PRK DUN RANTAU ADALAH ‘HIDUP-MATI ANWAR’

 

Suka atau tidak, dalam tempoh dua minggu ini Rantau akan menjadi medan pertembungan dua gergasi politik manakala dua pelanduk lagi bakal tertembak oleh angan-angan besar untuk bergelar wakil rakyat bebas. Tentunya, hanya seorang pemenang akan dinobatkan sebagai wakil rakyat DUN Rantau; tiga lagi akan mengingatkan kita kepada lirik lagu Ibnor Reza, Mimpi Yang Tak Sudah.

Dua gergasi yang dimaksudkan itu ialah bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, yang bersedia mempertahankan DUN Rantau dan tidak takut ‘mati’ dihalaman sendiri manakala Dr Streram yang tidak ada pengetahuan yang jelas mengenai kemudahan dan budaya setempat menjadi calon untuk mengjaguhkan Presiden PKR, Anwar Ibrahim yang sudah bertekad akan berkampong di situ sepanjang kempen PRK DUN Rantau.

Jika dibandingkan secara langsung, calon yang mewakili PKR bukanlah seorang tokoh yang hebat tetapi orang di belakangnyalah sebenarnya berusaha untuk menunjuk hebat. Kemenangan Dr Streram membolehkan Anwar memberikan tekanan kepada Dr Mahathir agar mempercepatkan proses peralihan pucuk pimpinan Perdana Menteri.

Tentunya, Anwar akan menggunakan peluang tersebut sepenuh daya untuk membuktikan bahawa dari segi politik, kepimpinannyalah adalah lebih berkesan daripada Dr Mahathir dan juga Lim Kit Siang. Di bawah kepimpinan Dr Mahathir, PPBM hilang keupayaan untuk mempertahankan DUN Semenyih. Kehebatan Lim Kit Siang juga tidak mampu memberikan kemenangan kepada M Manogaran di Cameron Highlands.

Ketika kempen di Semenyih, PPBM mengerahkan sebahagian besar menteri kabinetnya untuk turun membantu calon PH. Bahkan Dr Mahathir sendiri telah turun berkempen, tetapi sayangnya langkah Dr Mahathir tidak menampakkan ‘bisa’nya mengalir masuk dalam fikiran pengundi untuk mengekalkan kerusi DUN Semenyih milik PPBM.

Dr Mahathir juga gagal membantu M Manogaran dari DAP untuk mencabar kerusi yang menjadi milik mutlak BN. Sebabnya kebanyakan pengundi Melayu dan Orang Asli tidak dapa menerima PH. Mereka tetap ada ikatan yang kuat dengan BN. Sebaliknya ada pengundi bertegas mahukan calon DAP itu memberikan komitmen bertulis tentang janji-janji yang bakal dilaksanakan, tidak lagi boleh bercakap ikut sedap mulut dan omong kosong.

Kalau di Semenyih, calon yang mewakili PKR tersandung dengan langkah sumbang, calon DAP di Cameron Highlands juga kurang menyerlah walaupun sudah tiga kali mencuba nasib di situ selepas sepenggal di Teluk Intan (PRU ke-12/2008).

PRU ke-13, M Manogaran bertanding di Cameron Highlands tetapi tewas kepada G Palanivel (MIC). PRU ke-14, M Manogaran sekali lagi tewas kepada calon MIC, Sivarraajh Chandran. PRK Cameron Highlands, MIC tidak bertanding tetapi BN meletakkan calon dari keturunan Orang Asli tempatan, iaitu bekas pegawai kanan polis, Ramli Mohd Noor.

Tiga kali tewas mungkin memberi pemahaman yang jelas kepada DAP bahawa M Manogaran bukan sahaja perlu ‘mandi bunga’ bahkan tidak sewajarnya diberikan peluang bertanding di Cameron Highlands pada masa depan, termasuklah PRU ke-15. Dr Streram ialah Timbalan Pengerusi PKR Rembau.

Ketika ini, BN mengharapkan ‘kemenangan secara hatrik’ dengan mengekalkan Mohd Hassan sebagai calon dalam PRK DUN Rantau berdasarkan populariti dan hubungannya yang akrab dengan pengundi tempatan. Oleh kerana PH takut dengan ‘kekalahan secara hatrik’, pelbagai usaha sedang dan akan dilakukan sepanjang kempen untuk memenangkan Dr S Streram yang kadangkala dianggap bercakap ‘dalam keadaan mabuk’. Terbaharu, calon PKR mempersoalkan mengenai Hospital Rembau yang dimulakan pembinaannya pada tahun 2013 masih belum siap hingga kini.

Hospital Rembau, menurut Menteri Kesihatan, Dr Zulkifly Ahmad dijangka siap pada suku pertama tahun ini. Bagaimanapun, operasinya mungkin tidak dapat disegerakan kerana menurut bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, yang juga calon BN kerana Kementerian Kesihatan ingin menempatkan teknologi terkini dalam bidang perubatan. Ia tentunya memerlukan perbelanjaan yang lebih besar dan perancangan tenaga manusia (pakar) secara teliti, kerana ia boleh menentukan imej Kerajaan PH pada masa hadapan. (Rujuk: “Hospital Rembau Lewat Siap Kerajaan Tanggung Kos”, Malaysiakini, 30 Jun 2018, dan Kenapa Hospital Rembau Belum Berfungsi, Streram Tanya Mohamad, Malaysiakini, 1 April 2019.)

Kelewatan menyiapkan Hospital Rembau disebabkan perubahan rekabentuk, dan pada awalnya menggunakan kaedah IBS (Sistem Binaan Berindustri). Penggunaan IBS dijangka tidak mampu ‘menanggung beban’ untuk jangka masa lama, maka juru perunding asal telah diketepikan bagi menyesuaikan semula lukisan rekabentuk dengan menggunakan kaedah binaan baru.

Ketika membuat keputusan tersebut, Mohd Hassan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, “Jangan jadikan projek Hospital Daerah Rembau itu sebagai ‘kam-bing hitam’ untuk menuding jari kepada Kementerian Kesihatan, Kementerian Kerja Raya atau JKR dan Menteri Besar. Projek ini berada dalam dua fasa iaitu yang pertama adalah projek meratakan tanah dan fasa ke-dua ialah pembinaan bangunannya. Kini kerja meratakan tanah sudah selesai dan sekarang adalah projek pembinaannya.” (Rujuk: Hospital Daerah Rembau siap 2018, Utusan Malaysia, 12 Ogos 2015). Ini bermakna, selepas BN tewas, ia menjadi tanggungjawab Kerajaan PH untuk menentukan proses selanjutnya, bukan lagi boleh menuding jari kepada BN.

Kerajaan BN sebelumnya telah berusaha menangani kelewatan pembinaan bangunan hospital, dan kini ia menjadi tanggungjawab Kerajaan PH. Ini bermakna, kerajaan terdahulu tidak lagi boleh dipersalahkan mengenai operasi Hospital Rembau, ia adalah dalam bidang kuasa Kementerian Kesihatan yang dikuasai oleh Kerajaan PH.

Melihat kepada kelebihan calon BN, PKR sebenarnya terpaksa menyusun strategi ‘menyerang’ peribadi Datuk Mohd Hassan bagi menutupi pelbagai kesilapan PKR kerana mengekalkan Dr S Streram dalam PRK DUN Rantau. Imej kurang menarik calon PKR itu sudah diluahkan oleh sebahagian kecil pengundi DUN Rantau dan disifatkan oleh calon BN saperti ‘orang mabuk’ kerana bercakap tanpa mengetahui dengan lebih jelas apa yang ada di Rantau.

Komen Mohd Hassan, “Sepatutnya dia kena tahu apa yang dia cakap. Selaku calon dan dia bukan calang-calang orang, doktor pula. Takkan cakap macam orang yang tidak ada pengetahuan, cakap biar betul. Kalau nak tuduh biar yang betul. Hospital Rembau sudah siap, pergilah tengok sendiri.

Hospital itu sudah siap tetapi Kementerian Kesihatan tidak lagi melakukan operasinya kerana mereka nak gunakan peralatan yang baru. Kalau Dr Streram kata tidak ada hospital di Rembau, maknanya dia ‘mabuk’ lagi sekali. Jangan kata saya tuduh dia mabuk pula, itu gurauan saja, sepatutnya dia tahu apa dia cakap,” tegas beliau.

Dr S Streram pernah melahirkan hasrat untuk membina Balai Bomba jika PKR menang, akhirnya disekolah dan dibelasah oleh warganet kerana kemudahan tersebut sudah pun ada. Balai Bomba dalam kategori D telahpun beroperasi. (Rujuk: [VIDEO] PRK Rantau: Streram jawab isu tiada balai bomba, Kosmo Online, 31 Mac 2019). Warganet cuba mengingatkan Dr S Streram bahawa belum pernah berlaku dalam sejarah bahawa ada dua buah Balai Bomba dalam satu daerah, dan kerana itu, Dr S Streram mula dengan idea pembinaan Hospital Rembau. Akhirnya beliau mengakui, kenyataan itu adalah kenyatan lama, iaitu sebelum PRU ke-14.

Mengenai cadangan menaiktaraf klinik Rantau, Mohd Hassan memberikan jawapan bahawa “Memang kita nak naik taraf (Klinik Kesihatan Rantau) dan ada dalam dasar kita dan ia dah diluluskan tapi masalahnya di kawasan klinik Rantau itu tanah tidak ada, tempat itu tidak sesuai untuk dibesarkan, jadi kita bawa kelulusan itu ke Klinik Lenggeng.” (Rujuk: Free Malaysia Today, 1 April 2019). Dr Streram masih tegar dengan pendiriannya, “

Tanah kerajaan tidak ada di sekitar Klinik Kesihatan Rantau itu, kalau nak beli tanah orang awam perbelanjaan besar, jadi ada beberapa isu kadang-kadang tidak semudah kita fikirkan,” Rantau tidak memerlukan hospital, kerana terdapat tiga hospital yang berdekatan, iaitu Hospital Rembau (bila beroperasi), Hospital Port Dickson dan Hospital Seremban. Namun, sebelumnya Dr S Streram berkata, Hospital Rantau ‘boleh dibangunkan’ apabila mempunyai penduduk yang ramai dan ini menggambarkan beliau membuat kenyataan tanpa melihat kepada reality atau keperluan semasa. Seolah-olah calon PKR itu masih berangan-angan dan belum jelas apakah yang perlu diutamakan bagi berkhidmat kepada pengundi jika dipilih.

Melihat kepada kenyataan-kenyataan Dr Streram, PKR mungkin akan mengalami defisit pengaruh dan agak sukar untuk memenangi PRK DUN Rantau. Atas sebab itulah Anwar terpaksa menumpukan sepenuh perhatiannya, bekerja keras untuk meyakinkan orang Melayu agar memilih calon PKR, kerana kemenangan itu bakal melonjakkan imejnya sebagai ujian pertama selepas menerajui parti sebagai presiden tanpa saingan. Imej tersebut akan digunakan untuk menyampaikan isyarat kepada Dr Mahathir agar mempercepatkan proses menyerahkan kuasa. Sebaliknya, jika PKR kalah, Anwar dilihat semakin jauh untuk ‘menuntut’ jawatan Perdana Menteri sebelum PRU ke-15.

Ada yang menyifatkan pertarungan dalam PRK DUN Rantau bakal mengulangi ‘nasib malang’ Anwar sebagai Perdana Menteri ‘menanti’ untuk kesekian kalinya. Anwar pernah kecewa apabila dipecat oleh Dr Mahathir pada tahun 1998, dan pada tahun 2008, sekali lagi kecewa kerana tidak ada wakil rakyat BN ‘menyeberang’. Kali terakhir beliau gagal ialah menerusi Langkah Kajang yang memaksakan pertukaran calon PKR, dari dirinya kepada isterinya, Wan Azizah. Langkah Kajang dijadikan sebagai strategi untuk meletakkan dirinya sebagai Menteri Besar Selangor, yang kemudiannya membina kekuatan Pakatan Rakyat.

Namun, perancangan Anwar tergendala walaupun ingin meniru kaedah Erdogan. Erdogan membina kekuatan pengaruhnya ketika menjadi Datuk Bandar Istanbul, dan kemudiannya menang dalam Pilihan Raya Presiden Turki. Anwar juga termotivasi dengan kejayaan Jokowi dari gabenor hingga ke jawatan Presiden Indonesia.

Ada yang beranggapan, Anwar akan kecewa sekali lagi. Kecewanya kerana jawatan Perdana Menteri belum terjamin untuknya walaupun ada kesepakatan. Kesepakatan itu boleh berubah, apatah lagi dalam keadaan PKR yang semakin bercapah haluan politiknya. Konflik dalaman dengan kem Azmin Ali belum dapat diselesaikan, dan akhirnya boleh memungkinkan ‘dua nakhoda dalam sebuah kapal’ yang boleh menyebabkan PKR terkucil.

Walaupun pertarungan sebenar adalah antara Mohd Hassan dan Dr Streram, PRK DUN Rantau tetap menjadi penentu ‘hidup-mati Anwar’ dan bukannya sekadar Perdana Menteri menanti. Lebih memeritkan sekiranya calon PKR kalah, Anwar akan dilanda ‘bayang-bayang masa silam, ada ketika terbawa-bawa, oleh resah mimpi yang tak sudah.” Impiannya sebagai Perdana Menteri ‘datang dan pergi membawa hati…menjadi pendusta…membina harapan‘ dan ‘memusnahkan impian.’

Monosin Sobri

No Comments

    Leave a reply