PRK TG PIAI: PAKATAN HARAPAN ATAU ‘PUTUS HARAPAN’.

Penamaan calon bagi PRK P 165- Tanjung Piai sudahpun selesai. Enam calon bertanding walaupun sebelumnya dikatakan sebanyak 27 borang pencalonan telah dibeli. Enam calon itu ialah empat adalah mewakili parti politik, BN oleh Wee Jeck Seng (MCA), PH oleh Karmaine Sardini (Bersatu), Gerakan oleh Wendy Subramaniam dan Berjasa oleh Dr Badrulhisham Abdul Aziz. Dua lagi adalah calon bebas (tanpa parti) iaitu Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Ab Ghafar.

Bermula hari ini, kempen PRK Tg Piai akan bermula walaupun sebelum hari penamaan calon, PH telah meluluskan pelbagai projek sebagai ‘gula-gula pilihan raya’. Pengumuman lebih awal ini berlaku kerana PH takut ‘kehilangan sokongan moral’ sebagaimana berlaku dalam PRK DUN Semenyih dengan pengumuman beberapa hari kempen bermula. Pengumuman sepanjang masa berkempen adalah salah dari perspektif peraturan, tetapi PH terus lakukan termasuklah pengumuman penuh kontroversi mengenai penghapusan kutipan tol bagi empat lebuh raya (LDP, SPRINT, KESAS dan Terowong SMART).

Penghapusan tol melibatkan perbelanjaan sebanyak RM 6.2 bilion, yang akan dilakukan menerusi pengeluaran sukuk (atau bon) manakala pengguna tetap dikenakan caj kesesakan (sama dengan bayaran tol) pada waktu puncak, diskaun 30 peratus bukan waktu puncak dan percuma antara jam 11 malam hingga 5 pagi. Khabarnya akan dilaksanakan pada tahun 2020, dan proses rundingan dengan pemilik konsesi lebuh raya, Gamuda belum dimuktamadkan.

Itu kisah PRK DUN Semenyih. Dedak yang dilafazkan itu tidak meyakinkan, maka calon Bersatu, anak muda yang khabarnya sedang menyambung pengajian ijazah kedoktoran sejak 2012 dalam bidang ‘mobile communication’ di UiTM kecundang kepada seorang bekas pendaftar dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Rupa-rupanya Mohamad Aiman Zakaria, menantu kepada penyandang kerusi berkenaan ‘belum tamat’ dan akhirnya terpaksa mengakui ‘terlupa mengemaskini status’ di media sosial. Kantoi jugak anak muda yang berazam untuk membina sebuah hospital di Semenyih sekiranya menang.

Sehari sebelum penamaan calon, pengasas Big Blue Taxi Facilities Sdn. Bhd, Datuk Shamsulbahrin Ismail, yang berhasrat menjadi Menteri Pengangkutan sekiranya menang dan Presiden Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (Putera) didengar akan ikut serta bertanding. Kededua tokoh berkenaan dilaporkan tidak kelihatan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, tempat di mana upacara penyerahan borang pencalonan diadakan sehingga masa pencalonan tamat.

Bagi pemerhati politik, berapa ramai pun calon yang bertanding, tumpuan hanya akan berlegar antara Bersatu dan BN. Bersatu berada dalam keadaan tertekan kerana ingin mempertahankan kerusi tersebut yang dimenangi oleh Dr Md Farid Md Rafik yang meninggal dunia pada 21 September lalu.

BN juga berusaha untuk merampas kembali kerusi berkenaan yang secara tradisinya milik MCA dan menjangkakan akan menang walaupun mempertaruhkan calon lama (dua penggal sebagai wakil rakyat dan kalah dalam PRU ke-14). MCA yakin kemenangan Bersatu terdahulu dengan hanya majoriti 524 undi boleh menyebabkan PH ‘kecut perut’ apabila diperhitungkan data pengundi lalu. Kali ini, PAS merupakan penyokong BN dan atas dasar itu, anggaran awal kemenangan berpihak kepada mereka bila sandaran jumlah pengundi BN dan PAS tidak ‘berpaling tadah’. Dikatakan BN boleh menang dengan majoriti lebih 2,000 undi.

Biarpun ada rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong UMNO apabila parti tersebut tidak dipilih untuk mewakili BN, rajuk tersebut mungkin boleh diselesaikan dalam tempoh berkempen apabila pemimpin-pemimpin tertentu ‘datang memujuk’ dan memberitahu mereka, BN sentiasa mengamalkan prinsip kerjasama politik dan ‘perkongsian’ dengan setiap komponennya. UMNO tidak boleh terlalu tamak. Ketamakan akan menyebabkan BN terbubar, apatah lagi pada suatu ketikan, MCA pernah mencadangkan agar BN dibubarkan sebaik sahaja kecewa dengan kekalahan dalam PRU ke-14. MCA kini mempunyai seorang wakil di Dewan Rakyat, iaitu Dr Wee Ka Siong, penyandang kerusi Air Itam.

Banyak juga cerita yang sengaja dibangkitkan semula untuk menjadikan naratif muafakat antara PAS dan UMNO berkecai, termasuklah menyiarkan ucapan-ucapan daripada pemimpin PAS mengenai calon atau pemimpin bukan Islam. Namun ungkitan tersebut tidak berupaya untuk mengepis bahawa UMNO dan PAS telah memberikan kekuatan baharu dalam politik Malaysia sehingga Bersatu terpaksa mementaskan Kongres Maruah Melayu pada 6 Oktober 2019, yang turut menyebabkan parti-parti komponen PH terasa ‘panas’ dan ‘hilang pedoman sejarah’ bahawa acara tersebut bukanlah medan membangkitkan persoalan kaum, ia adalah suatu wacana untuk menyeru penyatuan Melayu-Islam yang tidak melanggar kontrak sosial.

Malang sungguh orang Melayu kerana mereka tidak boleh bercakap mengenai bangsanya. Kata Dr Mahathir, jika orang Melayu bercakap mengenai bangsanya dan menentukan masa depannya, ia dianggap ‘rasis’ maka di situlah persoalan besar yang sedang memerangkap PH. Ia bukan bermakna BN tidak terkecuali, tetapi dengan memilih calon MCA, kegusaran tersebut dalam kalangan bukan Melayu boleh diketepikan sedikit sebanyak, walaupun ada ketikanya, MCA juga bermain dengan sentiment perkauman dan agama.

Untuk PRK Tg Piai, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng telah menyeru agar kempen dilaksanakan dalam persekitaran penerangan dasar parti, bukannya atas nilai-nilai yang boleh dikaitkan dengan kaum atau agama. Persoalannya, apakah Lim Guan Eng hanya bercakap dalam persekitaran itu untuk PRK Tg Piai, kerana pada ketika lain, beliau turut mencambahkan naratif bersifat perkauman, contohnya, kata-kata ‘menghasut’nya mengenai kerjasama PAS dan UMNO masih pedas. Penyatuan tersebut dikatakan ‘gendang perang kepada bukan Melayu’. Apakah itu bukan bersifat perkauman?

Lim Guan Eng sudah menjadi liabiliti kepada PH atas peranannya untuk menterjemahkan Malaysian Malaysia dalam wajah baharu, apabila menyediakan peruntukan kepada entitipendidikan vernakular swasta, sedangkan peruntukan kepada Universiti Tunku Abdul Rahman dikekang kerana ada kaitannya dengan MCA. Kolej New Era yang didokong oleh DAP mendapat bantuan kewangan begitu juga apabila Bajet 2020 memberikan peruntukan lebih besar untuk memperkasa usahawan kecil dan sederhana bukan Melayu berbanding usahawan Melayu dan Bumiputra.

Biarpun PRK Tg Piai tidak akan mengubah apa-apa status quo politik kepada PH dan BN, ia tetap menjadi medan pertarungan yang sukar bagi kededuanya. BN berasa sukar kerana terpaksa meredakan penyokong-penyokongnya yang mahukan calon UMNO bertanding manakala PH, sukar kerana imejnya yang mula disensasikan sebagai “putus harapan”. Banyak perkara yang dijanjikan dalam PRU ke-14 tidak dapat dilaksanakan kerana asyik memerangkap diri dengan ‘hutang kerajaan terdahulu’ sedangkan laporan rasmi memperlihatkan jumlah hutang semakin meningkat. Perangkaan yang dikeluarkan mengenai bayaran khidmat hutang tidak menunjukkan baki hutang yang berkurangan sejak mengambil alih kuasa pada 9 Mei 2018. Dalam tempoh lima belas bulan, hutang telah meningkat lebih RM 130 bilion dan aset negara telah dijual melebihi RM 20 bilion. Ada-ada sahaja ‘renungan’ di sebalik naratif penjualan aset, hutang yang tinggi (belum juga muflis) dan paling mengecewakan ialah pertelingkahan dalaman PH.

Bila Bersatu melakukan sesuatu, PKR menyindir dan DAP mengesyorkan tindakan yang bertentangan. Usaha Bersatu untuk memperkuatkan kedudukanya menerusi kemasukan bekas wakil rakyat BN dilihat bertentangan dengan semangat Majlis Presiden PH, tetapi apabila PKR bersedia menerima Salleh Said Keruak menyertainya, tidak pula diumpamakan ‘jalan belakang’. Salleh Said Keruak bukan wakil rakyat, beliau adalah bekas wakil rakyat. Tapi, ia mungkin akan menyebabkan wakil rakyat Kota Belud, yang juga sepupunya, Innaraissah Munirah Majlis rasa tergugat. Innaraissah adalah bekas ahli PKR dan menyertai Warisan pada tahun 2016, dan kini Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim. Warisan adalah sekutu ‘tidak rasmi’ PH.

Seruan Dr Mahathir agar pengundi Tg Piai tidak memilih parti yang ‘janji kosong’ akhirnya menjerat PH pula kerana PH telah tidak menunaikan janjinya sebaik sahaja berjaya menguasai. Lantaran itu, imej PH ada ketikanya terperosok jatuh hampir lima puluh peratus apabila menjelaskan ‘Buku Harapan’ bukan kitab suci dan ‘malaikat pun membuat silap’ yang kemudiannya dibeberkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan bahawa “nabi pun mungkir janji’. Dari situ, PH telah mengukir wajahnya seumpama arca ais, semakin sehari semakin cair dan air yang mengalir telah menyebabkan kekalahan secara hatrik di Cameron Highlands (Parlimen), DUN Semenyih dan DUN Rantau.

Apakah di Tg Piai ini BN akan mengulangi kejayaannya? Sebagai parti yang ‘underdog’, BN mempunyai kelebihan untuk menyerang PH, yang tentunya, bukan mudah untuk dijawab walaupun persekitaran politik menekan BN atau UMNO. Naratif 1MDB tidak banyak membantu dan boleh digunakan oleh PH untuk mengkhabarkan bahawa PH bukan kleptokrasi.

Kleptokrasi sedang berlaku dalam PH di mana pelantikan beberapa jawatan penting dalam GLC dan GLiC sudah diketahui umum, mereka yang berjuang dalam politik. Ia sebagai ‘balasan’ di atas perjuangan mereka, termasuklah DAP, Bersatu dan PAN. Kenapa calon wakil rakyat yang tewas daripada PAN dilantik sebagai YDP YADIM? Kenapa wakil rakyat dari Cheras (DAP) dilantik sebagai Duta Khas ke China (oh! Komik kontroversi BRI yang dihadiahkan kepada Presiden China oleh Dr Mahathir)?

Kenapa isu penjualan PLUS menjadi tajuk yang menyesakkan bila nama-nama tertentu yang pernah dikaitkan sebagai proksi (Dr Mahathir dan Tun Daim Zainudin) muncul semula? Siapakah Tan Sri Halim Saad dan Tan Sri Abu Shahid Mohamad? Begitu Tan Sri Ting Pek Khing, beliau muncul sebaik sahaja Dr Mahathir bertanding di Langkawi. Sebelumnya, nama-nama tersebut jarang disebut kecuali Tan Sri Abu Shahid kerana menjual Maju Junctions dan perihal kegagalan menyelamatkan Perwaja Steel di Terengganu. Tan Sri Halim menawarkan pengambilalihan PLUS dengan harga RM 5.3 bilion manakala Tan Sri Abu Shahid RM 5.2 bilion.

PLUS juga dikatakan mempunyai hutang sebanyak RM 30 bilion. Namun, Khazanah tetap mempertahankan PLUS yang dimilikinya sebanyak 51 peratus dan KWSP 49 peratus. PLUS menjadi sebahagian daripada ‘kehebatan Dr Mahathir’ yang memberikan kebenaran untuk menaikkan kadar tol setiap tiga tahun. Sekiranya tidak diluluskan, kerajaan akan membayar ‘kerugian’ tersebut. PLUS juga menjadi ‘ujian besar’ kepada PH, kerana pernah dijanjikan ikut dihapuskan kutipan tol termasuklah janji Dr Mazlee Malik, penduduk Simpang Renggan akan dapat berjimat dan ‘boleh tuntut dari kami’ bayaran tol berkenaan. Sudah dua kali Aidilfitri berlalu, tuntutan tol dibisukan.

Walaupun Tg Piai adalah ‘penghujung benua Asia’ dan terletak sekitar 90 km daripada Johor Bahru, persekitaran pantai yang dilindungi sebagai paya bakau akan terus diberikan perhatian besar sepanjang tempoh berkempen sehinggalah selesai proses pengundian pada 16 November 2019. Parlimen Tg Piai mempunyai jumlah pengundi berdaftar seramai 52,986 pengundi di mana 56.88 peratus adalah Melayu (30,141), 41.52 peratus Cina (22,000), 1 peratus India (532) dan 0.09 peratus Bumiputra Sabah (47).

PRU ke-14, Bersatu menang tetapi kali ini, PH perlu memperhebatkan kempennya untuk menafikan rakyat ‘putus harapan’ dalam keadaan nilai ringgit yang berterusan jatuh, harga kelapa sawit yang rendah, dan lebih ‘memilukan’ ialah bagaimana nak menafikan bahawa PH tidak menunaikan janjinya dalam Buku Harapan.

PH juga perlu membuktikan bahawa ‘proses peralihan kuasa’ bukanlah sesuatu yang boleh meranapkan Bersatu, kerana Bersatu bimbang, bila Anwar diberikan jawatan sebagai Perdana Menteri ke-8, kedudukannya lebih teruk daripada melukut di tepi gantang. Persoalan ini bakal dieksploitasikan, bahkan boleh menyedarkan pengundi bahawa permainan sebenar politik PH ialah untuk berkuasa, bukan bekerja untuk rakyat. BN mempunyai kelebihan, boleh menjelaskan apa yang telah dilaksanakan sepanjang 60 tahun memerintah, kerana rakyat merasai dan hidup selesa dengan dasar afirmatifnya.

Monosin Sobri

No Comments

    Leave a reply