PROTOTAIP BUDAYA POLITIK PH

KECOH dalam ‘cawan politik PH’ sudah melimpah keluar memasuki parit dan longkang sehingga parti itu dilihat semakin mual dan membosankan. Mungkin juga ‘kekotoran air longkang dan parit’ yang melimpah keluar dari ‘cawan politik PH’ akan menjadi lebih bahaya daripada kes pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang ‘tetap ada’ berdasarkan perancangan dan tindakan yang sedang dan bakal diambil.

Lebih tiga ribu penduduk sekitar Pasir Gudang terpaksa meninggalkan rumah mereka buat sementara kerana udara tidak sihat; iklim politik tanah air semakin menjadi tidak sihat setelah rakyat didera dengan naratif ‘hutang negara’ dan ‘reformasi yang tidak menjadi’. Secara jelasnya, apabila Kerajaan PH ditubuhkan, Dr Mahathir meneruskan ideanya dengan menubuhkan pelbagai badan penasihat dan jawatankuasa untuk ‘mengunci’ urusan kabinet dalam pembentukan dasar dan penentuan strategi.

Daim dilantik sebagai pengerusi Majlis Penasihat Kebangsaan (MPK). Daim lebih berkuasa daripada menteri-menteri kabinet untuk mendapatkan maklumat daripada pelbagai pihak dan beliau boleh menemui siapa sahaja yang difikirkan boleh membantu. Daim memang diketahui sejak dahulu lagi memang ‘licik’ dengan perancangan sulitnya.

Pada suatu ketika, setelah memegang jawatan sebagai Bendahari UMNO, Daim telah berjaya mengosongkan tabung UMNO dan berjaya memindahkan banyak aset-aset berdasarkan prinsip jual-pindah-kuasai menerusi jalinan proksi dan ‘right man’. Ketika itu muncul nama-nama yang sebelumnya tidak begitu dikenali, memegang peranan untuk menguruskan perniagaan yang ada kaitan dengan Daim.

Nama-nama yang tidak dikenali itu telah menjadi ‘begitu besar’ ialah antaranya Tan Sri Halim Saad, Tan Sri Tajudin Ramli, Datuk Nor Azam, Tan Sri Wan Azmi, Datuk Kadir A Jasin, Anwar Tahir dan sebagainya. Nama-nama syarikat yang pernah dikaitkan dengan UMNO menjadi semakin lemah dan hilang, misalnya Fleet Group, Pernas Trading, Hati Budi Construction, Renong dan sebagainya.

Daim juga menjadi tulang belakang kepada pemikiran Dr Mahathir untuk meswastakan beberapa agensi kerajaan bagi mengurangkan perbelanjaan sektor awam. Antara agensi kerajaan yang diswastakan ialah perkhidmatan pos (Pos Malaysia Berhad), telekom (Syarikat Telekom Malaysia Berhad),  Lembaga Letrik Negara (Tenaga Nasional Berhad), perkhidmatan bekalan air bersih, kenderaan rasmi kerajaan kepada SPANCO, perkhidmatan pembentungan menjadi Indah Water Konsortium, dan sebagainya.

Tidak semua projek penswastaan menghasilkan kejayaan yang besar. Indah Water Konsortium (IWK) tidak mampu meneruskan operasinya, Kerajaan terpaksa mengambil alih semula. Malaysian Airlines System (MAS) yang diberikan kepada Tan Sri Tajudin Ramli akhirnya dibeli semula oleh kerajaan dan diletakkan dibawah Khazanah.

mas

Pembelian semula MAS menimbulkan suasana yang menyebabkan Dr Mahathir terus dikritik. Bahkan Azmin Ali berkempen berkata, pembelian semula MAS menguntungkan Tan Sri Tajudin Ramli,  sekitar RM 700 juta. Ia adalah sesuatu yang istimewa. Tan Sri Tajudin Ramli merupakan ‘right man’ Dr Mahathir dan Daim.

Daim  walaupun  berada dalam barisan kabinet Kerajaan PH, peranannya  cukup besar.  Daim dilantik ketua perunding untuk memuktamadkan semula projek ECRL  Alasan Dr Mahathir nampak lojik,  imej Daim lebih dipercayai da nada aura yang lebih baik bagi membuat perundingan. Lim Guan Eng sedikit gelabah dan ‘panas baran’.

Sebagai seorang yang berpengalaman dan memahami makna eksploitasi dan manipulasi, Daim berjaya membawa masuk ‘adik ipar’nya sebagai penasihat ekonomi kepada Perdana Menteri, Dr Muhammad Khalid, yang sebelumya dilantik sebagai pengarah penyelidikan di Khazanah. Khalid merupakan penulis buku Antara Dua Darjat (2017), edisi yang dikemaskinikan daripada versi asal berbahasa Inggeris, Colours of Inequality: Ethnicity, Class, Income and Wealth in Malaysia (2013).

Daim juga berjaya ‘memujuk’ Datuk Mustapha Mohamed (Tok Pa) untuk meninggalkan UMNO dan menyertai Bersatu. Melalui perkahwinan, Tok Pa mempunyai tali persaudaraan dengan Daim, iaitu sebelah isterinya. Daim turut “mengharapkan” agar Tok Pa akan diberikan peranan yang besar selepas setahun menyertai Bersatu oleh Dr Mahathir.

Tok Pa dan Muhamad Khalid masing-masing mempunyai kepakaran dalam bidang ekonomi. Tok Pa berpengalaman sebagai menteri dan pernah membantu Dr Mahathir ketika dilantik sebagai Menteri Kewangan II. Khalid yang berkelulusan ekonomi di peringkat doktor falsafah dari Institut Sains Politik Paris, Perancis pernah bertugas Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan ISIS.

PH leaders

Selain sedang berusaha membantu Dr Mahathir memperkuatkan kedudukannya, Daim turut mengambil langkah yang sama seperti sebelumnya mencadangkan beberapa aset kerajaan dan milik GLC dijual bagi membolehkan Kerajaan PH mempunyai ‘cukup wang’. Stigma ‘hutang yang banyak’ dan ‘kerosakan lebih teruk’ hanyalah suatu strategi politik Kerajaan PH untuk melambat-lambatkan desakan rakyat agar tidak terlalu menuntut, Kerajaan PH perlu memulihkan kesemuanya terlebih dahulu.

Daim dan Dr Mahathir memang terlalu kedekut dalam mempertimbangkan pendapatan kepada penjawat awam, kecuali bila keadaannya terdesak. Daim dan Dr Mahathir pada zaman dalam kerajaan BN seringkali mencari jalan untuk berjimat, termasuklah mengikat kenaikan pangkat penjawat awam yang sebelumnya banyak bergantung kepada prinsip kekananan. Kedua-duanya memberikan cadangan, sistem gaji kabinet dipinda dan ditukarkan menjadi Sistem Saraan Baru (SSB).

SSB yang diperkenalkan pada tahun 1990-an menyebabkan ramai penjawat awam kecewa, kerana poses kenaikan pangkat menjadi terlalu lambat manakala produktiviti dan kualiti perkhidmatan disarankan terus meningkat. Dikenakan sistem kouta, iaitu sekitar lima peratus sahaja yang boleh dicadangkan kenaikan pangkat berdasarkan penilaian prestasi tahunan. Sebagai galakan, mereka diberikan kenaikan gaji secara melintang dan menegak manakala selebihnya adalah secara mendatar. Bagi mereka yang bermasalah, kenaikan gaji tahunan tidak berlaku sehinggalah melepasi penilaian tahap kecekapan 60 peratus.

Selepas SSB dianggap ‘siksa sampai bersara’, ia ditukarkan menjadi Sistem Saraan Malaysia, iaitu ketika pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi. Sebelum akhir pentadbiran Dr Mahathir, atas kesukaran dan keperitan penjawat awam, kerajaan memperkenalkan kenaikan pangkat secara Khas Untuk Penyandang manakala guru-guru pula dengan konsep kenaikan pangkat secara time-base.

Ada sedikit kelegaan. Tun Abdullah yang mengambilalih pentadbiran pada tahun 2003, merasakan ia sesuatu yang perlu diperbetulkan. Untuk kelegaan sementara, beliau mencadangkan kenaikan gaji sehingga 13 peratus bagi penjawat awam yang sudah lama berada dalam situasi ‘gaji maksimum’. Ia tidak pernah berlaku ketika pentadbiran Dr Mahathir selama 22 tahun.

Ketika di zaman Najib, SSM juga dirombak dengan memperkenalkan SSM+ tetapi akhirnya sistem yang ditambah baik menjadi Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA)  terpaksa dibatalkan. SBPA dikritik hebat kerana ia lebih menguntungkan kumpulan JUSA berbanding lebih 80 peratus penjawat awam. Tan Sri Sidek Hassan sebagai Ketua Setiausaha Negara menanggung ‘malu’ yang besar kerana lebih awal melaksanakan opsyen kepada JUSA dan setelah dibatalkan, mereka terpaksa membayar balik bayaran terlebih awal. Ketika itu (berdasarkan Bajet 2012) jumlah penjawat awam ialah 1.4 juta orang.

Kini, menurut Dr Mahathir, jumlah penjawat awam telah meningkat kepada 1.7 juta orang. Peningkatan yang besar itu menyebabkan Kerajaan PH terpaksa menangung perbelanjaan emolumen yang besar, secara tradisinya antara 70 hingga 80 peratus Belanja Mengurus tahunan. Atas inisiatif baharu, Kerajaan PH telah menetapkan semula beberapa strategi untuk mengurangkan jumlah penjawat awam: dipindahkan kepada swasta apabila ada agensi kerajaan diswastakan, membekukan pengambilan kakitangan yang bukan jawatan kritikal, memansuhkan jawatan yang tidak diisi dalam tempoh dua tahun, redeployment dan automasi pejabat. Alasan yang sama digunakan oleh Dr Mahathir ketika memperkenalkan dasar Penswastaan dan Persyarikatan Malaysia pada tahun 1990-an.

Sebab itulah dalam pertimbangan terbaharu Dr Mahathir menjelaskan akan kembali ke sistem lama bagi mengurangkan masalah birokrasi dalam perkhidmatan awam dan sebelumnya beliau bertegas, perlu mesra dan tidak membenci kapitalisma. Sektor awam wajar memberikan kerjasama yang baik dan menerima kapitalisma, yang kini mula difahami bahawa ia adalah langkah untuk menjadikan Malaysia Baru berbeza dengan keadaan sebelumnya, tetapi mendekati apa yang dinamakan sebagai Mahathirisme.

Keinginan Dr Mahathir untuk memulihkan Dasar Pandang ke-Timur dan membina semula kereta nasional ketiga dalam situasi ekonomi yang pertumbuhannya semakin menguncup dan kejatuhan nilai ringgit menyebabkan rakyat secara terbuka saperti rasa dibuli oleh Kerajaan PH. Apa tidaknya, ketika harga komoditi tidak meningkat sejak mengambil alih pentadbiran, rakyat amat tertekan dengan kos sara hidup yang terpaksa mereka hadapi manakala peluang pekerjaan tidak bertambah. Situasi ini menyebabkan salah seorang pemimpin PKR ‘patah hati’ dan saperti merajuk tidak lagi mampu bekerja dengan ‘bekas diktator’ yang telah menimbulkan banyak kerosakan kepada negara dan keluarga.

Polemik sedemikian telah mengundang kritikan terbuka ‘dalam cawan PH’ sehingga ada di antaranya melihat ia sebagai suatu konflik yang tidak akan memungkinkan umur Kerajaan PH dapat dipertahankan dengan lebih lama. Dr Mahathir dilihat tidak bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan masalah rakyat sebaliknya berusaha untuk memperkuatkan kedudukan Bersatu dengan menerima wakil rakyat bebas yang berasal daripada UMNO dan lain-lain parti Bumiputra dari Sabah. Kini, Bersatu mempunyai 22 buah kerusi berbanding kemenangan sebenar dalam PRU ke-14 ialah 13.

Ketika ini, masalah dalaman PKR turut memberikan kelebihan kepada Bersatu. Anwar Ibrahim yang diumumkan sebagai Perdana Menteri ke-8 dalam tempoh dua tahun selepas PH menang PRU ke-14 terpaksa berhati-hati mengeluarkan kenyataan, bagi menjaga hati Dr Mahathir dan tidak menyebabkan retak menjadi belah dalam PKR. Azmin Ali yang menyindir ‘patah hati’ Nurul Izzah akhirnya ditempelak oleh Anwar, dan situasi itu boleh menyebabkan kerjasama antara Presiden dan Timbalan Presiden dalam situasi tidak mesra. Ia kemungkinan akan menjadi konflik.

bisnis-politik

Sebelumnya ada andaian bahawa kem Azmin yang lebih mesra dengan Mahathir akan meninggalkan Anwar. Jika keadaan ini benar-benar berlaku, maka kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-8 mungkin terjejas. Dalam desas-desus bakal berlakunya ‘undi tidak percaya’ kepada Dr Mahathir, secara jelasnya Perdana Menteri ke-7 memperoleh sokongan moral daripada PAS dan UMNO. Dua parti pembangkang itu akan mempertahankan Dr Mahathir sehingga PRU ke-15. Ini bermakna, cadangan ‘undi tidak percaya’ terpaksa ditangguhkan.

Anwar terpaksa berhati-hati dengan sebarang tindakannya. Jika melakukan tindakan yang lebih keras, Dr Mahathir mempunyai kekuatan moral yang lebih baik berbanding Anwar dan situasi ini akan lebih menyulitkan peluangnya sebagai Perdana Menteri. Anwar mungkin akan terus kecundang dalam PRU ke-15, kerana mungkin akan lahir pakatan politik yang boleh menyebabkan hayat PH berakhir. Hal ini mungkin berlaku berdasarkan persekitaran yang sedang berlaku dalam DAP.

Beberapa pemimpin DAP begitu lantang mengkritik Dr Mahathir. Dalam perkembangan terbaharu, seorang wakil rakyat DAP, Dr Boo Cheng Hau pernah mencadangkan Dr Mahathir meletakkan jawatan kerana banyak tindakan yang dibuat tidak mencerminkan semangat PH. Dr Mahathir masih mahu mengekalkan apa yang pernah dilakukan dan kembali semula ke zaman pentadbirannya selama 22 tahun pada zaman BN. Ia adalah sesuatu yang tidak menepati aspirasi PH.

Dr Boo saperti memulangkan paku buah keras kepada Dr Mahathir. Pada tahun 1969, selepas kalah bertanding dalam PRU, Dr Mahathir lantang mengkritik dasar pentadbiran Tunku Abdul Rahman. Selain menulis surat terbuka mengkritik Tunku, Dr Mahathir mendesak agar Tunku  meletakkan jawatan, Bahkan Dr Mahathir menulis sebuah buku yang kemudiannya diharamkan oleh Tunku Abdul Rahman. Buku Malay Dilemma hanya ditarik balik pengharamannya selepas Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri ke-4.

Berkenaan Dasar Pandang ke-Timur, Dr Boo mengesyorkan agar diadakan debat dengan Dr Mahathir, tetapi tidak diterima oleh Perdana Menteri. Perdana Menteri menolaknya kerana pemimpin DAP itu gagal memahami kebaikan dan faedahnya, sebaliknya, tetap mempertahankan pendirian yang dianggap negatif.

Sebelum DAP mungkin tersinggung apabila Menteri Kewangan tidak mengetuai perundingan bagi projek ECRL sebaliknya melantik Daim Zainudin untuk melakukannya. Keputusan itu dilihat oleh sebahagian pemimpin politik sebagai langkah untuk mengurangkan peranan Lim Guan Eng yang mula dikritik oleh orang Melayu terhadap langkah menjual dan mencarikan aset-aset milik Khazanah dan GLC kepada pihak swasta domestik dan luar negara.

Ketika ini, heboh diperkatakan mengenai penjualan Malaysia Building di Hong Kong. Banguan setinggi 28 tingkat itu dibeli oleh Kerajaan Malaysia dengan harga HK$200 juta (RM103.8 juta) pada tahun 1980-an. Alasannya ialah Kerajaan PH tidak mampu untuk menanggung kos penyelenggaraan mencecah RM 300 juta dan keputusan untuk menjualnya telah dibuat oleh kerajaan terdahulu. Ia adalah alasan biasa Lim Guan Eng, setiap keputusan dikaitkan dengan kerajaan terdahulu walaupun perundingan penjualannya sedang berlaku dan bakal dimuktamadkan oleh Kerajaan PH.

Ia seumpamanya kisah penjualan Royale Chulan kepada sebuah syarikat dari Singapura. Apabila isu tersebut mendapat perhatian masyarakat, maka menteri dalam Kerajaan PH membuat kenyataan, penjualannya masih belum muktamad. Semua rakyat tahu, syarikat dari Singapura itu sudah membayar deposit menandakan bersetuju untuk membeli dengan harga RM 197 juta. Malaysian Building dianggarkan dijual dengan harga RM 1.1 bilion, tetapi Lim Guan Eng menjelaskan ia bakal menyebabkan kerajaan rugi RM 500 juta. Kerugian kerana ‘rundingan terus’ bukan dilakukan secara tender terbuka. Kerajaan sebelumnya tetap dipersalahkan walaupun Lim Guan Eng berupaya mempertahankannya kerana ‘rundingan terus’ sebelumnya belum dimuktamadkan.

Naratif politk dalam Kerajaan PH telah membktikan sejak pemuafakatan yang terjalin dan terbinanya Kerajaan PH, belum terbuka ‘lebuh raya persefahaman’ yang jelas. Setiap kali ada perkara yang boleh menimbulkan kekecohan, atau ketidak sehaluan pemikiran antara parti komponen yang tidak lagi boleh dianggap sebagai perbezaan pandangan peribadi. Ia mungkin diakibatkan oleh arus politik antara parti komponen semakin  bercapah, masing-masing mencari ruang dengan menari rentak yang berbeza. Masing-masing untuk bertindak sebagai ‘hero’ dan sanggup mengambil risiko memecut di  selekoh yang amat tajam.

Kepada orang Melayu, selekoh tajam ialah apabila kedudukan mereka diperlekehkan dan agama Islam dipersendakan. Raja-raja semakin tidak dihormati kedudukannya, maka itulah sebabnya ICERD tidak boleh diterima ratifikasinya. Kini, Statut Rom sedang hangat diperkatakan apabila ada kesilapan Kerajaan PH menyetujuinya. Keadaannya menjadi lebih rumit apabila ada sultan mempersoalkan kewajarannya.

ICERD menjadi isu besar kerana sikap dan pendirian bebal seorang menteri. Selepas itu seorang lagi menteri dilihat mudah memberikan reaksi apabila melibatkan hubungannya dengan DAP, tetapi lambat memberikan reaksi apabila dikaitkan dengan masalah agama dan institusi Islam. Menteri Kewangan disinonimkan sebagai Menteri Kewangan. Kini, Menteri Pembangunan Usahawan pula menjadi bahan ejekan apabila projek ‘kereta terbang’nya saperti prototaip Kerajaan PH melunaskan janjinya dalam Buku Harapan.

BUKU HARAPAN

Khabarnya, ‘kereta terbang’ sedang dimajukan protaipnya oleh rakyat Malaysia. Projek tersebut tidak menggunakan wang kerajaan. Beberapa hari lepas diberitahu ‘kereta terbang’ sedang diprototaipkan di Jepun. Maka rakyat seperti merasa diperbodohkan kerana model yang dipamerkan di LIMA ’19 tidak seperti digambarkan oleh media sebelumnya. Prototaip ‘kereta terbang’ mempunyai empat kipas di empat penjuru, berjenama KDK, manakala tempat pemadu di tengah-tengah.

Seluruh rakyat Malaysi ‘gelak’ dan berdekah-dekah ketawa mengejek. Mengejek kerana ‘MaluApaMenteriku’, itulah mentaliti dan kualiti sebahagian besar menteri dalam kabinet Kerajaan PH, sehingga Perdana Menteri pun ‘rasa malu dan kecewa dengan prestasi mereka’, tapi apakan daya, terpaksa lebih berhati-hati sebab ‘racun dan madu’ sentiasa hadir selagi ‘tebu’ yang disangka manis dan lembut sebenarnya ‘ruas’ yang tawar dan boleh menyebabkan gigi patah bila digigit dan tergigit.

image

Prototaip Kerajaan PH yang berazam membentuk Malaysia Baru; ada kelayakan palsu, keazaman palsu dan komitmen yang keliru. Rakyat terus menjadi mangsa dan terpaksa ‘ikat perut’ kerana ‘hutang banyak’ dan penjualan aset belum selesai. Saperti kata Tengku Razaleigh, “Takkanlah hendak jual sampai ke seluar dalam, kalaupun tidak ada duit…apabila sudah menjadi kerajaan, mesti ada cara untuk cari punca lain, takkanlah hendak jual segala-galanya? “.

Monosin Sobri

No Comments

    Leave a reply