POLITIK WANG JEJAS AKIDAH

money-politik

Nabi Muhammad SAW pernah diberi gelaran ‘Al-Amin’ kerana ketinggian sifat integriti dan akauntabiliti baginda menjalankan tanggungjawab sebagai utusan Allah SWT yang mengajak manusia kepada kebenaran. Gelaran tersebut telah membangkitkan rasa kasih sayang berterusan sebahagian besar masyarakat Quraisy terhadap baginda.

Gelaran ini tidak hanya diakui oleh umat baginda tetapi juga seluruh masyarakat Arab. Ini jelas membuktikan bahawa pimpinan akan menjadi lebih berwibawa jika ada kejujuran dan ketegasan demi menegakkan kebenaran.

Dalam konteks negara kita, usaha kerajaan untuk membasmi gejala rasuah, politik wang, penyelewengan dan salah guna kuasa merupakan manifestasi daripada intipati sifat al-amin dalam konteks kepimpinan yang diredhai Allah. Ia bertepatan dengan kaedah dan ajaran yang disarankan oleh Rasulullah SAW.

Umat Islam harus menjadi umat yang mempunyai semangat jihad untuk melawan apa jua bentuk rasuah. Pengajaran penting daripada tindakan kerajaan ke atas isu-isu berkaitan politik wang adalah untuk melahirkan semangat jihad memerangi rasuah.

Paling penting mereka yang bakal dipilih sebagai pemimpin itu mestilah boleh dipercayai dan jujur.

Persoalannya, mengapa sesetengah ahli masyarakat ada kecenderungan melakukan rasuah? Jawapannya: kerana tiada kejujuran. Perlu diingat, kedua-dua pihak yang memberi dan menerima rasuah sama-sama melakukan kesalahan dan berdosa. Sekiranya tidak ada yang memberi walaupun diminta, sudah tentu rasuah tidak berlaku dan begitu juga sebaliknya.

Permasalahan politik wang seakan-akan tiada berkesudahan. Orang Islam yang meyakini akan adanya hari pembalasan tentunya tidak akan menganggap masalah itu biasa sahaja. Ini kerana kesan daripada perbuatan rasuah akan mengikis akidah seseorang.

Golongan tersebut terlalu meyakini bahawa wang adalah segala-galanya dan wang juga boleh membuatkan mereka berkuasa. Jika tidak dibendung, golongan ini boleh menjadi seumpama Firaun yang tidak mempercayai kekuasaan Allah SWT dan hanya bertuhankan kuasa dan harta benda.

Bagi golongan ini, harta dan kekayaan adalah kuasa. Percayalah, bahawa kepimpinan atau kekuasaan yang diperolehi secara haram itu tidak akan kekal lama kerana ia tidak diredhai oleh Allah SWT.

Ketika pertama kali Nabi Muhammad SAW menerima wahyu daripada Allah SWT, baginda berasa bingung. Siapa yang akan baginda ajak dalam usaha dakwahnya manakala siapa yang akan mengikut baginda?

Sudah sewajarnya isteri baginda, Siti Khadijah percaya dengan penuh yakin kepada baginda sebagai tanda Siti Khadijah mengambil berat perihal baginda. Selama hidupnya Rasulullah SAW merupakan seorang yang jujur. Siti Khadijah menyatakan keimanannya atas kenabian tersebut tanpa sedikit pun perasaan ragu. Ia merupakan hadiah kepercayaan daripada orang lain sebagai balasan atas kejujuran Nabi Muhammad SAW.

Baginda adalah contoh pemimpin sejati dan seorang yang berprinsip. Prinsip itulah yang mencipta kepercayaan dan memberi pengaruh luar biasa kepada pengikut baginda.

Suatu ketika sahabat baginda, Utbah menawarkan harta, pangkat malah kedudukan sebagai Raja. Rasulullah SAW menjawab dengan membacakan surah Al-Sajadah. Maka Utbah melihat yang berdiri di hadapannya itu bukanlah seorang lelaki yang berhasrat mahu memiliki harta duniawi tetapi seorang insan yang mahu mengajak manusia ke arah kebaikan.

Rasulullah SAW mempertahankan sesuatu dengan baik dan apabila berkata-kata, menggunakan kata-kata dengan penuh berhemah. Baginda menolak tawaran dengan cara yang begitu mempesonakan.

Dalam hal ini, terdapat banyak hadis sahih yang menunjukkan bahawa baginda melaknat orang yang memberi rasuah dan penerima rasuah. Rasuah adalah salah satu daripada dosa besar manakala rasuah yang paling keji dan besar dosanya ialah rasuah berkaitan hukum hakam. Ini kerana hukum hakam ini telah ditetapkan oleh Allah SWT sementara manusia adalah sebagai pelaksana sahaja.

Melakukan penyelewengan dalam hukum bererti melanggar perintah Allah. Hal ini dijelaskan dalam hadis yang diriwayatkan oleh At-Tarmizi yang bermaksud, “Allah melaknat orang yang memakan riba, pemberi, kerani dan saksinya. Mereka itu adalah sama”.

Seseorang yang menginginkan sesuatu jawatan atau kedudukan dalam pemerintahan, kemungkinan besar akan mengorbankan agamanya demi mencapai keinginannya. Dia mungkin rela melakukan apa sahaja tidak kira perbuatan maksiat atau apa sahaja demi untuk mendapat atau mempertahankan kedudukannya.

Rasulullah SAW juga pernah menolak permintaan seorang sahabat yang datang meminta agar diberi jawatan dalam pemerintahan kepadanya. Baginda bersabda yang bermaksud, “Kami tidak akan memberikan tampuk pemerintahan ini kepada orang yang memintanya dan bercita-cita untuk mendapatkannya”.

Alasan penolakan itu ialah kerana bimbang orang yang bercita-cita tinggi seperti itu akan berani melakukan apa sahaja demi mendapatkan jawatan tersebut. Ingatlah pesan baginda Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadisnya yang bermaksud, “Manusia apabila melihat kemungkaran dan ia tidak berusaha mengubahnya, maka dipastikan hampir sahaja Allah menimpa padanya seksaan secara menyeluruh”.

(Hadis riwayat Ahmad)

Dipetik dari buku Membumikan Erti Kasih Sayang oleh: Aziz Jamaludin Mhd. Tahir

No Comments

    Leave a reply