Strategi PSGS pertahanan ini mampu memberi keyakinan bukan sahaja kepada rakyat Si­nga­pura tetapi juga sebagai kekangan ancaman luar kerana setiap tahun kerajaan Singapura memperuntukkan antara lima hingga enam peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk kegunaan perbelanjaan pertahanan mereka.

Jika peruntukan pertahanan Israel secara nisbah per kapita adalah tertinggi di dunia, Si­ngapura pula dalam kategori ini berada pada kedudukan kedua. Tetapi jika jumlah jet pejuang pula dibandingkan dengan nisbah keluasan kawasan operasi, maka Singapura berada pada kedudukan teratas sementara Israel pula berada pada tangga kedua. Begitulah hebatnya sistem dan aset pertahanan Singapura. Sebab itu, tidak menghairankan PSGS kedaulatan Singapura ba­nyak berkisar kepada kelebihan aset pertahanan mereka.

Berbanding Malaysia, peruntukan yang disediakan oleh kerajaan untuk kegunaan pertahanan hanya berkisar di antara 1 hingga 1.5 peratus setiap tahun kerana sektor pendidikan dan kesihatan sentiasa mengatasi sektor pertahanan daripada segi pengagihan kewangan.

Memang tidak dapat dinafikan jika hendak dibandingkan daripada segi kuantiti atau pun kecanggihan aset pertahanan milik Malaysia dan Singapura, maka perbandingan seperti ini tidak adil kerana kelebihan Singapura adalah mereka mempunyai peruntukan agak lumayan yang boleh dibelanjakan untuk sistem pertahanan mereka.

Dalam hal ini, menarik juga dikaitkan dengan beberapa kenya­taan Menteri Pertahanan, Moha­mad Sabu yang menyentuh status sistem pertahanan negara kerana apa yang telah dibangkitkan oleh beliau telah menjadi polemik sehingga menimbulkan keresahan rakyat.

Menjawab soalan tambahan Datuk Danyal Balagopal Abdullah (PH-Port Dickson) di Dewan Rakyat beberapa hari lalu, Mohamad meluahkan perasaan kecewanya terhadap kedudukan sistem pertahanan negara yang disifatkan sebagai ketinggalan berbanding negara Asia Tenggara lain dan di peringkat antarabangsa pula sistem pertahanan Malaysia adalah agak memalukan.

“Sekarang ini, kedudukan tentera laut, udara dan sebagainya dalam kalangan Asia Tenggara, negara kita berada di tempat ­paling bawah. Vietnam jauh ke hadapan, Indonesia nombor sa­tu dan Malaysia sekarang ke ba­wah. Malulah kita kalau pergi ke peringkat antarabangsa.” tegas Mohamad ketika meluahkan pe­rasaan kecewa beliau.

Beliau juga menyatakan situa­si sistem pertahanan negara berbeza pada masa dahulu dengan kedudukan Malaysia berada di tangga teratas pada 1970-an.

Paling mengejutkan sekali ada­lah apabila Mohamad turut men­dedahkan daripada 18 jet pejuang Sukhoi Su-30MKM milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), hanya empat beroperasi sementara 14 lagi tidak digunakan ke­rana kos penyelenggaraan tinggi.

Menurut Mohamad lagi, kementerian beliau hanya mene­rima RM1.1 bilion daripada keseluruhan peruntukan RM1.8 bilion khusus untuk selenggara aset pertahanan dan besar kemungkinan status operasi jet pejuang Sukhoi berkaitan dengan kekurangan da­na tersebut.

Sememangnya agak luar biasa kenyataan Mohamad kerana ia mendedahkan kelemahan ketara sistem pertahanan negara yang sepatutnya menjadi rahsia kerana kerahsiaan status operasi aset ketenteraan sesebuah negara adalah sebahagian daripada strategi pertahanan lazim yang diamalkan setiap negara.

Menjadi kemusykilan matlamat sebenar mengapa Mohamad mendedahkan berita sensitif sedemikian rupa dan menariknya juga jika dikaitkan dengan ke­nya­taan Yang Berhormat Rembau iaitu Khairy Jamaluddin yang menegaskan Mohamad boleh menyalahkan kerajaan Barisan Na­sional (BN) tetapi janganlah sehingga mendedahkan kelemahan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Mohamad menegaskan mi­sinya pada ketika ini adalah untuk menjadikan kesiapsiagaan ketenteraan di negara ini berada pada kedudukan terbaik di Asia Tenggara. “Malu kita kalau pergi peringkat antarabangsa, tapi saya akan jadikan Malaysia great again, jadi nombor satu semula,” ikrar beliau di Dewan Rakyat de­ngan meminjam laungan lazim Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump.

Sebab itu dihujahkan juga stra­­tegi Mohamed mendedahkan kekangan keupayaan sistem perta­hanan negara dengan me­ngaitkan isu kekurangan peruntukan sebenarnya adalah PSGS beliau sebagai isyarat bahawa untuk bajet akan datang beliau mahu menyaksikan peruntukan pertahanan diberi layanan saksama seperti mana yang diterima oleh sektor pendidikan dan kesihatan.

Jika pemimpin Singapura se­ring menggunakan PSGS nega­ra jiran sebagai salah satu sumber an­caman keselamatan sebagai dalil peruntukan pertahanan yang tinggi maka boleh juga diandaikan PSGS Mohamad mendedah­kan kekangan keupayaan sistem pertahanan negara adalah sebagai isyarat beliau sebagai menteri pertahanan menghendaki peruntukan pertahanan yang lebih tinggi.