PRK KIMANIS: KARMA POLITIK II?

Saya tidak berada di Kimanis. Tetapi tidak bermakna saya tidak boleh memberikan ulasan atau pandangan apa yang sedang berlaku di Kimanis. Sebelum menulis, saya hadamkan sebanyak mungkin maklumat, membaca laporan akhbar (online dan offline), bertanya kawan-kawan yang hadir sebagai pemerhati atau membantu petugas parti, dan terakhir ialah apa yang saya fikirkan.

Kempen PRK Kimanis sudah memasuki hari kelima, masih berbaki sembilan hari. Namun, stamina penggempur Parti Warisan yang mendapat kerjasama komponen PH terasa sedikit hambar dan ada ketikanya hilang arah.

Mereka hilang arah kerana merasakan kedudukan Parti Warisan sebagai parti yang memerintah Sabah boleh berbuat apa sahaja, termasuk menaburkan pelbagai janji pembangunan dan kemudahan terbaik kepada pengundi Kimanis jika menang.

Bukan semua pengundi Kimanis ‘termakan’ dengan janji-janji itu. Dalam tempoh 20 bulan mentadbir Sabah, tidak ada perubahan besar ke atas infrastruktur fizikal dan sosial yang telah berjaya dilaksanakan oleh pemerintah.

Kehadiran bekas penyandang Kimanis, Datuk Anifah Aman membantu calon BN telah menyebabkan pekerja parti Warisan sedikit goyah. Anifah, walaupun keluar dari UMNO dan tidak menyertai mana-mana parti tetap sayangkan UMNO, jiwa dan raganya.

Beliau keluar dari UMNO, parti pertama dan disayanginya kerana takut menyakiti rakan-rakannya dalam UMNO. Beliau ingin memperjuangkan apa yang belum terlaksana dalam Perjanjian Malaysia 1963 atau dikenali MA63.

Calon Warisan, yang juga bekas pemimpin UMNO, Datuk Karim Bujang mengemukakan petisyen mencabar kemenangan Anifah. Anifah menang kerana ada kaitannya dengan rasuah pengundi. Akhirnya, rasuah pengundi tidak terbukti.

Apa yang terbukti ialah adanya kertas undi tambahan. Ia bukan masalah bagi Anifah, ia menjadi masalah bagi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR). Mahkamah membuat keputusan, keputusan Kimanis terbatal, maka satu pilihan raya kecil (PRK)  diadakan. SPR tidak membuat rayuan dan pendirian SPR itu dikesali oleh Anifah. Seolah-olah SPR sengaja mewujudkan ruang dan peluang untuk diadakan PRK.

Karim menjadi sedikit gopoh apabila melabelkan mereka yang meneriak “bosskur” ketika kehadiran Najib di Kimanis, khususnya Membakut bagi membantu calon BN sebagai ‘salah satu daripada penyakit gila.’

Tentunya pengundi yang bersimpati dengan calon BN akan membuat tafsiran yang berbeza dengan Karim. Karim mungkin terlupa, kekalahan calon PH di PRK Cameron Highlands juga ada kaitannya dengan keceluparan.

M Manogaran tewas kerana beberapa perkara yang diucapkan dilihat kurang bijak. Beliau menyindir masyarakat Orang Asli seolah-olah ingin menimbulkan emosi marah kepada orang Melayu.  Orang Melayu tidak akan beli kueh yang dibuat dan dijual oleh Orang Asli.

Karim terlupa kerana keceluparan itulah M Manogaran hanya mampu meraih 8,800 undi dan calon BN, dari masyarakat Orang Asli pertama menang besar.

M Manogaram juga terbabit dengan tindakan undang-undang apabila memfailkan keputusan PRU ke-14 sebagai kemenangan tidak bermaruah, ada kaitannya dengan rasuah. Mahkamah membuat keputusan, ada bukti maka PRK diadakan pada 26 Januari 2018. PRK Kimanis ialah 18 Januari 2020, yakni sama-sama berlangsung pada bulan Januari, berselang dua tahun dan seminggu.

Bulan Januari turut menyaksikan PH terpasung dengan isu ‘pemulangan jawatan’ oleh Dr Mazlee Malik sebagai Menteri Pendidikan. Mazlee tidak mahu keadaan menjadi lebih bermasalah, maka bersetuju untuk meletakkan jawatan setelah diberi nasihat oleh Perdana Menteri.

Cerita sebenar ‘pemulangan jawatan’ itu belum jelas. Namun, misterinya itu bakal menjadi sebahagian daripada bahan kempen untuk menyerang PH, walaupun Parti Warisan bukan komponennya secara rasmi. Sekadar bekerjasama dan saling menyokong.

Dalam keadaan lain, Parti Warisan kuat membantah apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dipimpin oleh Tun Dr Mahathir bercadang untuk mengembangkan sayapnya di Sabah.

Dua isu besar yang dibangkitkan oleh BN ialah mengenai pembangunan di Kimanis. Anifah memberikan sketsa menarik mengenai sikap bekas menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, yang kini adalah Ketua Menteri Sabah. Cerita itu boleh menjerut Shafei Afdal, yang dalam kempennya tidak mahu perkara-perkara yang berkaitan Semenanjung dibawa ke Sabah.

Pengundi tidak boleh diperbodohkan. Separuh jiwanya adalah Semenanjung, beristerikan puteri Semenanjung. Shafei mengumpul kekayaan semasa menjawat menteri di peringkat pusat dan mampu membeli sebuah rumah di Kuala Lumpur.  Harganya, jutaan ringgit. Ini bermakna, Shafei tidak berlaku jujur dengan dirinya sendiri apabila ‘bencikan’ nilai-nilai Semenanjung.

Menarik juga dalam kempen PRK Kimanis,  Menteri Pembangunan Luar Bandar menampalkan wajahnya di paparan di Kimanis dengan ucapan Moga Dipermudahkan Perjalanan: Rahmat Ilahi Naungi Anda. Beliau adalah antara menteri yang dikritik oleh penasihat media Perdana Menteri kerana membelanjakan wang kerajaan untuk menonjol dan mempromosi diri.

Sebelumnya, Datuk Seri Rina Mohd Harun mencetak wajahnya di voucher bantuan pelajar miskin dan surat ucapan tahniah kepada pelajar yang mencapai keputusan cemerlang. Mazlee Malik turut dikritik kerana billboards Baca dengan gambarnya. Kededua menteri tidak disebut secara langsung oleh Datuk Kadir A Jasin, tetapi masyarakat boleh membuktikannya dengan jelas.

Rina memenangi Parlimen Titiwangsa. Tetapi kerana peranannya ada sedikit keterkaitan dengan Kimanis, maka beliau merasakan tidak salah untuk meletakkan wajahnya di paparan berkenaan. Sayang, keterkaitan itu adalah jauh, relevansinya terlalu kecil. Soalnya, apakah Rina sedang membina imejnya di Kimanis?

Berdasarkan beberapa laporan, ternyata kehadiran Najib dan bantuan Anifah berjaya meningkatkan sokongan pengundi terhadap calon BN. Setakat ini, BN masih kekal dari perspektif bacaan awal, namun ia boleh berubah bila-bila masa atas faktor kesilapan kempen dan pekerja parti masing-masing.

Pas Sementara Sabah (PSS) menjadi bahan kempen yang besar. Aktivis parti dari kerajaan mula memperlihatkan sikap yang tidak jujur. Menyalahkan BN kerana membuat cadangan awal untuk dilaksanakan. PSS dikatakan dicadang pada tahun 2015 bagi mengatasi masalah lambakan penduduk Sabah tanpa dokumen. PSS adalah kaedah penyelesaian sementara. Penyelesaian kekalnya ialah memberikan mereka MyKad.

PSS akan dilaksanakan bulan Jun nanti. Ini bermakna kerajaan Sabah menerima apa yang pernah dicadangkan oleh BN. Bermakna kerajaan Sabah ‘terperangkap’ dalam kebenciannya sendiri, menyalahkan BN terhadap PSS. Suatu kenyataan dianggap bodoh dan dangkal.

Kerajaan Sabah boleh memikirkan kaedah penyelesaian yang lain sekiranya mereka merasakan PSS itu menjadi masalah. Setakat ini, PSS akan diteruskan. Ia seumpama perangai kanak-kanak, mulut berkata tidak tapi dalam hati berkenan. Suatu petanda munafik atau hipokrasi.

Ada juga alasan lain dibuat. PSS adalah suatu cadangan yang baik, maka cadangan itu wajar diteruskan. Kalau begitu keputusannya janganlah menyalahkan BN yang mencadangkannya. Tunjukkanlah ‘rasa hormat’ dan menghargai kebaikan walaupun datang dari parti yang berbeza.

Bila Anifah kecewa dengan Shafie Afdal kerana terpaksa menunggu selama dua jam untuk bertemu di pejabatnya, atas alasan ada mesyuarat walhal tidak ada, membuat pengundi Kimanis turut merasa kecewa. Anifah ingin bertemu Shafie kerana membawa hasrat pengundi Kimanis, Shafie tidak memberikan layanan yang baik. Sekali lagi benih-benih sombong dan angkuh tergambar.

Shafie beberapa hari lalu dilihat begitu pemurah kerana bersedekah selepas selesai sembahyang Jumaat di sebuah masjid di Sandakan. Ternyata beliau bukanlah seorang pemimpin yang boleh diharapkan oleh penduduk Kimanis untuk membawa pembangunan. Beliau hanya akan dilihat pemurah sekiranya ada kepentingan, termasuk kepentingan politiknya.

Bukan sesuatu yang luar biasa jika setiap kali Najib hadir mendapat sambutan yang besar dan penyokong-penyokongnya berteriak lantang ‘bosskur’. Najib, walaupun terselubung dengan pelbagai dakwaan dan sedang diadili berkaitan 1MDB, rakyat mula melihat tindakan yang dibuat Kerajaan PH adalah satu bentuk balas dendam serta bersifat peribadi.

Apa yang Najib telah lakukan sepanjang sembilan tahun menjadi Perdana Menteri banyak membantu rakyat, terutama dalam kalangan B40: memperkenalkan Bantuan Rakyat 1 Malaysia, Baucer Buku 1 Malaysia, Kedai 1 Malaysia (walaupun ditutup kemudiannya, ia satu percubaan yang baik dan menarik), Klinik 1 Malaysia, Skim Latihan 1 Malaysia (untuk graduan melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dan doktor falsafah), pembinaan infrastruktur pengangkutan moden dan mengumpulkan aset-aset negara menerusi GLC.

Sayangnya, sebahagian apa yang dilaksanakan oleh Najib dianggap ‘dedak’ dan dalam masa yang sama berusaha dihapuskan oleh Kerajaan PH. Tidak ada lagi Baucer Buku 1 Malaysia, bantuan persekolahan sebelum sesi persekolahan bermula, SL1M dimansuhkan manakala BR1M digantikan dengan Bantuan Sara Hidup tetapi jumlahnya dikurangkan atas alasan kedudukan kewangan tidak ‘melimpah’.

Rakyat mula melihat, alasan-alasan ‘tidak cukup wang’ tidak munasabah. Sebab lawatan ke luar negara oleh Perdana Menteri dan menteri-menteri terlalu kerap tetapi hasilnya dilihat ‘kosong’ dan umpama lawatan ‘makan angin’. Hutang negara semakin meningkat, bahkan kedudukannya berbanding Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK)  sudah melangkaui paras maksimum (55 peratus). Angka yang digembar-gemburkan melepasi RM 1 trilion sebenarnya adalah sasaran untuk dicapai dalam tempoh lima tahun memerintah.  Hutang sebenar yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu ialah RM 686 bilion. Dalam tempoh 20 bulan, telah bertambah lebih RM 120 bilion.

Begitu juga dengan nilai aset yang dikumpulkan oleh GLC. Sebahagiannya dipindahkan atas alasan ‘bukan perniagaan teras’ dan perlu dilupuskan bagi membolehkan GLC menumpukan ‘core business’. Caranya ialah menggambarkan entiti itu salah pengurusan, alami kerugian besar dan membayar dividen tinggi dalam keadaan ‘tiada keuntungan’. Tabung Haji menjadi sasaran di mana lebih RM 10 bilion aset dipindahkan dan lebih 75 peratus ladang kelapa sawit dipindahmilikkan.

Kini, MARA pula  akan melupuskan anak syarikatnya yang terbabit dalam perniagaan. MARA akan menumpukan peranannya dalam aspek pendidikan dan pembangunan usahawan. Satu kaedah penyelesaian yang ‘menarik’ tetapi akhirnya ruang untuk menambahkan ekuiti orang Melayu menjadi semakin sempit. Ironinya, kenapakah entiti yang berkaitan Bumiputera dan orang Melayu sahaja hendak disusun semula? Apakah ini bentuk perancangan untuk menjadikan orang Melayu dan Bumiputera lebih berdaya saing atau mengemis di negara sendiri?

Rakyat sudah mula memahami bahawa Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) memang ‘menarik’ tetapi realitinya ‘mengusir orang Melayu dan Bumiputera’ kerana terpaksa bersaing dalam ‘gelanggang yang tidak rata’. Dari segi aset ekonomi, orang Melayu dan Bumiputera masih memerlukan ‘pertolongan’ dan ‘bimbingan’. Dari segi politik, akibat perpecahan menyebabkan suara orang Melayu semakin ‘serak dan terhalang’ oleh idealisme politik Malaysia Baru: liberal dan kebersamaan.

Pengundi Kimanis semakin matang berfikir  kerana mereka bukannya berhadapan dengan ‘sejenis penyakit gila’. Liku-liku perbicaraan Najib semakin memperlihatkan adanya satu bentuk konspirasi, maka mereka berhak untuk memanggil beliau sebagai ‘bosskur’ sedangkan ramai lagi pemimpin dalam Malaysia Baru bukanlah BERSIH dan bukan pula boleh diharapkan untuk ‘membina semula negara’. Negara dilihat semakin rosak: dirosakkan oleh sentimen benci dan keinginan mendominasi berselindung dalam selimut ‘kebebasan dan kebersamaan’.

Kebebasan dan kebersamaan, bercapah-capah dan hanya dilihat dalam perspektif ‘separuh kosong’, bukannya ‘separuh penuh’. Bertekad untuk mengambil dan merebut ‘separuh penuh’ itulah menjadikan nilai-nilai ‘kebersamaan’ itu sesuatu yang akhirnya membawa maksud hegemoni bagi mengisi ‘separuh kosong’. ‘Separuh kosong’ itu hanyalah bayangan dan bayangan itu sengaja digelapkan agar ‘separuh penuh’ yang telah dimiliki tidak kelihatan.

Karma politik memang akan hadir tanpa dapat dijangka oleh mata kasar. Ia perlu dilihat secara berhati-hati dan penuh waspada. Sebab kesilapan memilih boleh meninggalkan kesan yang parah dan memerlukan masa yang lama untuk memulihkannya. Kimanis akan menjadi ‘ujian besar’ untuk membuktikan bahawa karma politik muncul sekali lagi selepas Cameron Highlands.

Persamaannya sudah ada –calon yang kalah mengambil tindakan undang-undang, kemudian dipilih semula bertanding; calon yang merasakan diri memperoleh ‘kemenangan moral’ bercakap dalam bahasa yang celupar dan mengecam pengundi; penyandang yang ‘diketepikan’ tidak mempertahankan kerusi, tetapi memberi sokongan kepada calon yang berada dalam parti pembangkang; mulut berkata ‘tidak’ tapi  dalam hati ‘ya’; terlampau yakin; dan tidak fasih membaca tanda atau mencari makna daripada ‘petunjuk alami’.

Mungkin saya salah; mungkin tuan tidak seratus peratus betul. Saya tidak bingung dengan ‘bosskur’; hadirnya hanya membantu, bukan ‘menjerut leher’, kenapa terasa ‘lemas dan bingung’?

 

Monosin Sobri

No Comments

    Leave a reply