PRK TG PIAI: “MALANG” BUAT BERSATU DAN “KESIPUAN” BUAT DR MAHATHIR

Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai (PRK Tg Piai) telah mencipta sejarah apabila buat pertama kalinya calon dari parti yang memerintah memperoleh undi yang lebih kecil daripada undi majoriti.

Sejarah juga tercipta apabila bekas wakil rakyat selama dua penggal (2008 dan 2013) berjaya kembali semula selepas lapan belas bulan dengan majoriti yang besar dan mengekalkan populariti undi melangkaui lebih 20,000.

PRK Tg Piai yang diadakan pada 16 November lalu menyaksikan calon yang mewakili gabungan Pakatan Harapan (PH) hanya mampu memperoleh 10,380 undi, iaitu 1.5 kali ganda daripada undi yang diraih oleh parti lawan, iaitu dari BN.

Calon BN yang diwakili oleh Dr Wee Jeck Seng dari MCA berjaya memperoleh 25,466 undi menyebabkan Dr Mahathir selaku Pengerusi Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) rasa tertekan dengan kekalahan besar.

piai angkat sumpah

Ekoran kekalahan itu, Setiausaha Agong DAP, Lim Guan Eng mengulas bahawa PRK Tg Piai ‘bukan ada kaitan dengan DAP. PRK Tg Piai adalah Bersatu.’

Ekoran kenyataan tersebut, Lim Guan Eng dilihat sebagai seorang politikus yang cuba mengelakkan diri daripada dakwaan bahawa kekalahan Hj Karmaine Sardini adalah berpunca daripada kenyataan-kenyataan pemimpin DAP yang turut membantu berkempen.

Lim Guan Eng ketika berucap merasmikan Konvensyen DAP Johor di Muar pada 3 November lalu memberikan lima sebab kenapa pengundi Tg Piai perlu menolak BN, yang pada pandangannya Pemuafakatan Nasional yang dirintis oleh UMNO dan PAS boleh menimbulkan suasana bermusuh antara orang Melayu dan bukan Melayu.

Permusuhan yang dimaksudkan oleh Lim Guan Eng ialah: (1) orang bukan Melayu atau bukan Islam tidak layak dilantik menganggotai kabinet; (2) sekolah vernakular yang menggunakan bahasa ibunda (bukan bahasa kebangsaan) akan ditutup; (3) bukan Islam, khususnya Kristian tidak lagi dapat berkumpul untuk menjalankan aktiviti agama; (4) produk yang dikeluarkan oleh bukan Islam akan diboikot; dan (5) orang bukan Melayu atau bukan Islam akan terus dilabelkan babi, komunis dan pengganas.

Ucapan itu menimbulkan kemarahan bukan sahaja dalam kalangan pengundi di Tg Piai bahkan sebahagian besar rakyat Malaysia sehingga ada yang mendesak agar Lim Guan Eng disiasat kerana kenyataan tersebut dianggap menghasut.

Seorang lagi pemimpin DAP yang begitu celupar ketika berkempen di hari terakhir PRK Tg Piai ialah Nga Kor Ming, Pengerusi DAP Perak yang juga Timbalan Yang di Pertua Dewan Rakyat apabila secara biadapnya menyamakan calon BN sebagai ‘mangkuk tandas’ yang hanya menerima tahi.

Ekoran kenyataan tersebut, beliau didesak supaya meletakkan jawatan sebagai Timbalan Yang di Pertua Dewan Rakyat kerana tidak menunjukkan ‘budibicara berhemah’ dan dianggap bercakap dalam komplikasi emosi.

Pandangan sebahagian pemerhati politik, dua kenyataan dari dua pemimpin itu bukan sahaja turut menjadi faktor kekalahan calon Bersatu bahkan mencerminkan sikap parti itu terhadap kepimpinan Dr Mahathir. Kedua-dua pemimpin DAP itu sebenarnya sengaja ‘menghantar bola tanggung’ untuk pengundi menolak calon Bersatu atas kecenderungan mereka yang lebih berpihak kepada Presiden PKR yang dijanjikan jawatan sebagai Perdana Menteri ke-8.

piai terkejut

Dengan ‘menghantar bola tanggung’ itu, kekalahan calon Bersatu akan dijadikan tekanan kepada Dr Mahathir untuk melepaskan jawatan secepat mungkin. Dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh Astro Awani (18 September 2019), Anwar menjelaskan bahawa Dr Mahathir akan melepaskan jawatan menjelang Mei 2020, iaitu setelah menjadi Perdana Menteri sementara selama dua tahun.

Mengulas mengenai kekalahan Bersatu di Tg Piai, Dr Syed Hussin Ali menyifatkan ia adalah referendum kecil di mana keputusan yang diterima bukan sahaja membuktikan bahawa Dr Mahathir perlu memberikan tarikh yang tepat peralihan kuasa, bahkan menunjukkan rakyat telah menolaknya.

Kekalahan Bersatu dalam PRK Tg Piai adalah kekalahan kedua parti berkenaan setelah kecundang buat pertama kali pada awal Mac lalu di tangan BN dalam PRK DUN Semenyih dengan majoriti 1,914 undi. Calon BN memperoleh 19,780 manakala calon Bersatu meraih 17,886 undi.

Dalam sembilan PRK yang diadakan selepas PRU ke-14, PH menang lima manakala BN menang empat tetapi yang paling melemahkan PH ialah kekalahan hampir secara berturut-turut dengan tiga kekalahan sebelumnya dianggap ‘hatrick politik’ iaitu bermula di Cameron Highland, diikuti DUN Semenyih dan DUN Rantau.

Selepas PRK DUN Rantau, terdapat satu lagi PRK, iaitu di Sandakan di mana BN tidak meletakkan calon. PRK Sandakan dimenangi oleh calon DAP yang mewakili PH.

Di Cameron Highland BN menang dengan majoriti 3,238 manakala di DUN Rantau  ialah 4,510 undi. BN sebenarnya mengambil bahagian dalam tujuh PRK di mana PRK DUN Seri Setia dan Sandakan tidak disertainya. Di DUN Seri Setia, BN memberikan laluan kepada calon PAS manakala di Sandakan, BN dilihat tidak bersedia bertanding disebabkan kedudukannya di Sabah begitu lemah setelah berlakunya keluar parti besar-besaran dalam kalangan ketua bahagian UMNO dan pemimpin parti komponen BN.

Ketika PRK Tg Piai, buat pertama kalinya Gerakan meletakkan calon dengan harapan dapat memulihkan imejnya yang terkubur setelah tidak memenangi mana-mana kerusi yang ditandinginya di bawah BN dalam PRU ke-14. Kekalahan teruk itu menyebabkan Gerakan kemudiannya mengambil keputusan untuk keluar dari BN.

 

Selain kenyataan dua pemimpin DAP yang ‘menghantar bola tanggung’ dalam PRK Tg Piai, Timbalan Presiden Parti Amanah Nasional turut membuat ‘kenyataan maut’ apabila berkempen untuk pengundi menolak BN.

Salehudin Ayub berkata “Kalau bagi balik BN berkuasa.. dia kawan dengan PAS, you jaga! ini country akan huru hara. Kita boleh berniaga, boleh sekolahkan anak, tak ada orang tembak sana sini, tak ada orang bakar sana sini. Nak berniaga tak boleh nak pergi laut tak boleh.”

Kenyataan menghasut itu dilihat sebagai tindakan untuk menutupi kelemahan PH dalam melaksanakan manifesto Buku Harapan yang menjadi taruhan penting ketika memenangi PRU ke-14 dan berjaya menyingkirkan pemerintahan BN selama 60 tahun.

Piai Polls

Bagaimanapun, 10 janji yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari tidak dilaksanakan sehingga menyebabkan Dr Mahathir mencipta alasan bahawa ‘manifesto bukan kitab suci’ dan ‘malaikat’ pun boleh buat silap. Alasan itu kemudian disambut oleh Khalid Samad, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Nasional, bahkan “nabi pun berbohong’.

Kenyataan-kenyataan sedemikian menambahkan kemarahan orang ramai sehingga Khalid diberikan gelaran sebagai Khalid Gereja, Khalid Bunting dan terakhir sebagai ‘broker tanah’ kerana beliau begitu bersungguh-sungguh memujuk pemilik tanah di Kg Baru, Kuala Lumpur agar menjual tanah milik mereka untuk dibangunkan pelbagai projek komersial, perumahan dan sebagainya. Kg Baru telah disifatkan oleh Dr Mahathir sebagai ‘kudis Kuala Lumpur’.

Kemarahan orang Melayu terhadap Khalid turut menyebabkan tempiasnya di Tg Piai walaupun Khalid meramalkan PH akan dapat mengekalkan kerusi tersebut setelah dirinya ikut terbabit berkempen. Kekalahan itu menyebabkan Khalid terpaksa membuat ‘pukulan kilas’ untuk mempertahankan Dr Mahathir agar tidak dikaitkan sebagai punca utama kekalahan PH.

piai anwar vs mahathir

Khalid meminta semua pemimpin parti komponen PH agar mengambil tanggungjawab bersama, bukannya menuding jari kepada Dr Mahathir seorang. Dalam pada itu, Khalid nampaknya tidak berani menegur telatah ‘boss PAN’, Mat Sabu yang turut ‘menghantar bola tanggung’ semasa berkempen di Tg Piai.

Mat Sabu yang terkenal dengan ‘lawak bodoh’ menyindir sinis PAS apabila membandingkannya dengan ‘katak puru di dalam longkang’. Sayangnya, Mat Sabu terlupa bahawa dalam PRU ke-14, PAS berjaya meraih sokongan 2,962 undi.

Bila termetrainya Pemuafakatan Nasional pada 14 September 2019, secara statistiknya ramai membuat kesimpulan bahawa dengan gabungan dan kerjasama PAS dan BN, terdapat sebanyak 30 kerusi parlimen yang dimenangi oleh PH boleh berubah. Salah satunya ialah Tg Piai.

PRU ke-14, gabungan undi PAS (2,962) dan UMNO (20,731) mampu menggugat undi yang diperoleh Allahyarham Dr Mohd Farid Mohd Rafik (21,255). Gabungan undi PAS dan UMNO menyebabkan Bersatu kehilangan kerusi tersebut dengan perbezaan 2,862 undi. Ini bermakna kerusi Tg Piai bukanlah kerusi yang boleh dianggap selamat untuk PH.

PRK Tg Piai turut menyaksikan bahawa serangan kempen berbentuk perkauman dan agama telah digunakan secara meluas oleh PH manakala calonnya tidak disenangi oleh pengundi setempat apabila membuat kenyataan seperti menghina peneroka.

Seolah-olah peneroka perlu diajar untuk bersyukur dengan pendapatan jualan sawit yang rendah, boleh menerima kegagalan PH yang gagal menurunkan kos sara hidup, menghapuskan tol, menyediakan pendidikan percuma sehingga ke peringkat ijazah pertama, menghapuskan bayaran balik PTPTN, memotong pemberian khas (BR1M, Bantuan Awal Persekolahan, subsidi baja dan racun kepada petani dan elaun nelayan) manakala janji untuk menghapuskan hutang peneroka tidak dilaksanakan sebagaimana dijanjikan.

PH dilihat semakin kurang diyakini oleh rakyat Malaysia apabila sentiasa menyalahkan kerajaan sebelumnya dan dikaitkan dengan kegagalan melaksanakan janji-janji pilihan raya. Rakyat tidak boleh menerima alasan tersebut kerana sepanjang pentadbiran BN mereka menikmati situasi yang lebih baik.

Keadaan itu disifatkan oleh bekas menteri besar Selangor, Khir Toyo sebagai ‘tempayan dipecahkan’ kerana mengharapkan hujan daripada PH. Malangnya, tempayan yang pecah tidak dapat digantikan, dan ‘hujan’ tidak mencurah, panas memanjang. Akibat panas itulah pengundi Tg Piai telah menolak PH.

Pengundi turut merasakan bahawa DAP akan menjadi lebih ‘berkuasa’ jika PH menang di Tg Piai dan dengan itu mereka menafikan kemenangan Hj Karmaine. Mereka menolaknya kerana semacam ada satu kesepakatan bahawa timbalan menteri pertahanan, calon DAP yang tewas di Pontian dalam PRU ke-14, Senator Liew Chin Tong akan dilantik sebagai pegawai penghubung masyarakat Cina.

piai chin tong

Pengundi Cina merasakan ia suatu kesilapan yang terpaksa mereka tanggung kerana sebahagian besarnya tidak cenderung menyokong DAP. DAP pernah berkira-kira untuk melobi untuk mendapat kerusi Tg Piai, tetapi kerana penyandang awalnya adalah dari Bersatu, lobinya tidak dapat diterima.

Pengundi Cia di Tg Piai merasakan bahawa DAP masih berperangai lama, iaitu sering menimbulkan konflik dan percanggahan sedangkan mereka rasa selesa untuk menerima Wee Jeck Seng yang mempunyai ‘track record’ selama dua penggal sebelum ‘termakan janji-janji PH’ dalam PRU ke-14. Sokongan mereka kepada PH kali ini sudah banyak berubah menyebabkan DAP terpaksa menerima kenyataan bahawa pengundi Tg Piai menolaknya.

Harapan PH untuk mendapatkan sokongan daripada pengundi Melayu dalam kiraan 40 peratus turut mencipta sejarahnya tersendiri apabila dianggarkan hanya mampu memperoleh sekitar 5 peratus sahaja.

Ayunan penolakan dua kumpulan pengundi utama itulah akhirnya Bersatu tersungkur di Tg Piai biarpun diketahui kemenangan BN tidak akan mengubah kerajaan negeri dan pusat, sekurang-kurangnya memberi amaran ‘tahap merah’ kepada PH untuk lebih berhati-hati bila berjanji. Janji tetap janji, dan janji tetap ditagih.

Selain itu, PRK Tg Piai turut menempa sejarahnya tersendiri apabila menteri-menteri PH menaburkan dedak dengan banyaknya atas alasan, ia adalah ‘kebetulan’ dan memenuhi usahawa keras bekas penyandangnya.

Pengundi seperti ingin diperbodohkan oleh menteri-menteri PH, bahawa setelah ketiadaan Dr Mohd Farid, maka ada banyak peruntukan yang tiba seperti ‘durian runtuh’ sedangkan ia tidak semudah itu kerana Perdana Menteri pernah meminta rakyat agar ‘ikat perut’ dan bersabar bagi membolehkan Kerajaan PH mengurangkan hutang.

Rakyat budak bodoh, dalam kemajuan teknologi boleh memperoleh maklumat dengan mudah. Jangan meremehkan mereka kerana mereka bukan lagi ‘buta teknologi’. Mereka boleh mencari dan membaca apa-apa sahaja dengan menggunakan telefon bimbit.

Bahkan, mereka boleh mengesani percanggahan kenyataan oleh menteri, dan kerana itulah mereka bukan sahaja meluat dengan menteri-menteri yang turun berkempen, bahkan turut ‘menyerang’ menteri-menteri dengan ‘memendam rasa benci’ dan ikut berkomentar di laman-laman sosial.

Bagi PH, mereka mula lupa peranan media sosial. Mereka sanggup menghabiskan perbelanjaan yang besar untuk membuat rencana tajaan dan juga iklan-iklan di media konvensional sedangkan saluran berkenaan semakin kehilangan khalayaknya. Media sosial bukan lagi menjadi saluran yang diberikan perhatian besar oleh PH dan ianya diambil alih oleh sukarelawan yang tidak menyenangi PH.

piai bubar parlimen

Salehudin Ayub mengakui kelemahan tersebut. Keghairahan menggunakan media sosial semakin mengecil dalam kalangan aktivis PH, mungkin kerana mereka tidak dapat menulis dengan baik bagi pihak kerajaan berbanding sebelumnya sebagai pembangkang. Perubahan ini turut melakarkan sejarah, buat pertama kalinya, PH tewas dan tidak lagi rancak menggunakan media sosial kerana merasakan lebih selesa menggunakan media konvensional.

Itu mungkin amat percaya dengan kebolehan penasihat-penasihat media yang sebahagiannya sudah boleh dikategorikan ‘menopaus’ dan hanya tahu menghentam pihak lawan. Hentaman itu akhirnya dilihat sebagai ‘politik dendam’ dan sebagaimana dibuktikan secara psikologi, ‘politik dendam’ akan memusnahkan diri sendiri. Dalam masa melempiaskan dendam, terhamburlah kata-kata kesat. Kata-kata kesat akhirnya bertukar menjadi ‘bom bunuh diri’.

Terukir sejarah baharu, kekalahan PH terlalu pahit untuk ditelan bahkan boleh menjadi ‘amaran tahap merah’. Amaran tersebut perlu diterjemahkan dengan penuh hati-hati dan dibedah dengan teliti kalau PH mahukan PRU ke-15 boleh dikuasainya lagi. Atau cukup ‘hanya sebagai kerajaan sepenggal’.

Untuk kekal lebih lama, PH perlu membersihkan sebahagian menteri yang tidak berprestasi dan asyik berkelahi bagi menonjolkan diri atau menjatuhkan satu sama lain hanya atas perbezaan parti. Sebagai barisan kabinet, walaupun dari parti yang berlainan, mereka perlu bekerja sebagai satu pasukan, bukan seperti enau melepaskan pucuk masing-masing.

PRK Tg Piai benar-benar melakarkan sejarah “malang buat Bersatu’ dan ‘kesipuan buat Dr Mahathir’.

Monosin Sobri.

No Comments

    Leave a reply