PRK TG PIAI: DR MAHATHIR SEBENARNYA TERTEKAN?

Kempen PRK Tg Piai sudah memasuki hari-hari terakhir. Seperti lazimnya, pecutan terakhir itulah yang akan menentukan siapakah yang bakal diisytiharkan sebagai pemenang bila kiraan dimuktamadkan di garisan penamat.

Garis penamat bagi PRK Tg Piai ialah jam 5.30 petang pada 16 November 2019. Pengumumannya dijangka dilakukan sebaik sahaja semua peti undi siap dijumlahkan, atau selewat-lewatnya selepas jam 8 malam.

Andaian awal pada minggu pertama kempen, BN dijangka boleh menang dengan majoriti lebih 2,000 undi. Andaian itu dilihat munasabah berdasarkan aktiviti kempen PH ada ketikanya tidak begitu cermat sehingga ada menteri silap perhitungan apabila nama calon dikatakan telah arwah.

Calon juga kurang hati-hati bila membuat kenyataan. Haji Karmanie Sardini, 66 tahun mungkin niatnya adalah baik untuk mengingatkan bahawa setiap daripada kita hendaklah bersyukur walaupun dihimpit kesulitan untuk hidup. Sayangnya, seruan bersyukur itu menjadi salah kiprah bila beliau mengilustrasikan bahawa ‘tidak banyak’ belanja bila ‘hidup di kampung’. Boleh petik sahaja sayur-sayuran tetapi beliau terlupa, untuk meneruskan hidup kita bukan hanya memerlukan sayur mayur.

Beras perlu dibeli kerana peneroka tidak menamam padi. Mereka menanam kelapa sawit yang kini harganya tidak selumayan ketika BN menyerahkan kuasa kepada PH. Eksport sawit merosot dan menyebabkan harganya merudum teruk. Anggaran Haji Karmanie, setan buah kelapa sawit ialah RM 270 dan purata hasil sebulan sekitar empat tan. Maknanya penerokan peroleh pendapatan bulanan kasar sekitar RM 1,080.

Cukupkah dengan pendapatan tersebut? Haji Karmanie tidak mahu menjawab apabila dalam pertemuannya dengan pengundi. Pengundi membandingkan, itu adalah pendapatan kasar belum ditolak hutang kepada FELDA. Anak-anak sekolah perlukan perbelanjaan harian dan harga barangan asas tidak pernah turun sebagaimana dijanjikan oleh PH dengan terhapusnya GST.

Memang tidak cukup. Elektrik dan air perlu dibayar setiap bulan. Harga petrol dan diesel walaupun tidak berubah sejak beberapa bulan lalu, ia tidak menjadikan kos pengangkutan barangan kekal atau turun sebagaimana yang diharapkan. Peneroka tidak ada pilihan, kerana barangan tersebut amat diperlukan, terpaksa membayar walaupun harga semakin mahal. Keluhan itu bukan rekaan, ia adalah reality kehidupan yang terpaksa dihadapi.

Semalam, 13 November 2019, Dr Mahathir turun padang untuk bertemu jentera kempen PH dan pengundi yang sudi hadir atau dikerahkan mendengar bebelannya yang banyak menyentuh tentang ruginya pengundi jika tidak memilih PH.

Sebenarnya, pengundi Tg Piai sebahagiannya sudah membuat keputusan tidak akan mengundi calon PH. Mereka menyifatkan calon PH itu dibelakangnya adalah DAP. Kemenangan PH pada PRU ke-14 adalah kerana pergerakan besar-besaran pengundi Cina daripada menyokong BN kepada menyokong PH. Tetapi sebahagiannya mula merasakan, perubahan yang dilakukan itu adalah satu kesilapan.

Untuk PRK Tg Piai ada yang berhasrat untuk kembali menyokong BN kerana merasakan PH telah menipu, tidak menunaikan janji untuk menurunkan kos sara hidup, pendidikan percuma, menjadikan nilai ringgit lebih baik daripada mata wang lainnya, dan yang lebih penting ialah kegagalan urus tadbir ekonomi sehingga harga kelapa sawit menjadi begitu rendah dan tidak bertambah eksportnya.

Sikap Dr Mahathir ‘mencipta musuh’ turut menyebabkan ekonomi negara berkembang di bawah 5 peratus. India dilaporkan sedang membuat penilaian semula untuk membeli produk dari Malaysia ekoran kritikan Dr Mahathir terhadap negara itu yang membatalkan kuasa autonomi ke atas Kashmir dan menyokong Pakistan. Terbaharu, badan kawal selia penerbangan antarabangsa berpengkalan di Amerika Syarikat menurunkan tahap keselamatan penerbangan dari kategori 1 kepada 2.

Tentunya akan mempengaruhi kadar kemasukan pelancong menerusi udara. Mereka lebih bersedia memilih syarikat-syarikat penerbangan antarabangsa yang lain untuk ke Malaysia.

Menteri-menteri kabinet Malaysia Baru juga membuat kesilapan manakala SPR seolah-olah begitu menyebelahi PH apabila mensyaratkan aktiviti bertemu pengundi atau lawatan rumah ke rumah perlu mendapat kelulusan permit. Namun, Peguam Negara membuat penjelasan, ia tidak perlu. Ada percanggahan yang jelas. Dasar dan tafsiran yang tidak konsisten.

Menteri-menteri dengan bangganya membuat pengumuman peruntukan seumpama ‘durian runtuh’ untuk pengundi Tg Piai. Berselindung di sebalik, menghargai semangat dan perjuangan bekas calon, dijanjikan lampu jalan, dewan terbuka untuk sekolah, jeti nelayan dan jambatan, elaun RM 1,000 kepada nelayan. Nelayan terkejut. Pengundi terpaku kerana tanpa PRK berlaku, belum tentu ‘durian runtuh’ itu sampai secara ‘kebetulan’.

Durian runtuh itu menjadi ‘boomerang effects’ kerana peraturan pilihan raya tidak membenarkan kesempatan diambil semasa kempen. Laporan ‘salah guna kuasa’ dan ‘melanggar peraturan’ telah dikemukakan, tetapi, rakyat boleh senyum kambing dengan kesemua laporan tersebut. Ia tidak dapat menghalang kemungkinan PH menang, walaupun sebelum ini, menteri-menteri pernah menarik balik pengumumannya kerana sedar salah.

Pengumuman yang dibuat itu seperti ‘terdesak’ untuk menang. Kesendengan pengundi pada awalnya sudah dibaca tidak memihak kepada PH. Mungkin gula-gula atau dedak yang ditaburkan itu dapat membantu. Ia bukan sahaja membantu PH mengekalkan kerusi berkenaan, ada perhitungan yang lebih besar daripada itu.

Perhitungan besar itu ialah kedudukan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan kewibawannya akan teruji sekali lagi. Jika PH kalah, bererti dua kali calon daripada Bersatu hilang kuasa politiknya. Mungkin kali pertama, iaitu di DUN Semenyih, kekalahan itu boleh dimaafkan, tetapi kali ini, Dr Mahathir akan ditekan dengan lebih keras dan hebat.

Apa tidaknya. Beliau berjanji akan melepaskan jawatan Perdana Menteri dalam tempoh tiga tahun. Kumpulan yang menyokong Anwar sudah tidak sabar, tetapi dapat ditenteramkan seketika. Jika kekalahan berlaku, mereka bakal memulakan sekali lagi desakan agar peralihan kuasa itu dipercepatkan, tidak perlu menunggu cukup tiga tahun.

Bulan Mei 2020, cukup dua tahun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Sementara atau peralihan. Cukup-cukuplah Dr Mahathir untuk memerintah, kerana pengalamannya selama 22 tahun tidak banyak membantu memulihkan ekonomi negara.

Ada penganalisis melihat PRK Tg Piai ini adalah referendum komponen PH terhadap kepimpinan Dr Mahathir. Kekalahan akan menyebabkan Dr Mahathir dan Bersatu dilihat sebagai sebuah parti yang semakin tidak relevan, kerana semangat dan budaya politiknya masih belum keluar sepenuhnya daripada budaya politik UMNO. Bersatu adalah edisi hybrid UMNO, sebab itulah dalam sesetengah keadaan terus terperangkap dengan sentimen  kaum dan agama.

PRK Tg Piai turut menjadi ujian pertama kerjasama UMNO-PAS dalam gagasan Pemuafakatan Nasional. Ujian itu telah menyebabkan sebahagian aktivis politik PH begitu lantang mengkritik PAS, walaupun PAS tidak meletakkan calonnya. Mereka pada awalnnya memulakan gendang menghasut PAS agar meletakkan calon, tetapi PAS mempunyai ketetapan yang jelas, selagi Pemuafakatan Nasional ada, selagi itulah tidak akan bersedia memecah undi Melayu-Islam.

PAS terus dilaga-lagakan kerana menyokong keputusan BN meletakkan calon daripada MCA, yang dikorek semula perihal calon berkenaan menentang pelaksanaan hukum hudud yang menjadi komoditi politik PAS sejak sekian lama. PAS tidak mahu menjawab cabaran berkenaan, sebaliknya PAS membuat kesimpulan, MCA hanya menentang hudud, bukan menentang Islam. Ia berbeza dengan DAP, yang bukan sahaja menentang hudud bahkan turut mempersendakan penyatuan politik Islam.

Penyatuan politik Melayu-Islam dianggap sebagai ‘gendang perang terhadap bukan Melayu’ manakala jika menang, bakal menjadikan pemerintahan negara seperti Taliban. Pandangan sedemikian cukup menyakitkan hati orang Melayu-Islam. Seorang menteri kabinet Malaysia Baru seperti mencurahkan ‘petrol’ dengan menyatakan jika BN menang, negara akan huru-hara dan masyarakat keturunan Cina tidak akan dapat berniaga dengan tenang.

Suatu pandangan rasis dan jelek. BN memerintah Malaysia selama 60 tahun, tidak ada huru-hara berlaku. Tragedi 13 Mei bukan kerana dasar Perikatan yang bersifat perkauman, tetapi disumbangkan oleh kesombongan DAP dan Gerakan untuk menunjukkan kekuatannya apabila menang besar di kawasan bandar. Itu fakta sejarah yang sukar dipadamkan daripada laporan rasmi yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara.

BERSIH muncul kerana mempunyai pendirian yang berbeza dengan peraturan yang digunapakai. Atas keinginannya untuk mengubah atau menjadikan Malaysia begitu demokratik, mereka memperjuangkan perihal kebebasan dan hak asasi. Mereka mengambil nilai-nilai kebebasan itu sebagai sesuatu yang mutlak, tetapi, apabila aktivis BERSIH sudah mempunyai kuasa, kontradiksi mula menyusul dengan ketara.

Contohnya, Anthony Loke menyelar para pemandu teksi yang melakukan tunjuk perasaan menyambut Dr Mahathir di Langkawi sebagai biadab dan bukan budaya Malaysia. Beliau juga enggan mengadakan pertemuan dengan kumpulan pemandu teksi yang mendesak beliau mengotakan janji menghapuskan perkhidmatan Grab. Ini dengan jelas membuktikan berlakunya pendirian yang berbeza hanya kerana takut kehilangan kuasa.

Kesemua perilaku menteri dalam kabinet Malaysia Baru menjadi bahan ejekan, penilaian dan pertimbangan untuk menyatakan sokongan kepada PH. Kelemahan mereka, sikap saling bercanggah seumpama budaya pembangkang belum terhapus sepenuhnya. Rakyat mula bosan dengan kaedah menutupi kelemahan dan kebuntuan idea untuk menguruskan negara dengan menyalahkan kerajaan terdahulu, sebab, peluang sudah diberikan. Perbetulkan dengan sebaik-baiknya, bukan mencari salah orang lain. Sikap suka mencari salah orang lain sebenarnya merefleksikan kebodohan diri sendiri, yang tidak kreatif dan tumpul pemikiran.

Hukum itulah seolah-olah menjadi ‘karma’ kepada PH. Jika PH kalah, maknanya mereka tidak akan mempercayai Bersatu lagi. Bersatu mungkin akan dilihat sebagai liabiliti dan Dr Mahathir wajar mempercepatkan peralihan kuasa, tidak perlu melengkapkan tempoh tiga tahun. Semakin lama Dr Mahathir memimpin, maka semakin ketara sokongan PH merosot sebab tiada lagi euphoria yang berjaya diciptakan untuk mengekalkan keyakinan rakyat.

PRK Tg Piai benar-benar memberikan tekanan kepada Dr Mahathir manakala lain-lain komponen dalam PH sedang menunggu untuk ‘menghempapkan’ dengan tangga yang berat itu. Itulah sebabnya Dr Mahathir begitu bimbang, dan menyeru agar pengundi tidak memilih BN yang hanya boleh berjanji kosong. Pengundi sedar, BN tidak berjanji yang bukan-bukan, hanya sekadar membawa suara pengundi ke Dewan Rakyat agar kerajaan PH sedar dan ambil peduli.

Kalau menang, Wee Jeck Seng hanya berjanji akan meneruskan khidmatnya sebagai wakil rakyat, dan beliau mempunyai track record yang baik dengan semua pengundi, termasuk orang Melayu. Menangnya PH, bererti Haji Karmanie terpaksa menerima Timbalan Menteri Pertahanan sebagai perantara masyarakat Cina, dan ini menunjukkan, DAP memang berusaha untuk mendominasi PH.

Ia seolah-oleh membenarkan tanggapan bahawa PH dikawal oleh DAP, maka itulah sebabnya DAP tidak bersedia mengambil tindakan terhadap Ronnie Liew yang mengkritik Dr Mahathir sebagai ‘paper tiger’. Sebaliknya, DAP sentiasa berselindung dengan ‘pendapat peribadi’ dan bukan pendapat DAP apabila pemimpinnya celupar atau mempertikaikan sesuatu, termasuklah ketika Lim Guan Eng menyelar Pemuafakatan Nasional dan menyatakan ‘tidak ada lagi anggota DAP’ akan disiasat atau ditahan berhubung dengan LTTE.

Kesemua isu ini, walaupun tidak berkait secara langsung dengan pengundi Tg Piai, sedikit sebanyak memberikan kesan kepada pengundi sama ada menyokong atau menolak PH. Secara jelasnya, keputusan PRK Tg Piai seperti suatu ujian besar buat Bersatu dan penandaaras baharu untuk Dr Mahathir.

Monosin Sobri

 

 

No Comments

    Leave a reply