POLITIKUS HILANG KUASA KUAT MERACAU

Sejak Kerajaan PH tersungkur menyembah tanah atas kesilapan sendiri, politikus kehilangan kuasa terus meracau dan meroyan seolah-olah tiada lagi pertimbangan rasional atau setiap hari lagaknya seumpama ‘orang hilang akal’.

Akalnya sudah hilang kerana tidak mampu membezakan makna keabsahan demokrasi berdasarkan ‘kepercayaan majoriti’ dan begitu mudah mendakwa kerajaan yang terbentuk selepas tersungkur itu adalah ‘kerajaan pintu belakang’ dan ‘tebuk atap’.

Akibat meracaulah beberapa orang bekas menteri mula merayau-rayau mencari sokongan walaupun ketika berkuasa tidak melihat tindakan tersebut berada dalam paras ‘level tinggi’ atau budaya ‘low class’.

Pura-pura simpati dengan resah masyarakat terhadap wabak COVID-19, mereka mula merayau-rayau dengan harapan rakyat boleh percaya sikap murah hati dan simpati palsu walhal apa yang diinginkan kerajaan yang baru sebulan mengambil alih pentadbiran lekas tumbang.

Setelah dicuba beberapa hari, kenyataan konyol dan semberono semakin tidak dipedulikan oleh rakyat. Rakyat menjadi begitu rasional bila berupaya membandingkan bahawa kerajaan PH benar-benar hancing dan tidak pedulikan rakyat.

kes terpencil

Apa tidaknya, bukan sahaja janji tidak ditunaikan, helahnya juga banyak. Banyak cadangan terlalu banyak masa diperlukan kajian, akhirnya tidak ada satu pun yang dilaksanakan kerana kajian itu adalah tidak melata dan hanya tangkap muat.

Kisah subsidi petrol bersasar, akhirnya bukan sahaja tersasar tarikh pelaksanaannya, bahkan kaedahnya sedikit sasau. Ia ditangguhkan dan akan menjadi suatu lipatan sejarah flip-flop Malaysia Baru.

Janji hapuskan toll, tidak juga dilaksanakan. Bila terasa terhimpit, dicadangkan pula empat lebuh raya di Lembah Klang bakal dikenakan caj kesesakan, diskaun tol dan percuma untuk tempoh masa 11 malam hingga 5 pagi, sepatutnya bermula Januari 2020, sampai pecah berderai kerajaan PH tidak menjadi kenyataan.

Sehari dua ini pula heboh perihal pemberhentian pelantikan politik dalam agensi kerajaan dan surat penamatan Mazlan Aliman menjadi viral. Ahli-ahli majlis perbandaran turut tidak terkecuali, maka meroyanlah sebahagiannya mengutuk keputusan itu walaupun awal pembentukan kerajaan PH ada keputusan, tiada pelantikan politik dalam urus tadbir kerajaan.

PH memansuhkan banyak jawatan kontrak dan agensi yang dikatakan sengaja diadakan hanya atas pertimbangan politik. Dalam masa yang sama, PH tidak tegas dengan keputusan itu, terus melantik politikus menduduki jawatan-jawatan tertentu termasuk Pesuruhjaya SPRM dan Peguam Negara.

Khalid Tak Selamat

Bila Perikatan Nasional mengambil alih , Peguam Negara dan Pesuruhjaya SPRM meletakkan jawatan. Sebabnya sangat mudah untuk dicari. Salah satunya kerana ada pendakwaan terpilih. Peguam Negara melepaskan mereka yang ditangkap kerana menyokong dan mempromosi LTTE.

Pesuruhjaya SPRM letak jawatan, kerana juga melakukan kesilapan bila mendedahkan lebih awal audio yang dikaitkan dengan perbualan peribadi bekas perdana menteri sedangkan ia sepatutnya menjadi salah satu bahan bukti perbicaraan. Audio itu juga belum disahkan ketulenannya sebagaimana Ketua Polis Negara memberikan pengesahan video tulen tetapi pelakunya tidak dapat dipastikan dalam kes semburit.

Khalid Samad boleh dikatakan setiap hari ada sahaja kenyataan janggal dan tidak sopannya terhadap kerajaan Perikatan Nasional.

Khalid yang gagal menyempurnakan misi pembangunan Kg Baharu pernah menuduh presiden PAS sebagai ‘tidak center’ hari ini, fikirannya benar-benar ‘tidak center’.

racau 2

Mujahid terasa dirinya begitu cerdik apabila menilai bekas boss politiknya telah dilantik sebagai Duta Khas Perdana Menteri bertaraf menteri untuk rantau Timur Tengah.  Tanpa menggunakan kecerdikan akalnya sebagai seorang yang berkelulusan doktor falsafah, Mujahid benar-benar boleh digelar politikus sampah.

Apa tidaknya, level kecerdikannya sudah direndahkan dengan menyusur akar kembali mempamerkan sedekah jariahnya kepada masyarakat yang berhadapan dengan ketakutan COVID-19. Merayau-rayau hingga ke dalam pasar mengagihkan ikan sedangkan semasa menjadi menteri, terlalu pekak dengan jeritan rakyat.

Beliau tidak boleh dikritik. Kalau dikritik, beliau bertindak dengan cepat sama ada mengugut akan menyaman ataupun mengambil tindakan, termasuklah apa yang dilaporkan dalam media sosial. Untuk berinteraksi dalam media sosial dengan pengkritiknya, beliau begitu enggan kerana tidak setaraf, termasuk pengetahuan agama.

Dilihatnya pengkritik sebagai orang yang ‘akal kerdil walaupun berijazah’ tetapi, ketika ini beliau rasa dirinyalah yang terbaik. Maka pelantikan Haji Hadi itu dilihat sebagai sesuatu yang tidak kena dan sekadar ‘habuan’ kerana bersepakat menumbangkan PH.

Beliau terlupa, dengan mengejek Haji Hadi yang bersama Perikatan Nasional, terpercik ke muka sendiri kerana ayahandanya juga menerima tawaran kerajaan apabila PAS bergabung dalam BN.

Seorang Ahli Lembaga Pengarah YADIM, sebuah badan amanah yang berada di bawah tanggungjawab Mujahid turut membuat kenyataan keji bila mengatakan Haji Hadi adalah seorang ‘tuan guru’ yang ‘celaka’.

racau 3

Netizen bukan sahaja marah dengan sikap dan nilai diri bongkak dari seorang yang berpendidikan agama. Beliau adalah seorang yang benar-benar menggunakan topeng agama. Sepatutnya, kalau sekali pun tidak bersetuju, perlu dilakukan secara berhemah sebagaimana dituntut oleh agama.

Islam melarang seseorang itu memperolok-olokkan orang lain. Dengan memperolokkan orang lain, atau memberikan gelaran yang jelek, secara psikologinya gelaran itu dipulangkan kepadanya. Nah, beliau sekarang sedang dirasuk oleh kebodohannya sendiri.

COVID -19 benar-benar menguji kemampuan Kerajaaan Perikatan Nasional dan dalam krisis itu, gandingan kerja keras mereka sudah menampakkan aliran kepercayaan yang jelas kepada rakyat. Rakyat sudah mula membandingkan ‘jalan sesat’ yang dipilih oleh Kerajaan PH sudah ‘memakan diri’ dan ‘jalan yang sedang dilalui oleh Perikatan Nasionall’ mampu meringankan beban rakyat.

Apatah lagi bila Menteri Kewangan tidak bermain wayang seperti Lim Guan Eng. Biarpun hanya belum cukup sebulan mengangkat sumpah jawatan, Menteri Keewangan sudah menampakkan program yang jelas, bahkan bersedia untuk merangka satu lagi Pakerj Ransangan Ekonomi biarpun pakej yang diumumkan pada minggu lalu belum dilaksanakan sepenuhnya.

Perikatan Nasional tidak menyalahkan penjawat awam, sebaliknya penjawat awam bertungkus-lumus bekerja untuk membendung COVID-19. Mereka bekerja tanpa rasa takut dan khuatir. Sedangkan ketika kerajaan PH berkuasa, penjawat awam dibuli, diperlekeh dan seterusnya didera moralnya.

Ketika ini, petugas hadapan tidak berkira dengan kesukaran yang mereka hadapi. Mereka sanggup berkorban untuk negara, moral mereka begitu tinggi.

Berbeza dengan kerajaan PH, penjawat awam sering dikambinghitamkan apabila menteri-menteri terlupa tanggungjawabnya. Menteri asyik bertelagah sesama sendiri, dan ada pula ‘lempar batu sembunyi tangan’ kerana bercapah tujuan.

Dr Mahathir bertugas dalam suasana tertekan kerana terpaksa mengimbangi keinginan besar DAP yang mahukan prinsip kebersamaan diterjemahkan secara mutlak dengan idealisme mereka. Sebab itulah Dr Mahathir pernah merungut, akibat tidak cukup ‘kemelayuan’ maka perlu mencari sokongan daripada bukan Melayu.

Kerajaan Perikatan Nasional tidak terbelenggu dengan ikatan itu kerana barisan kabinetnya memberikan sokongan penuh walaupun pada peringkat awal ada sedikit ‘political bashing’ daripada UMNO. Kini, semuanya tidak lagi dipersoalkan kerana mereka bersedia bekerja untuk menyelamatkan rakyat daripada wabak COVID-19.

Menteri-menteri daripada UMNO, bukan sahaja bijak menggunakan pengalamannya bahkan semakin yakin dapat melaksanakan tanggungjawab tersebut. Mereka bersedia digerakkan bila-bila masa dan bersedia memberikan input yang bernas kepada perdana menteri buka menyorok dan membuat keputusan sendiri sehingga Perdana Menteri terpaksa menyelesaikannya.

Rakyat Malaysia pasti ingat bagaimana seorang menteri boleh membuat keputusan lebih awal daripada keputusan kabinet. Akhirnya Perdana Menteri terpaksa membuat kenyataan di sebaliknya. Contoh yang jelas ialah ratifikasi ICERT dan Statut Rome.

Apabila Perdana Menteri ke-8 menunda tarikh sidang Dewan Rakyat, politikus hilang kuasa meracau. Awalnya mahukan Muhyiddin mengesahkan ‘kepercayaan majoriti’ tetapi kini, mahukan Pakej Ransangan Ekonomi  ditangguhkan kerana tidak mendapat kelulusan Dewan Rakyat.

Rakyat bukan bodoh. Rakyat sedar bahawa sejak PH menjadi pembangkang, desakan itu dilihat sebagai satu bentuk pembulian politik. Sebelumnya, Kerajaan PH pernah melakukan perkara yang sama, berbelanja dahulu sebelum memperoleh keputusan Dewan Rakyat. Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan pernah berbelanja lebih daripada nilai Bajet asal, dan selepas itu baharulah dibawa ke Dewan Rakyat perbelanjaan tambahan.

Dr Mahathir semasa menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri interim mengumumkan Pakej Ransangan Ekonomi, juga tidak memperoleh keputusan Dewan Rakyat. Ketika itu, Dr Mahathir tidak mempunyai barisan kabinet, kerana kabinet sebelumnya telah gugur sepenuhnya bila beliau meletakkan jawatan.

Tetapi, Dr Mahathir tetap merencanakan Pakej Ransangan Ekonomi, yang kemudiannya dilaksanakan oleh Perikatan Nasional. Pakej Ransangan Ekonomi Kedua adalah khusus untuk mengurangkan impak COVID-19 yang dihadapi oleh semua orang, termasuk mereka yang kehilangan sumber pendapatan dan beban yang terpaksa ditanggung oleh pemandu teksi, usahawan dan pemain industri.

Ketika diumumkan bantuan kepada rakyat, Lim Guan Eng menyeru agar kaedah itu dilaksanakan menerusi e-wallet manakala Anwar melahirkan keinginannya untuk menambah nilai lebih besar. Itulah cakap ketika tidak ada kuasa.

Semasa berkuasa, Lim Guan Eng hanya memberikan bantuan RM 30 menerusi e-wallet di mana pengendalinya sebahagian besar adalah bukan Melayu. Ini bermakna, keputusan itu benar-benar menjerat orang Melayu. Mereka terpaksa membelanjakan ‘habuan’ itu menerusi platform yang disediakan oleh bukan Melayu dan tentunya, untungnya ialah bukan Melayu.

Rakyat melihat apa yang dijanjikan oleh Anwar samalah seperti janjinya untuk menurunkan harga minyak pada tahun 2007 lalu. Mentera yang dibicarakan secara meluas dan penuh nada, malam ini kita menang, subuh esok kita turunkan harga minyak diulang dan ditularkan semula. Ia dilakukan kerana janji itu terlalu sukar untuk dilaksanakan. Tidak ada ‘kemampuan’ dan ‘keazaman’ yang kuat.

Bahkan rakyat dipersendakan dengan  dendangan alasan “manifesto bukan kitab suci’ manakala Khalid Samad mengalunkan lirik yang sama dengan mengheret Nabi. Dr Mahathir hanya sekadar berjenaka buruk ‘malaikat pun silap.’

Beza antara PH dan Perikatan Nasional begitu jelas. Muhyiddin, sebelum memulakan pembentangannya ‘memohon doa’ agar Allah SWT melindungi dan memberikan kesejahteraan kepada seluruh rakyat Malaysia.  Ia sebagai satu bentuk reformasi budaya dan keluhuran seorang Perdana Menteri yang hadir dalam semangat untuk menyempurnakan amanat dan tanggungjawab.

Manakala Dr Mahathir penuh keangkuhan dan kesombongan. Bila bercakap dengan orang Melayu, lidahnya begitu cepat mengutuk, mengejek dan mencerca orang Melayu. Bila bercakap mengenai Islam, dilihatnya pendekatan Islam di pihak lawan sesuatu yang mencurigakan kerana tetap beranggapan bahawa Islam yang difahaminya itulah yang baik dan sesuai dipraktikkan.

Ketika PKP memasuki ke minggu ketiga, rakyat tidak lagi mempedulikan politikus hilang kuasa meracau, meroyan ataupun membebel.  Membebellah sampai hilang suara, burung-burung pun tidak terkesan olehnya.

Kalau Mujahid, Khalid Samad dan Mat Sabu bersedia turun ke jalan raya ‘berguling-guling’ lagi, rakyat tidak akan ikut sama kerana rakyat sudah kenal peribadi mereka, meroyanlah sampai terjun longkang tiada lagi yang peduli. Rakyat membiarkan mereka hanyut dengan idealisme labu dan kelonsong kosong. Selama 22 bulan rakyat merasai sengsara apabila diperbodohkan.

monosin sobri

No Comments

    Leave a reply