“Perlu diingat juga bahawa pada tahun 1969, pemberontak-pemberontak komunis yang kebanyakannya daripada kaum Cina masih cergas menentang angkatan bersenjata kerajaan di Semenanjung dan juga di negeri Malaysia Timur, Sarawak. Ini menambahkan lagi ketegangan” (Mahathir Mohamad 1990: 6).

Menurut Dr. Mahathir lagi, isu-isu seperti bahasa kebangsaan, sekolah-sekolah Cina, seterusnya kedudukan tinggi sekolah-sekolah Inggeris dan gagalnya segelintir perusahaan orang Melayu mula dipaparkan.

Manakala, akhbar bahasa Inggeris yang masih di bawah pengurusan British mengambil pendirian yang amat liberal terhadap masalah-masalah ini, dengan sikap sering tanpa simpati kepada orang Melayu, tetapi akhbar-akhbar tempatan kepunyaan masyarakat etnik tidak segan silu menonjolkan isu-isu perkauman.

“Kerajaan membiarkan saha­ja laporan akhbar-akhbar yang berasaskan prasangka perkauman dan membakar perasaan. Malah, Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman dan pemimpin-pemimpin lain Kerajaan Perikatan kelihatan cukup yakin kerana mereka percaya bahawa tiadanya pergaduhan terbuka antara orang Melayu dengan orang Cina mencerminkan keharmonian kaum yang mendalam di negara ini.

“Sebaliknya, di kalangan rakyat ketegangan antara dua kaum itu kian meruncing. Segalanya memuncak pada tahun 1969. Pilihan raya umum pada tahun itu unik kerana Kerajaan Perikatan yang begitu yakin akan menang telah membenarkan kempen berterusan sepenuhnya jangka masa maksimum di bawah perlembagaan” (Mahathir Mohamad 1990).

Dr. Mahathir mengulas, sebagai tulang belakang bagi Kerajaan Perikatan, orang Melayu menyandarkan harapan kepada UMNO dan Perikatan untuk membetulkan kepincangan dalam bidang ekonomi yang dibiarkan melarat teruk pada zaman penjajahan.

Namun begitu, kata Dr. Mahatir apabila tidak kelihatan apa-apa pembaikan, me­rebaklah rasa kebangsaan yang sempit atau lebih tepat, rasa perkauman, terutamanya di kalangan generasi muda orang Melayu.

“Akibatnya, semuanya menyalahkan orang Cina sebagai punca kemiskinan dan kekurangan peluang mereka dalam perniagaan. Oleh itu perasaan negatif terhadap orang Cina menegang semula!” (Mahathir Mohamad 1990).

Menurut R. S. Milney dan Diane K. Mauzy dalam buku Politik dan Kerajaan Malaysia (1982), salah satu ciri Pilihan Raya Umum 1969 yang menarik untuk dikaji sarjana sains politik ialah ketiadaan isu penting baharu yang benar-benar bermanfaat untuk negara. Semuanya tertumpu kepada soal isu kaum masing-masing.

“Akibatnya, kempen pilihan raya hanya tertumpu kepada isu perkauman yang berlanjutan dan isu yang diperbesar-besarkan itu telah mengapi-apikan lagi perasaan perkauman” (R. S. Milney dan Diane K. Mauzy 1982: 204).

Paling menarik untuk dikaji ialah mengapa UMNO dan Perikatan begitu sugul sedangkan parti mereka masih menang walaupun undi diraih merosot terhadap mereka.

“Suatu perkara yang agak aneh ialah parti bukan Melayu yang ‘kalah’ terutamanya DAP sangat gembira manakala parti Perikatan yang menang merasa sugul. Keanehan ini disebabkan oleh DAP, walaupun tidak ‘menang’ tetapi prestasinya jauh lebih baik daripada prestasi PAP pada tahun 1964 terutama sekali di kawasan bandar” (R. S. Milney dan Diane K. Mauzy 1982).

Dalam PRU 1969, Perikatan memenangi 66 kerusi Parlimen berbanding tahun 1964 (89), UMNO ( 51), MCA (13) dan MIC (2). Situasi terbalik itu menyebabkan DAP dan Gerakan yang penuh dengan semangat berkobar-kobar telah mengadakan perarakan meraikan ‘kemenangan’ awal itu di Kuala Lumpur, sesetengahnya tanpa izin polis.

Perarakan tersebut sebagai ikutan kepada perarakan jenazah yang dikelolakan oleh parti Buruh pada 9 Mei sebagai simbolik untuk seorang pemuda Cina yang terbunuh dalam pertempuran dengan polis sebelum pilihan raya.

Sebagai tindak balas, orang Melayu yang mula melihat situasi melampau ibarat ‘kaduk naik junjung’ itu pula merancang untuk mengadakan perarakan besar-besaran di Kampung Baru yang akan dike­tuai oleh Datuk Harun Idris, Menteri Besar Se­langor.