PU, IM, Da’i dan ustaz selebriti

KONTROVERSI membabitkan kelompok agama nampaknya semakin membarah. Industri ‘ustaz’ jadian semakin berkembang dan kini menjadi sumber pekerjaan yang menjanjikan kemewahan, apatah lagi yang sudah ada nama dan dikenali umum.

Semakin hari semakin galak kontroversi membabitkan ustaz kelahiran pelbagai program televisyen. Nama Pencetus Ummah (PU), Imam Muda (IM), Da’i sudah sebaris selebriti hiburan dan isu melingkarinya dibincangkan dalam program hiburan semasa.

Ketika ini belum ada ura-ura stesen televisyen mahu membikin program ala-ala Melodi atau Meletop untuk kelompok ini, namun dengan isu demi isu yang timbul, tidak mustahil ia menjadi kenyataan. Apa yang berlaku di negara kita juga sedang berlaku di negara jiran, turut membabitkan golongan agamawan yang juga popular di Malaysia.

Setahu penulis, belum pernah lagi ada pihak menggerakkan petisyen yang mendesak program realiti televisyen berkonsepkan agama dibatalkan atas alasan ‘satu penghinaan kepada institusi keilmuan Islam’. Kini timbul petisyen yang turut mendesak agar individu yang terpalit dengan kontroversi dilucutkan gelaran atau jolokan yang diberikan kepada mereka.

“Haramkan, tarik balik penggunaan jolokan (title) Pencetus Ummah (PU), Imam Muda (IM) atau Da’i kepada penunggang-penunggang agama, si pencemar kesucian Islam. Panggil mereka ‘saudara’ atau Encik sahaja. “Walaupun bukan semua PU, IM dan Da’i berperangai ikut kaedah syariat ciptaan syok sendiri mereka, tapi segelintir pelaku-pelaku berkelakuan amat memalukan ini, memberi impak yang amat buruk kepada agama Islam dan orang Islam khasnya dan kaca mata pandangan bukan Islam amnya.

“Fenomena menggunakan gelaran ustaz, menggelar dan memanggil diri sendiri sebagai ustaz untuk kepentingan peribadi dengan akhlak yang bertentangan dengan cara hidup Islam adalah sangat serius,” tulis pempetisyen berkenaan di web change.org yang kini tersebar luas di media sosial.

Penulis tidak mahu menuding jari kepada sesiapa dalam isu ‘ustaz’ muda menggunakan hujah berlandaskan hukum untuk menghalalkan tindakannya yang tidak wajar dari pandangan masyarakat walaupun dibenarkan dari sudut hukum agama. Malah, ada yang seperti mahu menggambarkan perlakuannya seperti amalan Rasulullah SAW, selain menggunakan dua tanah haram sebagai alasan tidak boleh menolak ‘tawaran’ jodoh.

Penulis yang bersolat Jumaat di sebuah masjid di Gombak juga berpeluang mendengar khutbah daripada khatib mengenai cabaran dalam mendepani tuduhan di media sosial, termasuk yang melingkari golongan agamawan.

Penulis bersetuju dengan saranan khatib berkenaan supaya seboleh-bolehnya kelemahan agamawan disorok dan bukan didedahkan. Seperti biasa, pastinya akan disambung khatib, media sengaja meuar-uarkannya untuk menjual surat khabar!!!

Dengan pelbagai isu melingkari kelompok agamawan komersial ini, sewajarnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mahupun pihak berkuasa agama mengambil cakna dengan pengwujudan gelaran yang pelbagai ini bagi mengelak agama Islam dan masyarakatnya diperlekeh atau dipersenda, terutama daripada kelompok ‘cakap tak serupa bikin.’

Adakah dengan gelaran yang dimenangi atau sekurang-kurangnya menginjak kaki ke peringkat akhir sudah bebas dan selayak menggunakannya. Siapa yang mengeluarkan tauliah kepada mereka untuk memberi syarahan di seluruh negara. Adakah peraturan sedia ada tidak terpakai kepada kelompok ini berbanding ustaz bukan selebriti yang berdepan pelbagai peraturan yang menyusahkan, selain bayaran diterima ada kalanya tidak masuk akal.

Agak mendukacitakan apabila ahli jawatankuasa masjid sanggup berhabis beribu ringgit untuk menjemput ustaz selebriti tetapi amat berkira ketika membuat bayaran ke atas ustaz yang datang mengajar kelas al-Quran secara mingguan. Lebih mendukacitakan penulis diberitahu apabila ada pegawai peribadi seorang ustaz selebriti menetapkan bayaran RM3,000 untuk memberi ceramah depan murid sekolah, take it or leave it.

Bagi penulis, kelompok agama tidak perlu ‘melompat’ jika ada mana-mana pihak menegur kelemahan ini, walaupun ada nas daripada perawi adalah lebih baik nasihat diberikan secara berdepan satu dengan satu. Hakikatnya, sudah banyak pihak menegur sama ada secara sindiran atau berkias, namun ia umpama mencurah air di daun keladi.

Ilmuwan yang berterus terang, umpamanya Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah sudah banyak kali melahirkan rasa kurang senang perlakuan PU, IM, Da’i dan ustaz selebriti yang menyerlahkan sisi hitam mereka sehingga mendatangkan persepsi buruk terhadap Islam.

Kepada generasi muda yang ikhlas mahu berjuang untuk Islam dan menjadikannya kerjaya, elakkan perkara kontroversi dan terus mendalami ilmu agama mengikut resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.

Bagi mereka yang sudah glamor, ingat pesanan Dr Mohd Ridhuan Tee: “Jangan rosakkan imej Islam dengan tindakan kita yang hodoh itu. Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Musuh Islam akan menggunakan berita untuk memburuk-burukkan agama kita. “Pergilah sambung mengaji. Tak cukup terhenti setakat itu sahaja. Ummah di luar sana sangat dahaga penampilan dan ilmu kita.”

Oleh Azhar A Samah

Penulis adalah Pengarang Eksekutif Pengeluaran Berita Harian

Sumber : Berita Harian Online

No Comments

    Leave a reply