PRU 14 : MENERIMA DAN REDHA TAKDIR ITU KEKUATAN DALAMAN DIRI

Dalam usaha mengharungi kehidupan duniawi, kita harus berasa senang menerima hukum dan peraturan Ilahi. Ia bersesuaian seperti mana firman Allah di dalam Surah at-Taubah ayat 59 yang bermaksud: Jikalau mereka bersungguh-sungguh redha dengan apa yang yang diberikan Allah dan rasul-Nya kepada mereka, dan berkata, “Cukuplah Allah bagi kami, Allah akan memberikan kepada kami sebahagian daripada kurnia-Nya, dan demikian (pula) rasul-Nya, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang berharap kepada Allah. (Tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka).

Ada pun perkara yang termasuk dalam ruang lingkup yang diterima dengan perasan senang hati (redha) itu ialah ketentuan-ketentuan (qadar) yang sudah ditetapkan Allah untuk setiap orang atau sesuatu bangsa.

Ketentuan-ketentuan itu yang umumnya disebut takdir pada asasnya melibatkan dua perkara. Pertama berupa nikmat yang pasti akan diterima manusia dengan perasaan senang dan dengan penuh kegembiraan dan kedua merupakan bencana (musibah yang pelbagai bentuk).

Ketika kita ditimpa bencana, sudah tentu kita akan mengeluh, sedih dan berkata-kata dalam hati mengapa musibah itu menimpa ke atas diri. Sikap seumpama ini termasuk dalam kategori tidak redha menerima takdir ketentuan Ilahi.

Walhal dalam Islam dianjurkan agar kita bersikap seperti yang disabdakan oleh Nabi s.a.w. yang bermaksud: Apabila sesuatu musibah menimpa engkau, maka janganlah engkau berkata, “Kalau (tadinya) aku berbuat begitu tentulah jadinya akan begini.” Tetapi katakanlah, “Allah telah mentakdirkan yang demikian dan apa-apa yang dikehendaki-Nya, Dia perbuat.” Ucapan `kalau-kalau’ itu hanyalah membukakan peranan syaitan. (Riwayat Muslim).

Sikap redha itu haruslah ditunjukkan, baik ketika menerima nikmat mahupun ketika ditimpa musibah. Seorang ahli tasawuf wanita yang terkenal iaitu Rabiatul Adawiyah, ketika ditanyakan orang, apakah ciri-ciri seorang hamba yang redha terhadap Tuhannya, beliau menjawab, “Apabila kegembiraannya menerima musibah serupa dengan kegembiraannya ketika menerima nikmat.”

Dalam al-Quran telah disebut tidak kurang daripada 70 kali perkataan-perkataan yang mengandungi maksud redha. Pada umumnya, ia mempunyai kaitan dengan masalah iman, amal soleh, kebajikan dan nilai utama yang lainnya.

Malah sumber daripada sikap redha itu ialah iman, sehingga semakin kuat dan tebal iman seseorang semakin mantap pula sikap redha yang bersemi di dalam jiwanya.

Allah s.w.t. amat murka terhadap orang-orang yang tidak redha kepada ketentuan-Nya. Begitu rupa kemarahan Tuhan itu, sehingga Allah mempersilakan supaya perkara yang bersangkutan mencari Tuhan yang lain.

Hal ini dijelaskan dalam satu hadis Qudsi yang menyatakan, Barang siapa yang tidak sabar terhadap ujian-ujian-Ku dan tidak bersyukur kepada nikmat-nikmat-Ku dan tidak redha kepada ketentuan-ketentuan-Ku, maka hendaklah ia mencari Tuhan yang lain selain daripada Aku.

Menurut huraian ahli-ahli tafsir, ada tiga keistimewaan yang akan dihayati oleh orang yang bersikap redha iaitu yang pertama akan selalu mendapat petunjuk (hidayah) Allah.

Oleh Mohd Shauki Majid

No Comments

    Leave a reply