PRK CAMERON HIGHLANDS, UJIAN TERBAIK PEMULIHAN UMNO

 

Sekurang-kurangnya lima calon dijangka akan mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands yang dijangka akan diadakan pada 26 Januari ini setelah tiga calon telah mengesahkan penyertaan mereka setakat ini. Penamaan calon dijangka akan berlangsung pada 12 Januari 2019.

Sebelum BN yang diwakili oleh UMNO mengemukakan calon pilihannya, bekas Presiden MyPPP, Tan Sri Dr M Kayveas dan calon DAP, M Manogaran disahkan bertanding. Parlimen Cameron Highlands dalam PRU ke-14 (PRU 14) dimenangi oleh calon BN dari parti MIC telah diisytiharkan batal apabila didapati ada aktiviti rasuah ‘membeli undi’.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 November lalu memutuskan bahawa kemenangan Sivarraajh bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada PRU14 adalah terbatal dan satu pilihan raya semula hendaklah diadakan bagi mengisi kekosongan tersebut.

Pada PRU 14, Sivarraajh yang juga Naib Presiden MIC menang di kerusi Parlimen Cameron Highlands dalam persaingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi apabila memperoleh 10,307 undi. Beliau berjaya menewaskan M Manogaran dari DAP yang bertanding mewakili PH (9,710 undi), Wan Mahadir Wan Mahmud dari PAS (3,587 undi), Mohd Tahir Kassim dari Berjasa (81 undi) dan B Suresh Kumar dari PSM (680 undi).

Dalam parti komponen BN, kerusi Parlimen Cameron Highlands menjadi rebutan antara  MyPPP dan MIC dalam  PRU 14 . Setelah BN menetapkan calon untuk bertanding dalam PRU 14, kerusi itu diberikan kepada MIC yang mendakwa ia adalah kerusi tradisi sejak tahun 2004 manakala My PPP diperuntukkan kerusi Parlimen Segambut.

Apabila berlakunya pemilihan semula, bekas Presiden MyPPP merasakan ia adalah peluang terbaik parti itu untuk bertanding dengan andaian mempunyai sokongan akar umbi daripada pengundi setempat dan menurut daftar pemilih terbaharu, terdapat sejumlah 32,009 pengundi berdaftar untuk PRK kali ini. Bagaimanapun, bekas presiden MyPPP itu tidak boleh menggunakan logo MyPPP kerana sudah dipecat daripada parti tersebut selepas PRU 14.

Sebelum BN mengemukakan calonnya secara rasminya, MIC telah menolak pencalonannya dengan alasan parti itu berhadapan dengan masalah sokongan par pengundi akibat rusuhan yang berlaku di kuil Sri Maha Mariaman, USJ 25 pada 26 November lalu. Rusuhan yang berlanjutan selama dua hari itu berlaku apabila jawatankuasa kuil enggan berpindah ke tapak yang baru yang terletak tiga kilometer walaupun tuan punya tanah memperolehi keputusan mahkamah.

Kuil tersebut dikatakan berusia 100 tahun dan didirikan di atas kawasan ladang yang kemudiannya dibeli oleh One City Development. Pemilik baharu tanah itu juga bersetuju memberikan pampasan sebanyak RM 1.5 juta sebagai perbelanjaan membina kuil baharu dan kos perpindahan.

Akibat tidak mahu berpindah, penganut-penganut Hindu berkumpul di kawasan kuil bagi menghalang pihak pemaju melakukan apa-apa tindakan sehinggalah dikatakan telah mengupah sekumpulan orang bertindak. Kesannya, seorang anggota bomba yang dipanggil untuk mengawal keadaan dan kebakaran yang berlaku telah dibelasah teruk. Anggota bomba itu kemudianya telah disahkan meninggal dunia pada 17 Disember 2018.

Ekoran tragedi itu, seorang anggota EXCO Selangor telah mengeluarkan kenyataan melalui laman sosial berbau perkauman apabila mengaitkannya sebagai rusuhan antara kaum (Melayu dan India). Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Waytha Moorty kemudiannya menyelar laporan pihak polis bahawa rusuhan yang berlaku adalah disebabkan pertembungan dua pihak kumpulan India berkaitan dengan pemindahan kuil.

Salah seorang sami menjelaskan bahawa anggota bomba yang malang itu bukanlah dibelasah oleh kumpulan perusuh tetapi cedera akibat kemalangan jalan raya. Bagaimanapun, selepas beberapa hari beliau membuat kenyataan maaf dan mengakui Mohamad Adib dibelasah.

Pada 27 November 2018, tiga orang menteri, Dr Xavier Jayakumar, Gobind Singh Deo dan M Kulasegaran; seorang timbalan menteri, Datuk Kamarudin Jaafar dan dua ahli Parlimen, RSN Rayer (Jelutong) dan Hasanudin Mohd Yunus (Hulu Langat) mengadakan sidang media di lobi Parlimen mengkritik pihak polis yang lambat bertindak untuk mententeramkan keadaan.

Pada 8 Disember 2018 berlangsung #DaulatHimpunan812 di Kuala Lumpur yang menyaksikan ratusan ribu umat Islam berkumpul untuk menghantar isyarat bahawa ratifikasi undang-undang bagi menyokong ICERD – Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum – adalah tidak perlu kerana ia boleh menyebabkan statusquo Melayu-Islam tergugat. Isu pengesahan enam lagi dokumen Hak Asasi Manusia PBB itu menjadi hangat apabila Waytha Moorty menegaskan kerajaan akan tetap melakukannya mulai bulan Januari 2019.

Isu-isu ini dijangka akan terus menjadi bahan kempen di PRK Cameron Highlands apabila ia melibatkan DAP. Sehingga kini, persepsi umum tetap melihat agenda yang berlaku dalam PH adalah menjurus kepada kelahiran semula Malaysian Malaysia dalam bentuk baharu di mana DAP tetap mempertahankannya sebagai suatu langkah politik persamaan dan menolak ciri-ciri politik berasaskan kaum.

Beberapa hari lalu, ketika berucap di Kuala Terengganu, Dr Mahathir saperti telah memberikan ‘bola tanggung’ apabila dilaporkan DAP mempunyai peranan menentukanya pelantikannya sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi PH.

Berdasarkan rakaman video yang tular (8/1/2019), Dr Mahathir berkata: “Saya tahu ada pendapat mengatakan DAP parti musuh, tapi saya nak bagi tahu bahawa yang tentukan saya akan jadi pengerusi PH dan bakal PM (Perdana Menteri) jikalau menang dalam PRU lalu adalah DAP.

 “Mereka (DAP) tentukan siapa pemimpin dan siapa akan pegang jawatan selepas berjaya ambil alih kerajaan, semuanya ini datang dari DAP. Jadi, kalau orang kata (DAP) musuh, kenapa pilih saya.

 “Mereka juga sedar, kerosakan yang dilakukan pemimpin kerajaan terdahulu perlu disingkirkan dan sebab itulah kita menang dalam PRU-14,” katanya.

Pada 9 Januari 2019, satu kenyataan dari Pejabat Perdana Menteri telah menafikan bahawa DAP yang menentukan pelantikan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi PH. Menurut kenyataan itu, “Saya tahu ada orang yang berpendapat bahawa parti DAP ini parti musuh, musuh orang Melayu. Semua orang Melayu dibagi tahu oleh UMNO bahawa parti DAP ini adalah musuh.

“Tapi saya nak bagi tahu yang cadang saya jadi Pengerusi dan saya jadi bakal Perdana Menteri kalau menang adalah DAP”. DAP hanya mencadangkan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi PH.

Pembetulan itu tidak dapat diterima dengan mudah, malah ada yang memberikan reaksi, ia hanyalah satu bentuk tindakan ‘mengawal kerosakan’ kerana PH takut keyakinan rakyat terus merosot setelah INVOKE mendapati imej Dr Mahathir semakin menipis.

Rakyat semakin banyak mempersoalkan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh barisan kabinet Malaysia Baru yang bukan sahaja tidak konsisten malah ada ketikanya bertentangan. Umpamnya mengenai pelaburan sejumlah US$ 400 bilion dari sebuah negara Timur Tengah untuk pembangunan projek kereta nasional ketiga, sumbangan RM 2 bilion untuk insuran kesihatan B 40, tahap hutang negara dan kejayaan MITI menarik pelaburan asing sebanyak RM 1.9 trilion dalam tempoh 10 tahun selain ‘boomerang’ 10 janji dalam tempoh 100 hari yang tidak dapat dilaksanakan.

Isu keceluparan calon DAP yang menyindir ‘kueh orang Asli’ tidak dibeli oleh orang Melayu turut menyebabkan pengundi-pengundi Melayu kembali berfikir bahawa calon yang mewakili PH sebenarnya tidak akan berkhidmat dengan baik kalau dipilih. Beliau hanya berusaha untuk menempatkan dirinya sebagai Yang Berhormat berdasarkan persepsi awal dari kata-kata yang menghina masyarakat Orang Asli.

Meskipun sudah memohon maaf dan rasa kesal dengan keceluparan itu, terlajak kata itu telah menyebabkan hati dan perasaan pengundi Orang Asli terluka. Walaupun pengundi Orang Asli hanya sekitar 22 peratus, calon UMNO, iaitu bekas pegawai kanan polis, ACP (B) Ramli Mohd Noor merupakan calon ‘boleh menang’ dalam PRK Cameron Highlands.

Ramli Mohd Noor merupakan Orang Asli yang pertama diberikan peluang untuk bertanding dalam pilihan raya. Beliau merupakan anak tempatan sedangkan M Monogaran dilahirkan di Pulau Pinang pada tahun 1959. Pernah menjadi wakil rakyat Parlimen Telok Intan selepas menang PRU 12 (2008) dan pada 3 April 2010 ditangkap apabila terbabit dalam demonstrasi berhubung dengan pemilihan novel Interlok sebagai buku teks KOMSAS di Batu Caves

Setakat ini, Ramli hanya dipersoalkan oleh segelintir pengamat politik mengenai pembabitannya dalam UMNO. Bagaimanapun, isu keahlian dalam UMNO bukanlah satu perkara besar kerana dalam pemilihan calon rakyat pernah muncul calon yang belum menjadi ahli diberikan peluang bertanding.

Contoh yang dianggap klasik ialah kemenangan Datuk Ibrahim Ali dalam PRU 12 atas tiket PAS di mana Presiden Perkasa itu bukanlah ahli PAS. Seseorang calon yang dipilih mewakili sesebuah parti dibolehkan bertanding sekiranya mendapat persetujuan parti dan mengemukakan bukti secara jelas.

Bahkan dalam situasi lain, seseorang yang tidak mana-mana bahagian pilihan raya masih boleh boleh dilantik menganggotai kabinet sebagaimana berlaku ke atas Waytha Moorty. UMNO juga pernah melantik Tan Sri Musa Mohamad sebagai Menteri Pendidikan walaupun beliau ketika itu belum menjadi ahli UMNO.

PH sebenarnya berhadapan dengan isu penolakan rakyat Malaysia terhadap Wayhta Moorty di mana lebih 300,000 petisyen telah diterima mendesak pemimpin Hindraf itu meletakkan jawatan atau dipecat sebagai Menteri. Waytha dilihat telah gagal untuk menenentukan dasar menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum apabila tindakan yang diambil mirip kepada perjuangan masyarakat India berbanding kaum-kaum lain.

Isu ICERD tetap menjadi isu yang boleh menyebabkan masyarakat Melayu dan kaum Pribumi memandang serong kepada Waytha dan mana-mana pemimpin India yang mewakili DAP.

Dalam PRK Cameron Highlands ini, sekiranya pengundi Melayu (34 peratus) dan Orang Asli (22 peratus) tidak berpecah, peluang kemenangan bekas pegawai kanan polis itu begitu besar kerana dua kumpulan etnik tersebut telah membentuk 56 peratus daripada keseluruhan pengundi berdaftar.

Walaupun PH merupakan kerajaan yang memerintah di peringkat pusat dan boleh menggunakan apa sahaja kemudahan jentera dan sumber kewangan yang ada, peranan pentadbiran di peringkat negeri tetap dominan. Cameron Highlands yang berada dalam negeri Pahang tetap mengharapkan banyak perkara yang berkaitan dengan kemudahan asas, pentadbiran tanah dan pembangunan daripada kerajaan negeri. Pahang merupakan salah sebuah daripada dua negeri yang berada dalam naungan kuasa BN.

Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail dijangka akan bertungkus lumus membantu kempen UMNO apatah lagi beliau adalah wakil rakyat DUN Jelai, salah satu DUN dalam Parlimen Cameron Highlands. Wan Rosdy merupakan penyandang DUN Jelai sejak PRU 11 (2004) dan tentunya akan mengerahkan seberapa banyak sokongan pengundi-pengudinya untuk memilih calon BN dalam PRK Cameron Highlands.

Sumbangan kempen BN Pahang mungkin akan menjurus kepada masalah tempatan, namun isu-isu peringkat nasional akan tetap menjadi bahan kempen yang boleh menyebabkan PH sukar untuk menang dalam PRK Cameron Highlands termasuklah penguatkuasaan pihak berkuasa terhadap limpahan pekerja asing tanpa izin yang sukar dikesan.

Disebabkan ladang-ladang pertanian tanah tinggi adalah luas di Cameron Highlands, kehadiran pekerja asing tanpa izin sukar dibenteras. Dalam PRK Cameron Highlands kali ini, mungkin pihak berkuasa akan melancarkan kuat kuasa undang-undang untuk membenteras pembabitan warga asing yang dilihat semakin ramai membuka kedai-kedai perniagaan dengan menjual sayur-sayuran yang rendah kualiti, atau mungkin mengandungi bahan racun yang tidak dibenarkan.

Kemenangan BN dalam PRK Cameron Highlands bukan sahaja menaikkan maruah BN bahkan memberikan isyarat yang jelas bahawa orang Melayu dan Orang Asli semakin tidak meyakini PH akibat banyak janji tidak dikotakan dan setelah lapan bulan memerintah, kos sara hidup tidak menjadi semakin baik sebaliknya lebih banyak menyusahkan apabila kutipan tol, bayaran balik pinjaman PTPTN tidak dimansuhkan manakala tarif air bersih sedang dirundingkan untuk ditingkatkan pada tahun ini.

Meskipun harga petrol sudah diturunkan sebanyak 27 sen seliter dan 18 seliter baru diesel, penurunan tersebut hanyalah saperti ‘memberi panadol kepada orang yang demam’. Ia hanya untuk jangka masa pendek, demam akan tetap boleh menyerang pada bila-bila masa kerana program meningkatkan ekonomi rakyat masih belum jelas dan dasarnya belum ada.

Monosin Sobri

No Comments

    Leave a reply