PRU 14 : YANG TERSURAT DAN TERSURAT

Menjelang fajar 10 Mei 2018 perubahan berlaku di dalam negara kita tentang pemerintahan dan kekuasaan. Bagi kita yang sering membaca ayat 26 dari Surah Ali-Imran, dan menghayati rahsia dan inspirasinya, perkara yang berlaku menjelang hari tersebut merupakan satu kehendak Allah SWT yang berkuasa di atas segala kekuasaan manusia dan jin, Maha kuasa Allah SWT dan maha benar firman-Nya yang sekian lama memberi pengajaran kepada hamba-Nya., yang sering menjadi wirid kita setiap kali selesai bersembahyang, tanda menyerah diri kepada Allah SWT.

Ayat tersebut menjelaskan “Katakanlah (wahai Muhammad) Wahai Tuhan yang memiliki kuasa pemerintahan, Engkaulah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah juga yang merampas kembali kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki”

Ketika kehendak Allah SWT ini berlaku dan menjelma sebagai kenyataan hidup bagi kita di negara ini menjelang 10 Mei 2018 maka amat mudah sekali satu kuasa yang berada di tangan manusia selama berdekad-dekad lamanya itu akan berpindah ke tangan yang lain, di luar jangkaan manusia biasa dan aliran pemikiran semasa bahawa manusia kini yang ditakluki kuasa kebendaan, kemegahan dunia dan kepandain melangit, akan sering dikuasai sesama manusia dengan umpanan dunia ini, dalam bentuk wang dan harta kekeyaan, yang seolah-olah sama darjatnya dengan Tuhan yang disembah,

Demikianlah kuasa Allah SWT dan hikmah ketinggian-Nya yang seharusnya dan semestinya di akui oleh manusia sejagat, dengan tanda-tanda dan petunjuk-Nya yang amat jelas dan nyata di hadapan mata kita.

Menjelang era baru pada hari ini, dengan kehendak Allah SWT dan nekmatnya yang membuka hati dan minda hamba-hamba-Nya yang begitu banyak, maka yang menang dan keciwa, hendaklah menginsafi diri, bahawa perubahan yang diberikan-Nya adalah merupakan satu pengajaran kepada semua dan hikmah serta iktibar yang seharusnya di insafi oleh semua. Gunakanlah peluang ini untuk membina nilai-nilai akidah, syariah dan akhlak serta ihsan yang diajarkan Allah untuk diri serta pimpinan dan hamba-Nya dalam mengurus dan mentadbirkan amanah-Nya kepada setiap individu di dalam masyarakat kita ini.

Allah mengangkat darjat sesiapa yang dikehendaki-Nya, lalu bersyukur dan muhasabah diri tanpa angkuh dan sombong, malah haruslah bersyukur dan menginsafi diri dari segala peri laku dan tindakannya selama ini, dan kepada kumpulan manusia semuanya maka ambillah ini sebagai peringatan dan pengajaran dalam merangka dan merancang hidup seterusnya, di samping berusaha dan beramal bagi menghapuskan segala kelemahan dan kealpaan diri selama ini, kerana kita semua adalah hamba-Nya dan Allah SWT amat pengampun dan penyayang, pemberi nekmat dan kesejahteraan, seperti yang sering di doakan juga siang malam “Tuhan kami, berikanlah kami kesejahteraan di dunia ini, dan kesejahteraan di akhirat nanti, dan peliharakanlah kami dari azab neraka”.

Sungguh banyak yang dapat diperkatakan dan yang boleh dihuraikan di dalam konteks ini, namun manusia diberikan Allah akal dan fikiran, ruh dan jasad, yang seharusnya di kuasai dan di gunakan oleh manusia itu sendiri dalam mencari kebahagiaan dunia dan akhiar ini.

Sumber : Facebook Ismail Ibrahim

Tags: ,

No Comments

    Leave a reply