PRU 15: DAP MUNGKIN MENDOMINASI POLITIK MALAYSIA?

Ketika ahli politik veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah mengandaikan bahawa PRU Ke-15 akan diadakan secara mengejut, ramai yang tertanya-tanya apakah asas yang boleh dijadikan sandaran? Pertanyaan itu berlaku kerana Tengku Razaleigh tidak  memberikan rasionalnya kenapa Dr Mahathir perlu membubarkan Dewan Rakyat lebih awal daripada edah sebenar.

Sebagai seorang yang berpengalaman luas dan terbabit dengan politik sejak akhir 1960-an, Tengku Razaleigh mempunyai alasan yang kuat. Atau mungkin juga untuk mengulangi apa yang pernah berlaku tatkala seseorang Perdana Menteri mula-mula dilantik walaupun dalam persekitaran politik yang berbeza.

Tun Abdul Razak yang mengambil alih pentadbiran selepas peristiwa 13 Mei 1969, melaksanakan pilihan raya umum pertama ialah pada tahun 1974 dengan strategi cemerlang melalui pembentukan Barisan Nasional. Tun Hussein Onn yang dilantik menggantikan Tun Razak yang meninggal dunia pada tahun 1976, menguji mandat pertamanya pada tahun 1978.

Tun Dr Mahathir yang menggantikan Tun Hussein Onn pada tahun 1981, menguji kepimpinannya bila menang Pilihan Raya Umum 1982 manakala Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menggantikan Tun Dr Mahathir pada tahun 2003, mengesahkan popularitinya setelah berjaya menang besar pada Pilihan Raya Umum 2004. Najib pula yang mengambil alih tampuk pemerintahan pada tahun 2009 mengadakan Pilihan Raya Umum pertamanya pada tahun 2013, yakni menghampiri edah sebenar mandat yang dimiliki oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Berdasarkan rentetan sejarah, tiga Perdana Menteri memperoleh keputusan cemerlang dalam PRU pertama di bawah pimpinannya. Nasib tidak menyebelahi Najib, PRU pertama dibawah pimpinannya menggelonsor jatuh dari memiliki 140 kerusi Dewan Rakyat yang ditinggalkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada hanya mampu bertahan sekadar 133 kerusi parlimen.

Mungkin ramai masih mengingati apa komen Najib mengenai kegagalannya untuk membina semula keyakinan rakyat terhadap BN yang pertama kali berhadapan dengan kemerosotan besar, termasuk perubahan undi popular. Walaupun BN masih menguasai majoriti, kedudukan undi popular berubah di mana BN hanya mampu bertahan sekadar 49 peratus manakala Pakatan Rakyat meningkat kepada 51 peratus.

Komen Najib, kedudukan tersebut bukanlah sesuatu yang mengaibkan kerana kecenderungan politik di seluruh dunia turut berlaku dalam keadaan parti yang menang terpaksa berunding untuk membentuk kerajaan campuran dengan parti-parti yang lebih kecil. Ia berlaku di Britain dan Australia.

Ketika itu beberapa penganalisis memberikan pandangan, undi popular bukanlah penentu kepada perubahan kuasa kerana setiap sistem yang mengamalkan demokrasi perwakilan, kemenangan ditentukan dengan kelebihan kerusi. Ia saperti keputusan liga bolasepak yang berasaskan jumlah mata, bukannya keseluruhan jumlah jaringan yang dibuat. Jika menang sesuatu perlawan, pasukan yang menang memperoleh tiga mata dan jumlah mata yang tertinggi itulah dikira sebagai pemenang. Jika dikira daripada jumlah yang dijaring yang pasukan tersebut, ia mungkin berkurangan daripada pasukan lainnya. Kelebihan jaringan gol hanya untuk membolehkan jumlah mata diberikan bagi sesuatu perlawanan.

Ribut itu kemudiannya membawa suasana politik Malaysia menjadi semakin panas apabila kaedah perarakan di jalan raya menjadi semakin kerap dilakukan. Najib yang merasakan kedudukan politik BN semakin cemas mula melakukan pelbagai bentuk transformasi dengan mengandaikan sedikit sebanyak pengalamannya yang hampir tewas kepada tokoh politik kurang ternama di kawasannya sendiri, iaitu Pekan, Pahang dalam PRU ke-11  (1999).

Saya masih ingat, mengulas kemenangan lebih baik dalam PRU ke-12 (2004), ramai yang memuji kerja keras Najib dan pasukan kempennya untuk memperbaiki keputusan di Pekan. Salah seorang pegawai Najib memberikan huraian, sejak menyedari ada kesilapan yang berlaku, mereka bersedia menjadi lebih mesra dan mendekati pengundi dengan kerja keras. Sebab itulah majoriti undi dapat ditingkatkan dari 241 (1999) kepada 22,922 undi (2004).

Setelah diuji dengan kemerosotan BN dalam PRU ke-13 (2008), Najib memberikan fokus kepada perubahan structural secara menyeluruh, tetapi malangnya, dalam banyak perkara beliau dilihat lebih cenderung memperbanyakkan kaedah membentuk pelbagai indeks yang seronok didengar, tetapi kurang diterima oleh rakyat dengan baik. Pembinaan pelbagai indeks turut dicurigai dengan langkah transformasinya yang lebih mengutamakan pasukan penasihat warga asing, termasuklah pengurusan perhubungan awam dengan Apco, pelan tranformasi kerajaan menerusi pembabitan McKinsey dan sebagainya.

Akibatnya, beberapa kumpulan penasihat yang bekerja untuk memenangkan beliau dalam PRU ke-12 saperti terasa kecil hati. Najib semakin sukar untuk berbincang dan menerima pandangan mereka, dan kekalahan BN dalam PRU ke-14 juga disumbangkan oleh kedegilannya untuk mendengar pandangan tersebut. Najib mempunyai kumpulan pemikirnya yang sebahagiannya adalah orang asing, yang kurang memahami sosio-politik tempatan. Pada peringkat tertentu, Najib cuba memperlihatkan hubungannya yang lebih baik dengan rakyat kebanyakan menerusi jalinan media sosial dan program walkaboutnya.

Mungkin atas ‘kedegilan’ itulah Najib berhadapan dengan cabaran dan desakan untuk meletakkan jawatan lebih awal, yang kemudiannya dikaitkan dengan skanda 1MDB. Muhyiddin menjadi semakin lantang dan terbuka mencabar Najib, akhirnya Muhyiddin dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan pada bulan Julai 2015. Rombakan kabinet itu menjadi asas pertikaian yang lebih besar, sehingga Muhyiddin bersama Tun Dr Mahathir menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) manakala Shafie Afdal yang turut dipecat sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Kemajuan Wilayah kembali ke Sabah untuk mengambil alih sebuah parti kecil dan menamakan Parti Warisan Sabah.

Setelah kemunculan dua parti itu, ramai pemerhati politik tidak yakin PPBM dan Parti Warisan mampu menggugat BN atas kedudukannya yang belum kemas dan tersusun. Jangkaan itu meleset apabila PPBM akhirnya menerajui kesepakatan untuk membentuk semula pakatan pembangkang selepas Pakatan Rakyat dibubarkan akibat keputusan PAS yang tidak lagi sehaluan dengan DAP. Dr Mahathir menjadi tokoh yang menyatukan semula PKR, DAP dan PAN ke dalam pakatan pembangkang menjadi Pakatan Harapan (PH).

Menurut beberapa orang veteran UMNO, ketika kedudukan PH masih di peringkat awal, mereka sudah menasihatkan Najib agar membubarkan Dewan Rakyat untuk diadakan PRU ke-14 pada tahun 2017. Bagi mereka, jika PRU ke-14 diadakan pada tahun 2017, potensi BN untuk menang adalah lebih besar disebabkan kecelaruan besar masih belum dapat diatasi dalam gabungan PH, termasuklah kepercayaan Anwar terhadap kepimpinan Dr Mahathir.

Tekanan politik yang dihadapi oleh PH juga masih besar, termasuk soal pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen dan kedudukan PPBM sendiri yang belum tersusun. Bila Najib mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat pada bulan Mac 2018, beliau sebenarnya telah memberi ruang kepada PH untuk menyelesaikan ‘political bashing’ dan keyakinan penyokong PKR terhadap Dr Mahathir. Dengan sedikit semangat permuafakatan yang terjalin, PH terus menghunjam BN dengan dakwaan kleptokrasi dan pemberian ‘dedak’ secara ‘merompak’ wang 1MDB dan poket orang ramai menerusi GST.

Kecaman terhadap GST bukanlah perkara baharu. Sejak ia mula dicadangkan, ia sudah dilihat sebagai satu tindakan yang menzalimi rakyat kerana ia akan meningkatkan kos sara hidup dan membolehkan pemimpin berbelanja besar. Soal ketirisan dalam projek-projek kerajaan dan pembabitan ahli politik dalam merebut peluang membina kekayaan peribadi tidak diberikan penjelasan yang memadai, maka BN telah diterima oleh rakyat sebagai sebuah parti yang mengkayakan segelintir orang. Ia hampir membenarkan tiga tiang utama demokrasi, iaitu kapitalisme, sekularisma dan liberalisme.

Elit politik menjadi semakin kaya, manakala persekitaran kehidupan semakin menyisihkan kerangka agama dalam urusan kenegaraan dan sebahagian dasar pemerintahan terlalu menekankan liberalism ekonomi sehingga menyisihkan kepentingan nasional. Najib menerusi tranformasi ekonominya, pernah meminda peraturan bagi membolehkan pemilik asing terus kekal dengan membenarkan kepentingan asing sehingga 100 peratus.

Liberalisme politik juga kedengaran apabila Najib mempopularkan idea, era kerajaan serba tahu sudah berakhir, ia sesuatu yang dianggap boleh mencabar nilai dan pemikiran masyarakat yang mula terpengaruh dengan globalisasi. Akhirnya, beberapa nilai tradisi mula dicabar dan menggugat pemikiran rakyat, termasuklah budaya LBGT. Walaupun secara undang-undang, LBGT tidak dibenarkan di Malaysia, dari segi amalannya, ia terus berkembang dan semakin terbuka dipertontonkan kepada umum.

Reaksi Najib terhadap pembinaan kerangka politik Islam juga tidak jelas walaupun beliau berusaha menghidup dan membudayakan ‘kesederhanaan’. Gerakan kesederhanaan tidak diperkemaskan pengembangan tingkah laku secara berkesan dalam masyarakat, ia hanya dibentuk sebagai satu kaedah untuk menggambarkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam yang moderat. Islam moderat yang dipaksa bertoleransi dengan banyak perkara, termasuklah persoalan yang berkaitan dengan hubungan syariat Islam.

Sebahagian besar orang Melayu mula curiga dengan pendirian kerajaan terhadap hasrat melaksanakan pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (RUU 355) apabila membenarkan Presiden PAS bercakap mengenainya di Dewan Rakyat, tanpa ada kesungguhan daripada Kerajaan untuk melakukannya. Detik tersebut dilihat sebagai sandiwara dan permainan politik UMNO demi menjaga sensitiviti bukan Melayu dan Melayu liberal.

Sandiwara itu akhirnya ‘menikam UMNO’ apabila pengundi-pengundi bukan Melayu semakin menolak BN dan manakala sebahagian kecil pengundi Melayu beralih menyokong PH. Walaupun UMNO masih bernafas, menang 54 kerusi Dewan Rakyat, defisit keyakinan terhadap kepimpinannya semakin membesar. Tindakan Kerajaan PH untuk mencari bukti dan kaitannya dengan 1MDB telah menyebabkan kedudukan kerusi UMNO semakin mengecil apabila wakil-wakil mereka di Sabah mula beralih pendirian (kini, tinggal MP Kinabatangan sebagai wakil rakyat tunggal UMNO). Bagaikan penghijrahan yang besar, exodus mereka yang dikaitkan turut menerima dana politik yang bersumberkan 1MDB. Mereka dikatakan mencari perlindungan untuk ‘menyelamatkan diri’.

UMNO dilihat kian parah dan mempunyai sedikit cahaya untuk bangkit semula selepas pengunduran Najib dan percutian Zahid Hamidi. Walaupun menang tiga PRK secara hatrik—Cameron Highlands, DUN Semenyih dan Rantau—secara keseluruhannya untuk UMNO menang PRU ke-15 masih belum terjamin. DAP bijak menggunakan peluang, dengan kedudukannya yang kuat dalam PH, pemimpin-pemimpin mereka mula mendekatkan diri untuk mempengaruhi orang Melayu-Islam. Mereka sanggup ‘makan setalam’ dan menyampaikan bantuan kewangan kepada masjid-masjid dan surau, manakala PPBM masih tidak menunjukkan usaha untuk mengukuhkan sokongan orang Melayu.

PPBM tidak banyak mendekatkan diri dengan pengundi Melayu, manakala PAN dilihat selesa dengan kedudukannya dan tidak menyinggung tindakan  DAP walaupun surau dan masjid telah digunakan untuk tujuan politik. Dari perspektif politik, PKR masih tegar dengan ‘serangan senyap’ untuk mendesak Dr Mahathir untuk menetapkan tarikh peralihan kuasa sedangkan sebahagian lagi pemimpinnya tidak bersedia bersuara akibat takut kehilangan jawatan. Secara sembunyinya mereka yang berada dalam kabinet tidak merasa selesa jika Dr Mahathir segera menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim, seboleh-bolehnya mahukan Dr Mahathir kekal sehingga habis tempoh PRU ke-14.

Anwar terpaksa menarik benang merah secara berhati-hati. Dua petanda yang jelas ialah apabila Nurul Izzah ‘mewakili’ bapanya membuat kejutan untuk meletakkan jawatan dalam kerajaan kerana membantah pemuafakatan lantikan pengerusi PAC bukan dari kalangan wakil rakyat yang menyokong kerajaan. Peletakan jawatan Nurul akhirnya menyedarkan Dr Mahathir, pengerusi PAC sedia ada digantikan dengan calon parti pembangkang, dan Nurul bersedia kembali semula ke dalam kerajaan.

Beberapa hari lalu, Dr Mahathir menyifatkan pemberian ‘wang percuma’ untuk keperluan Aidilfitri kepada peneroka sebagai tidak menunjukkan keperibadian rakyat untuk membangun Malaysia sebagai satu kekuatan. Bagaimanapun, Dr Mahathir akhirnya akur apabila Anwar bersuara, ‘wang percuma’ kepada peneroka diberikan sebanyak RM 300 bagi mereka membuat persiapan Aidilfitri.

Sebagai perhitungan selanjutnya, Dr Mahathir mungkin sedang memikirkan bagaimana untuk memperkuatkan kedudukan PPBM, sekurang-kurangnya menang di semua kawasan yang ditandinginya dalam PRU ke-15 nanti.

Dikhabarkan DAP sedang giat untuk menambahkan kekuatannya, dengan mempengaruhi lebih ramai pemimpin Melayu menyertainya dengan harapan kedudukannya akan menjadi lebih dominan dalam PRU ke-15. DAP bijak mencari peluang dan membentuk strategi, dan kerana itulah mereka terus membiarkan sebahagian penyokong PKR bertelagah dengan Dr Mahathir agar segera melantik Anwar sebagai Perdana Menteri. DAP sedar, dengan desakan tersebut akan menyebabkan hubungan PPBM dan PKR akan tercabar, sebab Dr Mahathir juga mempunyai strateginya yang khusus untuk tidak mahu PPBM ‘tersandera’ selepas pengundurannya.

Muhyiddin tidak mampu berhadapan dengan strategi politik Anwar. Anwar boleh sahaja berubah pendirian apabila kedudukannya tercabar. Anwar hanya sabar menunggu, kerana beliau sedar, jika Dr Mahathir dicabar, peluangnya akan menjadi semakin kecil. Dr Mahathir adalah lebih licik dan berstrategik, apabila kedudukannya dicabar, beliau akan bertindak lebih rakus dan berkesan. Sekiranya ini berlaku, impian Anwar akan musnah kerana untuk menjadi Perdana Menteri selepas PRU ke-15, ia bukanlah sesuatu yang mudah, jalannya tetap berliku.

DAP juga boleh membuat tuntutan yang sama sekiranya mempunyai kedudukan kerusi lebih besar daripada mana-mana parti komponen PH. Keadaan sekarang, kedudukan DAP hampir menyaingi PKR. Sekiranya PKR ‘terbelah’, DAP akan terus mendominasi PH dan tentunya ketika itu, ada calon Melayu dalam DAP akan dilantik sebagai Perdana Menteri. Dikhuatirkan bahawa DAP bersedia menempatkan lebih banyak calon Melayu di peringkat Dewan Rakyat dalam PRU ke-15, dengan harapan, akan menjadi sebuah parti yang dominan dalam gagasan PH.

Sebab itulah DAP begitu giat menyerang penyatuan atau kerjasama UMNO-PAS. DAP sedar, dengan memperlekehkan kerjasama ini, ia boleh mempengaruhi segelintir golongan liberal Melayu dan seterusnya mempengaruhi pengundi atas pagar yang semakin besar. Mereka yang tidak menjadi mana-mana ahli dalam pertubuhan politik, akan membuat keputusan berdasarkan persepsi tertentu, termasuklah melihat kecelaruan perjuangan parti-parti Melayu, dan juga melihat PAS dengan imej flip-flopnya yang tersendiri.

Biarpun ada kemunculan dua parti baharu, PUTERA yang baharu diluluskan pendaftarannya dan Parti Negara yang sedang menunggu kelulusan, ia belum boleh dianggap mampu menarik sokongan ramai, termasuklah golongan muda yang ‘apolitical’. Kemungkinan PH menang dalam PRU ke-15 tetap ada, kecualilah berlaku ‘ribut politik’ yang besar dalam tempoh empat tahun atau memungkinkan Dewan Rakyat dibubarkan sebelum masanya. UMNO masih belum memperlihatkan wawasan kepimpinan yang segar dan mampu memulihkan defisit keyakinan walaupun menang dalam tiga PRK pada tahun ini.

UMNO sedang dipecahkan lagi dengan kemelut kepimpinan apabila ad aura-ura meminda perlembagaan parti, membawa kembali Dr Ahmad Zahid Hamidi dan belenggu ‘bossku’. Fenomena ‘bossku’ tidak akan mampu mengembalikan kepercayaan umum terhadap Najib, kecualilah kesemua pertuduhan ke atasnya berjaya dibuktikan tidak berasas. Jika salah satu daripada puluhan tuduhan itu terkena, maka fenomena ‘bossku’ akan berakhir. Kesemuanya akan mempengaruhi golongan muda untuk membuat pilihan, manakala pengundi yang lainnya sudah berpecah menurut keyakinan masing-masing.

Monosin Sobri

No Comments

    Leave a reply