POLITIK YANG MENJERAT

HEBOH!

Heboh sana.Heboh sini. Ada spekulasi. Spekulasi yang hadir ketika umat Islam masih belum selesai meraikan Aidilfitri. Selagi belum habis bulan Syawal, selagi itulah majlis terbuka berlangsung di sana-sini. Hujung minggu banyak dihabiskan di atas jalan kerana memenuhi jemputan kawan-kawan yang mengadakan rumah terbuka.

Spekulasi itu berkaitan percantuman sebuah parti serpihan UMNO ke dalam UMNO. Kononnya, Dr Mahathir yang merupakan pengerusi PPBM ada kemungkinan untuk membawa parti itu bekerjasama dengan UMNO. Kerjasama tersebut mungkin berlaku di atas kebimbangan Dr Mahathir sendiri mengenai PPBM pada masa hadapan, iaitu selepas beliau tidak lagi memimpinnya.

PPBM dalam pandangan sesetengah pihak, akan kecundang sekiranya Dr Mahathir tidak ada. Tidak ada pemimpin PPBM yang lain boleh diharapkan untuk meneruskan perjuangan parti, kerana tidak ada calon yang terserlah walaupun Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah presidennya. Ketokohan Tan Sri Muhyiddin tidak meluas, hanya ada sedikit pengaruh di Johor. Ini kerana Tan Sri Muhyiddin tidak cekap membina jaringan politiknya semasa berada dalam UMNO, kerana perwatakannya yang sukar senyum dan lebih mengutamakan UMNO Johor.

Dalam PH, kelincahan DAP memang diketahui umum. Sebahagian strateginya mengena sehingga menyebabkan pengundi Cina tetap memilih parti itu sehingga Gerakan dan MCA hampir lumpuh, terutama di Pulau Pinang. Gerakan dan MCA sentiasa bercakaran di Pulau Pinang, ia bermula sejak Lim Chong Eu mengasaskan Gerakan lagi. Cuma mulai tahun 1974, permusuhan Gerakan dan MCA tidak begitu ditonjolkan kerana masing-masing  berada dalam BN. MCA Pulau Pinang terpaksa ‘menikus’ kerana Gerakan berkuasa (1969-2008) sebelum DAP berjaya memerintah.

DAP lantang mengkritik tindakan Dr Mahathir menerima kemasukan bekas wakil rakyat UMNO menganggotai PPBM. DAP melihat penerimaan itu sebagai tidak menghormati keputusan bersama Majlis Presiden PH. Dalam masa yang sama, DAP terus memperluaskan kempen politiknya untuk menarik lebih ramai orang Melayu menyertainya, manakala Parti Amanah Negara (PAN) tidak sedikit pun mengeluarkan kenyataan mengkritik ‘godfather’nya.

PKR turut melihat tindakan Dr Mahathir sebagai tidak bersesuaian dengan semangat PH, kerana membawa masuk bekas wakil rakyat BN ikut ‘jalan belakang’. Lagi pun, sebahagian besar ahli PKR sedang mendesak Dr Mahathir agar menetapkan tarikh penyerahan kuasa, sebagaimana dijanjikan. PKR bersetuju dengan kemasukan PPBM ke dalam gabungan PH dengan menawarkan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sementara. Tempoh sementara itu tidak jelas, dan kerana itu, Anwar saperti teruja apabila Dr Mahathir berkata, beliau akan menyerahkan kuasa tersebut bila tiba masanya.

Anwar tidak boleh membuat desakan secara terbuka kepada Dr Mahathir. Anwar hanya mampu berkata, Dr Mahathir boleh jadi Perdana Menteri selagi dirinya mampu melakukannya.

Dalam perkiraan pihak lain, Anwar berkemungkinan tidak akan diberikan kuasa oleh Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri. Asasnya ialah Dr Mahathir belum mendapat jaminan bahawa anaknya Mukhriz Mahathir berada dalam puncak kuasa, manakala jalan untuk Menteri Besar Kedah itu belum terbuka. Dr Mahathir bimbang, nasib Mukhriz akan terumbang-ambing sama dengan PPBM selepas ketiadaannya. Itulah pertimbangan yang membuatkan Dr Mahathir tidak bersedia mengumumkan tarikh sebenar peralihan kuasa. Anwar juga tidak memberikan jaminan bahawa Mukhriz bakal menyusul.

Anwar mungkin mempunyai perancangan yang lain. Apabila berada di puncak kuasa, Anwar turut melakukan perkara yang sama, menyediakan laluan selamat untuk anaknya, Nurul Izzah sebagai pengganti. Kali ini, orang awam mula percaya, PKR dan PPBM memang sedang berusaha keras untuk menjadikan jawatan Perdana Menteri warisan keturunan Anwar dan Dr Mahathir.

Jalan terbaik untuk Dr Mahathir bagi mempastikan Mukhriz mempunyai peluang ialah dengan melakukan kerjasama dengan UMNO. Meskipun UMNO masih bermasalah, dari segi mekanisme politik, UMNO mempunyai kekuatan berbanding PPBM sendiri. PPBM, sejak ditubuhkan hingga kini masih tidak mempunyai barisan kepimpinan yang dipilih secara demokratik. Bahkan, di peringkat akar umbi, kepimpinan PPBM sering dipersoalkan kerana mereka yang menerajuinya adalah pilihan pengerusi PPBM, bukannya pilihan ahli.

Hingga kini, PPBM belum berjaya menyelesaikan persoalan tersebut da nada ahli mula merasa bosan, kerana pemimpin yang dipilih oleh pengerusi PPBM tidak mampu memperkuatkan kedudukan parti di peringkat negeri dan bahagian. Kebanyakan daripada mereka adalah pemimpin yang tidak lagi berpengaruh ketika masih bersama UMNO, dan ada yang memanggilnya sebagai pemimpin menopaus. Cuma, ramai yang menyokong ketika itu kerana terpengaruh dengan janji-janji manis pilihan raya dan kempen membenci UMNO/BN.

Setelah PH memenangi PRU ke-14, rakyat mula dapat menilai. Rakyat mula berubah pandangan dan pendirian, kerana apa yang ditentang dilaksanakan, apa yang dikritik diabsahkan semula sebagai strategi terbaik menguruskan hasrta politik. Jadinya, PH sebenarnya bergerak atas dasar yang sama dengan BN dan kerana itu, Mahathirisme terus berkembang dalam lanskap politik Malaysia sama ada dengan wajah yang sama ataupun dengan sedikit penjenamaan. Hakikatnya, Dr Mahathir tetap mahu menggunakan kuasanya bagi kepentingan politik anaknya.

Heboh mengenai video lucah, sedikit sebanyak difahami oleh sebahagian rakyat bahawa tujuannya adalah jelas, menjejaskan imej Azmin Ali, yang dilihat oleh sebahagian pemerhati politik sebagai ‘ayam tambatan’ terbaharu Dr Mahathir. Sebelumnya, Anwar pernah menjadi ‘ayam tambatan’ Dr Mahathir, tetapi kerana dalam tindakannya Anwar menjadi ‘antagonis’ maka ianya ‘disembelihkan’ dengan masalah moral. Azmin juga sedang ‘disembelih’ dengan masalah moral, dan kerana itulah Azmin memberikan pandangan, ia disebarkan oleh ‘orang dalam PKR’ sendiri. Siapakah ‘orang dalam’ itu, tiada penjelasan lanjut.

Rafizi Ramli sudah membuat pengakuan, dirinya tidak terbabit. Khabarnya, ‘orang dalam’ itu bukanlah mereka yang merupakan penyokong Azmin. Mungkin kumpulan yang berada dalam kelompok berseberangan. Ada katanya, video lucah sengaja disebarkan oleh UMNO, kerana parti itu sedang berusaha memulihkan ‘defisit keyakinan’. Tidak dapat dipastikan yang UMNO terbabit, tetapi, yang jelas menurut dakwaan seorang lagi pelaku dalam video berkenaan, ia dirakamkan tanpa kebenaran dan memang Azmin gemar menyimpan bahan-bahan seumpamanya untuk koleksi peribadi.

Pendirian Dr Mahathir mengenai video lucah itu cukup jelas. Bahkan dengan sinis, Dr Mahathir tidak percaya bahawa video berkenaan adalah asli. Video itu bagaikan deepfake, yang sengaja dibuat untuk memburuk-burukkan seseorang. Tetapi, ramai juga yang percaya, video berkenaan bukan deepfake, ia adalah asli setelah salah seorang lelaki dalam adegan tersebut mengakuinya.

Ia bukan kejadian pertama, malah sudah tiga kali sebelumnya mereka berasmara atau bersemburit. Istilah semburit pula sedang dipersoalkan ketepatannya, malah ada cadangan agar Dewan Bahasa dan Pustaka menggantikannya dengan istilah lain, dan dibuang daripada entri Kamus Dewan.

Istilah tersebut pernah dipakai ketika Anwar didakwa melakukan seks di luar tabie yang menyebabkan keahlian dalam parti dan jawatan dalam kerajaan dipecat pada tahun 1998. Gordon P Means menggunakan istilah ‘semburit’ ketika mengulas mengenai PRU ke-10 (1999) dalam bukunya Political Islam in Southeast Asia (2009), dengan tajuk kecil Reformasi, Semburit, and the 1999 Elections (hal.138). Ertinya, istilah ‘semburit’ yang bermaksud ‘sodomy’ telah diterima.

Tidak ada sebab kenapa istilah tersebut perlu digugurkan walaupun ada hubungannya dengan nilai negatif sebagaimana didakwa. Ia memang bernuansa negatif, tetapi bagi istilah ‘buritan’ tidak pula dianggap negatif. Inilah yang dikatakan ‘rangka rujukan’ seseorang, jika ia memangnya cenderung negatif, pokok kayu yang rendang dan berwarna hitam tetap mual, jijik dan meloyakan.

Sepuluh tahun lalu, istilah ‘semburit’ tidak dibantah bila Gordon P Means menggunakannya, dan lima belas tahun lalu (2005), edisi keempat Kamus Dewan dicetak kali pertama. Istilah tersebut sudah pun ada dalam Kamus Dewan, edisi ketiga yang dicetak pada tahun 1997 (hal. 1232). Saya tidak pasti, apakah istilah itu sudah ada dalam Kamus Dewan edisi pertama yang dicetak pada tahun 1970.

Terima kasih kepada bekas Ketua Pengarah DBP, Awang Sariyan kerana menjelaskan akar kata tersebut dari istilah ‘buritan’ iaitu belakang. Ertinya, memang semburit itu adalah kelakuan tidak senonoh, kerana lelaki sama lelaki melakukan hubungan seks tercela, dan Awang Sariyan tetap mahu istilah tersebut dikekalkan. Usah takut dengan permintaan ‘orang politik’ sebab mereka ‘malu menyebut’ walaupun tidak kuat berikhtiar untuk menolak pelakuan berkenaan. Ia adalah istilah yang mapan dan sudah diterima.

Ketika ditanya mengenai keperluan Azmin untuk mengambil cuti, Dr Mahathir memberikan alasan bahawa Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu tidak perlu bercuti. Siasatan boleh dilakukan. Tetapi, ramai penyokong PKR meminta supaya Azmin mengambil cuti sehingga siasatan selesai. Ramai juga khuatir, siasatan kes tersebut tidak akan berakhir dengan pendakwaan di mahkamah, kecuali Haziq mungkin dibawa ke pengadilan atas pengakuannya. Haziq mungkin dikenakan tindakan, jika siasatan mendapati video itu benar-benar deepfake.

Apa pun keputusannya, PH sebenarnya sudah tercemar. PKR dilihat semakin terdesak dengan kemungkinan Dr Mahathir bakal bekerjasama dengan UMNO. UMNO masih mempunyai 37 kerusi, dan jika PAS boleh menerima ‘kerjasama’ dengan PPBM, sekurang-kurangnya gabungan baharu itu boleh membentuk 76 kerusi (UMNO 37+1MCA+1MIC, PAS 18 dan PPBM 13+6).

Ditambah dengan penyertaan GPS (Gabungan Parti Sarawak) dan Warisan, ia mungkin boleh menyebabkan kedudukan kerajaan pusat akan berubah. Ada pihak mengandaikan bahawa Azmin ikut menyertai Dr Mahathir dan ini menyebabkan antara 15 hingga 20 kerusi PKR akan berkurangan. Perhitungan tersebut akan mencukupkan keperluan majoriti mudah untuk menukarkan kerajaan.

Sekiranya ini berlaku, Anwar akan tersingkir dan impiannya sebagai Perdana Menteri ke-8 berkecai. Dengan mempunyai kerusi berbaki antara 30 hingga 35 kerusi, harapannya memang tipis. Jika pun masih kekal dalam gabungan dengan DAP dan PAN, Anwar masih belum mampu untuk diangkat sebagai Perdana Menteri, dan Dr Mahathir akan kekal sebagai Perdana Menteri dalam gagasan dan gabungan baharu.

Tentunya, untuk memperoleh majoriti mudah dalam PRU ke-15, gabungan DAP-PKR dan PAN agak sukar. Dengan kerjasama baharu UMNO-PAS-GPS-Warisan-MCA-MIC-PPBM, persoalan perebutan kerusi dalam kalangan parti politik Melayu-Islam dapat dikurangkan, yang akhirnya menyukarkan cita-cita besar Anwar Ibrahim. Inilah sebahagian heboh dan spekulasi yang sedang diperkatakan serta berkembang selepas Ramadhan.

JIka gabungan baharu berlaku, Dr Mahathir tidak lagi akan terikat dengan ‘janji serah kuasa’ selepas tempoh dua tahun berlalu. Ramai yang bersetuju dengan kemungkinan penggabungan baharu itu, terutama bagi mereka yang melihat PH semakin dibayangi oleh strategi politik DAP.

Bagi kumpulan tertentu, penggabungan itu nanti membolehkan beberapa orang pemimpin politik yang hangat diperkatakan dalam kelompok ‘bossku’ terelak daripada dihantar ke penjara. Ada andaiannya, kononnya sebahagian besar pertuduhan ke atas pemimpin terbabit belum cukup bukti, dan kemungkinan berlaku kesilapan teknikal tetap ada.

Bagi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki, setakat ini UMNO mengambil sikap berkecuali sama ada menyokong Tun Dr Mahathir atau Anwar serta menolak sebarang usaha melalui pintu belakang untuk kembali memerintah.  Asyraf tidak yakin dengan gabungan tersebut malah ada segelintir ahli UMNO membuat kenyataan agar mereka yang pernah keluar, membenci UMNO dan memperlekehkan UMNO tidak wajar diterima semula, termasuk Dr Mahathir, Muhyiddin, Mustapha Mohamad, Mukhriz, Shahbudin Yahya mahupun mereka yang masih ingin mengekalkan kedudukannya sebagai wakil rakyat bebas (tanpa parti).

Asyraf Wajdi sebenarnya bimbang, kerana belum ada kepastian. Spekulasi sedemikian akan menjadikan UMNO berpecah dan lemah. Dr Mahathir, saperti diketahui mempunyai sedikit masalah dengan Muhyiddin ekoran pelantikan Pengerusi PPBM Negeri Johor. Khabarnya tidak ada perundingan dengan Muhyiddin. Pelantikan tersebut dibuat secara sepihak oleh Dr Mahathir.

Selaku presiden, Muhyiddin rasa terkilan dan tidak bersetuju jika PPBM kembali bergabung dengan UMNO. Muhyiddin dikatakan mahu melupakan terus UMNO dan tetap dengan janji peralihan kuasa yang dipersetujui, yakni Anwar adalah Perdana Menteri ke-8. Dan, lebih dipertahankan ialah tidak mahu mengkhianati ‘keputusan pengundi’ memilih PH bagi menggantikan BN dalam PRU ke-14 lalu.

Percaturan dan kemungkinan itulah yang menghebohkan iklim politik Malaysia kerana semakin hampir tempoh dua tahun berkuasa, semakin terdesak Dr Mahathir untuk menunaikan janjinya, serahkan kuasa kepada Anwar Ibrahim. Jadi, akan muncullah pelbagai ‘kekacauan’, sama ada dalam bentuk penyebaran video deepfake ataupun kenyataan-kenyataan ‘salah’, disinformation dan hoax dalam media sosial.

Politik akhirnya menjerat; rakyat tersepit oleh permainan ahli politik. Mereka sanggup lakukan apa sahaja demi ‘kuasa’ tanpa berusaha membersihkan politik itu daripada pelbagai kekotoran.

Monosin Sobri

 

No Comments

    Leave a reply