Program baharu ganti PLKN, BTN bebas unsur perkauman, politik sempit

BANGI, 4 Zulhijjah 1439H, Khamis – Kementerian Belia dan Sukan memberi jaminan bahawa program baharu yang akan diperkenalkan setelah pemansuhan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tata Negara (BTN) adalah bebas daripada unsur perkauman dan kepentingan politik sempit.

Timbalan Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, program baharu itu juga bakal merangkumi aktiviti peningkatan kemahiran kerana mahu anak muda menjadi rakan strategik dalam membentuk hala tuju negara.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula  Peruntukan Perbelanjaan) Tahun 2018 bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Rakyat, semalam.

Isnin lepas, kerajaan bersetuju memansuhkan PLKN dan BTN dengan serta-merta setelah mendapati program-program itu disalah guna bagi tujuan indoktrinasi fahaman tertentu.

Mengulas lanjut, Sim berkata, penguntukan semula peruntukan perbelanjaan bagi kementerian antara lain bertujuan menampung keperluan bagi membiayai emolumen, perkhidmatan pekerjaan dan utiliti pekerja yang diserap ke kementerian itu setelah pemansuhan kedua-dua program tersebut.

Jelasnya, peruntukan perbelanjaan itu melibatkan sejumlah RM163,700,415 adalah perlu bagi mengelakkan kakitangan yang terlibat dalam kedua-dua program itu diberhentikan.

“Ini bukan perbelanjaan baharu kerana perbelanjaan ini telahpun diluluskan dalam Bajet 2018 di bawah kerajaan dahulu. Apabila berlaku perpindahan dari segi tugas atau penyeliaaan program-program tersebut ke KBS (Kementerian Belia dan Sukan), maka baki program tersebut juga dipindahkan dengan setaranya,” tambahnya. – Bernama

Tags: ,

No Comments

    Leave a reply