Ponteng kerja, tanda tidak berintegriti

 

Hilang waktu bertugas, meja kosong, buat kerja peribadi dan ambil masa lama untuk rehat atau makan selalu menjadi sungutan ramai, terutama rakyat yang mahu berurusan di pejabat kerajaan. Justeru, peringatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri supaya penjawat awam menjaga amanah masa ketika menjalankan tugas perlu diambil serius.

Bagi kita, nasihat bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu bukan hanya perlu didengari pegawai dan kakitangan di jabatan serta agensinya, bahkan semua penjawat awam atau swasta tidak kira apa jawatan atau kedudukan mereka. Kepentingan menjaga amanah masa itu turut disahut rakan sejawatannya yang bertanggungjawab terhadap Parlimen dan undang-undang. Hakikatnya, menjaga amanah masa adalah asas kepada integriti, iaitu pegangan prinsip moral serta etika kerja yang perlu diterjemah ketika menjalankan tugas. Berintegriti bukan hanya bermaksud tidak mengambil rasuah dan menyalahgunakan harta kerajaan atau majikan untuk kepentingan peribadi. Mencuri masa juga boleh menjadikan seseorang penjawat awam tidak amanah dan jujur.

Ketika ini di Malaysia ada 1.6 juta penjawat awam. Bayangkan berapa jumlah masa disalahgunakan jika sebilangan mereka menyalahgunakan sejam setiap hari untuk urusan peribadi. Jika setahun, jumlahnya tentulah besar dan jika dinilai dalam bentuk wang pula, pastilah membabitkan kerugian jutaan ringgit kepada kerajaan. Itu belum lagi mengambil kira kerugian dari sudut produktiviti.

Juteru kita mahu penjawat awam memperbaiki budaya kerja dengan mementingkan integriti bermula sikap amanah terhadap masa. Kejayaan atau kegagalan negara mengharungi cabaran genting itu, terletak di bahu setiap penjawat awam yang memberikan usaha optimum.

Sumber : Berita Harian

No Comments

    Leave a reply