PPMM tak setuju cadangan had umur minimum berkahwin 18 tahun tanpa pengecualian

BANGI, 13 Syawal 1439H, Rabu – Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar tidak bersetuju jika had umur minimum perkahwinan ditetapkan pada 18 tahun tanpa sebarang pengecualian.

Beliau berkata, sifat suatu undang-undang perlulah fleksibel bagi mengelakkan sebarang kemudaratan.

“Undang-undang tidak boleh digubal dengan cara yang sangat ketat. Harus ada ruang untuk fleksibiliti. Saya tidak bersetuju bahawa umur minimum perkahwinan ditetapkan pada 18 tanpa pengecualian.

“Menetapkan semua orang untuk berkahwin hanya selepas mencapai usia 18 tahun akan membawa kepada lebih banyak kemudaratan daripada kebaikan.

“Kerajaan boleh menaikkan umur minimum hingga 18 tahun untuk lelaki dan wanita tetapi perlu mengekalkan pengecualian.

“Mungkin lebih baik jika ada garis panduan atau keperluan pengecualian yang lebih jelas supaya ia memberi manfaat kepada pengantin perempuan, pengantin lelaki dan keluarga masing masing umpamanya dari sudut nafkah, pendidikan pasangan berkahwin muda dan juga pengurusan rumahtangga” katanya ketika dihubungi hari ini.

Baru-baru ini, Setiausaha Publisiti Wanita DAP, Kasthuri Patto berkata, umur minimum berkahwin untuk semua rakyat Malaysia perlu ditetapkan pada usia 18 tahun tanpa pengecualian.

Beliau juga berharap Pakatan Harapan menetapkan perkara itu untuk lelaki dan perempuan di negara ini tanpa mengira kaum atau agama.

Mengulas lanjut, Zainul berkata, lazimnya mereka yang memerlukan perkahwinan awal adalah mereka yang tidak dapat mengelakkan diri dari zina.

“Hidup dalam perzinaan atau berzina adalah antara larangan utama dan ditetapkan dalam Al-Quran.

“Adalah lebih baik bagi mereka untuk berkahwin dan melakukan hubungan yang halal dan selamat daripada melakukan hubungan seksual tanpa berkahwin secara sah.

“Sekiranya mereka berkahwin, mereka juga perlu menghadiri beberapa kelas mengenai seks yang selamat, bagaimana merancang masa depan dalam kehidupan berkeluarga dan lain-lain,” katanya.

Di bawah Enakmen Keluarga Islam yang dikuatkuasakan di semua negeri, usia minimum bagi lelaki adalah 18 tahun manakala bagi ­perempuan adalah 16 tahun.

Sekiranya mereka di bawah umur, perkahwinan hanya dibenarkan jika ada kebenaran mahkamah syariah bagi orang Islam dan kebenaran Menteri Besar bagi orang bukan Islam.

Bagi orang bukan Islam, mengikut Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164), usia minimum perkahwinan adalah 18 tahun.

Andainya pasangan itu berusia antara 16 hingga 18 tahun, mereka perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada Ketua Menteri dan Mahkamah (lihat seksyen 10 dan seksyen 21(2)).

“Biarlah Mahkamah Syariah bagi orang Islam yang menentukan samada seseorang bawah umur itu layak berkahwin atau tidak.

“Tapisan Mahkamah Syariah ini sangat baik kerana ia boleh mengelakkan kahwin paksa, pasangan tidak sekufu dan dapat menghindar kemudaratan lebih besar.

“Garis panduan yang tuntas perlu dibuat bagi memberi panduan kepada Mahkamah Syariah di dalam kes-kes sebegini,” katanya.

No Comments

    Leave a reply