PRU 14 TAHUN HADAPAN ?

Walaupun bahang pilihanraya masih jauh tetapi semua orang mula memberikan fokus siapakah pemimpin boleh mereka sandarkan harapan dalam pilihan raya nanti?

Terdengar desus desus dari kalangan ahli-ahli politik bahawa pilhanraya akan berlaku pada tahun depan 2017 dan pelbagai spekulasi telah lama berlaku, hakikatnya pilihan raya itu adalah proses memilih pemimpin. Amalan sistem pilihan raya di Malaysia yang berjalan sejak tahun 1959, Seseorang pemimpin yang layak bertanding kebiasaannya merupakan wakil kepada sesebuah parti politik.

Tiga tahun lalu, Perdana Menteri memperkenalkan konsep “Winnable Candidate” bagi mewakili BN dalam Pilihan Raya Umum ke-13 memandangkan keputusan PRU-12 berlaku sedikit masalah dalam penentuan calon yang bertanding. Lebih mendukacitakan ialah apabila ada pemimpin yang merasakan dirinya patut dicalonkan mengambil keputusan tidak memberikan kerjasama kepada calon yang dipilih oleh parti.

Sebagai peringatan, kita perlu menyedari sepenuhnya bahawa pada hakikatnya masalah kepemimpinan adalah kuasa Allah. Meskipun secara realiti dan persepsi yang tersebar luas seolah-olah seseorang itu sudah hampir pasti terpilih menjadi pemimpin, akan tetapi sekiranya Allah tidak menghendaki seseorang itu menjadi pemimpin, maka orang itu perlu redha dan menerima secara lapang dada kenyataan itu.

Begitu juga halnya dengan orang-orang yang sudah berada di tampuk kekuasaan. Orang yang menjawat perlu menyedari sepenuhnya sekiranya Allah mencabut kuasa yang ada di tangannya, maka orang itu perlu ikhlas menerima hakikat itu tanpa menyalahkan mana-mana pihak di atas takdir yang berlaku. Firman Allah swt:

Katakanlah (wahai Muhammad): wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan, Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kuasa pemerintahan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Al Imran: 26).

Memilih pemimpin bukanlah suatu perkara yang mudah. Dalam mana-mana sistem masyarakat, seseorang calon yang dianggap boleh menang pertama sekali mestilah lulus ujian peribadi, yakni hampir bersih daripada segala bentuk tabiat negatif. Di Amerika Syarikat, walaupun masyarakatnya merupakan penyanjung fahaman liberal, mereka tidak boleh menerima bakal pemimpin dari kumpulan yang tidak boleh dianggap bersih.

Misalnya, kejatuhan Presiden Nixon (1913-1994) pada tahun 1974 ada kaitannya dengan Skandal Watergate. Pada 17 Jun 1972, orang-orang presiden dari Parti Republikan telah memecah masuk ke ibu pejabat Jawatankuasa Kebangsaan Demokrat di Hotel Watergate untuk mencuri maklumat parti kerana Richard Nixon dijangka akan mempertahankan jawatannya untuk penggal kedua dalam pilihan raya presiden yang dijangka akan diadakan sebelum akhir tahun 1975.

Nixon menang dalam pilihan raya presiden tahun 1968 tetapi terpaksa berundur bulan Ogos 1974 setelah mengakui mengarahkan para pegawainya mencuri maklumat. Beliau merupakan satu-satunya presiden Amerika Syarikat yang terpaksa mengundurkan diri sebelum tamat tempoh kepresidenannya. Beliau bukan sahaja berhadapan dengan krisis keyakinan daripada Parti Republikan bahkan seluruh rakyat Amerika Syarikat.

Begitu juga dalam pilihan raya di Malaysia. Seseorang calon yang “tidak bersih” dalam aspek moral akan berhadapan dengan potensi kalah yang besar. Pada pandangan pengundi, oleh kerana pemimpin itu merupakan orang yang diharapkan dapat menguruskan masyarakat dan menyelesaikan masalah rakyat, maka pemimpin yang tidak begitu bersih etikanya tidak akan diterima.

Pengundi akan melihat, jika pemimpin tersebut sudah mempunyai “track record” yang tidak baik, seperti tidak mempedulikan kesejahteraan rakyat, maka potensi kalahnya memang besar. Kesan daripada itulah juga mungkin menyebabkan Perdana Menteri memperkenalkan konsep “winnable candidate”.

Kriteria ini meliputi persoalan integriti dan amanah. Calon yang mempunyai integriti dan amanah ialah mereka sentiasa mendahulukan kepentingan umum atau masyarakat daripada kepentingan sendiri. Maknanya, calon yang berintegriti secara lumrahnya tidak akan menentukan apakah jawatan yang bakal diperolehnya, yang penting ialah mencapai kemenangan untuk parti yang diwakilinya.

Bagi seseorang yang telah menetapkan terlebih dahulu sasarannya untuk mendapat jawatan sebagai menteri atau Perdana Menteri, secara alaminya tidak akan dilihat sebagai berintegriti. Orang seperti ini sebenarnya membuat pilihan yang salah dalam perspektif kepimpinan, kerana ia sudah menentukan kedudukannya sendiri sebelum menang.

Orang yang sudah membuat penentuan sasaran terlebih dahulu sebagai Perdana Menteri sebenarnya tidak mendahulukan kepentingan umum, sebaliknya lebih mengutamakan kepentingan diri bagi mencapai sesuatu tujuan yang sedia dipendamkan sekian lama. Ia sebenarnya sudah membina harapan bagi dirinya, harapan yang kadangkala hanyalah sekadar mencari kedudukan atas tujuan yang tidak jujur kepada orang yang telah memilihnya.

Sesungguhnya Allah benci kepada orang yang mengejar jawatan. Perkara ini ditegaskan Nabi yang bersabda:

Abu Said (Abdurrahman) bin Samurah r.a. berkata: Rasulullah saw telah bersabda kepada saya: wahai Abdurrahman bin Samurah, janganlah engkau mencari-cari jawatan dalam pemerintah, kerana jika engkau diberi jawatan tanpa meminta, engkau akan dibantu oleh Allah untuk melaksanakannya, tetapi jika dapat jawatan itu kerana permintaanmu, maka akan diserahkan ke atas pundakmu atau kebijaksanaanmu sendiri. Dan apabila kau telah bersumpah untuk sesuatu kemudian ternyata jika kau lakukan perkara lainnya akan lebih baik, maka tebuslah sumpah itu dan kerjakan apa yang  lebih baik daripada itu. (Bukhari, Muslim).

Dalam sistem politik yang menggunakan perisa demokrasi, pengundi berhak dan mestilah berani untuk menentukan “kedaulatan politiknya” kerana pertimbangan silap akan mengakibatkan masa depan yang kabur dan bersimpang-siur. Perjuangan menerusi pertubuhan politik ialah sebagai platform penyatuan dan kekukuhan iktikad akhirnya akan menjadi sesuatu yang boleh menjerumuskan permusuhan dan sengketa, yang menderita ialah rakyat jelata.

Seseorang pemimpin yang berkesan bukan sahaja hanya tahu mengutarakan sesuatu pandangan atau idea, tetapi wajar disusuli dengan tindakan bagi melaksanakannya. Jika ia hanya dalam idea dan tidak boleh diterjemahkan ke dalam bentuk tindakan, pemimpin sedemikian pernah dipanggil sebagai “penyair kabur.” Pemimpin sedemikian, memang bijak bercakap dan mempunyai pandangan yang bernas dan menarik, tetapi ia belum cukup untuk menjadikan rakyat menikmati hasilnya.

Situasi yang berlaku dalam politik semasa jelas membuktikan terlalu jauh perbezaannya antara pemimpin yang bersifat “penyair kabur’ dengan pemimpin yang dilihat praktikal. Pemimpin yang praktikal, bukan sahaja amat rajin menyelami kehidupan masyarakat dan merasai sendiri suasananya, bahkan sentiasa memberikan idea atau bantuan untuk membolehkan orang yang dipimpinnya menjadi lebih baik.

Pemimpin “penyair kabur” hanya berselindung di sebalik  kepetahan dan kemahiran dalam bidang-bidang tertentu, yang umumnya terlalu bersifat retorik. Jika mereka merupakan golongan yang berpendidikan agama, maka kaedah penyelesaiannya adalah bersabar dan berdoa sahaja, sedangkan agama turut meminta agar manusia memikirkan kaedah mengatasinya.

Alasan kelompok penyair kabur adalah mudah, kerana tidak dilimpahi sumber kewangan maka tidak boleh dilaksanakan projek tertentu, sebaliknya, menuduh kekontangan idea itu sebagai satu bentuk penindasan. Mereka sebenarnya bukanlah seorang pemimpin yang kreatif dan inovatif, tetapi pemimpin yang hanya hidup dalam bayangan imaginasi.

Pemimpin yang mendahulukan rakyat, setiap gerak kerjanya mempunyai matlamat yang jelas dan tindakannya adalah praktikal. Setiap fikirannya sentiasa berkembang dan konsisten dengan langkah yang dikenalpasti boleh membantu menyelesaikan masalah rakyat. Di tengah-tengah kesibukannya, pemimpin yang hebat ini sentiasa bertambah fikirannya dan mengeluarkan kaedah penyelesaian yang kreatif dan inovatif.

Pemimpin seperti ini akan dilihat membina prestasinya berdasarkan kekuatan hasil. Pemimpin sedemikian berpegang kepada amanah, kerana sentiasa menunaikan tanggungjawab dan tidak sanggup berjanji kalau janji itu hanyalah sekadar janji. Rakyat akan mempersoalkannya dan tiba waktunya rakyat akan menghukum pemimpin yang hanya tahu berjanji itu sebagai pembohong. Rakyat juga boleh mencampakkan pemimpin berkenaan kenegara kehidupan yang paling hina dan keji. Ini sesuai dengan amaran Nabi yang bersabda:

Abu Ja’la bin jasar r.a berkata: saya telah mendengar Rasulullah saw bersabda: tiada seorang yang diamanati oleh Allah memimpin rakyat  kemudian ketika ia mati ia masih menipu rakyatnya, melainkan pasti Allah mengharamkan baginya surga. (Bukhari, Muslim).

Kesimpulannya , pemimpin itu hendaklah sedar tentang kedudukannya sebagai khalifatullah fi’l-ardh, yang memegang amanah, yang didasari oleh iman, Islam dan ihsan; mempunyai akhlak yang baik, tentu disandarkan pada niat yang sentiasa baik, mencari keredhaan Allah. Pemimpin itu adalah seorang yang ihsan, yang bukan sekadar berbuat baik, tetapi yang menyedari bahawa semua sikap, fikiran dan perbuatannya sentiasa diketahui atau diawasi Allah. Akibatnya juga, ia cepat bertaubat, yang bersih, yang taqwa, yang sabar. Tawakkal- nilai-nilai yang ada pada umumnya harusnya tergambar pada diri manusia, tentu harusnya lebih ditemui pada diri pemimpin.

Oleh Monosin Sobri

No Comments

    Leave a reply