POLITIK “KEBENCIAN” DITOLAK PENGUNDI SARAWAK

Oleh: Monosin Sobri

Keputusan Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN S-11) yang diadakan pada 7 Mei 2016 jelas membuktikan bahawa pengundi negeri itu telah menolak “politik kebencian” yang disebarkan oleh kelompok parti-parti pembangkang sehingga DAP terpaksa menerima padah, hilang lima kerusi daripada 13 kerusi yang dipertahankan.

PRN S-10, DAP menguasai 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi disebabkan merasakan kedudukannya adalah lebih kuat daripada sekutunya, parti itu dilihat turut bertembung di enam kerusi menyebabkan pertembungan itu memberikan kelebihan kepada BN.

Dalam PRN S-10 (2011) secara keseluruhannya BN memenangi 56 kerusi daripada 71 kerusi yang dipertandingkan tetapi kali ini, BN memperoleh kejayaan besar apabila menang 72 kerusi daripada 82 kerusi yang ditandinginya. Pencapaian BN ini memperlihatkan kekukuhan kepercayaan pengundi kepada pimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem yang mengambil alih jawatan itu pada    1 Mac 2014  daripada Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang dilantik sebagai Tuan Yang di Pertua Negeri Sarawak.

Formula kejayaan Tan Sri Adenan memimpin BN Sarawak dan pendekatannya selama dua tahun menimbulkan kerisauan dan ketakutan kepada parti-parti pembangkang di mana sebelum DUN dibubarkan ramai pihak meramalkan BN akan menguasai antara 68 hingga 74 kerusi. Hakikatnya Tan Sri Adenan mendapat perhatian besar pengundi sehingga apa yang dipermudahkan setiap obligasi untuk rakyat Sarawak dikenali sebagai “fenomena Adenan” atau “demam Adenan.”

Tan Sri Adenan yang banyak melakukan perubahan dalam pentadbiran politik dan kepimpinan termasuk menerima calon-calon yang lulus dalam Sijil Pendidikan Cina (UEC) dalam pentadbiran awam negeri, kegunaan bahasa Inggeris dalam pentadbiran negeri, hubungan erat kerajaan negeri dan persekutuan telah menyuntik keinginan pengundi-pengundi Cina kembali ke pangkuan BN.

Buat pertama kali dalam sejarah kempen PRN, Perdana Menteri turut berkampung dan melaksanakan program walkabout begitu kerap, yang kalau sebelumnya, tanggungjawab sedemikian banyak diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri. Menurut analisis pemerhati politik, Perdana Menteri bukan sahaja turun melakukan walkabout melebihi 50 kali sepanjang tempoh kempen bahkan ikut menyelesaikan banyak masalah yang dihadapi oleh penduduk Sarawak walaupun sebelumnya memberikan jaminan Lebuh Raya Trans Borneo yang sedang dalam pembinaan tidak akan dikenakan kutipan tol.

PAS yang mengharapkan akan beroleh “anak sulong” di Bumi Kenyalang ternyata gagal menetaskan sebarang embrio politiknya kali ini kerana perseteruan keras dengan Parti Amanah Negara dan komponen politiknya dalam Pakatan Pembangkang sebelumnya masih bernanah sehingga menyebabkan ada keadaannya terpaksa bertembung, melebarkan strategi lautan merah.

Kalau dalam PRU 12 dan 13, gabungan parti-parti pembangkang boleh berbangga dengan kerjasama “tidur sebantal tapi mimpi berlainan” berjaya menggugat pengaruh BN sehingga menggelonsorkan kekuatan dua pertiga di Dewan Rakyat, kali ini di Sarawak, PKR dan DAP tidak sehaluan. DAP dilihat semakin angkuh untuk berkuasa kerana “terlebih yakin” bahawa pengundi Cina di bandar-bandar besar di Sarawak boleh menerimanya dengan bergaya sehingga bermimpi akan mengubah keseluruhan lanskap politik negeri.

DAP tentunya turut merasa kesal dengan slogan “berubah” yang dilihat telah memakan diri di mana hanya mampu menang 7 kerusi berbanding sebelumnya 12 kerusi manakala 7 “ayam jaguh” yang diajukan kehilangan wang pertaruhan. Kekesalan itu bagaimanapun belum menampakkan suatu contoh “muhasabah diri” yang besar, sebaliknya asyik menuding jari sekalipun kedua beranak pemimpin tertinggi parti itu memberikan ucapan tahniah di atas kejayaan besar BN.

BN yang menguasai 87.8 peratus kejayaan dari penguasaan kerusi dan memperoleh 63.72 peratus undi popular turut didakwa ooleh parti-parti pembangkang tidak mengamalkan proses demokrasi yang betul apabila beberapa orang pemimpin politik mereka tidak dibenarkan berkempen sepanjang tempoh tersebut. PAS misalnya mendakwa peraturan imigresyen telah disalahgunakan oleh Ketua Menteri manakala DAP, PKR dan beberapa NGO pro pembangkang melihat ia suatu tindakan yang tidak sepatutnya berlaku dalam semangat integrasi wilayah dan politik.

Apa yang dilakukan oleh pentadbiran Sarawak ialah tidak mahu budaya “politik kebencian” yang diamalkan oleh parti-parti pembangkang di Semenanjung menjadi virus persepsi dan ayunan keputusan pemilihan. Budaya politik kebencian itulah yang menyebabkan masyarakat berpecah-belah sehingga boleh menjejaskan pemuafakatan dan perpaduan masyarakat di mana PAS yang terkenal dengan “doktrin mengkafirkan sesama Islam”, PKR dengan “perjuangan membebaskan Anwar” dan DAP dengan “doktrin Malaysian Malaysia” turut mempertikaikan pengaruh tradisi dalam penentuan sesuatu dasar dan program kerajaan.

Ketiga-tiga parti berkenaan amat tidak setuju dengan pengupayaan dasar politik untuk memberikan sedikit ruang kepada Bumiputera meraih kejayaan, kerana bagi mereka tindakan affirmative kerajaan itu adalah satu bentuk diskriminasi. Doktrin seperti ini akhirnya diterjemahkan secara halus untuk menjadikan pengundi-pengundi lebih berfikiran bebas, terutama dalam kalangan generasi muda yang semakin tidak memahami asas politik dan sejarah negara. Semuanya mahu diubah kerana perubahan itu dianggap suatu formula yang boleh menjayakan matlamat politik dan peralihan kuasa.

Rakyat Sarawak sebenarnya tidak rela “perubahan” yang hendak dilakukan oleh komponen parti pembangkang demi masa hadapan mereka sendiri. Pengundi Sarawak melihat “perubahan” yang dibawa oleh parti-parti pembangkang boleh menyebabkan politik penguasaan dan kebencian akan bertambah serius sebagaimana berlaku secara halus “penyingkiran orang Melayu Pulau Pinang” dan kekasaran budaya turun di jalanan hanya kerana tertekan, menjauhkan konsep pemuafakatan dan perkongsian. Inilah yang tidak diingini oleh pengundi Sarawak kerana mereka tetap mahukan budaya perkongsian dan penyatuan benar-benar kekal walaupun dalam keluarga berlainan agama.

Kisah kesepakatan antara agam di Sarawak adalah menarik berbanding sikap politik beragama yang berlaku di Semenanjung apabila PAS mendakwa bahawa parti itulah sahaja yang berjuang atas landasan agama, walaupun hakikatnya sepanjang pemerintahannya di Kelantan sejak menang semula pada tahun 1990, agama hanya banyak difokuskan kepada persoalan ibadat. Persoalan muamalat tidak diberikan keutamaan, kerana pemimpin-pemimpin tidak memahami bahawa peningkatan kesejahteraan hidup perlu dimulakan dengan perbaikan ekonomi.

PAS hanya mengharapkan “rezeki” yang dianugerahkan Allah dengan tidak banyak berusaha untuk merancakkan pertumbuhannya. Tidak kreatif mencipta peluang dan mengharapkan “rezeki secupak akan jadi segantang” hasil sumbangan anak-anak muda di perantauan, yang terpaksa mencari rezeki di luar Kelantan manakala kemasukan pelabur asing dilihat sebagai satu bentuk penjajahan.

Miskin idea juga menyebabkan PAS melontarkan “krisis minda” dalam kalangan pengundinya sehingga melihat bahawa parti itulah “laluan ke syurga” sedangkan tidak kebajikan menyeluruh dilaksanakan, hanya sekadar memberikan subsidi perkahwinan dan sekampit dua beras ketika turun padang. Banjir besar di Kelantan awal tahun 2014 memberikan banyak pengajaran kepada penduduk Lembangan Sungai Kelantan, mereka merasakan perit dan lambatnya tindakan kerajaan negeri menghulurkan bantuan. Menteri Besar turut memberikan alasan, lambat turun membantu kerana rumah sendiri turut ditenggelami banjir.

Pembinaan rumah-rumah ganti berhalangan walaupun kerajaan persekutuan menyediakan peruntukan kerana kerajaan negeri mengawal “arahan pembangunan” dan penyediaan tapak. Inilah ironinya, sebaliknya kerajaan negeri terus menyalahkan kerajaan persekutuan kerana kelambatan tersebut. Penduduk Sarawak melihat teladan, apabila tidak berlaku kerjasama erat antara kerajaan persekutuan dan negeri, banyak kesukaran yang bakal mereka hadapi. Atas alasan itulah mereka sebenarnya tidak mahukan parti-parti pembangkang menguasai negeri Sarawak dan memerintah.

Pengundi Sarawak yakin dengan kepimpinan Tan Sri Adenan dan hubungan baik dengan kerajaan persekutuan. Tentunya, atas semangat politik yang sama, lebih banyak pembangunan akan berlaku di Sarawak, maka “kekurangan air di tempayan” akan dipenuhkan untuk tempoh akan datang. Itulah harapan rakyat Sarawak, kerana itulah pengundi-pengundi memberikan mandat yang besar kepada BN Sarawak dibawah pimpinan Tan Sri Adenan Satem, dengan harapan “kuda hitam itu akan terus berlari dengan pantas dan mencipta kejayaan yang lebih besar.”

BN Sarawak yang diterajui oleh PBB berjaya mencapai kemenangan 100 peratus, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini. PBB merupakan gabungan asal tiga buah parti, iaitu Parti Negara Sarawak (PANAS), Parti Rakyat Jati Sarawak (BARJASA) dan Parti Pesaka Anak Sarawak (PESAKA) ditubuhkan pada tahun 1963 selepas beberapa hari pilihan raya majlis kerajaan tempatan diadakan.

Pada tahun 1973, Tun Abdul Rahman Yaacob mengorak langkah menggabungkan parti parti Bumiputera dan PESAKA (mewakili orang Iban) membentuk Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan berjaya mengurangkan perebutan kerusi dalam kalangan parti-parti Bumiputera Sarawak. Pada tahun 1981, Tan Sri Taib Mahmud mengambilalih kuasa dan mempopularkan konsep “politik pembangunan” yang pada PRN S-11 semakin menunjukkan kematangan berpolitik pengundi Sarawak. Mereka tidak bersedia mengorbankan kemakmuran hidup, di mana sedang diteruskan oleh Tan Sri Adenan Satem menerusi pendekatan yang lebih meluas sebaik sahaja kepimpinan negeri berada dibahunya.

Dalam tempoh dua tahun Tan Sri Adenan yang disifatkan sebagai orang yang bakal membawa harapan baharu kepada rakyat Sarawak dan kerana itulah ramai penganalisis politik bagaikan terkedu apabila pengundi Cina memberikan kepercayaan kepada beliau. Tidak ada penganalisis menjangkakan DUN Batu Kawa boleh dikuasai oleh BN.

Kawasan-kawasan panas lainnya, Batu Kitang, Piasu, Meradong, Dudong dan Repok ternyata sudah menyebabkan penganalisis politik kagum dengan kehebatan Tan Sri Adenan Satem mengetuai pucuk pimpinan politik Sarawak. Namun, permulaan yang menarik ini diharapkan tidak akan menerima nasib yang sama ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menerajui BN, selepas kejayaan gemilang pada tahun 2004, menyusut dari 198 kerusi kepada 140 kerusi Dewan Rakyat.

Sejarah itu mungkin akan berulang sekiranya Tan Sri Adenan “hanyut dalam transisi” dan melupakan pedoman serta langkah permulaannya mendekati rakyat Sarawak dengan lebih dekat lagi. Tugas beliau sekarang ialah menyuntik lebih banyak imunisasi agar “politik kebencian” tidak mengkerangkakan persepsi dan mengubah kepercayaan yang baharu diterimanya.

No Comments

    Leave a reply