

Kebohongan atau separuh benar dikenali sebagai ‘shady political operative‘ atau ‘smear politic’. Smear menurut Oxford Compact Advanced Learner’s English-Malay Dictionary (2007:1397) ialah : (1) menyapu bahan berminyak atau jelekit misalnya cat pada sesuatu; mencalit; (2) membuat (sesuatu) kotor atau berminyak; comot; (3) specimen bahan yang diletakkan pada slaid untuk diteliti dengan mikroskop; calitan. Maksudnya, politik calitan (smear politic) tujuannya ialah mencomotkan sesuatu imej agar ia dipercayai buruk dan menjengkelkan. Akhirnya, politik menjadi begitu comot.

POST-TRUTH Bullshit

Politik comot, tulis Sharyl Attkinson “ .., one thing you can count on is that most every image that crosses your path has been put there for a reason. Nothing happens by accident. What you need to ask yourself isn’t so much Is it true, but Who wants me to believe it—and why?” (Sharyl Attkinson, The Smear: How Shady Political Operatives and Fake News Control What You See, What You Think, and What You Vote, (2017:285)

Kadir menggunakan kepakaran komunikasi untuk melakukan pencomotan politik (smear politic) tanpa rasa malu (membuat tuduhan liar) memberikan pandangan mengiakan tindakan Mahathir. Penulisannya akhir-akhir ini menjuruskan kepada ‘post-truth’ sebagaimana dihuraikan oleh James Ball, Post-Truth: How Bullshit Conquered the World, 2018. Kebohongan menjadi kuasa pemutus. Contohnya   kemenangan Donald Trump (2017) dan isu Brexit di Britain.

Kadir dan Mahathir mengulangi naratif 1MDB, sampai kini belum ada bukti dan kaitan yang jelas mengenai  ‘kecurian wang’ oleh Najib. Kisah penggelidahan, pembekuan akaun dan tekanan terhadap Najib telah menyebabkan Dr Mahathir ‘kesipuan’ dan dikaitkan dengan dendam (kegagalan Mukhriz dalam pemilihan UMNO 2015, penyingkiran sebagai Menteri Besar Kedah (2016) dan pemecatan keahlian UMNO). Kini, model yang sama sedang direkayasa untuk menjatuhkan Muhyiddin dan Perikatan Nasional.

Ketika memerintah, parti pimpinan Dr Mahathir umpama ‘melukut di tepi gantang’. Tanpa sokongan DAP dan PKR, Dr Mahathir tidak mungkin berjaya dilantik sebagai Perdana Menteri ke-7. Dengan  hanya menang 13 daripada lebih 50 kerusi yang ditandingi. Atas sokongan tersebut, Dr Mahathir mengemukakan barisan kabinet dari PKR (7), DAP (6), Bersatu (6), PAN (5), Warisan (3) dan  Waythaya Moorthy dari Parti Kemajuan Malaysia (1),. Waytahat adalah pengasas HINDRAF. Kabinet ini kemudiannya dilihat didominasi oleh DAP.

PAN meskipun menang 11 kerusi, keanggotaannya dalam kabinet dianggap besar.  5 wakil rakyatnya adalah menteri penuh. Ketika ditubuhkan (September 2015 dengan mengambil alih Parti Pekerja-Pekerja Malaysia), bermula dengan kekecewaan selepas tewas dalam Muktamar PAS, Mohd Sabu dan rakan-rakannya cuba mendapat sokongan DAP. Azam PAN ialah menggantikan PAS kerana PAS sudah membuat keputusan, tiada lagi tahaluf siyasi selagi dikaitkan dengan DAP.

Persengkongkolan itu adalah jelas dan dalam beberapa isu (berkaitan Islam dan institusi Islam), PAN seperti ‘berdiam diri’ atau melambat-lambatkan reaksi balas tatkala dikecam, dikritik, dicemoh dan disalahtafsirkan oleh pemimpin dan penyokong DAP. Mujahid menyarankan ia adalah  ‘kes terpencil’ dan mengarahkan bukan Islam tidak dipanggi ‘kafir’ kerana ia tidak ada dalam Perlembagaan.

armada 0

Keangkuhan dan kesombongan Mujahid dapat diperhatikan dalam kenyataan ‘lebih berpengetahuan’, ‘Menteri bukan bodoh’, ‘belum tentu pengkritik setaraf pengetahuan agama’, ‘ada ijazah tapi otak kerdil’ dan enggan melayan netizen yang mengeluarkan pandangan berbeza.

Mazlee Malik (PPBM) juga sombong dan angkuh bila berkata: “anda boleh kritik tapi kami kerajaan’. Bila marahkan laporan kasut hitam, Mazlee mengarahkan agar langganan akhbar terbitan Kumpulan Utusan diberhentikan oleh Kementerian Pendidikan dan agensi-agensi di bawahnya.

Lebih mendukacitakan ialah pemindahan aset TH kepada sebuah syarikat di bawah Khazanah. Khazanah di bawah Menteri Kewangan. Menteri Kewangan memang gemar dan suka mencari kelemahan syarikat-syarikat yang ada kaitan dengan orang Melayu untuk disusun semula dengan mitos, mengelakkan kerugian lebih besar akibat bukan perniagaan teras atau membayar dividen lebih tinggi daripada prestasi sebenar.

Inilah punca yang menyebabkan kerajaan PH memerintah mengukir ‘tangga kebencian’, sepatutnya Kadir Jasin boleh muncul sebagai ‘check and balance’ atau memberi amaran agar hayat pentadbiran Dr Mahathir tidak ‘terjatuh longkang’. Setelah pedih menanggung sakit, Kadir tidak sedia mengamalkan etika kewartawanan yang sejati, membuat komen secara  adil dan  saksama. Bukannya mempertahankan pendirian Dr Mahathir yang comot dengan budaya politik ‘matlamat menghalalkan cara’.

kes terpencil

Dengan kekuatan pena, Kadir mencorakkan ‘politik comot’ dalam pemikiran masyarakat dan tetap menyalahkan BN/UMNO sebagaimana ketegasan Dr Mahathir yang boleh dikatakan sudah berkerat rotan.

Bagi sebahagian besar masyarakat, selagi Dr Mahathir aktif berpolitik, selagi itulah suasana comot akan mewarnai politik Malaysia, iaitu  selagi kedudukan Mukhriz  belum terjamin. Dr Mahathir akan berusaha, walaupun terpaksa mengejar dalam keadaan ‘lidah terjelir’.

Bolehkah Kadir Jasin menafikan hakikat itu? Atau bertanya dengan jujur:‘Apa lagi Dr Mahathir mahu?”

Monosin Sobri.

Editor's choice

No Comments

    Leave a reply