HANCINGNYA ‘KATAK-KATAK’ POLITIK

Bakal Perdana Menteri menunggu paling lama di Malaysia dan memenangi ‘Anugerah Ketum Lompat Melompat (AKLM)’ berkata, angka 129 wakil rakyat yang berpihak kepadanya ‘sedang dalam proses’. Bermakna, beliau memerlukan sedikit masa untuk merealisasikan cita-citanya walaupun merungut ‘pergi balik pergi balik, rakyat juga menjadi mangsa’. Masih banyak perkara yang perlu diusahakan, termasuk ‘rundingan’ dan ‘tawar menawar’.

Rundingan itu termasuk ‘tawaran jawatan’ atau habuan politik yang mungkin termasuk ‘bayaran perpindahan’ sebagaimana diterima oleh pemain bolasepak professional. Meskipun tidak semahal yuran perpindahan Drogba, Misi mahupun Safawi Rashid, jumlahnya boleh menyebabkan orang kebanyakan mengeluh dan bermimpi ‘kaya segera’. Seolah-olah menang loteri hanya kerana ‘bersetuju’ melompat. Kerja melompat bukanlah sukar, alasan boleh dicari dan direka. Sebab, ada permintaan maka bolehlah tarik harga mahal-mahal. Dan, ada pula yang sanggup membayarnya, hanya kerana inginkan kuasa.

Tahun 2008, sewaktu Anwar Ibrahim yakin dapat ‘menukarkan kerajaan’ setelah pakatan pembangkang atau Pakatan Menang dengan 81 kerusi parlimen, beliau memerlukan antara 30 hingga 31 wakil rakyat BN ‘untuk menyeberang’. Salah seorang wakil rakyat yang berada di blok pembangkang, Ibrahim Ali (kini Presiden PUTERA) beliau belum tentu ‘menyeberang’ dan tidak mudah bagi melakukan perkara tersebut walaupun beliau adalah ahli politik pertama yang diberikan gelaran ‘katak’.

tidak ‘menyeberang’

Ibrahim menang kerusi Pasir Mas atas kapasiti Bebas dengan sokongan kuat PAS. Mungkin ada sesuatu yang tidak kena atau akan dipertahankan oleh Ibrahim untuk tidak ‘menyeberang’ dan berenang dalam ‘kolam politik Pakatan Rakyat’ yang diketuai oleh Anwar Ibrahim. Ibrahim juga dikatakan turut memainkan peranan awal ‘membawa masuk’ Anwar ke dalam UMNO pada awal tahun 1980-an.

Anwar yang disebut-sebut sebelumnya akan bersama PAS atas kecenderungan politik Islam bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) akhirnya diterima menyertai UMNO. Pilihan Raya 1982, Anwar bertanding atas tiket UMNO di Permatang Pauh. Beberapa bulan selepas menang, Anwar dilantik sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (1983), Menteri Pertanian (1984) dan Menteri Pelajaran (1986).

Kerjaya politiknya semakin bersinar dan Anwar giat menyusun laluan politiknya- Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Naib Presiden hinggalah Timbalan Presiden UMNO. Kemenangan sebagai Timbalan Presiden melayakkan dirinya dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Anwar ‘memerangkap’ Mahathir

Seperti diketahui umum, seorang ahli politik akan memasang cita-cita yang lebih besar daripada apa yang sedang dipeganginya. Anwar bercita-cita untuk mendapatkan jawatan nombor satu, yakni sebagai Perdana Menteri. Anwar perlu bijak menyusun langkah, ketika itu Dr Mahathir sudah berada dipuncak kuasa hampir dua dekad (1981-1997).

Anwar perlu memikirkan bagaimana untuk ‘memerangkap’ Dr Mahathir, cepat berundur dan tidak menjadikan jawatan Perdana Menteri seumur hidup. Timbul isu rakaman audio percubaan Anwar menyusun strategi menjatuhkan Dr Mahathir. Daim dan Sanusi mula mencari jalan untuk menyekat kemaraan itu (1998).

‘kebejatan’ Anwar

Kaedah yang dilaksanakan oleh Anwar ialah mendapat kepercayaan daripada Perdana Menteri. Bila keupayaan dan gerak kerjanya diyakini, beliau lebih mudah menyusun rangkaian politiknya. Anwar berjaya lakukan, dengan membawa masuk lebih ramai rakan-rakan yang pernah berjuang dalam ABIM ke dalam UMNO. Ada yang dilantik sebagai Setiausaha Politik, EXCO di peringkat negeri, mengetuai GLC dan GLiC, dan diberikan peluang bertanding sebagai wakil rakyat.

Pada satu peringkat timbul dua fenomena dalam UMNO: orang Anwar dan orang Dr Mahathir. Anwar berjaya sehingga disayangi oleh Dr Mahathir, bahkan sukar Dr Mahathir percaya ‘kebejatan’ yang ditimbulkan oleh Anwar, sehinggalah diberitahu perihal semburit oleh Ketua Polis Negara.

Yahya Ismail menamakan orang-orang Anwar itu sebagai ‘juak-juak Anwar’ manakala orang-orang Mahathir sebagai ‘juak-juak Mahathir.’ Juak-juak ini kemudiannya mencorakkan budaya politik UMNO dan sangat mempengaruhi. Ada ketikanya, setiap ‘juak-juak’ menjadi saling bermusuhan dan dedah mendedah.  Akhirnya, juak Anwar terpaksa menerima kepedihan yang parah, kisah semburit menjadi heboh dan memalukan.  Ia ditambah dengan situasi ekonomi yang semakin tidak menentu akibat serangan penyangak mata wang.

‘Konflik Mahathir-Anwar’

Ia menjadi semakin rumit. Anwar cenderung kepada pendekatan International Monetary Fund (IMF) dan Bank Dunia. Mahathir cenderung kepada kaedah penyelesaian yang lain. Pertembungan itu kemudiannya memperlihatkan ‘konflik Mahathir-Anwar’. Konflik itu menjadi lebih serius setelah Anwar enggan meletakkan jawatan dan dipecat atas isu moral.  Akhirnya, Anwar dipecat dan ditangkap.

Dari situ bermulalah liku-liku perjuangan secara terbuka di jalan raya atau Gerakan Reformasi. Ia sudah berlaku di Indonesia, Soeharto akhirnya dipaksa meletakkan jawatan sebagai Presiden Indonesia pada 21 Mei 1998 setelah berkuasa selama 31 tahun (mulai 12 Mac 1967). Namun Gerakan Reformasi di Malaysia kurang berjaya, Mahathir terus kekal memerintah.

Situasi politik di Malaysia mula bertukar ganas dan bersifat agitasi. Ia berlangsung dalam masa yang lama (reda seketika sehingga muncul perhimpunan haram Hindraf pada akhir 2007), dan terhenti apabila gabungan parti-parti pembangkang berjaya membentuk kerajaan selepas PRU ke-14.

PRU ke-10 (1999), gabungan parti-parti pembangkang belum begitu berpengaruh, BN masih berupaya memerintah dengan kuasa lebih dua pertiga (147) manakala Barisan Alternatif 42 kerusi. PRU ke-11 (2004), Abdullah Ahmad Badawi hampir berjaya melumpuhkan kemampuan pembangkang. BN menang 199 kerusi dan pembangkang merosot lebih separuh kepada 20 kerusi.

hilang kuasa

Namun PRU ke-12 (2008) keadaan menjadi sedikit tidak selesa, BN menang dengan 140 kerusi manakala pakatan pembangkang –PKR, PAS, DAP dan PSM- berjaya menafikan  majoriti dua pertiga BN di Dewan Rakyat. BN turut hilang kuasa  di Kedah, Perak, Selangor dan Pulau Pinang. Semangat untuk menukarkan kerajaan menjadi semakin besar. Anwar merangka Road to Putrajaya dan  dengan yakin bertekad menubuhkan ‘kerajaan pintu belakang’.

Dengan kekuatan pembangkang 82 wakil rakyat (termasuk 1 kerusi Bebas yang disandang oleh Ibrahim Ali), Anwar merancang pelan ‘pertukaran kerajaan’. Langkah itu dimulakan dengan mendakwa BN menang PRU ke-12 secara tidak bersih, maka ia memerlukan pembersihan daftar pengundi; menyalahgunakan jentera kerajaan untuk berkempen (termasuk SPR); kemenangan tidak bermaruh (rasuah pengundi dan kemasukan pengundi hantu); menggunakan undang-undang yang zalim (ISA, Akta Hasutan, mengawal media, gerrymandering (persempadanan semula kawasan pilihan raya); dan sebagainya.

Ia kemudiannya disusuli dengan siri bantahan terbuka: candle light, duduk-bantah atau unggun api, memijak potret pemimpin dan ceramah mendakwa salah laku pemimpin BN. Akhirnya, pada tahun 2009, Tun Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan dan Najib dilantik sebagai Perdana Menteri. Najib sebelum itu dihebohkan dengan kes pembunuhan seorang wanita Mongolia, terpaksa menanggung kesan terhadap dakwaan itu.

BN menggelonsor

PRU ke-13 (2013), Najib gagal mengembalikan keyakinan pengundi terhadap BN,  kedudukan kerusi BN menggelonsor dari 140 kepada 133. Namun, Najib berjaya mengembalikan keyakinan orang Melayu kepada UMNO,  kemenangan  UMNO meningkat daripada 79 (2008) kepada 89 kerusi (2013). Bagaimanapun, MCA, Gerakan dan MIC dilihat semakin tidak bermaya.

PRU ke-13 turut menyaksikan perubahan undi popular daripada BN kepada Pakatan Rakyat. Secara keseluruhannya, daripada 11, 256,635 pengundi (84.84 peratus jumlah pengundi berdaftar), BN mendapat 5,237,986 undi sokongan (47.4 peratus) manakala Pakatan Rakyat memperoleh 5,624,011 undi (50.9 peratus). Keputusan itu digunakan oleh Pakatan Rakyat untuk ‘menggilakan’ iklim politik dan melancarkan desakan Najib berundur.

Sistem pilihan raya di Malaysia bukan ditentukan oleh undi popular, ia ditentukan oleh jumlah kerusi yang dimenangi atau first-past-the post dan BN kekal membentuk kerajaan. Februari 2009, Perak berpindah posisi pentadbiran kepada BN setelah berubah ‘keyakinan majoriti’; dua orang wakil rakyat PKR dan seorang dari DAP mengisytiharkan sokongan kepada BN.

memburu’ hingga ke Taiwan

Tahun 2008 menyaksikan ramai pemimpin UMNO berhijrah ke Pakatan Rakyat kerana percayakan bahawa Anwar. Namun, Anwar tidak berjaya ‘membeli’ atau ‘berunding’ bagi membolehkan 30 hingga 32 wakil rakyat BN ‘menyeberang’. Ketika menghampiri tarikh sasaran (16 September 2008), Anwar memberikan jaminan bahawa ia akan berlaku dalam ‘sedikit masa’ kerana ada beberapa masalah teknikal belum dapat diatasi. Termasuk kegagalan Tien Chua dan Saifudin Nasution ‘memburu’ hingga ke Taiwan.

Sehingga PRU ke-13, Anwar masih gagal menjadi Perdana Menteri. Ada yang mendakwa,  kegagalan disebabkan ‘tidak mempunyai cukup wang’. Orang yang ingin ‘melabur’ tidak mampu menyediakan ‘bayaran perpindahan’ yang dianggarkan lebihi RM 100 juta.

Selepas PRU ke-13, Anwar berhadapan dengan keputusan rayuan Shaiful Bakhari. Tahun 2014, Anwar diotakkan oleh Rafizi Ramli dengan Langkah Kajang, sebagai strategi politik untuk melangkah lebih luas menguasai Selangor dan seterusnya kerajaan Malaysia. Anwar terpesona dengan kejayaan Jokowi (Joko Widodo) di Indonesia dan Recep Tayyib Erdogan (Turki).

abang besar’

Langkah Kajang gagal, Menteri Besar Selangor bertukar tangan kepada Azmin Ali. Kerusi DUN Kajang disandang oleh Wan Azizah manakala Anwar beberapa bulan kemudian, didapati  bersalah dan dihukum penjara selama empat tahun.

Akhir tahun 2015, PAS mula berkonflik dengan DAP, dan memutuskan tahaluf siyasi dengan DAP dan PKR. DAP disifatkan sebagai ‘abang besar’ yang bersikap ‘mengawal’. Pakatan Rakyat terbubar, dan PAS menjalin kerjasama dengan IKATAN untuk membentuk kuasa ketiga. Tahun 2016, Dr Mahathir muncul sebagai antagonis sekali lagi mengkritik pentadbiran Najib dan BN. Ia menjadi bertambah serius apabila Muhyiddin  dan Shafie Afdal disingkirkan daripada kabinet manakala Mukhriz dipaksa melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah.

Permulaan itu membolehkan Muhyiddin, Mahathir dan Daim menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Kumpulan serpihan PAS, sebelumnya telah menubuhkan Parti Amanah Nasional (PAN) manakala Shafie Afdal bergabung dengan sebuah parti kecil di Sabah membentuk Parti Warisan.

majoriti mudah’

Tahun 2017, terbentuk Pakatan Harapan bagi Semenanjung menggantikan Pakatan Rakyat. Dr Mahathir dilantik sebagai pemimpin utama mengetuai kempen menjatuhkan BN dan Najib. PAS bertanding secara berasingan dan dalam pertembungan itu, PAS turut bersaing dengan BN dan PKR. Akibat tanpa penyatuan antara PAS dan BN, walaupun ada ura-ura terbentuk kerjasama secara sulit, atas keyakinan BN mempunyai kelebihan bila berlaku pertandingan tiga atau empat penjuru, PKR disahkan menjadi pemenang dalam PRU ke-14.

Kedudukan kerusi bila digabungkan antara PAS (18) dan BN (54), ia tidak mempunyai ‘majoriti mudah’. Pakatan Harapan akhirnya melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ke-7 dan membentuk kabinet beberapa minggu kemudian. Beberapa parti komponen BN membuat keputusan meninggalkan BN,  hanya tinggal UMNO, MIC dan MCA.

Kedudukan ahli parlimen BN juga semakin merosot bila anggotanya ‘melompat’ sama ada kekal sebagai wakil rakyat Bebas atau menyertai Bersatu atas pelbagai alasan. BN menjadi pembangkang di Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (Johor, Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Kedah dan kekal sebagai pembangkang di Selangor, Kelantan, Terengganu dan Pulau Pinang) dan Sabah.  BN hanya berkuasa di Pahang dan Perlis. BN hilang rakan di Sarawak dan kemudiannya di Sabah.

kemelut politik

Menariknya lagi, selepas berkuasa selama hampir 22 bulan, Pakatan Harapan hilang pengaruh politiknya selepas Langkah Sheraton. Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ke-7 tanpa menamakan Anwar sebagai penggantinya; berlaku perpecahan dalam PKR akibat konflik dengan Anwar; dan keputusan Muhyiddin untuk membawa sekumpulan besar wakil rakyat Bersatu membentuk Perikatan Nasional.

Setelah seminggu kemelut politik itu berlangsung, pada 1 Mac 2020, Muhyiddin dipilih mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Dr Mahathir menerusi pertimbangan ‘kuasa budi bicara’ Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong.

Berdasarkan kedudukan kerusi di Dewan Rakyat pada 18 Mei 2020, Perikatan Nasional dilaporkan hanya dengan kekuatan 114 kerusi, iaitu lebih tiga kerusi daripada Pakatan Harapan. Kedudukan tersebut menyebabkan ‘serangan propaganda’ yang lebih besar dimulakan dengan mendedahkan bahawa dua wakil rakyat yang dilihat pernah menyokong Muhyiddin membuat ‘pusingan u’, kembali menyokong PH. Dikatakan keadaan kuasa sekarang adalah tergantung, iaitu masing-masing 111 kerusi.

kuasa memecat’

Keadaan menjadi semakin ‘tidak menentu’ apabila Setiausaha Kerja PPBM menghantar surat menyatakan keahlian Dr Mahathir, Dr Mazlee Malik, Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Abdul Rahman dan Haji Amirudin dipecat bersesuaian dengan Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan PPBM. Keputusan itu dicabar sebagai ‘tidak sah’ dan Setiausaha Kerja tidak mempunyai kuasa memecat mana-mana ahli. Dr Mahathir menerusi peguamnya, Hanif Katari mengemukakan permohonan penjelasan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan mengenai ‘kuasa memecat’ yang berlaku.

Reaksi balas Dr Mahathir ialah mengarahkan Setia Usaha Agong PPBM memecat keahlian Setia Usaha Kerja, Mohamad Suhaimi Yahya. PPBM mempunyai dua Setia Usaha Agong, iaitu Marzuki Yahya (dilantik semula oleh Dr Mahathir setelah dipecat oleh Muhyiddin) dan Hamzah Zainudin (dilantik oleh Muhyiddin menggantikan Marzuki Yahya). Sebagai gantinya, Mahathir melantik Sazmi Miah sebagai Setia Usaha Kerja baharu.

‘membunuh’ PPBM

Konflik dalaman ini boleh menyebabkan dua kemungkinan besar, Mahathir akan mencari kaedah sesuai untuk memecat Muhyiddin dan penyokong-penyokongnya. Jika ini berlaku, Mahathir dijangka berusaha ‘membunuh’ PPBM sendiri. Muhyiddin boleh memohon pembubaran Dewan Rakyat.

Muhyiddin pula dikatakan mempunyai dua pilihan. Pilihan pertama ialah menyertai semula UMNO berdasarkan jiwa “UMNO yang totok”.  Jika ini berlaku, suatu pertimbangan yang lebih besar boleh berlaku, iaitu antara Muafakat Nasional dan ‘katak-katak yang melompat’ Apakah UMNO dan PAS bersedia untuk bersetuju kepada ‘katak-katak’ itu bertanding dalam PRU ke-15? Dari perspektif akar umbi, ‘katak-katak’ tersebut adalah ‘pengkhianat’.

‘katak-katak’ dari UMNO

Setakat ini belum jelas kompromi pembahagian kawasan antara BN dan PAS, terutama dengan UMNO. Ia adalah terlalu awal. Kedua-dua parti (UMNO dan PAS) bertembung sesama sendiri (PRU ke-14), namun dalam PRU ke-15, bertekad untuk tidak berhadapan dengan situasi yang sama. Kini, timbul pula di manakah ‘katak-katak’ dari UMNO itu akan bertanding? Meskipun keanggotaanya ialah 21 (ketika ini), pastinya Muhyiddin akan meminta lebih banyak kawasan,  untuk pemimpin pelapis atau lapisan keduanya.

Wakil-wakil rakyat yang melompat itu mungkin boleh diterima untuk bertanding di kawasan yang disandangnya, umpama kembali ke lubuk dengan selimut baharu, tetapi moral mereka sudah tercemar. Bolehkah mereka yang setia dengan perjuangan parti menerima ‘pembelot’ itu hanya kerana mencari dahan sementara untuk bergantung. Dahan yang ditumpangi sudah ‘berkelarah’ atau dimakan anai-anai, menunggu patah.

Bersediakah PAS berkorban kawasan-kawasan yang dianggapnya mempunyai kekuatan kepada UMNO dan ‘kumpulan katak’ itu? Persoalan tersebut memerlukan pertimbangan muafakat yang besar, kerana PAS dan UMNO sebenarnya berebut kawasan majoriti Melayu. Bolehkah ‘katak-katak’ itu bertanding di luar kawasan tradisinya? Ia harus diselesaikan dalam masa terdekat sekiranya Muhyiddin membuat pilihan terakhir, memohon perkenaan SPBDA untuk membubarkan Dewan Rakyat sebelum ‘undi tidak percaya’ ke atasnya dilakukan dalam Sidang Parlimen bulan Julai nanti?

menolak desakan PH

Tentunya, perang saraf PH akan menjadi semakin hebat selepas ini. PH akan menggunakan apa sahaja ruang dan mencari kekurangan PN untuk menyerang. Kalau konsep ‘kerajaan pintu belakang’ gagal menjatuhkan PN, maka selepas ini akan pula disebarkan bahawa PN tidak layak memerintah kerana tidak mempunyai ‘keyakinan majoriti’. Apakah SPBDA mempunyai ‘kuasa bicara’ untuk menolak desakan PH berdasarkan senario sokongan baharu oleh PH yang dikatakan boleh mencecah 129 wakil rakyat?

Ketika ini, PH sudah memulakan gerakan agar Dewan Rakyat dibubarkan. Sebelumnya, Muafakat Nasional pernah membuat desakan yang sama. Dr Mahathir tidak melayaninya kerana masih yakin dengan bilangan kerusi PH, iaitu sebelum retaknya PKR dan PPBM.

PN mungkin masih boleh bertahan sehari dua ini kerana  percubaan ‘membeli wakil rakyat’ dan ‘imej PH yang buruk’ kesan pentadbiran yang gagal selama 22 bulan tidak mencapai sasaran. Tetapi, menjelang Sidang Dewan bulan Julai nanti, ia akan berhadapan dengan lebih banyak isu, termasuklah isu-isu ekonomi ekoran Perintah Kawalan Pergerakan sejak 18 Mac 2020.

‘beradu kekuatan’

Mahu tidak mahu, lanskap politik negara akan terus bergolak selagi PRU ke-15 tidak dimuktamadkan, hari ini masuk bakul (PN), esok melompat ke bakul PH. Fenomena sebegini cukup ‘mendera rakyat’ kerana politikus terlalu asyik memikirkan kuasa dan sentiasa berusaha ‘beradu kekuatan’.

Dua tahun pentadbiran PH tidak menghasilkan kesan ekonomi yang besar walaupun dijanjikan reformasi dan perancangan yang lebih baik. Rakyat menanti sehingga putus harapan, perancangan dan pelaksanaan tindakan hanya berkisar dalam persekitaran ‘salah BN’, ‘salah Najib’, ‘hutang negara banyak’, ‘dakwaan kleptokrasi’, rakyat ‘kena ikat perut’, sedangkan apa yang betul tentang PH tidak muncul sebagai faktor WOW. Akhirnya, PH terdampar dengan ‘kilauan najis dan hancing’ kencing sendiri.

Sampai bilakah ‘politikus katak’ boleh dibenarkan untuk menghancingkap politik? Rakyat mula bertanya dan mula membebel, kenapa bermaharajalelanya ‘gila kuasa’ dalam kalangan politikus?

MONOSIN SOBRI

Editor's choice

No Comments

    Leave a reply