Pengerusi BN itu berkata, mengikut Perlembagaan Persekutuan, pemilihan jawatan pemimpin negara itu adalah berdasarkan prinsip siapa yang mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Oleh kerana tidak ada sebuah parti yang mendapat majoriti mudah, Yang di-Pertuan Agong akan buat keputusan siapa bakal dilantik oleh Tuanku sebagai Perdana Menteri,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Sehubungan itu, Najib meminta rakyat supaya bertenang dan memberi kepercayaan kepada Seri Paduka Baginda untuk membuat keputusan sebaik mungkin.

“Tentu sekali berlaku perubahan dan saya komited penyelesaian keputusan terbaik yang akan landaskan kepada kepentingan rakyat dan negara,” jelas beliau.

Najib memberitahu, beliau serta rakan-rakannya dalam BN menerima keputusan yang telah dibuat oleh rakyat dan komited kepada menghormati prinsip-prinsip demokrasi berparlimen. – UTUSAN ONLINE